KENAPA ‘MENGGATAL’ DENGAN JANDA LAMA? (BAHAGIAN 1)

 

Sejak Jumaat lalu (5 Julai 2019) banyaklah komen, pandangan dan pendirian orang Melayu mengenai ajakan Tun Dr Mahathir agar parti-parti Melayu bersatu di bawah Bersatu (PPBM). Ramailah juga memberikan pandangan, ajakan Tun Dr Mahathir itu adalah petunjuk bahawa PH yang dipengerusikannya sedikit bermasalah, terutama dalam usaha untuk membina semula Malaysia berdasarkan perspektif Melayu dan Islam.

Sejak mengambil alih kuasa pada 10 Mei 2019, parti yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir dilihat telah gagal menaikkan kedudukan orang Melayu dan Islam. Orang Melayu memang banyak menjadi sasaran dan keluhan Dr Mahathir atas sikapnya yang dianggap malas, kurang berusaha, mencari jalan mudah untuk kaya dan paling menyengat ialah mitos Melayu Mudah Lupa.

Apa yang pernah diperkatakan tentang Melayu termasuk sifat buruknya, diulang lagi oleh Dr Mahathir ketika menjawab banyak persoalan yang berkaitan orang Melayu dan Islam. Bagi orang Melayu, memang boleh dibaca mengenai bentuk psikologi politik yang diinginkan oleh Dr Mahathir. Dr Mahathir mahukan orang Melayu dan Islam menjadi lebih cergas dan mampu berdikari, tidak mengharapkan bantuan daripada kerajaan dalam banyak perkara.

Ketika diajukan pertanyaan mengenai bantuan kepada peneroka misalnya, Dr Mahathir berkata bantuan wang tunai yang biasanya diberikan semasa menyambut Aidilfitri akan melemahkan semangat sedangkan negara memerlukan mereka yang kuat dan kental menghadapi cabaran.

Memang rakyat Malaysia tahu bahawa Dr Mahathir adalah salah seorang pemimpin yang berkebolehan kerana semangatnya yang kental. Semangatnya yang kental telah berjaya mengawal dirinya daripada dicabar selama 22 tahun walaupun ada dua percubaan. Percubaan pertama ialah dalam pemilihan jawatan presiden UMNO (1987) dan kedua ialah letusan reformasi pada tahun 1998.

Menurut Anwar, pada ketika itu beliau tidak mahu menjadi Perdana Menteri. Apa yang beliau bersama kawan-kawannya mahukan ialah menghapuskan kezaliman dan kerakusan kuasa. Sekilas berfikir, ada betulnya mengenai niat Anwar itu. Tetapi, bila difikirkan secara serius, ia adalah suatu penafian Anwar sendiri di atas kegagalannya merancang perubahan pucuk pimpinan. Ia sama seperti penafiannya bila gagal menukarkan kerajaan pada 16 September 2008.

Dr Mahathir mempunyai kuasa. Dr Mahathir telah menggunakan kuasanya untuk menyekat kemaraan pengaruh Anwar. Jentera kerajaan digunakan untuk mencantas potensi manakala pemimpin-pemimpin UMNO terus mempertahankan Dr Mahathir. Mereka tidak mahu kehilangan kedudukan dan apa yang mereka dapat setelah berjuang dalam UMNO. Tidak seperti penyokong Tengku Razaleigh, mereka sedia meletakkan jawatan menteri untuk bersama berjuang dalam Semangat ’46.

Tidak ramai menteri dan timbalan menteri meletakkan jawatan untuk bersama Anwar berbanding ketika Tengku Razaleigh kalah pada tahun 1987. Tetapi, tidak semua setia kepada Tengku Razaleigh sehingga Semangat 46 dibubarkan. Semua orang tahu siapakah yang mula gila talak dengan Dr Mahathir, selepas mengisytiharkan diri berpisah dan tidak mahu menyertai UMNO (baru).

Keadaan sekarang berbeza dengan apa yang sedang dibincangkan sehari dua ini. Kalau dahulu, mereka yang marahkan Dr Mahathir boleh hidup dalam perjuangan politik berbeza, kali ini, Dr Mahathir seperti terdesak dengan kedudukannya, kemelut kuasa dalam PH. Dengan hanya mempunyai 13 kerusi di peringkat Parlimen, mana mungkin Bersatu boleh menjadi sebuah parti yang dominan. Bersatu perlu akur dan bersetuju dalam banyak perkara yang tidak dipersetujuinya dengan DAP, PKR dan PAN.

Dr Mahathir perlu bersetuju tentang etika kemuafakatan dalam PH. Beliau perlu menyatakan berkali-kali bahawa Anwar adalah penggantinya dan bersedia menyerahkan kuasa itu bila tiba waktunya. Pertama sekali kedengaran selepas enam bulan sebagai Perdana Menteri peralihan, kemudian berubah kepada dua tahun dan terakhir selepas tiga tahun. Politik itu menyebabkan ada dalam kalangan penyokong Anwar ‘membantah’ dengan mengesyoarkan Dr Mahathir menyatakan tarikhnya dengan tepat.

Dalam masa yang lain, Dr Mahathir melanggar pemuafakatan tersebut. Beliau menggunakan kuasa budibicaranya dalam menentukan jawatan di SPRM, PDRM, SUHAKAM dan meninggalkan PAC terkonteng-konteng.

Anwar juga bijak bermain politik. Beliau tidak perlu rakus menekan Dr Mahathir. Anwar sedar, bila Dr Mahathir ditekan secara terbuka, banyak pihak yang akan menentangnya, termasuklah PAS tidak bersedia menerima Anwar. PAS mahukan Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri sehingga sepenggal.

Semasa hari terakhir bulan Syawal 1440H, Dr Mahathir sekali lagi mengejutkan rakan kongsinya dalam PH apabila mengharapkan UMNO menyertai Bersatu. Menyedari akan adanya kesan negatif daripada pemimpin PH, Dr Mahathir kembali memperbetulkan maksudnya. Ia bukan meminta parti politik, tetapi ahli-ahlinya menyertai Bersatu. Nampak jelas, Dr Mahathir sedang ‘mengawal kerosakan’ hubungannya dalam PH.

Sebelum ini, Dr Mahathir berjaya ‘mengawal kerosakan’ apabila menerima wakil rakyat BN menyertai Bersatu ikut jalan belakang, yang bagi DAP, PKR dan PAN ia adalah melanggar prinsip pemuafakatan dalam Majlis Presiden PH. Dr Mahathir sedar mengenai ‘kemarahan’ tersebut, lantas beliau memberikan tempoh bertahan kepada mereka yang berhasrat menyertai Bersatu, bukan secara automatik. Ia mesti melalui ‘proses pembersihan’ dan tidak memberikan jaminan akan dilantik dalam mana-mana posisi kerajaan untuk tempoh kurang daripada setahun.

Akibatnya, tidak lagi kedengaran ahli politik BN mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat bebas selepas kumpulan ‘enam jahanam’ berbuat demikian. Kini, Dr Mahathir mencuba strategi baharu, menakut-nakutkan orang Melayu dengan menyatakan bahawa kekuatan mereka hanyalah sekitar 10 peratus sahaja, kerana ada enam parti politik berteraskan Melayu-Islam. Jika setiap 10 peratus itu digabungkan, kedudukan politik orang Melayu-Islam boleh capai tahap maksimum 60 peratus daripada keseluruhan kuasa politik yang ada.

Tidak cukup dengan itu, Dr Mahathir sebenarnya bimbang mengenai minat dan kecenderungan politik bukan Melayu yang semakin kuat kepada DAP. Buat masa ini, DAP mempunyai 42 kerusi dan merupakan pencapaian terbaiknya setakat ini.

Bersatu hanya menang 13 kerusi sedangkan diberikan kerusi yang paling banyak untuk bertanding dalam PRU ke-14, iaitu 52 kerusi di Semenanjung. Peratus pencapaiannya hanyalah sekitar 25 peratus. Pencapaian Amanah (PAN) lebih baik daripada Bersatu, bertanding di 27 kawasan menang 11 kerusi (41 peratus). Ini bermakna, dalam PH, walaupun Bersatu kedua terendah daripada jumlah kerusi, Bersatu adalah parti yang mempunyai jumlah sokongan yang paling lemah.

Bersatu walaupun ada tokoh yang dianggap besar dan pernah cemerlang semasa dalam UMNO, pengaruhnya tidak begitu mampu untuk menarik ahli UMNO menyertai Bersatu secara besar-besaran. Kebanyakan ahli UMNO yang menyertai Bersatu dilihat sebagai golongan yang kecewa, dan bermasalah. Begitu juga wakil-wakil rakyat UMNO yang menyeberang, mereka berusaha mencari jalan selamat kerana menganggap Dr Mahathir akan berusaha ‘melenyapkan UMNO’.

Setakat ini, Dr Mahathir belum mahu ‘melenyapkan UMNO’ tetapi bergerak untuk melumpuhkan kepimpinan UMNO. Pemimpin UMNO diasak dengan pelbagai dakwaan sehingga ratusan kes. Imej UMNO dan pemimpinnya dilabelkan dengan keleptokrasi. UMNO digelar sebagai parti yang rosak.

Sebahagian kerosakan UMNO berlaku di zaman Dr Mahathir (1981-2003). Mahathir membawa masuk golongan korporat dalam pengurusan parti menyebabkan kumpulan asal yang menjadi pendokong UMNO mula terpinggir.

Kemudian, Anwar mencaturkan pengaruhnya dalam UMNO sehingga hampir kebanyakan jawatan setiausaha politik dan pelantikan politik adalah mereka yang pernah berjuang bersama-sama dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Pengaruh ABIM menjadi begitu kuat dalam UMNO pada suatu ketika. Peranan kaum guru semakin terpinggir.

Bila golongan korporat semakin ramai dalam UMNO, berlakulah apa yang dikatakan sebagai politik wang. Mereka sanggup menggunakan wang untuk ‘merampas dan mengekalkan kedudukan di pelbagai peringkat’ dan UMNO ketika itu mula dicemari dengan budaya korporat.

Anwar menggunakan kedudukannya untuk membina kekuatan, mengagih-agihkan ‘pink form’ untuk membolehkan kroninya memperoleh sumber kewangan. Ketika itu penerbitan saham baharu begitu ‘menggila’ termasuklah menubuhkan syarikat-syarikat dalam bentuk ‘joint capital’ atau ‘capital ventures’.

Selepas insiden 1998, sebahagian daripada syarikat-syarikat seumpamanya lenyap. Abrar Corporation hilang daripada kanvas sistem kewangan Malaysia. Bank-bank disusun semula dengan alasan untuk berhadapan dengan bank-bank asing yang mempunyai nilai modal yang besar, menerusi proses ‘merger and acquisition’.

Ketika itu konsep pengurusan ‘management by out’ menjadi popular dan dasar penswastaan menjadi keutamaan pentadbiran Dr Mahathir.

Kesemuanya membawa pelbagai implikasi kepada ekonomi. Peringkat awal pelaksanaannya, ada potensi berkembang maju, tetapi setelah beberapa tahun diswastakan, ia mengalami masalah pengurusan. Kerajaan menggunakan sumber kewangannya semula untuk melakukan ‘bail-out’ dengan alasan, tidak mahu syarikat-syarikat itu dijual kepada pelabur asing. Nilai dan semangat nasionalistik tetap dipertahankan.

Setelah gagal dengan dasar penswastaan, Dr Mahathir yang kembali memerintah berusaha untuk melaksanakan kembali dasar tersebut menerusi suntikan dana asing. Sebab itulah beberapa saham yang dimiliki oleh Khazanah Holding mula bertukar tangan.

Tidak ada sekatan untuk pelabur asing membelinya seperti yang berlaku ke atas Royale Chulan (Singapura), IHH (Jepun), dan sebagainya. Tindakan itu dibuat kerana Dr Mahathir memerlukan wang untuk mengurangkan hutang negara.

Seperti diteliti oleh seorang ahli akademik, dalam tempoh 400 hari PH memerintah, sejumlah lebih RM 20 bilion saham berpindah tangan melalui penjualan aset milik GLC dan Khazanah. Tidak cukup dengan itu, bangunan Malaysia di Hong Kong sedang dalam proses penjualan manakala hutang negara meningkat lebih RM 100 bilion dalam tempoh setahun.

Malaysia meminjam sebanyak RM 7.3 bilion menerusi Bon Samurai dan sedang berusaha untuk mendapatkan Bon Panda dari China. RM 82 telah diambil daripada PETRONAS.

Dalam beberapa tinjauan persepsi, berlaku kegelonsoran imej mengenai PH. Keadaan ini menjadi semakin merudum apabila tersebarnya video lucah membabitkan dua orang pemimpin PKR, salah seorangnya ialah menteri kanan dalam kabinet Dr Mahathir.

Mengikut laporan, ia berkaitan dengan minat orang dalam PKR sendiri untuk ‘menyingkirkan Azmin’ yang dianggap ‘lunak’ dengan Dr Mahathir dan bakal menjadi ‘orang harapan’ untuk diketengahkan ke jawatan yang lebih tinggi.

Anwar mungkin menyedari mengenai situasi tersebut. Tetapi, Anwar tidak boleh ‘membantah’ kerana ia adalah kuasa yang ada dalam tangan Perdana Menteri. Dalam PH, ada juga menteri yang tidak bersetuju jika Anwar menjadi Perdana Menteri, mereka bimbangkan perubahan yang akan dilakukannya sebaik sahaja berkuasa.

Dr Mahathir dalam situasi dilemma. Dilemanya ialah ‘persetujuan’ untuk memberikan jawatan kepada Anwar, sedangkan jawatan Perdana Menteri bukan hak mutlak Dr Mahathir untuk menentukannya. Dr Mahathir perlukan persetujuan majoriti daripada pemimpin dalam PH.

Dilema kedua Dr Mahathir ialah jaminan terhadap Mukhriz. Mukhriz adalah satu-satunya harapan Dr Mahathir untuk meneruskan legasi politiknya. Ini bermakna, bagi sesiapa yang bersedia memberikan ‘jaminan’ untuk melantik Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri pada masa hadapan dilihat lebih diutamakan oleh Dr Mahathir.

Anwar juga mempunyai kepentingan legasinya. Jika beliau berada dipuncak kuasa, akan ditentukan pula kedudukan anak perempuannya, Nurul Izzah. Ertinya, Mahathir dan Anwar mempunyai percaturan politik masing-masing. Ia bergantung kepada keputusan Dr Mahathir sekarang.

Dr Mahathir bukan mudah untuk mempercayai orang lain. Dr Mahathir mempunyai ‘roadmap’nya sendiri. Sebab itulah Rais Yatim menyatakan, Dr Mahathir hanya memberitahu satu perempat sahaja apa yang difikirkan, tiga perempatnya disimpan dan dijadikan modal perancangan selanjutnya.

Itulah Dr Mahathir. Bila ramai mempertikaikan keikhlasannya mahukan UMNO menyertai Bersatu, Dr Mahathir memberikan penjelasan, beliau tidak berkata parti yang harus menyertainya, tetapi ahli-ahlinya. Apa tujuan menarik seramai mungkin ahli UMNO?

Bila ahli UMNO ‘berduyun-duyun’ menyertai Bersatu, secara dasarnya UMNO akan lemah. Bila UMNO lemah, parti itu sukar untuk memulakan proses kebangkitannya semula. Bila berduyun-duyun ahli UMNO menyertai Bersatu, kerjasama UMNO dan PAS juga akan mengalami perubahan, dan tentunya, PAS lebih dianggap dominan. Kini, UMNO masih dianggap dominan oleh PAS. Walaupun UMNO dilanda masalah pengecutan jumlah wakil rakyatnya.

(bersambung)

Mahanor Saleha

No Comments

    Leave a reply