KENAPA ‘MENGGATAL’ DENGAN JANDA LAMA? (BAHAGIAN AKHIR)

Dr Mahathir mahukan orang Melayu menyertai Bersatu. Untuk apa telah sedikit sebanyak saya jawab dalam dua artikel sebelumnya. Dalam artikel ini saya akan membincangkan apakah relevan seruan Dr Mahathir untuk orang Melayu menyertai Bersatu? Apakah Dr Mahathir ingin digelar sebagai personaliti yang berjaya menyatukan politik orang Melayu melalui Bersatu? Apakah Bersatu mampu dijadikan wasilah kepada penyatuan politik orang Melayu?

Secara implisitnya, Dr Mahathir bukanlah tokoh yang boleh dianggap boleh menyatukan politik Melayu. Mahu tidak mahu kita harus akui pendekatan politiknya, sejak kita kenal Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-4 hinggalah beliau kembali menjadi Perdana Menteri ke-7, beliau terkenal dengan manhaj pecah dan perintah, atau divide and rule.

Istilah ini kita kenal apabila kita membaca analisis sejarah Malaysia pada masa pemerintahan British yang ditulis oleh sejarawan dari Amerika Syarikat. Sejarawan tersebut ialah Rupert Emmerson (1899-1979), dan karyanya yang terkenal ialah Malaysia: A Study in Direct and Indirect Rule (1937). Bukunya yang lain ialah From Empire to Nation: The Rise to Self-Assertion of Asian and African Peoples (1960).

Dari perspektif makna, pecah dan perintah boleh dimaksudkan sebagai  pemecahan struktur yang sedia ada dan menghalang kelompok-kelompok kecil untuk bergabung. UMNO sudah menjadi kelompok kecil selepas tewas dalam PRU ke-14. PAS juga merupakan parti yang kecil selepas berpecah daripada Pakatan Rakyat. Ini bermakna, Dr Mahathir cuba memecahbelahkan penyatuan antara PAS dan UMNO.

kekal dominan

Sebaliknya beliau inginkan PPBM dibawah pimpinannya menjadi lebih besar atau dominan walaupun parti itu dilihat kedua terkecil dalam kelompok PH. Besar atau kecil kedudukan sesebuah parti politik diukur dari perspektif berapa banyaknya kerusi yang dimenangi.

Persoalan jumlah keahlian yang ramai tidak lagi relevan kerana tahap kesetiaan ahli sudah berubah. Misalnya, dalam rekod keahlian UMNO, parti itu secara sistematiknya mempunyai keahlian yang teramai dalam mana-mana parti politik di Malaysia. Dikatakan ahli UMNO berjumlah 3.5 juta pada suatu ketika, tetapi jumlah tersebut tidak lagi menjamin bahawa UMNO akan menang selama-selamanya, atau kekal dominan dalam struktur kuasa politik di Malaysia.

UMNO merupakan sebuah parti yang besar pada suatu ketika, tetapi, akibat perbalahan, perebutan jawatan dan keinginan yang berbeza akhirnya telah menyebabkan pengaruhnya menjadi lemah. Daripada UMNO, yang asalnya merupakan penyatuan beberapa pertubuhan Melayu dari seluruh negara, akhirnya berpecah kepada beberapa serpihan yang hingga kini masih kekal sebagai ‘musuh’nya.

Sayap agama dalam UMNO bertukar menjadi PAS. Akibat perebutan jawatan dalam tahun 1987 menyebabkan lahirnya Semangat 46. Semangat 46 pada tahun 1995 mengambil keputusan untuk kembali bersatu dalam UMNO. Semangat  46 dibubarkan. Tahun 1998, lahir pula PKR sebagai serpihan UMNO. Tahun 2016, muncul PPBM sebagai serpihan UMNO dan sedang berazam untuk menggantikan UMNO.

dilema Mahathir

Dr Mahathir yang memimpin PPBM perlu menjadikan parti itu lebih kuat dan meninggalkan legasi yang lebih besar dalam masa yang relatif singkat. Sekurang-kurangnya beliau perlu menentukan PPBM tidak hilang daripada radar politik Malaysia selepas ketiadaannya. Buat masa ini, ramai pemerhati dan penganalisis beranggapan, selepas ketiadaan Dr Mahathir, PPBM akan menjadi sebuah nama dalam catatan sejarah, hidup dan berfungsi semasa dipimpin olehnya.

Awalnya, Dr Mahathir tidak mengharapkan PPBM kekal untuk selama-lamanya. Matlamat penubuhan PPBM ialah menyingkirkan BN dan Najib dalam lanskap kuasa politik di Malaysia. Matlamat tersebut boleh dikatakan berjaya, tetapi, Dr Mahathir tetap berhadapan dengan dilemma. Dilema untuk mengekalkan kuasanya sebagai Perdana Menteri kerana Anwar tetap memberikan tekanan untuk beliau menunaikan janji sebelum tempoh pentadbirannya cukup sepenggal.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad mengulas panjang lebar mengenai dilemma yang sedang dihadapi dan kenapa Dr Mahathir memerlukan UMNO (atau ahlinya) menyertai Bersatu (PPBM). PPBM berhadapan dengan tekanan, tempoh dua tahun semakin dekat dan kemudian dilanjutkan kepada tiga tahun, dan pada dasarnya, Dr Mahathir tidak bersedia ‘melepaskan’ jawatan Perdana Menteri. Ini membawa maksud, Dr Mahathir mahu kekal.

Ada beberapa kemungkinan boleh berlaku. Dr Mahathir membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum lebih awal. Dr Mahathir tidak membubarkan Parlimen, tetapi mendapatkan sokongan daripada wakil rakyat UMNO untuk menjadikan PPBM lebih kuat, dan mungkin turut disokong oleh 18 wakil rakyat PAS.

Jika ini berlaku, PPBM menjadi lebih dominan dalam PH dan kedudukan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dapat dikekalkan. UMNO dan PAS sudah membuat pengakuan, sekiranya berlaku undi tidak percaya kepada Dr Mahathir, kededua parti itu akan tetap menyokong Dr Mahathir sehingga cukup tempoh sepenggal. (Baca: Tun Abdul Hamid Mohamad, Mahathir cukup terdesak, cuba lagi pancing MP Umno dalam https://helenang.wordpress.com/2019/07/09/mahathir-cukup-terdesak-cuba-lagi-pancing-mp-umno/)

kemurahan hati’

Dalam senario yang lain, Aspan Alias tidak dapat menerima ajakan Dr Mahathir agar UMNO (atau ahli UMNO) menyertai PPBM. Jika beliau mempunyai ‘kemurahan hati’ atau bersifat jujur, kembali bersatu dalam UMNO. UMNO merupakan ‘tempat perlindungan’ yang lebih baik kerana UMNO tidak boleh menerima DAP selagi PPBM berada dalam PH.

PAS juga sudah berkerat rotan dengan DAP. Jalan yang dilihat paling sesuai untuk Dr Mahathir ialah menyatukan semula UMNO. Setiap ahli PPBM kembali kepada UMNO sebagaimana beliau menerima semula Semangat 46  pada tahun 1995.

Hakikatnya, bolehkah ahli UMNO menerima semula Dr Mahathir, yang dianggap oleh sebahagian daripada mereka sebagai pemecahbelah politik Melayu dan penyebab UMNO berantakan? Mungkin untuk seketika ahli UMNO boleh ‘menahan rasa marah’ . Dalam jangka panjang, akan muncul watak-watak tertentu yang akan menyingkirkan legasi Dr Mahathir kerana ‘dosa politik’nya terlalu besar bagi UMNO.

Sekurang-kurangnya ahli UMNO akan bercakap mengenai ‘politik wang’, kronisme dan nepotisme, penjualan dan pemindahan aset, bail-out, Mukhriz dan ‘serangan ganas’nya terhadap Abdullah Ahmad Badawi dan Najib. Dua tokoh yang menjadi mangsa itu masih hidup.

Najib berusaha menepis pelbagai tohmahan terhadapnya. Jika kemungkinan Najib berjaya, Dr Mahathir akan sekali lagi dianggap sebagai ‘pengkhianat’ bukan sahaja memecahbelahkan politik Melayu-Islam, bahkan pengamal tegar politik Michaevelli, matlamat menghalal cara.

Jika PPBM kembali kepada UMNO, Dr Mahathir akan bermusuh semula dengan DAP. Kini, DAP walaupun bekerjasama dengan PPBM atas matlamat yang sama pada asalnya, DAP tetap mahukan Malaysian Malaysia terus diperkukuhkan dan dengan itu ia menjadi sesuatu yang bertentangan dengan idealisme politik UMNO dan PAS.

rasionaliti subjektif

PAS mahukan Islam kekal dominan dalam semua aspek kenegaraan, termasuk memperkemaskan peraturan syariah ke atas umat Islam dan menginstitusikan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan secara menyeluruh dan mendalam.

Islam bukan hanya bersifat individu, ia menjadi kerangka dalam pembinaan negara. Ia bukan bermakna ‘mengislamkan’ semua warganegara, tetapi cukuplah jika Islam itu dihormati kedudukannya dan tidak dipersoalkan secara lojik akal dan rasionaliti yang subjektif. Tidak terikut-ikut dengan aliran pemikiran barat yang semakin terpengaruh dengan fahaman liberal dan pluralisme agama.

Pendekatan yang sama turut diulas oleh Mohd Sayuti Omar dalam entri bertajuk, “Seruan Mahathir tidak praktikal, “. Penyatuan Melayu-Islam hendaklah berlaku melalui PAS atau dipanggilnya PAM (Parti Agama Malaysia). Asasnya, PAM memperjuangkan ideologi politik Islam, sesuatu yang amat berkait rapat dengan orang Melayu dan Islam. Ia menjadi teras yang kukuh dalam jatidiri orang Melayu. Orang Melayu yang cuba mengetepikan Islam dalam kehidupannya, adalah mereka yang sedang kehilangan jati diri dan jiwa Melayunya. Maka, penyatuan Melayu hendaklah berlaku dalam lanskap politik Islam.

‘kuda tunggangan’

Biarpun sebahagian daripada cerdik pandai Melayu menolak lanskap politik sedemikian, dan melihat agama sebagai ‘kuda tunggangan’, mereka itu sebenarnya juga ingin menggunakan agama sebagai topeng politiknya. Mereka tahu, hayat politiknya tidak akan ke mana tanpa menyentuh nuansa politik Islam, tetapi mereka takut digelar fundamentalis atau dikeronyok seumpama Taliban.

Biarpun sedang mempromosikan Rahmatalil Alamin, tetapi gagasan itu dilihat masih bersifat least resistance approach, hanya disasarkan kepada orang Islam. Tidak nampak dengan jelas bagaimana gagasan itu mampu diterjemahkan dalam konteks yang lebih luas dan menepati konsepnya kepada masyarakat bukan Melayu.

Mekanisme pengembangan penghayatan Rahmatalil Alamin setakat ini melibatkan pelbagai istilah dan jargon agama yang tidak semua umat Islam boleh memahaminya. Jangan dianggap semua umat Islam di Malaysia mempunyai latar belakang pendidikan agama dan boleh berbahasa Arab (komunikasi).Masih ramai yang tidak boleh memahami apa yang mereka perlu tahu dan praktikkan dalam maqashid syariah, kemaslahatan ummah, mahupun Rahmatalil Alamin itu sendiri.

Apakah dengan melunakkan kritikan terhadap Nabi Muhammad SAW dan keluarga baginda dianggap Rahmatalil Alamin? Apakah sikap sekumpulan umat Islam membantah penghinaan itu tidak membawa maksud Rahmatalil Alamin? Apakah dengan membenarkan Oktoberfest berlangsung sebahagian daripada nilai-nilai Rahmatalil Alamin? Apakah dengan membawa seorang yang mengalami kecelaruan gender itu di dalam Country Coordinating Mechanism (CCM) itu sebahagian daripada makna Rahmatalil Alamanin?

Memang Rasululllah SAW ditakdirkan oleh Allah SWT untuk melebarkan makna dan amalan yang membawa rahmat kepada seluruh umat manusia. Tetapi sekarang,  elit politik dan pihak berkuasa tidak berusaha untuk membina jambatan perpaduan dan penyatuan pemikiran dalam kalangan warganegara. Elit politik sibuk mencari jalan bagaimana ‘mengekalkan kuasa dan menggunakan kuasa’ dan merasa lebih cerdik daripada orang lain. Kritikan dan pandangan orang ramai diperlekehkan kerana ‘Menteri bukan bodoh’.

misguided arabisme

Apakah ini sebahagian daripada ciri-ciri Rahmatalil Alamin? Apakah kerana sebahagian daripada menteri yang cerdik itu boleh berbahasa Arab maka mereka lebih gemar membawa masuk sebanyak mungkin istilah Arab (Buya Ahmad Syafii Maarif melihat kecenderungan tersebut sebagai Arabisme) sedangkan sekumpulan umat Islam di Malaysia tidak boleh berbahasa Arab.

Sebaik-baiknya dicari padanan perkataan yang sesuai, menghormati kearifan tempatan dan bukannya membawa masuk terlalu banyak jargon bagi mempertalikannya dengan Islam. Walaupun konsep tersebut ada dalam al-Qur’an, tidak ramai umat Islam di Malaysia memahami isi kandungannya biarpun mereka boleh membaca dan menghafal al-Qur’an.

Hakikat itu perlu diakui. Jika tidak, penggunaannya akan menimbulkan misguided Arabism. (Baca: Ahmad Syafii Maarif, Krisis Arab dan Masa Depan Dunia Islam, 2018). Misguided Arabism tidak begitu menyakitkan atau buruk berbanding misguided Islamism. Al-Arqam adalah contoh misguided Islamism.

Rasional Dr Mahathir mengajak UMNO (atau ahli UMNO) dan lain-lain parti yang berasaskan Melayu agar menyertai Bersatu (PPBM) adalah suatu pendirian yang menarik. Menarik dalam perspektif untuk memperjuangkan nasib orang Melayu-Islam yang semakin terjerumus ke lembah pertikaian ideologi politik sehingga menyebabkan lahirnya enam buah parti politik.. Bagi Dr Mahathir, sudah cukup dengan hanya  empat buah parti Melayu –UMNO, PAS, PPBM dan PAN.

Empat parti Melayu yang disyorkan itu tetap menunjukkan tidak ada penyatuan. Ia masih menyebabkan undi Melayu berpecah dan perpecahan undi Melayu menguntungkan parti-parti lain, terutamanya DAP.

PKR walaupun dilihat sebagai sebuah parti berbilang kaum, majoriti penyokong dan pemimpinnya adalah Melayu. Misi utama PKR ditubuhkan untuk membebaskan Anwar Ibrahim. Kalau dilihat perspektif tersebut, hasrat utamanya telah berjaya, maka, tidak ada sebab PKR tidak boleh kembali ke pangkuan UMNO bagi memperkuatkan politik Melayu-Islam.

penyatuan dalam UMNO

Misi PPBM juga selesai tetapi ada perkara lain yang sedang disempurnakan, iaitu menggantikan UMNO. Persoalan itulah yang memungkinkan Dr Mahathir menyeru ahli UMNO supaya menyertai PPBM. Jika ahli UMNO membuat keputusan selari dengan cadangan Dr Mahathir, secara lojiknya UMNO akan lumpuh dan tidak timbul ancaman pengharamannya.

Bagi Datuk Ismail Sabri Yaacob, Naib Presiden UMNO merangkap Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, Dr Mahathir sepatutnya memikirkan penyatuan politik Melayu-Islam dalam UMNO bukannya dalam PPBM. Ini kerana UMNO sedia ada ahli yang besar, organisasi yang tersusun di peringkat negeri, bahagian dan cawangan dan mempunyai aset yang banyak. Dari segi kekuatan politik, UMNO masih mempunyai 38 kerusi Dewan Rakyat dan menguasai dua negeri (Perlis dan Pahang). (Baca: Ismail Sabri Yaacob, Jika Tun serius, elok berbincang’, Utusan Malaysia, 10.7.2019).

Sejumlah 46 peratus pengundi Melayu menyokong UMNO dalam PRU ke-14. Ertinya, UMNO walaupun tumbang masih mempunyai kekuatan yang lebih baik berbanding PPBM. Meskipun PPBM kini mempunyai 26 kerusi Dewan Rakyat, separuh daripadanya adalah sokongan secara ‘pintu belakang’. Tentunya, sebahagian daripadanya akan kecundang dalam PRU ke-15 kerana dilihat  sebagai ‘pengkhianat’.

Walaupun seruan penyatuan politik Melayu-Islam itu adalah perkara yang sepatutnya telah lama dirintis, Dr Mahathir bukanlah faktor pemersatu. Begitu juga PPBM yang dipimpinnya. Menurut kenyataan Tengku Razaleigh, Dr Mahathir turut menjadi tokoh yang memecahkan kerjasama yang terjalin dengan PAS dalam BN pada tahun 1977, juga penyebab kekalahan BN pada tahun 1990 di Kelantan.

undi tidak percaya

Dr Mahathir memang kuat mengkritik PAS sejak beliau kalah di Kota Star pada tahun 1969. Beliau menuding jari kepada kepimpinan Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj. Semasa beliau menjadi Perdana Menteri ke-4, hubungannya dengan PAS mengalami pasang surut dan pernah mengatakan bahawa PAS adalah parti yang ‘menjual agama’.

Tindakan Dr Mahathir  menyekat Kelantan memperoleh royalti minyak dan gas di akhir pemerintahannya turut menjadi isu besar. Isu ini menjadi sedikit kendur bila Kelantan menarik balik samannya ke atas Kerajaan Persekutuan.

Walaupun PAS pernah dikritik tajam, PAS bersedia mempertahankan kedudukan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-7 sekiranya berlaku undi tidak percaya. Kesemuanya ini memberikan sedikit kelegaan kepada Dr Mahathir sekurang-kurangnya beliau terus melaksanakan agendanya dalam tempoh sepenggal. Dengan sokongan PAS dan UMNO, Dr Mahathir mungkin tidak akan tumbang sebelum berakhirnya penggal ke-14 Parlimen Malaysia kalaupun berlaku undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

Pintu rundingan untuk perpaduan Melayu-Islam masih terbuka, tetapi mesti dengan syaratnya. Dr Mahathir perlu melihat syarat-syarat itu dengan jelas, kerana ramai pemimpin UMNO tidak mahu penyatuan tersebut lebih menguntungkan PPBM.

tiga kali berpisah

UMNO mempunyai kelebihan jauh lebih baik daripada PPBM. Atas sebab itulah ramai yang menolak penyatuan Melayu-Islam melalui PPBM. Ia mesti berlaku sama ada dalam semangat kerjasama PAS dan BN atau Bersatu dibubarkan (seperti Semangat 46) manakala ahli-ahli kembali ke pangkuan UMNO.

Ada yang berkata, Dr Mahathir sebenarnya sedang mencari jalan untuk mengorat janda lamanya. Walaupun pernah berpisah (bercerai) sebanyak tiga kali (zaman Tunku, Zaman Abdullah dan Zaman Najib), beliau sebenarnya tidak ‘bahagia’ dengan PH. Sebab itu beliau asyik terkenangkan ‘janda’ lamanya, yang bukan sahaja masih cantik dan ayu, bahkan bertenaga dengan sedikit pemulihan semangat.

Dalam politik tidak ada istilah ‘Cina Buta’ ; Yang ada hanyalah KUASA.

 

Mahanor Saleha

No Comments

    Leave a reply