KEMUNCAK SEJARAH NEGARA

Mungkin sebuah buku yang agak tebal dapat dihasilkan dari bahan dan inspirasi PRU Ke-14, yang dikenali sebagai Raja segala Pru negara kita ini. Namun untuk hari ini hanya secebis cerita saja yang hendak saya catatkan, sebelum kita bangun pagi esok, bergerak ke tempat mengundi, dan menterjemahkan pilihan kita di atas kertas undi, kemudian dengan penuh debaran menunggu hasil pilihan masing-masing.

Satu sistem yang baik, tidak semestinya membuahkan hasil yang baik, sekiranya para pengurus dan pengendalinya tidak baik. Demikian juga dengan sistem demokrasi memilih kerajaan dengan sistem PRU, kerana sistem demokrasi ini tidak semestinya menghasilkan Kerajaan yang baik sekiranya para pemilihnya tidak bijak menggunakan akal dan rohnya untuk memberikan pertimbangan yang saksama ketika memilih Kerajaannya.

Sebagai negara majoriti umat Islam, sistem syura, amanah, benar dan bijaksana sewajibnya menjadi amalan dan perlaksanaan kita orang Islam di negara ini, malah hal ini banyak dilaksanakan oleh pemerintah negara-negara Bukan Islam atas dasar nilai2 murni universal dan etika sejagat, yang dipatuhi di negara2 kendalian umat bukan Islam.

Urus tadbir kewangan, taburan wang dan harta benda, hadiah dan cendera mata, sering menjadi amalan pada saat ini bagi membeli akal fikiran dan roh serta kebijaksanaan para pengundi yang ditagihkan undinya.. Janji2 manis dan lunak, malah memperkecilkan ilmu dan kebijaksanaan “lawan”, kata nista dan penghinaan untuk menjatuhkan “lawannya’ secara zalim dan tidak benar, sering menjadi modal dan bahan palsu untuk memenangi hati pengundi, walau pun kata2 itu hanya merupakan fitnah dan rekaan sahaja, yang sekiranya hal yang sama dilemparkan kepadanya, maka awal2 lagi akan dibalasnya sebagai palsu, dusta dan fitnah, meskipun cerita itu betul pada hakikatnya.

Penggunaan media sosial memang amat berleluasa di eksploitasikan oleh anggota masyarakat….Namun penggunaan media utama, terutamanya yang merupakan media milik Kerajaan untuk kepentingan satu parti amat tidak wajar sekali, kerana media itu adalah kepunyaan rakyat, bukan kepunyaan parti yang tertentu. Segala khidmat dan pengurusan Kerajaan adalah untuk semua rakyat, kerana kewajipan Kerajaan ialah untuk berkhidmat kerana rakyat semuanya tanpa memilih ideologi politik yang tertentu.

Dengan itu, maka sistem demokrasi yang baik ini, sering tercemar dengan urus tadbiar yang tidak jujur dan amanah seperti yang dituntut oleh agama dan kod etika universal sendiri.

Oleh itu sistem PRU ini akan dapat diperbaiki dan dipertingkatkan lagi pengurusannya pada masa yang akan datang, agar anak cucu kita akan mempelajari sesuatu yang baik, dengan nilai akhlak yang bersopan dan beradab, tutur kata serta amalan yang bertamadun dari semua institusi dan sistem yang dilaksanakan di dalam negara kita, bukan mempelajari banyak gejala yang buruk seperti kata-kata kesat dan umpatan, gejala tidak bersopan dalam tutur kata dan pergaulan seharian, seperti yang banyak dipelajarinya setiap kali menjelangannya Pilihan Raya, terutamanya PRU Ke-14 Raja segala PRU ini.

Segala umpatan dan maki hamun itu seolah2 telah menjadi budaya masyarakat Melayu ketika ini yang dipelajari oleh anak-anak kecil dan dewasa di dalam masyarakat yang terlalu taksub partisan ini, sehinggakan parti itu telah dianggap sebagai satu agama baru, dan ketua partinya sebagai seorang Nabi, sedangkan hakikatnya tidaklah begitu.

Sistem apa2 saja haruslah di kendalikan oleh orang-orang yang baik, dan di dokong oleh Kerajaan yang baik.

Sumber : Facebook Ismail Ibrahim

No Comments

    Leave a reply