Dianggarkan 3.2 juta umat Islam dari seluruh dunia termasuk Malaysia berkumpul di Arafah bagi menentukan sahnya ibadat haji masing-masing.

Wukuf atau Hari Arafah adalah gambaran Padang Masyhar yang semua makhluk dikumpulkan sebelum ke syurga atau neraka untuk umat manusia merenungi hari akhirat. Ia antara hari yang dimuliakan dan di sisi Allah. Wukuf di Arafah adalah amalan yang sangat besar impaknya berikutan ketika itu suasana perhambaan amat jelas kelihatan. Ini kerana ketika wukuf jemaah berkumpul dengan penuh khu­syuk mengabdikan diri dan menadah tangan berdoa agar diampunkan dosa dan diterima segala amalan.

Semuanya sama memakai ihram tanpa mengira pangkat dan kedudukan kerana yang membezakan manusia di sisi Allah adalah takwa. Ketika itu Allah mendekat sedekat-dekatnya kepada jemaah yang wukuf di Arafah untuk mendengar ungkapan dan keluhan hati hamba-hamba-Nya.

Oleh itu, bentangkanlah dosa-dosa yang pernah dilakukan satu persatu kerana pada hari itu ‘pintu langit’ dibuka seluas-luasnya bagi umat-Nya berdoa.

Menangislah semahu-mahu­nya tanda penyesalan serta meng­akui dosa-dosa yang dilakukan dengan jujur, ikhlas dan tanpa rasa sombong kerana air mata hamba yang bertaubat boleh ‘memadamkan’ api neraka untuknya. Dan dengan itu semoga keampunan menjadi milik kita.

Perjalanan jemaah haji dari Mekah ke Arafah kira-kira 22 kilometer bermula pada 8 Zulhijah supaya dapat berada di bumi Arafah walaupun seketika bermula dari gelincir matahari 9 Zulhijah sehingga sebelum terbit fajar 10 Zulhijah.

Bagi jemaah Malaysia, segala keperluan dan pergerakan sudah disediakan dan ditetapkan oleh Tabung Haji. Namun, cabaran tetap ada termasuk tempoh perjalanan yang lama disebabkan keadaan jalan yang sesak.

Jemaah juga perlu menyedari di Arafah tiada lagi keselesaan seperti ketika menginap di maktab dan hotel semasa di Mekah dan Madinah, sebaliknya hanya khemah dengan ruang yang kecil menjadi tempat tidur.

Itu belum dikira pelbagai ragam oleh rakan satu khemah, rakan-rakan sendiri atau ahli keluarga yang sama-sama menunaikan haji, semuanya perlu dihadapi dengan sabar, reda serta sentiasa mengharapkan pertolongan Allah.

Satu lagi aspek yang akan meng­uji kesabaran jemaah adalah jumlah tandas yang terhad, yang perlu dikongsi dengan ribuan orang sehingga perlu menunggu lama untuk menggunakannya.

Cuaca panas menjangkau hingga 46 darjah Celsius juga terpaksa dihadapi oleh jemaah pada musim haji tahun ini yang memerlukan mereka berada pada tahap kesihatan yang baik.

Namun, kali ini jemaah Malaysia beruntung kerana pihak Muassasah Asia Tenggara bermurah hati menyediakan kemudahan pendingin hawa bagi menghadapi suhu panas Arafah. Walaupun terpaksa bersesak dalam khemah, namun sekurang-kurangnya wukuf dapat dijalani dengan lebih selesa yang sepatutnya membolehkan jemaah lebih khusyuk dalam beribadah.

Kemudahan itu boleh disifatkan sebagai ‘hadiah’ daripada pihak muassasah kerana tidak melibatkan kos tambahan kepada Tabung Haji berikutan sikap jemaah Malaysia yang terkenal dengan disiplin dan mengikut peraturan pihak berkuasa Arab Saudi.

Sejak tahun lepas juga, lebih banyak bangunan tandas bertingkat disediakan di Arafah bagi kemudahan dhuyufurrahman.

Justeru, perlu banyak ber­syukur dan bersabar selain bertolak ansur untuk memberi laluan kepada mereka yang dalam kecemasan. Dalam hal ini, persiapan awal yang dilakukan jemaah dari segi rohani, minda dan fizikal mampu meningkatkan persedia­an mereka bagi menghadapi hari wukuf.

Paling penting mohon kepada Allah agar segala urusan dipermudahkan dan tinggalkan perkataan keji, pertengkaran serta berkelahi sesama jemaah.

Dalam tempoh berwukuf, banyak amalan sunat boleh dilakukan jemaah iaitu solat berjemaah, solat sunat, bertalbiah, berdoa, berselawat dan beristighfar, berzikir dan membaca al-Quran.

Banyakkanlah berdoa kerana ketika wukuf adalah tempoh mustajab berdoa dengan me­minta ampun untuk diri sendiri, ibu bapa serta semua yang dikasihi.

Bagi umat Islam yang tidak berkesempatan menunaikan haji, peluang tetap diberikan oleh Allah untuk mendapat ganjaran iaitu dengan berpuasa pada hari Arafah.

Rasulullah ketika ditanya tentang puasa pada hari Arafah ber­sabda: “Diampunkan dosa setahun lalu dan setahun akan datang.” (Riwayat Muslim, Tarmizi, Ibnu Khuzaimah dan Baihaqi).