Pelaksanaan konsep ini perlu kepada sekurang-kurangnya dua perkara penting iaitu modul yang baik dan ahli-ahli yang bersedia rela dilatih. Latihan sebegini perlukan kerelaan untuk percepatkan terlaksananya perubahan, dan payah untuk berlakunya perubahan jika sikap terhadap latihan masih tidak berubah.

Beberapa tindakan pemimpin di seluruh peringkat parti menjadi punca kepada kekeringan tenaga muda dalam UMNO. Banyak keluhan dan aduan tentang permohonan keahlian mereka dibekukan bagi tempoh yang sungguh lama, malah ada yang sudah memohon berkali-kali dan bertahun-tahun pun masih belum diterima menjadi ahli UMNO. Ahli muda selalunya lebih bersedia untuk dilatih. Golongan yang lebih berumur sering memberi dalih keuzuran untuk tidak dihantar berkursus.

Persoalannya, kenapa UMNO kekeringan ahli muda? Ahli-ahli di cawangan sedar kelemahan ini tetapi mereka hanya boleh mengeluh atau bersekongkol. Cerita ini mengisahkan UMNO kering di akar, seumpama sungai kering di hulu. Bila sungai kering di hulu, air yang mengalir ke muara menjadi sedikit dan sungai menjadi cetek. Sungai yang cetek tidak banyak gunanya berbanding dengan sebatang sungai yang dalam.

Bila sesebuah parti kering di akar, kesinambungan perjuangan akan terencat, sebagaimana manusia yang kurang air di dalam badan akan mudah dihinggapi penyakit. UMNO wajib menyelesaikan masalah kronik ini jika mahu selamat daripada kepupusan. Banyak sungai besar dalam dunia yang kering kerana hulunya tidak dijaga, hutannya habis ditebang dan bukit bukau menjadi gondol.

UMNO terlepas banyak peluang merekrut ahli berkaliber, berpendidikan tinggi dan berwawasan. Mereka hanya akan sedar bila pemimpin UMNO tidak mampu bersaing di pentas dialog dengan lawan politik mereka, sebagaimana para pemimpin UMNO pada zaman awal kemerdekaan.

Maka UMNO seharusnya perlu beri tumpuan yang lebih kepada kualiti ahli. Penulis tidak menolak bahawa bilangan juga penting kerana ia boleh membantu parti menyusun banyak urusan dan program dan memberi khidmat kepada rakyat. Malah, kekuatan UMNO selama ini amat berkait dengan bilangan ahli, tetapi ia juga memberi banyak beban kepada parti.

UMNO harus membina ahli mengikut neraca yang diukur kepada matlamat yang hendak dicapai. Jika pasukan bola sepak yang hendak bentuk, semestinya bakat yang dicari, diasuh dan dilatih adalah bakat yang cenderung kepada keperluan pemain bola sepak dan bukan mengikut ciri pemain golf.

Jika UMNO berhasrat menjadi kerajaan semula, dalam tempoh sesingkat mungkin, maka, ahli-ahlinya hendaklah dibentuk dalam acuan yang boleh membina pasukan sebuah kerajaan yang wibawa, dan tidak tangkap muat atau mengumpul pagar daripada kalangan konco. Beban lama jangan diulang pikul. Masalah lama jangan diulang jinjing. Belajarlah daripada kejatuhan.

Kita boleh ukur apabila seseorang yang berjawatan mewakili parti di peringkat mana sekalipun buat sesuatu onar, parti di seluruh negara akan dapat merasai bahangnya. Maka, hanya melalui latihan berkesan akan dapat membentuk keperibadian yang telah hilang dalam budaya kita ini.

DR. MOHD. FAUZI SHAFFIE ialah Presiden Pertubuhan Jati.