UKE: Membuat tatu adalah jelas dilarang dalam Islam. Daripada Ibnu Umar RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, “Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan minta disambungkan rambutnya, perempuan yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu.” (Riwayat al-Bukhari).

Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam mengatakan bahawa bertatu di badan adalah perbuatan yang dilaknat oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud: “Rasulullah SAW melaknat perempuan yang mentatu dan minta ditatu dan yang mengikir gigi dan yang minta dikikir giginya.” (Riwayat al-Thabrani).

Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Minhaj fi Sharh Sahih Muslim menyatakan bahawa hukum bertatu adalah haram kerana perkataan laknat dalam hadis Rasulullah SAW menunjukkan pengharaman perbuatan tersebut. Di samping itu juga, tempat yang ditatu tersebut akan menjadi najis.

Maka janganlah anda melihat tentang orang mana sekalipun dalam melihat hukum bertatu sebaliknya hendaklah dilihat bersandarkan kepada Nabi SAW. Kalau hendak kira orang Timur Tengah buat maka timbul persoalan boleh atau tak boleh maka huru-haralah agama kita. Macam-macam perkara yang dilarang di dalam Islam tetapi dikerjakan oleh umatnya seperti berbunuh-bunuhan sesama sendiri.

 Sumber : Utusan online