Kembali kepada fitrah

Setelah mengasah dan mengasuh jiwa iaitu berpuasa selama satu bulan, diharapkan setiap Muslim dapat kembali ke asal kejadiannya dan menemukan jati dirinya, iaitu kembali suci sebagaimana ketika baru dilahirkan serta kembali mengamalkan ajaran agama yang sebenar dan tidak mudah dipengaruhi dengan ajaran-ajaran sesat yang masih lagi aktif dalam negara kita

Berakhirnya bulan Ramadan bukan bermakna kita harus memutuskan hubungan dengan Allah dengan tidak lagi mengunjungi masjid bersembahyang jemaah atau beriktikaf.

Sesungguhnya Ramadan telah pergi, namun barang siapa yang menyembah Allah maka Dia sentiasa hidup dan tidak mati. Allah menyukai sikap manusia yang sentiasa dalam ketaatan pada setiap waktu dan bencikan maksiat pada setiap ketika.

Kembalinya fitrah kepada kita dan kita harus tampil sebagai manusia yang suci dan baik sesama manusia. Bukan menjadi manusia bankrap rohaninya di mana dia tidak menyedari perbuatan salah yang dilakukan selama ini dan sentiasa menganggap bahawa dia telah berbuat kebaikan.
Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah, kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang rugi serugi-ruginya amal perbuatannya? (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan”. (Surah al-Kahfi ayat 104-105)

Inilah sebenar yang dikehendaki dalam semangat Aidilfitri atau Hari Raya Fitrah. Mulai hari ini kita semua memikul beban berat untuk mempertahankan kesucian ini. Selama sebulan, Tuhan menyaksikan kita bangun di waktu dinihari dan mendengarkan suara istigfar kita.
Alangkah malangnya setelah hari ini Tuhan melihat kita tidur lelap bahkan melewati waktu subuh seperti bangkai tidak bernyawa.
Selama sebulan bibir kita tergetar dengan doa, zikir dan kalimat suci al-Quran. Celakalah kita bila kita gunakan bibir yang sama untuk mengumpat, memfitnah dan mencaci maki kaum mukmin yang tidak sealiran dengan kita.

Selama sebulan, kita melaparkan perut daripada makanan dan minuman yang halal di siang hari. Relakah kita sekarang memenuhi perut kita dengan makanan dan minuman yang haram? Setelah hari ini kita akan diuji, apakah kita termasuk orang yang menyucikan diri, berzikir dan solat atau tetap mencintai dan mendahulukan dunia. Apakah kita termasuk orang yang disebut di dalam al-Quran, surah al-A’la ayat 14 hingga 15, firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya berjayalah orang yang setelah menerima peringatan itu berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang soleh), dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya, serta mengerjakan sembahyang dengan khusyuk”.
Atau mungkin kita termasuk atau tergolong sebagai manusia seperti yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Tetapi kebanyakan kamu tidak melakukan yang demikian bahkan kamu utamakan kehidupan dunia”. (Surah al-A’la ayat 16).

Bagi rakyat Malaysia , selepas meraikan Aidilfitri mereka akan kembali menyambut satu lagi hari kemenangan yang mempunyai banyak kesan kepada kehidupan. Aidilfitri dan sambutan kemerdekaan yang kita akan sambut tidak lama lagi sepatutnya menjadi titik tolak untuk kita menilai kembali apa yang boleh disifatkan sebagai tragedi sejarah, manakala membuka horizon pemikiran baru untuk tidak lagi mengulangi sebarang kesilapan yang boleh membawa kepada tragedi dan konflik berdarah

Maka, dalam emosi dan semangat Aidilfitri yang memberikan kita kemenangan mengekang hawa nafsu, maka tidak ada sebab tidak boleh kita panjangkan semangat untuk terus mengisi matlamat kemerdekaan dengan penuh gigih dan dedikasi.
Jiwa al-Quran menjadi pegangan yang kuat, setiap tindakan menjurus kepada pembentukan budaya kasih sayang. Itulah natijah dari sebuah perjuangan yang ikhlas dan dedikasi mengekang belenggu hawa nafsu yang dilahirkan menerusi ibadat berpuasa sepanjang bulan Ramadan.

Dan, marilah kita raikan kemenangan mengekang hawa nafsu menerusi ibadat berpuasa selama sebulan dengan Aidilfitri dan kebebasan kita menentukan nasib kita sendiri dari kongkongan penjajah dengan merumuskan dasar dan program pembangunan dengan menyambut ulang tahun kemerdekaan dalam suasana ukhwah dan penuh kesedaran untuk meningkatkan kebaikan dan sumbangan membina negara tercinta.
Meraikan setiap kemenangan adalah fitrah yang dianugerahkan oleh Allah SWT. Fitrah itulah juga memberikan makna dan warna dalam sejarah kehidupan kita. Warna-warni itulah yang akan menentukan ke mana haluan dan sasaran kita sebenarnya.

Oleh Mohd shauki Abd Majid

Tags: , ,

No Comments

    Leave a reply