KEMENANGAN BERMARUAH, BN JANGAN TERLENA

Memang diduga dari awal: BN akan menang dengan majoriti yang besar .

Kemenangan Datuk Seri Mohamad Hassan atau Tok Mat adalah kemenangan yang boleh dilihat sebagai keputusan bermaruah.

Pertama ialah kemenangan itu diperoleh secara berturut-turut dalam tiga pilihan raya kecil yang diadakan sejak awal tahun ini. Semangat BN di bawah ‘nakhoda’ baharu selepas percutian panjang Presiden, Datuk Ahmad Zahid Hamidi menjadi penyuntik yang tidak lagi boleh diperkecilkan oleh PH.

Selepas berjaya memperlihatkan strategi kempen secara berfokus, BN berjaya memperoleh kemenangan di Cameron Highlands mengalahkan calon PH daripada DAP, Tok Mat membuat persiapan rapi untuk merampas kerusi DUN Semenyih pada bulan Mac lalu. Strategi beliau berjaya mengetepikan calon PH daripada PPBM.

tidak harus dilihat mudah

Walaupun BN ketika ini bukan merupakan parti yang memerintah, ketekalan dan pendekatan yang dilaksanakan oleh Tok Mat telah memberikan kejayaan yang tidak harus dilihat mudah oleh PH. Dalam siri PRK selepas ini, PH perlu menyelesaikan banyak perkara sekiranya gabungan parti-parti pemerintah ingin terus mengekalkan kedudukannya.

Kedua, kerjasama yang terjalin antara UMNO dan PAS telah membuahkan hasil yang menarik. Ia semakin digeruni oleh PH dan kerana itulah pelbagai usaha dibuat untuk memperlekehkan kerjasama tersebut sehingga diandaikan bakal membawa corak pemerintahan yang keras dan menggerunkan saperti Taliban di Afghanistan.

Ketiga, komponen PH perlulah membuktikan diri mereka benar-benar bebas daripada menggunakan isu perkauman untuk menakut-nakutkan pengundi bukan Melayu. Semakin kuat parti-parti tersebut mencerca kerjasama PAS dan UMNO, menghina dan menyindir orang Melayu, maka semakin terdedahlah sikap sebenar walaupun mendakwa perjuangan mereka bukan berasaskan perkauman.

melakukan kerosakan’

Sehari sebelum pengundian di Rantau, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran misalnya telah memperlihatkan realiti politik sebenar yang diperjuangkannya. Beliau sudah ‘melakukan kerosakan’ besar apabila menyeru orang India supaya hanya mengundi calon India.

Dengan berkata orang India lebih bersedia menerima pemimpin India untuk membantu menyelesaikan masalah mereka berbanding mengadu kepada pemimpin Melayu dan Cina, Kulasegaran secara jelasnya mendedahkan sikap perkauman yang sepatutnya dielakkan. Ini kerana parti yang diwakilinya tidak pernah mengakui berjuang atas semangat perkauman, dan dalam PRK DUN Rantau, terserlah bibit-bibit perkauman. Kulasegaran telah ‘menjerut’ lehernya sendiri.

Itulah sebabnya pengundi Melayu merasa ‘takut’ untuk memberi undi kepada calon PH, iaitu Dr S Streram, walaupun cuba memperbetulkan ‘konteks kempen’nya, Kulasegaran turut menyumbang kepada kekalahan.

‘bulu-bulu’

Dr S Streram hanya mampu meraih undi sebanyak 5,887 iaitu 56.6 peratus daripada apa yang diperoleh  Tok Mat (10,397). Akibat kempen PH yang sedikit bercelaru, provokasi yang ditunjukkan yang diterima oleh Tok Mat adalah lebih besar daripada apa yang pernah dicapainya dalam PRU ke-12. Kali ini Tok Mat mencatatkan majoriti kemenangan 4.510 undi berbanding PRU 12 sebanyak 3,883 dan hanya kurang 103 undi dalam PRU ke-13 (dengan majoriti 4,613 undi).

Keempat, melihat secara keseluruhan pencapaian BN di semua peti undi, jelas menunjukkan bahawa pengundi bukan Melayu tidak sepenuhnya menyukai calon PH. Ia mungkin disebabkan perwatakan Dr S Streram yang kurang serius bahkan dalam salah satu video kempennya, lebih banyak mencerikan tentang ‘bulu-bulu’ berbanding keluarganya sendiri. Sebab itulah beberapa hari terakhir kempen, ramai yang menyebut Streram dengan ‘bulu-bulu’.

Rayuan Dr S Streram agar Dr Mahathir turun berkempen untuk membantu kemenangan saperti tidak diendahkan atas alasan kesibukan. Keengganan Dr Mahathir turun ke Rantau dilihat sebagai faktor kelima kenapa Tok Mat berjaya memperoleh kemenangan yang selesa walaupun cuba dibebankan dengan peristiwa sepuluh tahun lalu, iaitu pemindahan wang sebanyak RM 10 juta untuk membeli sebuah apartment di London menggunakan khidmat pengurup wang.

stigma ‘kemarahan’

Keenam, stigma ‘kemarahan’ rakyat terhadap Kerajaan PH masih besar disebabkan kegagalan menunaikan janji walaupun dua hari sebelumnya cuba dipintas dengan ‘kedurjanaan’ kerajaan BN terhadap prestasi kewangan FELDA. Percubaan mendedahkan urusniaga FGV yang menyebabkan FELDA menanggung masalah kewangan yang serius tidak boleh diterima dengan mudah.

Sindiran Tok Mat mengenai Kerajaan PH mudah difahami dan dihadam oleh para pengundi kerana sindiran tersebut adalah resam kehidupan yang wajib dihadapi oleh seseorang yang ‘berkahwin dengan janda atau duda’. Apabila sanggup berkahwin dengan seorang janda, bermakna juga sanggup menerima dan bertanggungjawab kepada anak-anaknya sekali.

Tetapi, dalam budaya politik yang dipamerkan oleh Kerajaan PH, mereka hanya ghairah kepada janda itu sahaja, tidak mahu bertanggungjawab ke atas anak-anaknya. Hal ini tidak dapat dipatahkan oleh pemimpin-pemimpin PH, bahkan dalam setiap kegagalannya dikaitkan dengan kesilapan kerajaan terdahulu, seumpama menyalahkan janda itu kenapa ada anak dengan suami sebelumnya.

Ketujuh, imej Dr S Streram juga tidak disenangi oleh pengundi Rantau. Beliau tidak disenangi kerana dikatakan baharu tiga tahun mula aktif di Rantau. Tempoh tiga tahun itu tidak digunakan dengan sebaik-baiknya sehingga membuat kenyataan yang tidak tepat mengenai apa yang ada di Rantau. Antaranya, tidak memiliki Balai Bomba, kelewatan Hospital Rembau.

Operasi Hospital Rembau lewat bukanlah isu yang wajib dijawab oleh Tok Mat. Ia adalah isu yang perlu dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Kesihatan. Akhirnya, Dr Zulkefly Ahmad menjawab, operasi Hospital Rembau akan bermula pada bulan Jun ini. Isu-isu tersebut dianggap telah berjaya menempelak Dr S Streram sendiri.

ECRL

Kelapan, pengumuman penyambungan projek ECRL juga turut menyumbang kepada kekalahan PH walaupun Timbalan Perdana Menteri mengatakan ia tiada kaitan dengan politik. Dr Wan Azizah sepatutnya tidak berkata demikian, kerana dua menteri kanan Kerajaan PH sebelum itu mengumumkan bahawa Rantau bakal menjadi laluan baharu projek keretapi yang dianggap mahal dan boleh menyebabkan ‘kerajaan terpaksa menanggung hutang yang besar’.

Muktamadnya keputusan meneruskan projek tersebut telah mengecewakan Anthony Loke dan pengundi Rantau menterjemahkannya dengan menolak PH. Anthony yang mewakili Parlimen Seremban mungkin mengharapkan Rantau menjadi salah satu stesen dalam jajaran baharu itu kerana ia akan mencergaskan pertumbuhan ekonomi Seremban yang bersempadanan.

Sebaliknya, bila diumumkan oleh Tun Daim Zainudin, Kuala Klawang menjadi stesen yang bakal dibina di Negeri Sembilan. Jadi ‘melopong’lah Seremban, Rantau dan Port Dickson. Dengan memasukkan Kuala Klawang, daerah Jelebu akan menjadi pusat pertumbuhan ekonomi yang lebih menarik pada masa hadapan, tidak lagi menjadi daerah yang sunyi dan sepi.

Industri desa dan pelancongan boleh dimulakan. Jelebu mempunyai tanah yang masih luas dan terkenal dengan hasil buah-buahan di Negeri Sembilan, termasuklah nenas titi, jambu air, ciku subang di samping pusat pengumpulan rotan dan buluh.

Kesembilan, hubungan Tok Mat dengan penduduk setempat adalah tersangat erat. Jasanya sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan selama tiga penggal diingat sampai bila-bila kerana berjaya menyelesaikan banyak perkara yang tidak dapat dilakukan oleh penyandang sebelumnya. Beliau berjaya mengatasi masalah jalan raya di Bukit Putus, kemelut peneroka FELDA Sendayan dan memperhebatkan pembangunan di situ sehingga muncul sebagai ‘Damansara Negeri Sembilan’.

‘cek bohong’ 

Kesepuluh, percubaan kempen untuk mengelirukan pengundi mengenai kemurahan hati Kerajaan PH Negeri Sembilan terbongkar apabila sekeping cek kepada sebuah sekolah agama adalah bohong. Cek asal sumbangan berjumlah RM 30,000 (16.4.2018) dikeluarkan semasa Tok Mat adalah Menteri Besar Negeri Sembilan manakala cek terbaharu bernilai RM 200,000 (9.4.2019) kepada sekolah yang sama adalah palsu.

Dua keping cek tersebut yang dipaparkan menerusi fanpage milik calon PH mempunyai nombor yang sama, hanya berbeza tarikh dan nilainya. Perbuatan ini kemudian diterjemahkan sebagai sesuatu yang tidak boleh diharapkan, sebelum menang mula ‘menipu’ dan keadaan akan menjadi lebih bahaya apabila menang, pengundi Rantau akan ‘ditipu’.

Kesebelas, kekalahan Dr S Streram adalah suatu kekalahan moral yang terbesar walaupun PKR pernah menyifatkan pembatalan kemenangan Tok Mat dalam PRU ke-14 adalah sesuatu yang bermoral. Dr S Streram yang dihalang ketika hari penamaan calon telah memberikan Tok Mat kemenangan tanpa bertanding. Beliau seterusnya membuat bantahan di mahkamah dan berjaya. Tindakan tersebut dilihat oleh sebahagian pengundi Rantau adalah sesuatu yang menyusahkan.

Walaupun kesnya berbeza dengan M Manogaran di Cameron Highlands, sedikit sebanyak kesan tetap ada dalam kalangan pengundi. Manogaran cuba menafikan kemenangan BN dalam PRU ke-14 dengan mendakwa kemenangan adalah didorong oleh rasuah. Setelah diadakan PRK, Manogaran yang dilihat mempunyai kemenangan moral, akhirnya tertewas.

Manogaran dan Dr S Streram mempunyai beberapa persamaan. Dikekalkan sebagai calon PH selepas mendapat ‘kemenangan moral’ menerusi mahkamah. Manogaran turut melakukan kesilapan ketika berkempen, tidak mempunyai pengetahuan yang lengkap mengenai infrastruktur awam di Cameron Highland walaupun sudah dua kali pilihan raya umum menjadi calon di situ.

‘taken for granted’

Kedua belas, PH memperlihatkan sikap ‘taken for granted’ apabila yakin bahawa boleh mendapat undi yang besar dalam kalangan pengundi bukan Melayu. Di DUN Rantau, sekitar 44 peratus daripada 20, 926 pengundi. Bagaimanapun, dalam beberapa peti undi majoriti bukan Melayu, BN memperoleh kemenangan tipis, termasuklah di peti undi majoriti India. Ini bermakna, penolakan bukan Melayu kepada PH semakin terserlah.

Ada yang berpandangan, segelintir peniaga Cina mula merasa kesannya apabila berkembangnya sentimen ‘boikot’ daripada membeli barangan bukan produk Bumiputera dan membeli di kedai bukan Melayu. Pemboikotan tersebut berpunca daripada sikap keras dan kasar pemimpin-pemimpin politik bukan Melayu ketika memburuk-burukkan kerjasama PAS dan UMNO atas semangat perpaduan Melayu dan Islam, kemunculan lebih banyak penghinaan bukan Melayu terhadap institusi Raja, tindakan bukan Islam mempersendakan Islam dan provokasi keterlaluan oleh pemimpin PH sendiri.

polemik kuasa

Ketiga belas, polemik mengenai kuasa pelantikan Menteri Besar yang muncul ketika kempen PRK DUN Rantau telah membuka semula luka lama berhubung dengan apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir pada tahun 1983 dan 1993. Ia ditambah dengan dokongan Peguam Negara terhadap persetujuan untuk menandatangani ratifikasi Statut Rom.

Polemiknya menyebabkan persetujuan yang dibuat pada 4 Mac 2019 ditarik balik ketika kempen PRK DUN Rantau sedang rancak. Dakwaan Dr Mahathir bahawa ada pihak yang cuba mengheret Raja untuk menjatuhkan kerajaan tidak dapat diterima oleh rakyat. Rakyat mempersoalkan kenapakah Kerajaan PH telah mendahului perkenaan Majlis Raja-Raja dan akhirnya dikaitkan dengan kecenderungan untuk membelakangkan peranan Raja-Raja Melayu sebagai paying negara.

Orang Melayu tidak dapat dipisahkan dengan institusi raja. Kerajaan PH dilihat seolah-olah terdesak untuk meratifikasikan Statut Rom dan tidak menjadikan kes ICERD sebagai ikhtibar. Polemik ini makin bertambah hangat apabila Dr Mahathir memberikan ulasan bahawa Raja atau Sultan tidak ada kuasa menentukan Menteri Besar Johor. Polemik ini menyebabkan rakyat mula tersinggung dan seterusnya memberikan komen pedas kepada Kerajaan PH, termasuk Perdana Menteri menerusi media sosial.

jangan terlena

Semoga kemenangan BN secara hatrik ini dapat ‘menghapuskan’ dakwaan PH sebelumnya. Dengan kemenangan Tok Mat, UMNO dilihat semakin bersedia untuk menoktahkan penguasaan PH dan memendekkkan usia Kerajaan PH. Bagaimanapun, BN perlu mengukuhkan strategi dan memulihkan semangat yang hilang akibat kekalahan dalam PRU ke-14 secara bersungguh-sungguh dengan menolak beberapa perangai lamanya. Jika gagal melakukannya, hasrat BN untuk menang PRU ke-15 tidak kesampaian.

Moral daripada kemenangan hatrik ini bukan hanya perlu dikekalkan, bahkan proses membina semula daripada ‘defisit keyakinan’ pengundi hendaklah berlangsung dengan pantas dengan menyuntik lebih banyak ‘wow’, mood dan persekitaran sudah menampakkan ada ruang yang terbuka, dan setiap pemimpinnya jangan terlena lagi.

Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply