KENYATAAN MEDIA PENYIMPAN MOHOR BESAR RAJA-RAJA BERKENAAN PENUBUHAN JAWATANKUASA TERTINGGI INSTITUSI HAL EHWAL ISLAM PERINGKAT PERSEKUTUAN

KENYATAAN MEDIA PENYIMPAN MOHOR BESAR RAJA-RAJA
BERKENAAN PENUBUHAN JAWATANKUASA TERTINGGI
INSTITUSI HAL EHWAL ISLAM PERINGKAT PERSEKUTUAN

Bagi tujuan penambahbaikan institusi-institusi Islam di peringkat Persekutuan, Raja- Raja Melayu yang bersidang pada 10 Julai 2018 menjelang Mesyuarat Majlis Raja- Raja ke 249 telah berkenan menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal  Islam Peringkat Persekutuan.

Jawatankuasa Tertinggi ini dianggotai seramai lima orang ahli yang dilantik oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan persetujuan  Raja-Raja Melayu. Ia dipengerusikan oleh YABhg. Tun Ahmad Sarji bin Abdul Hamid  dan timbalannya YBhg. Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan Perak Dato’ Dr. Afifi al- Akiti.

Manakala ahli-ahlinya ialah YBhg. Profesor Tan Sri Dr. Mohd Kamal Hassan,
YBhg. Dato’ Haji Nooh Gadot dan YBhg. Dato’ Haji Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh  Abdul Aziz.

Fungsi Jawatankuasa ini antaranya adalah untuk mengkaji kedudukan  pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan, latar belakang penubuhan,  bidang kuasa, serta keberkesanan agensi-agensi agama yang sedia ada termasuk agensi perundangan dan penghakiman Syariah di peringkat Persekutuan. Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja adalah urus setia kepada Jawatankuasa Tertinggi  ini.

Pada menjalankan tugas-tugasnya, Jawatankuasa Tertinggi ini akan menerima  memoranda-memoranda dan juga akan berbincang dengan pihak-pihak yang  berkepentingan termasuk mereka yang sudi dengan sukarela menyampaikan pendapat-pendapat mereka.

Penubuhan Jawatankuasa Tertinggi ini dilihat selari dengan kedudukan Islam yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Usaha ini amat wajar kerana  ia kekal menghormati prinsip dan bidang kuasa Raja-Raja sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing, di mana institusi agama terus ditambahbaiki demi mempertahankan Islam, di samping terus menyebarluaskan nilai-nilai kesejagatan Islam di negara ini.

Hasil kajian Jawatankuasa Tertinggi ini akan dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja dengan cadangan penambahbaikan bagi pentadbiran dan pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan agar ia berada di atas landasan yang betul.

Dikeluarkan oleh
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja
30 Julai 2018

No Comments

    Leave a reply