KENAPA ‘MENGGATAL’ DENGAN JANDA LAMA? (BAHAGIAN II)

Dari segi akar umbi, organisasi UMNO masih tersusun baik malah lebih teratur daripada Bersatu dan Amanah. Gerak kerja politik UMNO masih berjalan dengan baik sedangkan Bersatu hanya dilihat kuat dan gagah di peringkat pusat. Di peringkat negeri, gerak kerja Bersatu masih belum berjalan dengan baik, sebabnya aktivis mereka dilihat semakin lesu semangat.

Dilema seterusnya ialah hubungan Dr Mahathir dengan DAP. DAP walaupun tidak banyak mengeluarkan bola tanggung kepada Dr Mahathir, pemimpin-pemimpinnya mempunyai kuasa penentu yang besar. Kesilapan terbesar Dr Mahathir ialah melantik Lim Guan Eng menduduki jawatan Menteri Kewangan manakala Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan.

Loke dengan semangatnya yang keras, tidak melayan impian pemandu teksi agar grab dihapuskan manakala pengguna jalan raya tetap dikenakan saman AES tanpa diskaun. Menteri Kewangan menjadi moderator dalam penjualan saham dan aset, yang kebanyakannya ada kaitan dengan tujuan asal untuk mempertingkak kek ekonomi orang Melayu atau Bumiputera.

Begitu juga dengan kedudukan DAP dalam bidang perancangan dasar pendidikan. Walaupun sebagai timbalan menteri, kuasanya dilihat melangkaui keputusan Menteri Pendidikan dari Bersatu. Atas sebab itulah PH dilihat semakin didominasi oleh DAP. Dr Mahathir agak sukar untuk memperbetulkan situasi itu buat masa ini, kerana PAN sedia berdiri di belakang DAP. Pendirian PAN memang diakui, lebih mesra DAP daripada PKR atau Bersatu.

Apabila ahli UMNO ‘berduyun-duyun’ menyertai Bersatu, Dr Mahathir beroleh kekuatan untuk mencabar kedudukan PKR dan boleh merampas kerusi yang dimiliki oleh PAN. Beberapa kerusi yang dimenangi oleh PAN dilihat tidak selamat sekiranya ahli UMNO menyertai Bersatu. Dr Mahathir sedar, tanpa melemahkan UMNO, kerjasamanya dengan PAS bakal membuahkan hasil yang besar menjelang PRU ke-15.

PAS dan UMNO bersedia berkompromi dalam pembahagian kerusi. Mereka mempunyai perhitungan yang boleh dianggap ‘win-win situation’ sedangkan PAN dan Bersatu begitu sukar untuk berkompromi. PKR akan tetap mempertahankan kerusi yang dimenanginya. Sekiranya ini berlaku, kerjasama PAS dan UMNO akan melahirkan sinergi yang lebih baik berbanding komponen PH.

PH mempunyai impian yang berbeza selepas berjaya menumbangkan BN. Setiap parti komponennya sering mengeluarkan kenyataan bercanggah, yang kadangkala memberikan imej tidak ada keserasian. Lim Kit Siang pernah memberikan amaran, jika objektif Malaysia Baru tidak dilaksanakan, beliau sedia membawa DAP keluar daripada PH.

Apakah dengan seruan Dr Mahathir agar orang Melayu bersatu dalam Bersatu tidak akan ‘menikam’ DAP? Sedikit sebanyak akan meninggalkan kesan kepada DAP dalam usahanya untuk merekrut lebih ramai pemimpin Melayu untuk bertanding dalam PRU ke-15 nanti.

Ketika itu, apakah ada orang Melayu bersedia menukarkan wajah DAP dari kepimpinan dari satu kaum kepada dominasi Melayu? Sukar untuk kepimpinan Melayu dalam DAP lakukan. Mahu tidak mahu, Melayu dalam DAP akan terus berada seperti ‘melukut di tepi gantang’.

Shahubudin Husin menyifatkan Dr Mahathir seumpama suami yang sudah pun beristeri empat. Dalam Islam, seseorang lelaki hanya dibenarkan mempunyai empat orang isteri dalam sesuatu masa, maka apabila memujuk UMNO menyertai Bersatu, ada dua kemungkinan besar akan berlaku.

Dr Mahathir perlu menceraikan salah seorang isterinya, dan isteri manakah yang bakal diceraikan? Kedua, Dr Mahathir meninggalkan PH dan menyertai semula UMNO.

Melihat kepada perkembangan dan persepsi semasa, mungkin Dr Mahathir menyertai semula UMNO dengan syarat tertentu. UMNO boleh menerima semula Mukhriz dan memberikan jaminan kedudukannya pada masa hadapan. Dr Mahathir mungkin lebih selesa berada dalam UMNO semula berbanding dengan PH yang turut dianggotai DAP.

Untuk UMNO menyertai PH, seperti tidak mungkin kerana UMNO tidak memerlukan DAP. Untuk PAS menyertai PH, tidak juga mungkin kerana sudah berkerat rotan dengan DAP. Jadi, altenatif yang ada bagi Dr Mahathir ialah berpakat semula dengan UMNO yang semakin mendapat keyakinan daripada orang Melayu. Ertinya, bukan seorang isteri yang Dr Mahathir perlu ceraikan, mungkin dua atau tiga. Untuk PAN menyertai semula PAS, ia sesuatu yang sukar kerana PAS melihat PAN ‘entah dari mana benihnya’.

Untuk Dr Mahathir menarik sokongan Anwar, ia sesuatu yang boleh tetapi sukar. Tetapi, Dr Mahathir mampu menarik sebahagian daripada pemimpin PKR yang tidak sebulu dengan Anwar untuk memasuki Bersatu. Jika ini berlaku, suatu lagi bentuk permusuhan baharu akan muncul. Apakah ada kemungkinan Anwar akan ‘berperang’ sekali lagi dengan Dr Mahathir?

Kemungkinan-kemungkinan itu tetap ada. Inilah framework politik sebagaimana dijelaskan oleh Harold Lasswell (1902-1978), siapa mendapat apa, bila dan bagaimana manakala bagi Vladimir Lenin (1870-1924), politik itu siapa yang boleh melakukan apa kepada siapa. Dua kontinuum inilah sebenarnya sentiasa menjadi garis perhitungan dalam penentuan politik dan perilaku politik sama ada dalam sistem demokrasi ataupun sosialis.

Apakah seruan Dr Mahathir agar ahli UMNO menyertai Bersatu boleh dianggap sebagai tindakan ‘menggatal’ untuk berkahwin semula dengan janda lamanya yang diperlekehkan sebagai ‘buruk dan hodoh’?.

Apakah Dr Mahathir sekali lagi akan ‘menjilat ludah’nya berkahwin semula dengan UMNO? Semuanya boleh berlaku, politik itu memungkinkan apa sahaja asalkan mendapat KUASA …Kuasa Untuk Aku Sempurnakan Aspirasiku. Semuanya berintikan diri, rakyat tetap dijadikan alat untuk mendapatkan kuasa. (Bersambung)

Mahanor Saleha

 

No Comments

    Leave a reply