KENAPA ICERD DITENTANG?

Perhimpunan menolak ratifikasi dokumen Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang berlangsung di Dataran Merdeka pada 8 Disember 2018 membuktikan bahawa orang Melayu-Islam boleh bangkit bersama menyatakan dengan jelas manifestasi dan pendirian apa sahaja perkara yang ada kaitan dengan mereka.

Pada tahun 1946, orang Melayu bersatu dengan semangat nasionalisma tinggi untuk menolak perancangan penjajah British untuk memaksa Raja-Raja Melayu bersetuju dengan Kesatuan Malaya, atau lebih dikenali sebagai Malayan Union. Selepas Perang Dunia II, kerajaan British telah menubuhkan “Unit Perancangan Tanah Melayu” sebagai usaha untuk membangun semula Tanah Melayu (tanpa Singapura) selepas penjajahan Jepun di bawah satu pentadbiran yang dinamakan Malayan Union.

Mejar Jeneral Ralph Hone telah diberikan tanggungjawab untuk merangka dasar pentadbiran baharu, iaitu menggabungkan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu bersama-sama Negeri-Negeri Melayu Bersekutu ke dalam satu sistem kawalan pemerintahan  dan Singapura dikekalkan sebagai sebuah tanah jajahan secara berasingan. Singapura tidak dimasukkan ke dalam perancangan tersebut kerana reaksi menentang daripada orang Melayu, mengenai kesangsian tradisional terhadap persaingan perniagaan.

British turut bimbang, dasar kewarganegaraan yang liberal akan menyebabkan orang Melayu mengamuk kerana etnik Cina dari Singapura begitu ramai dan ini akan menjejaskan struktur sosial Tanah Melayu keseluruhannya. Singapura juga akan dijadikan pengkalan tentera laut British yang utama di Timur Jauh dan juga operasi strategik. Kesemua faktor itu sebenarnya berusaha menyembunyikan niat sebenar British iaitu mempertahankan kepentingan ekonominya dan ia dikekalkan sebagai Tanah Jajahan London.

Apabila rancangan itu berjaya dirangka, Sir Harold McMichael diberikan tanggungjawab untuk mendapatkan tanda tangan Raja-Raja Melayu. Pada mulanya pihak British tidak menjangkakan akan berhadapan dengan penentangan, akhirnya terpaksa melupakan Kesatuan Malaya selepas menerima bantahan besar daripada orang Melayu. Orang Melayu bangkit dengan suara yang keras membantah dengan menubuhkan UMNO atau ringkasnya PEKEMBAR.

Sejarah penentangan orang Melayu itu kembali bergema selepas 72 tahun berlalu dan yang menyifatkan Perhimpunan Tolak ICERD seumpama menentang Malayan Union 2.0. Ketika bangkit menentang Malayan Union, PAS belum muncul tetapi UMNO mempunyai sebuah organisasi yang lengkap termasuk sayap agama. Sayap agama inilah kemudiannya berkembang membentuk Parti Islam Tanah Melayu pada tahun 1951 dan seterusnya dinamakan sebagai Parti Islam Se Malaysia selepas gagasan Malaysia dibentuk pada tahun 1963. UMNO dan PAS menjadi dua parti politik terbesar yang dianggotai oleh orang Melayu-Islam.

Bagaimanapun, dalam perjuangan politik, PAS tidak mempunyai kejayaan cemerlang sejak ditubuhkan kecualilah ketika bergabung dalam Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum 1974. PAS yang menggunakan Islam sebagai ideologi politik manakala UMNO dengan ideologi kebangsaan berteraskan Melayu, sering bertelingkah dalam hampir semua perkara sehinggalah mempersoalkan perlembagaan negara dan konsep negara yang diurustadbirkan oleh Perikatan dan BN. PAS kekal dengan dakwaannya bahawa Malaysia mengamalkan undang-undang sekular yang diwarisi daripada penjajah dan sebagai sebuah parti yang berteraskan ideology Islam, PAS akan terus memperjuangan pemerintahan berdasarkan syariah, menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Perhimpunan menolak ICERD turut dilihat sebagai sikap kepura-puraan PAS kerana apa yang diperjuangkan kali ini tidak menyebut tentang Negara Islam. PAS bergabung dengan UMNO bangkit setelah mengalami ‘trauma kekalahan’ dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (Mei 2018) kepada gabungan empat parti –termasuk tiga parti serpihan, iaitu dua buah parti serpihan UMNO (Parti Pribumi Besatu Malaysia dan Parti Keadilan Rakyat) dan satu serpihan PAS, iaitu Parti Amanah Nasional-iaitu Pakatan Harapan.

PRU ke-14 melakarkan sejarahnya yang tersendiri. PAS buat pertama kalinya bertanding di 152 kerusi Parlimen manakala UMNO yang menjadi tunjang pentadbiran negara selama 61 tahun (1957-April 2018) terpaksa mengaku kalah dan menjadi parti pembangkang serta hilang penguasaan di kebanyakan negeri, kecuali Pahang dan Perlis. PAS kekal menguasai Kelantan (sejak 1990 dan sebelumnya selama 18 tahun iaitu 1957 hingga bergabung dalam BN pada tahun 1974) dan kembali menguasai Terengganu (1959-1964, 1999-2004 dan 2018). Hasrat untuk kembali berkuasa di Kedah (2008-2013) selepas PRU ke-14 tidak kesampaian, tetapi kelebihan yang ada boleh menggugat kedudukan PH. Jika wakil rakyat PAS mengambil pendirian menyokong UMNO (atau BN), Dewan Undangan Negeri Kedah boleh berada dalam keadaan goyah kerana PH tidak mempunyai sokongan majoriti.

PAS dianggap berpura-pura kerana parti itu begitu lantang mengkritik pengekalan kuasa Melayu yang dianggap sebagai asabiyah dan pada suatu ketika, pemimpin PAS mengeluarkan kenyataan, parti itu menolak kepimpinan Melayu. Apa yang diperjuangkan ialah kepimpinan Islam, dan baginya Melayu tidak penting. Dalam sesetengah kenyataan, ada pemimpin PAS tidak dapat menerima bila dirinya dikaitkan dengan Melayu dan darah Melayu yang ada dalam dirinya adalah secara kebetulan dilahirkan dalam kalangan keluarga Melayu.

Apabila Presiden PAS menyeru orang Melayu agar bangkit menolak ICERD, tanpa merasa bersalah telah mengeluarkan fakwa bahawa menyertai perhimpunan #tolakicerd itu sebagai fardhu ‘ain. Ini membawa interpretasi bahawa penyertaan dan menyokong perhimpunan tersebut sebagai suatu kewajiban, kerana ICERD berusaha meruntuhkan asas-asas pembentukan negara yang memberikan keistimewaan kepada orang Melayu dan bumiputera, kedudukan Raja-Raja Melayu dan Islam sebagai agama rasmi. Rakyat Malaysia perlu kembali menghormati Kontrak Sosial dan ianya tidak boleh diubah sampai (bila-bila) kiamat.

Sekiranya UMNO dan beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan menganjurkan perhimpunan ini, ia bukanlah sesuatu yang boleh dianggap keterlaluan. UMNO sejak penubuhannya lagi begitu kental dan konsisten dalam perjuangan ideologi politiknya (Melayu, Islam dan Institusi Raja-Raja Melayu) kerana cadangan meratifasikan ICERD boleh mengakibatkan statusquo itu berubah dalam tahun-tahun berikutnya berasaskan beberapa persepsi dan tuntutan bukan Melayu walaupun secara jelas dikatakan tidak akan meminda Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 3 dan153.

Malaysia belum meratifikasikan ICERD. ICERD sebenarnya bukanlah sesuatu yang besar kerana ia adalah sebahagian ranting daripada Deklarasi Hak Asasi Manusia. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah meluluskan pengisytiharan tersebut pada 10 Disember 1948, iaitu 70 tahun lalu. Sebab itulah pada tarikh yang sama, SUHAKAM bercadang untuk mengadakan perhimpunan Hari Hak Asasi Manusia. Bagaimanapun, perhimpunan Hari Hak Asasi 2018 telah ditunda sehari kemudian tanpa penyertaan Perdana Menteri. Pada awalnya Perdana Menteri dijangka hadir tetapi Perdana Menteri enggan menyertainya kerana SUHAKAM tetap menyokong ICERD. Akibatnya, perhimpunan tersebut tidak berjaya menarik penyertaan yang ramai dan mengikut laporan, sekadar 200 orang sahaja yang berhimpun di Padang Timur, Petaling Jaya.

Kolumnis akhbar The Star melihat bahawa perhimpuan #daulat812 tidak melihat ‘hutan secara menyeluruh’ tetapi sekadar ‘melihat pokok’. (Rujuk: https://www.thestar.com.my/opinion/columnists/its-just-politics/2018/12/09/its-just-politics-icerd-turned-into-an-issue-because-it-is-politically-expedient-to-do-so/). Bagaimanapun, kolumnis berkenaan tidak sedar atau sengaja terlupa, tanpa himpunan pokok, tidak akan kelihatan hutan, kecuali hutan batu dan hutan sampah. Sekecil-kecil pokok, ia boleh mencacatkan hutan keseluruhannya. Jika ICERD tidak ditangani dengan betul, ia boleh membakar hutan yang dianggap lebih penting oleh Philip Gollingai itu. Ada sebuah perumpamaan, A Single Spark Can Start a Prairie Fire mungkin boleh dilihat dalam konteks setempat, sekurang-kurangnya dimensi politik PH yang baru berusia lapan bulan.

Malaysia menjadi anggota PBB pada September 1957 dan sebagai negara anggota, harus patuh kepada perjanjian antarabangsa, termasuklah melindungi hak asasi manusia tanpa mengira kaum, agama dan warna kulit. Ini bermakna Malaysia haru mematuhi apa yang terkandung dalam Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 atau sebelumnya dikenali Magna Carta 1215. Sebagai membuktikan bahawa Malaysia mematuhi Deklarasi tersebut, Perlembagaan Tanah Melayu dengan jelas memberikan jaminan bahawa setiap negara sama di sisi undang-undang di samping boleh mengekal dan mengamalkan warisan kaum masing-masing.

Orang Cina tidak disekat untuk menggunakan bahasa dan budaya mereka. Orang India boleh mengamalkan warisan tradisi dan bahasa mereka. Lebih menariknya ialah di Malaysia, dua kaum minoriti terbesar boleh mendapatkan pendidikan di sekolah-sekolah yang berpengantarkan bahasa Mandarin dan Tamil. Mereka tidak dipaksa untuk memasuki sekolah-sekolah kebangsaan yang berpengantarkan bahasa Melayu, bahasa rasmi negara.

Dalam Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia (DSHAM) 1948 terdapat sembilan dokumen yang perlu diratifikasikan oleh semua negara anggota. Setakat ini, Malaysia telah meratifikasikan tiga dokumen, iaitu Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), Konvensyen Hak Asasi Kanak-Kanak (CRC) dan Konvensyen Hak Asasi Orang Kurang Upaya (CRPD). Dalam ucapan di PBB pada bulan September lalu, Perdana Menteri berikrar untuk meratifikasikan baki instrument asas PBB yang berkaitan dengan melindungi hak asasi manusia. Salah satu daripadanya ialah ICERD.

Kontroversi membantah ratifikasi ICERD mula menjadi perhatian apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengumumkan kerajaan akan mengesahkan sokongan tersebut pada bulan Januari 2019. Kenyataan itu dibuat pada 24 Oktober 2018 dan dipercayai tidak mendapat restu kabinet, ia belum dibincangkan dan hasilnya berlaku pelbagai tafsiran atau pendapat yang bercanggah. Menteri Luar Negara menyifatkan mereka yang menolak ratifikasi ICERD sebagai orang yang “tidak membaca secara terperinci  memahami Perlembagaan Persekutuan. (Rujuk: http://www.sinarharian.com.my/nasional/tak-faham-perlembagaan-jadi-punca-bantahan-icerd-saifuddin-1.899214).

Sedangkan seorang lagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri menjelaskan tolak ICERD tidak perlu dibawa ke Parlimen kerana ia sudah diputuskan. Ramai pihak melihat siaran akhbar yang berhubung dengan penolakan ratifikasi ICERD oleh Perdana Menteri itu sebagai penyelesaian sementara dan bukan jamin bahawa ICERD tidak akan diratifikasian pada masa hadapan. Mereke memohon agar penolakan tersebut dibuat keputusan melalui perbincangan di Dewan Rakyat.  Penolakan ICERD bukan isu kecil, ICERD akan menyebabkan Kontrak Sosial terus dijadikan sebagai bukti dasar mendiskriminasikan bukan Bumiputera.

Dr Mahathir kemudiannya menyatakan ‘adalah mustahil untuk meratifikasikan ICERD tanpa meminda Perlembagaan’ setelah memahami bahawa apa yang menyebabkan ianya disahkan akan menyebabkan sokongan kepada kerajaan semakin berkurangan. Ia seakan-akan menambahkan imej buruk kepada Pakatan Harapan setelah mengakui bahawa ‘sukar untuk melunaskan semua manifesto’ yang dibentuk tanpa input dan maklumat lengkap. Akibatnya beberapa perkara yang dikritik dan dianggap ‘membazir’ tidak segera dihapuskan sebaliknya diteruskan dengan syarat dan diberikan jenama baharu.

Ketika ‘demam’ himpunan #tolakicerd sedang giat diperkatakan, Dr Mahathir mengambil keputusan mengeluarkan siaran akhbar bahawa ICERD tidak akan diratifikasikan dan kerajaan akan tetap mempertahankan Kontrak Sosial. Siaran akhbar yang dikeluarkan pada 24 November itu tidak membantu UMNO, PAS dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan untuk membatalkan perhimpunan yang dirancang. Sebaliknya pihak penganjur mula menukarkan tajuk perhimpunan menjadi #daulat812.

Sebagai veteran politik, Lim Kit Siang turut mencelah mengenai keperluan Malaysia meratifikasikan ICERD kerana negara-negara Islam telah pun melakukannya, kecuali Malaysia dan Brunei. Gambaran yang hendak disampaikan seolah-olah sebagai sebuah negara majoriti penduduk beragama Islam, Malaysia patut mengikuti apa yang dilakukan oleh negara-negara Islam yang lebih besar saperti Arab Saudi dan Mesir.

Arab Saudi dan Mesir tidak berhadapan dengan tuntutan keterlaluan bukan Melayu untuk merombak Kontrak Sosial yang menjadi asas pembentukan masyarakat majmuk di Malaysia. Bukan Melayu sentiasa mempersoalkan dasar keistimewaan Bumiputera dan melihatnya sebagai doktrin diskriminasi berasaskan kaum, agama dan warna kulit. Ia hanyalah tafsiran berdasarkan persepsi dan bukan realiti yang berlaku dalam masyarakat.

Bukan Melayu menguasai kedudukan ekonomi yang terbesar walaupun jumlahnya sekitar 35.9 peratus daripada jumlah penduduk (China meliputi 28.7 peratus dan India sekitar 7.2 peratus daripada keseluruhan populasi). Jumlah penduduk Malaysia mengikut unjuran 2017 ialah seramai 31.9 juta orang. Bumiputera membentuk 62.1 peratus (87.7 peratus Melayu dan 12.3 Bumiputera lain termasuk Sabah dan Sarawak). Berdasarkan rekod, Dr Muhamad Abdul Khalid menjelaskan: “Jurang antara yang kaya dan miskin kekal tinggi dalam semua kumpulan etnik di Malaysia. Data terbaru tahun 2016 menunjukkan bahawa jurang pendapatan yang paling tinggi wujud dalam komuniti Cina, diikuti kaum India dan seterusnya golongan Bumiputera.”

Menurut bekas pengarah penyelidikan di Institut Penyelidikan Khazanah (kini, penasihat ekonomi Perdana Menteri) itu : “terdapat beberapa fakta yang perlu diingat. Pertama, program kemiskinan sentiasa bersifat tidak mendiskriminasi. Program ini kelihatan memihak kepada Bumiputera hanya kerana majoriti orang miskin masih Bumiputera. Walau bagaimanapun, program membasmi kemiskinan juga menyasarkan orang Cina. Kedua, walaupun dalam kalangan orang miskin, masyarakat Cina masih lagi berada dalam keadaan yang lebih baik berbanding kaum yang lain.” (Rujuk: Muhamad Abdul Khalid, Antara Dua Darjat: Agihan Pendapatan di Malaysia, Bangi: Dubook, 2018).

Sehari selepas Dr Mahathir mengeluarkan siaran akhbar, satu perbincangan yang dianjurkan oleh UMMAH (Gerakan Pembela Ummah) mengadakan Kongres Tolak ICERD di Pusat Dagangan Dunia Putra. Sebelum itu, Prof Datuk Teo Kok Seong dari Universiti Kebangsaan Malaysia memberikan amaran agar setiap penduduk tidak menimbulkan provokasi dan desakan yang boleh menyebabkan ‘Orang Melayu Mengamuk’. ICERD akan menyebabkan orang Melayu terkejut. Akibatnya, “orang Melayu mengamuk akibat tindak balas kejutan ini.” (Rujuk: http://malaysiagazette.com/blog/2018/11/20/profesor-bimbang-orang-melayu-mengamuk-akibat-kejutan-icerd/)

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu, Dr Hasan Ahmad menulis: “buat sekian lamanya kita hidup aman damai dilindungi Perlembagaan itu. Mengapa perlu ada campur tangan asing mempersoalkan cara dan tindak-tanduk kita dalam mentadbir urus negara? Setuju dengan ratifikasi ICERD samalah juga halnya dengan menyerahkan kembali kedaulatan negara kepada penjajah asing, kali ini penjajah global.” (Rujuk: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/icerd-kuil-himpunan-rakyat-1.797506).

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang hadir ke PWTC menggunakan sebuah ambulan turut hadir untuk memberikan pandangannya walaupun sebelumnya menulis mengenai ICERD yang wajib ditolak. Penolakan itu bukan sekadar ‘menjaga kepentingan Islam dan Bumiputera’, ia bertujuan melindungi kedudukan negara sebagai negara berdaulat dengan Perlembagaannya sudah cukup sempurna.

Syed Saddiq, menteri termuda dalam kabinet pernah melontarkan pandangan bahawa Malaysia Baru tidak lagi berteraskan ‘ketuanan Melayu’ dan sedang bergerak berdasarkan prinsip kesamarataan. Bagaimanapun pandangan beliau itu dilindungi oleh Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang menemui Menteri Belia dan Sukan untuk mendapat pengesahan dan maklumat lanjut. Hasilnya, Tan Sri Muhyiddin menjelaskan pandangan Syed Saddiq disalah tafsir, seolah-olah PPBM tidak memperjuangkan kepentingan orang Melayu walhal parti itu wujud atas dasar memperjuangkan nasib orang Melayu selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. (Rujuk: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/ketuanan-melayu-pandangan-syed-saddiq-disalah-tafsir-muhyiddin-189511)

Dr Mahathir ketika mengulas mengenai kontroversi ICERD menjelaskan penentangan orang Melayu itu “cerminan sentimen orang Melayu di awal-awal kemerdekaan Malaysia dari British…Orang Melayu menuntut keistimewaan sebagai balasan memberikan keistimewaan kepada masyarakat Cina dan India.Kalau tidak ada peruntukan saperti itu, orang Melayu malah mungkin tidak akan bersetuju dengan kemerdekaan. Mereka mahu kemerdekaan bersama syarat itu. Di satu pihak lain, British kata kalau kamu mahu kemerdekaan, kamu mesti terima orang Cina dan orang India sebagai warganegara. Jadi orang Melayu terima, dan lain-lain terima keistimewaan untuk orang Melayu.” Pertukaran itu sengaja dibuat untuk kekal dengan memasukkannya ke dalam Perlembagaan Persekutan. (Rujuk: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/11/27/menentang-icerd-cerminan-ketakutan-lama-orang-melayu-kata-dr-m/)

 ICERD asalnya satu keputusan di peringkat antara untuk menolak diskriminasi kaum yang berlaku di beberapa negara, terutama dasar apartheid dan anti-semitik yang berlaku selepas Perang Dunia II. Dasar apartheid menyebabkan kulit berwarna menjadi mangsa kekejaman dan penindasan oleh pemerintah kulit putih di Afrika Selatan. Salah satu bukti kekejaman itu ialah pemenjaraan Nelson Mandela selama lebih 20 tahun. Anti-semitik pula muncul apabila Hitler bukan sekadar menghalau penduduk Yahudi dari Jerman bahkan membentuk agenda holocaust, iaitu pembunuhan beramai-ramai. Sentimen anti Yahudi itu kemudiannya berkembang di luar Jerman termasuk Poland, Moldavia dan Rumania.

Draf awal resolusi itu disiapkan pada tahun 1964 dan dijangka dapat membantu PBB mengawal masalah diskriminasi kaum dan stigma terhadap orang yang kulit berwarna warna (bukan kulit putih). Pada 21 Disember 1965, draf resolusi yang dikenali sebagai ICERD diluluskan dan mula diterima pakai oleh PBB. Ia turut dipromosikan ke semua negara anggota sebagai petunjuk dan mekanisme merapatkan jurang antara kaum. Sebanyak 22 negara menjadi antara negara terawal menandatangani konvensyen tersebut. Semua negara yang bersetuju dikenakan syarat tidak melanggar persetujuan yang telah ditandatangani. Malaysia, Brunei Darussalam, Myanmar dan Korea Utara  termasuk dalam kumpulan 14 buah negara yang belum melakukan sebarang persetujuan untuk meratifikasikan ICERD. Setakat ini, sebanyak 179 daripada 195 buah negara sudah menerima ICERD. Bagaimanapun, penangguhan ratifikasi tersebut tidak bermakna Malaysia akan terus kekal selama-lamanya dengan statusquo yang ada. Ia akan berubah selepas sebahagian besar rakyat negara ini boleh menerima prinsip kesamaan dan bersedia menukang semula Kontrak Sosial.

Setakat ini, Dr Mahathir dilihat telah berjaya memberikan gambaran bahawa kerajaan terpaksa akur dengan kehendak majoriti rakyat bahawa ratikasi ICERD tidak perlu. Tetapi, Dr Mahathir tidak boleh memberikan jaminan bahawa mereka yang pro-ICERD akan mengunci mulut kerana perkembangan politik semakin terjalin atas rasa ‘kekitaan’ dan parti-parti politik berasaskan kaum semakin ditolak. Misalnya, UMNO masih mempunyai 48 kerusi (selepas enam wakil rakyat mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat bebas da nada yang menganggotai PPBM) manakala PAS hanya mempunyai 18 wakil rakyat di peringkat Dewan Rakyat. PKR masih merupakan parti yang mempunyai wakil rakyat teramai, tetapi PKR adalah parti berbilang kaum. DAP sebuah lagi parti berbilang kaum (peringkat dasar), terus mempunyai kedudukan yang kukuh dalam pentas politik Malaysia.

Politik berasaskan Malay Muslim Network (MMN) dilihat semakin kendur dan ini membawa pemahaman bahawa reality politik Malaysia semakin menuju kebersamaan. Tetapi, untuk jangka pendek, politik berasaskan MMN masih boleh diharapkan untuk menampan rempuhan pelbagai bentuk tindakan berasaskan kebebasan dan hak asasi sejagat, asas sejarah dan kekuatan psikologi sebahagian masyarakat masih kuat.

Fenomena menentang ICERD dan kehadiran dalam perhimpuan aman #daulat812 jelas membuktikan bahawa sebahagian besar orang Melayu boleh bersatu apabila hak dan kedudukan mereka disentuh, agama Islam dan institusi kesultanan Melayu hendak diperkecilkan peranannya dalam sistem pemerintahan negara.

Kumpulan pro-ICERD sedang berhujah, #daulat812 tidak mempunyai apa-apa kesan signifikan kepada kerajaan, bahkan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menempelak perhimpunan tersebut gagal ‘menggulingkan kerajaan. Ia hanyalah propaganda yang ditunjukkan oleh UMNO dan PAS. Ia juga disifatkan sebagai ‘aneh’ kerana ada pemimpin PAS mendoakan agar kerajaan PH dipendekkan hayat politiknya. Ia bukan sesuatu janggal kerana sebelum ini, PAS pernah mendoakan agar pemimpin tertentu ditimpa bala dan ‘dibutakan’ matanya.

Pandangan bahawa ICERD tidak memerlukan pindaan Perlembagaan sebenarnya suatu tindakan untuk menyembunyikan hasrat mereka untuk menghapuskan ‘dominasi Melayu’ dalam beberapa sektor, termasuklah perkhidmatan awam dan keistimewaan yang dikhususkan kepada Bumiputera saperti Majlis Amanah Rakyat, Sekolah Berasrama Penuh, Maktab Rendah Sains MARA, Universiti Teknologi MARA, dan kini, kewujudan Amanah Ikhtiar Malaysia telah dibatalkan atas alasan tidak selari dengan suratcara penubuhannya. Amanah Ikhtiar Malaysia telah berjaya memberikan bantuan pinjaman mudah kepada sebahagian besar golongan miskin untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan.

Setelah meneliti intipati ICERD, kontroversinya terletak pada Perkara 1(1)  iaitu “…apa-apa perbezaan (distinction), pengecualian (exclusion) “ dan Perkara 1(4) iaitu objektinya. Diskriminasi positif dibenarkan selagi objektifnya belum tercapai. Apabila objektifnya tercapai, diskriminasi positif tidak boleh diteruskan.

Ini bermakna, jika menerima ICERD, pada suatu masa Perkara 89 dan 153 akan dipinda walaupun pada masa, salah satu alasan ‘sukar untuk melaksanakannya’, kerana PH tidak mempunyai kuasa dua pertiga di Dewan Rakyat. Dr Mahathir memberitahu, untuk meminda Perlembagaan, ia memerlukan sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat, dan ini tidak dapat dilakukan pada masa sekarang. Ini kerana dua perkara itu tidak mempunyai ‘tempoh masa’ dan dianggap ‘selagi ada bulan dan bintang’.

Dalam tempoh tertentu, Malaysia akan membuat laporan terhadap sejauh manakah perkembangan pelaksanaan sesuatu dokumen yang berkaitan DSHAM 1948, termasuklah isu-isu yang berkaitan persamaan gender, perkahwinan sejenis, diskriminasi agama dan sebagainya. Sebelum ini, Semakan Berkala Sejagat (Universal Periodic Review) turut menyebabkan ramai masyarakat Malaysia membantah apabila COMANGO mengemukakan laporan agar PBB mendesak Malaysia mengiktiraf LBGT dan aktiviti mereka. Apa yang dilakukan mereka adalah hak kebebasan asasi yang dijamin oleh DSHAM 1948 dan kebanyakan negara sudah memutuskan bahawa perkahwinan sejenis bukan lagi haram, ia dibenarkan oleh undang-undang.

Beberapa bulan lalu, LBGT begitu heboh diperkatakan apabila ada cadangan pengamal budaya itu tidak diskriminasikan, termasuk di tempat kerja. Ia turut heboh apabila persoalan tandas manakah yang patut mereka gunakan, kerana tandas-tandas awam di Malaysia hanya ada tiga jenis, tandas wanita, tandas lelaki dan tandas khusus untuk orang kelainan upaya (OKU). Pengamal LBGT tidak boleh menggunakan tandas OKU dan jika menggunakan tandas wanita, ia akan menyebabkan wanita akan mengusirnya disebabkan secara fizikalnya mereka adalah lelaki. Begitu juga golongan mak nyah, untuk menggunakan tandas lelaki dibimbangi akan dicemoh atau dianggap tidak tepat kerana pembawaan diri adalah sebagai seorang perempuan.

Mungkin ada yang berpandangan, Malaysia boleh meratifikasikan ICERD dengan ‘reservation’ sebagai penyelesaian terbaik. Bagaimanapun, ‘reservation’ tetap ada garis masanya dan ia akan menyebabkan kita terpaksa bersedia mempertahankannya jika dirujuk kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa setelah ratifikasi dilakukan. Ketika ini ia sukar untuk dilakukan kerana apa yang didakwa oleh segelintir pihak hanya berdasarkan persepsi sebagaimana Hindraf pernah mendakwa lebih 1,000 kuil dimusnahkan manakala puluhan ribu lagi sedang menunggu kemusnahan. Ia tidak boleh dirujuk kerana sebahagian besar kuil-kuil berkenaan didirikan atas tanah yang bukan milik pentadbir kuil itu sendiri dan tidak didaftarkan dengan pihak berkuasa tempatan.

Pertikaian antara dua kumpulan pentadbir Kuil Mariaman di Subang Jaya pada 26 November 2018 menyebabkan berlakunya rusuhan yang membawa kepada pertikaian yang lebih besar. Kuil itu dibina atas tanah bukan milik pentadbir kuil. Apabila tanah tersebut dijual, pemilik baru mengambil tindakan mahkamah dan akhirnya mengarahkan kuil itu dipindahkan. Pemilik tanah berkenaan dikatakan bersetuju memberikan pampasan RM 1.5 juta, tetapi bila tiba masanya mereka enggan berpindah walaupun sebelumnya bersetuju ke sebuah tapak baharu kira-kira tiga kilometer jaraknya.

Berdasarkan siasatan polis, pihak pemilik telah mengupah perusuh untuk melakukan rusuhan melalui syarikat guaman. Kes ini masih belum selesai, dan tentunya, turut mempengaruhi sentimen orang Melayu-Islam untuk hadir ke perhimpunan #daulat812 kerana sebelumnya, kerana ia dikaitkan dengan isu perkauman. Ada orang Melayu percaya, bila perhimpunan #daulat 812 berjaya mengumpulan ‘lautan manusia’, walaupun bukan boleh diistilahkan ‘mengamuk’, orang Melayu akan bangkit untuk bersuara dan membuktikan mereka bukanlah suatu bangsa yang boleh diperkotakkatikkan atas kemahuan tersirat politik pihak tertentu, terutama bukan Melayu.

Soal sama berfaedah atau tidak perhimpunan #ICERD kerana ianya sudah dinyatakan pendirian jelas kerajaan untuk tidak meratifikasikannya, ia tetap memberikan petunjuk, jangan melakukan sesuatu yang boleh mengejutkan. Akibat terkejut, orang Melayu mungkin mengamuk tapi perhimpunan #daulat812 adalah petunjuk awal penyatuan dua parti terbesar orang Melayu-Islam walaupun tidak berkuasa lagi boleh menyebabkan parti yang sedang berkuasa kecut perut. Itulah sebabnya ada menteri dalam kabinet Malaysia Baru berterusan bermain dengan psikologi, psikik perhimpunan jika berpanjangan boleh menggugat PH.

Oleh Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply