Malaysia dalam sejarahnya telah mengalami pahit maung zaman penjajahan, zaman darurat, gerakan pengganas komunis dengan matlamat menubuhkan Republik Komunis Rakyat Malaya, peristiwa hartal di Pulau Pinang, siri-siri demonstrasi dan yang cukup dahsyat meletusnya ‘peristiwa berdarah’ 13 Mei 1969. Semuanya masih dalam ingatan kita dan ramai pemimpin politik masa itu yang masih hidup. Ada antara mereka menyalakan api perkauman dan kebencian kepada tuan asal Tanah Melayu ini.

Di sinilah semua rakyat mendapat faedah ekonomi, kesejahteraan sosial, kehidupan budaya dan bebas mengambil bahagian dalam politik dan merebut kuasa. Rupa-rupanya kerana jiwa perpaduan bangsa tidak sekukuh yang disangka, apabila tampuk kuasa bertukar tangan, maka belang atau cula makin kelihatan. Sebelum ini di bawah majoriti pemerintahan yang berganding bahu dengan dikepalai parti kepimpinan Melayu, Malaysia menjadi negara yang selamat, makmur dan sejahtera. Di sana sini tentu ada kelemahannya. Inilah masa untuk pembaharuan. Tetapi sekarang, kenapa Malaysia jadi begini?

Sesekali merenung zaman sesudah enam dekad kemerdekaan ini, penulis rasa hiba, mengenangkan semacam kita sudah sesat jalan. Perlembagaan Persekutuan sekarang itulah perlembagaan terbaik untuk Malaysia. Seluruh rakyat ada hak, tidak ada pun diskriminasi dan selama ini dasar-dasar negara digubal berpandukan perlembagaan tersebut. Tentulah hak-hak kenegaraan seperti institusi Raja-raja dan jawatan Yang di-Pertuan Agong, kumpulan etnik dan kaum-kaum lain semuanya ada protokol dan peraturan undang-undang yang menjaganya.

Segala perkara pancang diabadikan dan pembahagian kuasa jelas diperturunkan, bukan sahaja antara perundangan, kehakiman dan eksekutif tetapi bidang kuasa Persekutuan dengan negeri dan perkara-perkara lain yang melibatkan kerakyatan dan kebebasan asasi. Kini perlembagaan itu mahu dirobek. Kenapa dipertikaikan?

Kini timbul isu hangat pasal kenyataan seorang menteri untuk mengiktiraf Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), mungkin Kabinet belum pun bincang. Malaysia tidak pernah menandatanganinya apa lagi meratifikasikannya. Kenapa sengaja dilontarkan kekeliruan dan kecelaruan?

Apakah Malaysia sebuah negara zalim, menghapus etnik dan menyekat kebebasan beragama, menyekat amalan adat dan budaya kaum? Lihat apa jadi di Myanmar, Israel, China? ICERD itu banyak bercanggah dengan Perlembagaan negara kita.

Maknanya tidak munasabah dan rasional untuk disahkan atau diratifikasikannya. Kenapa tidak difikirkan akibatnya yang akan membawa kemusnahan berpanjangan kepada struktur dan sistem kenegaraan.

Malaysia akan tinggal kulit tanpa isinya lagi. Niat itu tidak betul, jika seseorang itu berpegang kepada “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”.

Sekiranya itulah konsep Malaysia Baharu yang hendak dibawa, seolah-olah tidak difikirkan secara mendalam akan kedamaian dan keselamatan negara ini. Lupakah kaum-kaum lain selain rakyat asal Malaysia dari Semenanjung hingga ke Sabah dan Sarawak akan ikrar janji kontrak sosial 1957? Sepatutnya ketaatsetiaan dan kepatuhan kepada ikrar itu kekal zaman berzaman.

Kenapa Malaysia jadi begini? Apakah kerana tidak ada ketegasan suara pimpinan atasan semua parti sehingga citra buruk kian dijolok-jolokkan? Antaranya apabila institusi Raja-raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong dicaci hina, Islam mahu disamakan dengan agama lain, bahasa negara diperlekehkan diketepikan, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera disindir dan dinafikan. Apakah perkara-perkara pokok ini isi kepada perjuangan masa kini?

Jika keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang diperlekehkan apakah itu menandakan akal budi rakyat Malaysia? Di manakah matlamat pembinaan satu bangsa Malaysia yang bersatu?

Apakah sebahagian daripada kita memang jahil sejarah dan tidak berilmu? Sepatutnya konsep Malaysia Baharu itu ke arah memperbaiki segala kelemahan sebelum ini dan mendorongkan langkah kemajuan ke hadapan bukan mundur ke belakang.

Rakyat bukan sahaja mahu melihat kesejahteraan kehidupan, diri dan keluarga, misalnya selesa dengan harga barang yang turun, diselesaikan masalah-masalah kerajaan terdahulu, tetapi kini satu persatu sudah terjadi sebaliknya. Rakyat berpakat menaruh harapan, tetapi berkecai di tengah jalan. Rakyat sedang menyaksikan perspektif yang negatif. Lakukan dahulu tindakan memperbaiki kehidupan, termasuk taraf hidup petani dan nelayan, bukannya tanpa henti meluahkan sakit hati atau balas dendam.

Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku ketua kerajaan mengakui sendiri kelemahan beberapa anggota Kabinetnya yang rendah prestasi. Kenapa Malaysia jadi begini? Ya, mungkin mereka itu orang baru yang tidak ada ilmu pengurusan dan pentadbiran, tidak pernah terlibat dengan pelaksanaan dasar-dasar utama kerajaan seperti ekonomi, perdagangan, pendidikan, kebudayaan, keselamatan, pertahanan, kemajuan luar bandar dan beberapa dasar lain.

Kenapa tidak dalam tempoh tiga bulan penubuhan kerajaan baharu dahulu, semua wakil-wakil rakyat didedahkan kepada aspirasi Perlembagaan, dasar-dasar negara, program dan peraturan-peraturan yang berkuatkuasa, termasuk pelbagai Akta, Penyata, peraturan kewangan, perjawatan atau perkhidmatan dan sebagainya. Apabila semuanya difahami, baharulah sesuatu kenyataan yang dikeluarkan itu lebih beralas, ada hikmah dan kematangan.

Mungkin ada sesetengah pemimpin dari aliran politik perkauman atau hala tuju perbezaan matlamat parti, lebih megah memperjuangkan cita-cita silam tidak kepada meleraikan isu pembangunan negara dan keutuhan pembinaan bangsa. Agaknya pada mereka, inilah masanya, sebab perubahan lima tahun sekali belum tentu menjelma. Rakyat sedang menunggu perombakan Kabinet. Penulis meminta Dr. Mahathir teruskan dan pilih orang yang terbaik. Rakyat tidak mahu lihat Malaysia berhadapan dengan risiko dalam banyak perkara.

DATUK A. AZIZ DERAMAN ialah Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (Peradaban).