Namun begitu pada hari ini, walaupun manusia berjaya mencapai pelbagai kejayaan melalui pekerjaan yang dilakukan, tetapi jika tidak bersandarkan kepada tuntutan Islam pasti mereka tergelincir ke lembah kemusnahan yang akan berakhir dengan kegagalan.

Ibadah itu luas merangkumi segala aspek dalam kehidupan. Jika dilihat pada hari ini, ramai yang melakukan kerja semata-mata untuk mengejar dunia. Selain itu bekerja juga dengan tujuan mendapatkan kekayaan dan kemewahan kehidupan tetapi lupa akan tanggungjawab sebagai khalifah atau tujuan sebenar penciptaan manusia di muka bumi ini.

Selain itu juga, pekerjaan yang dilakukan orang setiap individu dan natijah daripada pekerjaan berkenaan tidak mampu ­me­ningkatkan martabat keinsanan dan mendekatkan diri kepada Tuhan. Sebaliknya, ia akan menjurus kepada kemusnahan nilai-nilai keinsanan dan juga sumber fizikal alam jika tidak meletakkan konsep kerja itu sebagai suatu ibadah dalam diri.

Pekerjaan dari perspektif Islam merujuk kepada proses untuk mencapai ke arah yang lebih cekap dan sempurna dengan tujuan untuk mencapai keredaan Allah serta memakmurkan kehidupan dalam memperoleh kebahagiaan di dunia dan akhirat. Segala tindakan dan keputusan yang diambil perlu sentiasa berpedomankan firman Allah dalam surah al-Mulk ayat ke 15 yang bermaksud:

“Dia lah Yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki Yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmat-Nya dan takutlah kemurkaan-Nya)”.

Bagi mencapai tujuan kerja sebagai ibadah, setiap individu perlu diberi peluang mempamerkan potensi dalam diri mereka bagi mencapai produktiviti yang lebih tinggi seterusnya berjaya mencapai matlamat yang dikehendaki.

Dalam konteks ini, Allah SWT telah berfirman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 269 bermaksud:

“Allah memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu Yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan Yang ditentukan-Nya). Sesiapa Yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) ­melainkan orang Yang menggunakan akal fikirannya”.

Justeru, marilah kita bersama-sama kembali kepada tanggungjawab yang diamanahkan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini dengan membetulkan niat dan tujuan kita bekerja. Kerja sebagai suatu ibadah. Kerja sebagai tujuan untuk mencapai keredaan Allah SWT serta memperoleh kebahagiaan di dunia dan akhirat. Kembalikan tujuan kita bekerja untuk apa?

DR. NUR NAJWA HANANI ABD. RAHMAN

ialah Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.