KENAPA SISTEM PENDIDIKAN PERLU DIROMBAK?

Menarik juga cadangan Ahli Parlimen Kuala Selangor ketika membahaskan titah ucapan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong semalam (6.3.2018) agar satu jawatankuasa ditubuhkan untuk meneliti dan merombak sistem pendidikan negara secara menyeluruh untuk disesuaikan dengan keperluan Revolusi Industri 4.0.

Menurut Datuk Irmohizam lagi, jawatankuasa kaji selidik itu boleh dinamakan sebagai “Penyata Najib” yang dianggap sebagai penerus kepada Penyata Razak dalam menentukan hala tuju baru pendidikan Malaysia.

Dalam laporan Utusan Malaysia, wakil rakyat Kuala Selangor itu melihat proses bottom-up yang digunakan dalam pembentukan Kanvas Belia TN50 sebagai rujukan dan mengharapkan jawatankuasa “Penyata Najib” akan melakukan tindakan yang sama dalam mengumpulkan reaksi dan aspirasi masyarakat terhadap masa depan sistem pendidikan negara.

Berdasarkan faktor sejarah, nampaknya wakil rakyat dari Kuala Selangor terlupa bahawa sistem pendidikan Malaysia sedang mengalami transformasi yang menyeluruh dan telah dirangka berdasarkan rundingan awam paling demokratik, yang pernah berlaku dalam sejarah. Ia adalah proses rundingan awam terbesar yang pernah berlaku sebelum Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dimuktamadkan, dan lebih awal dari apa yang dimulakan untuk menghasilkan Kanvas Belia TN50.

Dalam kata sambutan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, Perdana Menteri menulis “Pelan ini menggariskan perubahan besar yang kita hasratkan. Antara lain, perubahan yang dimaksudkan merangkum aspek pendekatan pembelajaran murid, kaedah pemilihan guru, latihan guru, penyediaan ganjaran kepada guru dan pemimpin sekolah, dan pendekatan pengoperasian Kementerian.”

Sebelum PPPM 2013-2025 dirangka, bulan Oktober 2011, Kementerian Pendidikan telah memulakan satu kajian menyeluruh selama 15 bulan menerusi analisis lebih daripada 150 kajian terperinci yang dijalankan oleh pelbagai pihak dalam tempoh sepuluh tahun (sejak tahun 2000), kerja lapangan, temubual bersemuka, perbincangan kumpulan fokus, kajian 2011, kajian semula UNESCO 2011-2012, Kajian Semula oleh Bank Dunia 2011, Dailog Pendidikan Nasional (16 sesi membabitkan 12,000 orang), 20 perbincangan meja bulat dan lebih 7,000 cadangan diterima (rujuk halaman 1-4 hingga 1-6, PPPM 2013-2025).

Proses pengumpulan input tidak berakhir setakat itu. Ia turut melibatkan 12 agensi panel bebas Malaysia, empat ahli panel penilai bebas antarabangsa, enam universiti awam, sembilan makmal pendidikan, 3,000 artikel dan blog, 200 memorandum, lebih 20 seminar dan perbincangan yang dianjurkan oleh pihak bebas dan sembilan hari terbuka.

Input juga dikumpulkan menerusi pandangan pengamal pendidikan, iaitu 750 orang pengetua dan guru besar, 15,000 orang guru, 22,000 orang murid dan 300 pegawai pentadbir pendidikan peringkat negeri dan daerah dalam kelompok kumpulan fokus, bengkel dan kajian.

Bagi kumpulan dewan terbuka, dialog nasional, meja bulat dan kaji selidik, ia membabitkan 8,000 orang guru, 2,000 ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru, dan 7,000 orang awam.

Berdasarkan penerimaan dan pembabitan secara menyeluruh itu, PPPM 2013-2025 adalah dokumen perancangan yang bukan sahaja bersifat holistik, bahkan paling demokratik pernah dihasilkan dalam proses perancangan pembangunan.

Sebelumnya, hampir semua dasar yang dibuat adalah keputusan perbincangan oleh sesuatu kumpulan yang kemudiannya dipaksakan kepada masyarakat awam untuk melibatkan diri. Proses ini dikenali sebagai pendekatan ‘atas ke bawah’.

PPPM 2013-2025 menjalani proses rundingan awam yang lebih panjang berbanding tempoh setahun yang diambil oleh Kementerian Belia dan Sukan untuk menghasilkan Kanvas Belia TN50 yang dilakarkan dalam tujuh kategori. Ia berbeza dengan PPPM 2013-2025, selepas semua input awam dan kumpulan pakar diambilkira dalam pembentukan asas, laporan awal PPPM dibentangkan semula kepada masyarakat untuk diteliti, ditokoh-tambah dan dimasukkan cadangan baharu.

Selepas perjalanan Dialog Pendidikan Nasional selama setahun (2010), laporan awal disediakan dan dilancarkan pada 11 September 2011 manakala laporan akhir yang dikenali sebagai Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (Pendidikan Prasekolah hingga Lepas Menengah dilancarkan pada 11 September 2012. Bagaimanapun, beberapa proses tranformasi sistem pendidikan sudah pun dimulakan. Antaranya, pembentukan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bagi menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR), transformasi pendidikan teknik dan vokasional (TVET), kriteria pemilihan calon guru, pensiswazahan guru, pengiktirafan kepimpinan sekolah dan penggredan semula sekolah berdasarkan band.

Ertinya, PPPM telah mengambil kira pelbagai keperluan masa depan pendidikan negara secara komprehensif dan menyeluruh bagi menyesuaikan keperluan masa depan negara. Turut terangkum di dalamnya ialah konsep pembelajaran yang berorientasikan murid dan bukannya berpaksikan guru (kapur dan papan hitam atau hijau). Konsep pembelajaran ini dikenali sebagai Pembelajaran Abad ke-21 (PAK 21), yang bukan tertakluk kepada kemudahan infrastruktur komputer dan internet semata-mata.

Walaupun sesebuah sekolah itu berada dalam kawasan terpencil, tanpa talian internet tidak bermakna konsep PAK 21 tidak dapat dilaksanakan. Ia mungkin boleh dilaksanakan secara offline dengan menggunakan sumber-sumber yang lain. PAK 21 telah berjaya melahirkan kumpulan pelajar ‘berani bercakap’ dan ‘mahir mengemukakan pendapat’ dan seterusnya diharap mampu melahirkan kumpulan pelajar yang matang, berdaya saing dan berdikari.

Secara jelasnya, proses pendidikan di Malaysia mengutamakan ‘kemenjadian murid’ dan bukannya sekadar indah dilihat, berwarni-warni di atas kanvas. Inilah yang hendak dicapai sepanjang perjalanan hidup seorang pelajar dari peringkat prasekolah hingga kepada lepasan menengah manakala peringkat pendidikan tinggi, ia disambung oleh Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 yang terhasil pada tahun 2015.

PPPM (PT) adalah kesinambungan kepada pendidikan asas, maka cadangan yang dikemukakan oleh wakil rakyat untuk ‘merombak semula sistem pendidikan negara’ boleh dianggap proses yang sia-sia dan boleh menyebabkan pembaziran sumber dan tenaga.

Kalaupun ada pandangan bahawa sistem pendidikan Malaysia tidak mampu menghasilkan watak manusia yang ‘bersatu padu’ ia tidak bermakna PPPM 2013-2025 dan PPPM (PT) 2015-2025 perlu dirombak dan dimansuhkan sama sekali. Apa yang perlu dilakukan oleh pembuat dasar ialah menetapkan semula dasar sedia ada sebagaimana dihasratkan oleh Dasar Pelajaran Kebangsaan untuk memperkasakan sekolah-sekolah kebangsaan dan menengah kebangsaan serta memperluaskan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua peringkat pendidikan.

Walaupun Malaysia mempunyai dasar ‘bahasa lain boleh dipelajari dan digunakan’, ia sepatutnya tidak lagi dijadikan bahasa pengantar di sekolah-sekolah. Konsep sekolah satu aliran (bahasa) perlu dilaksanakan sepenuhnya kalaulah ‘sistem pendidikan antara penyebab pembahagian kaum’ (PM: Sistem pendidikan antara penyebab pembahagian kaum, Free Malaysia Today, 23 Februari 2018).

Sekitar akhir tahun 1990-an, pernah diutarakan konsep Sekolah Wawasan di mana dua atau tiga jenis sekolah disatukan dalam satu kawasan, iaitu kemudahan-kemudahan saperti padang permainan, perpustakaan, kantin, bilik guru dan sebagainya dikongsikan bersama, kecuali dari segi pentadbiran, ia ditadbirkan secara berasingan.

Bagaimanapun, idea baik dan bernas itu menjadi isu politik yang hangat menjelang Pilihan Raya Umum ke-10 (1999). Berlaku penolakan besar dalam kalangan aktivis pendidikan vernakular, termasuklah huatuan-huatuan dan badan-badan bukan kerajaan.

Konsep Sekolah Satu Aliran dan Sekolah Wawasan saperti dilupakan apabila politik ‘muafakat’ dan ‘perundingan’ mengambil peluang. Idea yang baik terkorban atas kekerdilan ‘azam politik’ para pembuat dasar. Hal inilah yang telah memb ‘keunikan sistem pendidikan Malaysia’ sehingga membawa kepada kecenderungan baharu ibu bapa Melayu memilih kemasukan anak-anak mereka ke Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) dan bukan Melayu melihat sekolah-sekolah kebangsaan sebagai ‘tempat mengislamkan pelajar bukan Melayu’.

Apa pun hasilnya, kalau wakil rakyat Kuala Selangor itu benar-benar serius untuk menghasilkan Penyata Najib, maka setiap pembuat dasar perlu ada ‘keazaman dan keberanian politik’ yang kuat sebagaimana Lee Kuan Yew berjaya merombak sistem pendidikan di Singapura. Ataupun menguatkuasakan proses yang dilalui oleh semua warganegara Indonesia, Thailand mahupun Filipina, di mana hanya ada satu sahaja sistem pendidikan kebangsaan yang tunggal, sekurang-kurangnya di peringkat asas dan menengah.

Mampukah ‘pembuat dasar’ melakarkan kanvas sistem pendidikan baharu yang lebih ‘interaksi di peringkat sekolah’ berbanding dengan keadaan sekarang? Akibat pelbagai jenis sekolah telah menyebabkan bérlakunya proses pemisahan pelajar sehingga cenderung membawa kepada polarisasi kaum.

Para pelajar saperti tidak mempunyai peluang untuk bergaul dan mengenal ketika berada di alam persekolahan dan seterusnya di peringkat pengajian tinggi. Pelajar sekolah vernakular dan kebangsaan tidak ada peluang untuk belajar bersama, jenis sekolah telah menjarakkan mereka.

Sebahagian besar pelajar sekolah-sekolah vernakular meneruskan pendidikan mereka di luar negara ataupun universiti swasta yang berpengantarkan bahasa Inggeris, manakala pelajar-pelajar sekolah kebangsaan memasuki universiti awam ataupun universiti swasta tertentu.

Apatah lagi dengan ‘dasar terbuka dalam pendidikan’ membolehkan universiti negara membuka cawangannya di Malaysia, termasuklah beberapa universiti dari China dan Taiwan yang berpengantarkan bahasa Mandarin. Ia ditambah lagi dengan keruwetan universiti antarabangsa yang mengutamakan bahasa Inggeris, maka kesilapan terbesar ialah ‘pembuat dasar’ tidak mempunyai keberanian dalam menterjemahkan Dasar Pelajaran Kebangsaan dalam sistem pendidikan di Malaysia secara menyeluruh, bukan hanya sekadar ingin ‘menyertai’ gelombang Revolusi Industri 4.0.

Oleh Kahar Harun

No Comments

    Leave a reply