KENYATAAN MEDIA DESAKAN UNTUK PENGGUBALAN DASAR INDUK NEGARA

Majlis Perundingan Melayu, MPM, memandang sirius beberapa perkembangan semasa yang berlaku sejak beberapa hari kebelakangan ini. Keterbukaan beberapa pihak cuba untuk ‘reset’ Agenda Pembangunan & Kemakmuran Negara mula kedengaran. Ada diantara usaha itu dilihat terarah kepada yang berbentuk reformasi institusi manakala ada pula yang berbentuk rombakan atau pembubaran kepada dasar-dasar yang ada.

‘Reset’ pertama dalam bentuk reformasi dasar, dilihat ada cubaan untuk memaksa dihapuskan segala dasar yang melindungi kedaulatan Agama Islam sebagai Agama Persekutuan dan Hak-hak Istimewa Bangsa Melayu (dan Bumiputera). Lebih parah, ada yang mula memberanikan diri mempersoalkan dan menidakkan kewujudan dan peranan yang dimainkan oleh Institusi Raja-Raja Melayu sebagai Pemerintah Negara ini.

‘Reset’ kedua pula ialah dalam bentuk reformasi institusi. Ia dilihat cenderung kepada usaha menidakkan kedaulatan ketiga-tiga institusi itu; Institusi Agama Islam, Institusi Raja-Raja Melayu dan institusi-institusi yang menjaga Hak-hak Istimewa Bangsa Melayu/Bumiputera.

Pembentukan ‘reset’ kedua adalah implikasi dari ketiadaan tindakan pantas baik dipihak Majlis Raja-Raja Melayu mahupun dipihak kerajaan, mengekang usaha untuk tidak menyentuh kedudukan dasar-dasar itu. Maka, suara-suara sumbang ini semakin berani untuk pergi lebih jauh dengan memperincikan mengapa setiap institusi itu wajib dibubar atau dirombak.

MPM bersetuju terdapat penambahbaikan yang perlu dilakukan, baik terhadap dasar, kewujudan, fungsi atau peranan setiap institusi itu. Syorkanlah apa yang perlu ditambahbaik. Mengapa perlu dibubarkan dasar, atau, mengapa perlu dibubar sesuatu institusi itu.

Sistem demokrasi kita membolehkan rakyat menukar kerajaan, mengikut citarasa rakyat sebagai pengundi. Itu telah dilakukan, kerajaan sudah pun bertukar, atas kehendak rakyat. Kita semua akur kepada perubahan itu. Bertukar kerajaan tidak bermakna semuanya bertukar, termasuk dasar dan kewujudan sesebuah institusi.

Kenyataan A Kadir Jasin mengenai Institusi Raja-Raja Melayu ada benarnya tetapi bila ia dibuat secara terbuka, lebih-lebih lagi dalam keadaan dan keghairahan semasa, ia juga boleh mengundang padah.

Begitu juga keberanian Hindraf yang secara tiba-tiba menyuarakan hak saksama dan adil bagi kaum India dan kaitannya dengan pembukaan tanah rancangan ala FELDA untuk kaum India serta kemasukan ke UiTM dibuka kepada semua kaum. Ia telah membuatkan orang Melayu/Bumiputera, samada mereka pro-BN atau pro-PH, melenting.

Terkini, ada pula kenyataan yang lebih rasis nadanya, iaitu apabila DAP Pulau Pinang menuding jari kepada UMNO dalam perlantikan pengurusan tertinggi dalam IPTA, sedangkan bilangan IPTA hanya kecil berbanding IPTS yang didominasi bukan-Melayu/Bumiputera dengan hampir kesemua pengurusan tertingginya dimonopoli bukan-Melayu/Bumiputera.

Jika MPM ingin mempertikaikan setiap kenyataan atau desakan itu, ia tidak akan ada kesudahannya, malah ia akan mengundang pengwujudan satu situasi yang lebih meruncing. Salah-salah hemat ia boleh mengundang pergeseran terbuka yang libatkan ras, etnik, agama dan perbezaan ikutan politik.

Keterbukaan dan keberanian bersuara secara terbuka,lebih-lebih lagi dalam situasi semasa ini berpunca hanya kerana kita tidak mempunyai satu Dasar Induk Negara yang mantap, lestari dan dikawal rapi. Dasardasar yang kita ada lebih merupakan dasar-dasar yang generic yang digubal mengikut keperluan atau selera semasa. Malah banyak darinya amat lemah, maka mudah menjadi flip-flop.

Tiba masanya kita gubal Dasar Induk Negara, yang merujuk kepada tiga dokumen teras utama ini, iaitu:

(i) Wasiat Raja-Raja Melayu

(ii) Perlembagaan Persekutuan, dan

(iii) Rukun Negara Dasar ini wajib segera digubal dan Kerajaan wajib berbincang dengan Majlis Raja-Raja untuk institusi ini menjadi ‘custodian’ kepada Dasar ini. Samalah juga seperti Akta Hasutan 1948, Dasar ini kemudiannya tidak boleh didebatkan secara terbuka sekalipun di Parlimen, jauh sekali dipinda, tanpa terlebih dahulu perolehi persetujuan atau perkenan Majlis Raja-Raja.

Dengan adanya Dasar Induk Negara ini, segala perubahan atau penggubalan kepada mana-mana dasar, wajib terlebih dahulu merujuk kepada Dasar Induk Negara ini. Begitu juga dengan penyusunan, rombakan apatah lagi pembubaran mana-mana institusi, wajib konsisten dengan peruntukan dalam Dasar Induk Negara ini. Maknanya, rombakan atau pembubaran mana-mana dasar atau institusi wajib terlebih dahulu peroleh perkenan dari Majlis Raja-Raja.

Rakyat hari ini semakin celik dan pintar. Mereka juga peka dengan hak mereka. Justeru, pendidikan menyeluruh hendaklah diberikan kepada semua rakyat mengenai kewujudan ketiga-tiga dokumen teras utama itu dan juga Dasar Induk Negara ini.

Jika pun tiada Dasar Induk Negara ini, seandainya Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancarkan diawal tahun 1970an itu tidak ditamatkan riwayatnya, hingga kini ia kekal relevan. Setidak-tidaknya ia dapat berperanan sebagai pengganti sementara kepada Dasar Induk Negara yang kami cadangkan ini. Pastinya DEB itu mampu merungkai atau mencari jalan keluar yang munasabah kepada tuntutan oleh Hindraf itu, misalnya. Malangnya kita semua sudah lupa kepada DEB itu. Maka, mahu atau tidak, kita semua amat memerlukan penggubalan Dasar Induk Negara ini dengan kadar teramat segera.

Dato Dr Hasan Mad

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu, MPM Kuala Lumpur

29 Mei 2018 (13 Ramadhan 1439H)

No Comments

    Leave a reply