KEPIMPINAN YANG GAGAL

Dalam Al Quran digambarkan bahawa sebarang krisis yang melanda sesebuah negara merupakan cerminan kepada apa yang telah dilakukan sama ada oleh rakyat mahupun pemimpinnya di masa lalu. Dalam perspektif teologi Islam, perkara ini disebut sebagai sunnatullah iaitu ketentuan Allah yang berkait rapat dengan hukum sebab akibat. Manusia melakukan perkara negatif, maka manusia juga yang akan menerima padahnya. Hukum ini berlaku pasti kepada semua makhluk-Nya tanpa terkecuali.

Hari ini kita berdepan dengan beberapa rangkaian peristiwa yang cukup merimaskan seperti kejatuhan matawang ringgit, kelembapan ekonomi dan pertelingkahan politik  untuk mengulingkan pemerintah yang tiada berkesudahan.

Rentetan kejadian ini kalau tidak diurus dengan betul dan bijaksana akan membawa impak yang boleh meranapkan negara dan pada akhirnya rakyat jelata juga yang menerima tempias buruknya.

Apa yang berlaku dan diterima pada hari ini pada hakikatnya merupakan pilihan kita sendiri dalam menentukan perjalanan kehidupan kita. Ia adalah risiko daripada apa yang kita kerjakan pada masa lalu. Ini bermakna, situasi krisis -kalau betul ini dikatakan krisis- yang terjadi adalah proses panjang yang dilakukan oleh pemimpin dan rakyat di masa lalu.

Krisis yang berlaku ini digambarkan dalam Al Quran dan dikategorikan sebagai turunnya azab yang menimpa kepada manusia yang kufur terhadap nikmat Allah. Dalam kalamnya Allah berfirman yang bermaksud, “Apabila kamu bersyukur nescaya akan Ku tambah nikmat yang Ku berikan kepadamu, namun apabila kamu kufur, nikmat itu akan berubah menjadi azab yang amat pedih.” (Surah Ibrahim:7).

Bersyukur bermakna memanfaatkan segala pemberian Allah atas kapasiti kita sebagai khalifah Allah di muka bumi dan menjayakan misi tersebut dengan amanah dan bertanggungjawab. Sebagai khalifah, manusia dipikul amanah mengurus bumi dan segala isinya dengan sebaik-baiknya sehingga ia dapat mendatangkan rahmat kepada seluruh isi jagat alam raya ini. Disebabkan matlamatnya ialah memperolehi kerahmatan, maka bersyukur bererti memaksimakan semua anugerah Allah dengan cara apa jua bagi mewujudkan kebaikan untuk semua.

Dalam kosakata Arab, orang yang bersyukur disebut sebagai syakir. Lawan katanya ialah kufur yang bermakna tidak menerima atau menentang dan secara umum diertikan sebagai lawan perkataan iman. Bersyukur juga bermakna menjaga dan mengawal diri daripada sikap dan perilaku jahat dan negatif. Apabila ada manusia yang berbuat jahat dan melanggar perintah agama ia dikira kufur. Begitu juga apabila ada pemimpin yang tidak amanah, integritinya musnah, melakukan rasuah dan tidak mampu untuk berbuat kebaikan dan kesejahteraan kepada rakyatnya, pada hakikatnya ia adalah pemimpin yang kufur.

Nikmat yang Allah berikan digunakan bukan untuk menjalankan fungsinya sebagai khalifah Allah, sebaliknya khalifah mengambil kesempatan untuk memenuhi hajat nafsu serakahnya. Amanah yang dipikul yang sepatutnya untuk mewujudkan rahmatan lil alamin, oleh pemimpin kufur hanya dijalankan untuk mengaut kepentingan diri peribadi dan puaknya.

Perkara ini turut disentuh oleh Imam al-Ghazali yang menyatakan bahawa apabila pemimpin diberikan kenikmatan dengan memimpin sesebuah negara, akan tetapi pada realitinya ia mempraktikkan kezaliman kerana tunduk kepada hawa nafsunya, maka sesungguhnya pemimpin itu jatuh sebagai musuh Allah. Al-Ghazali memberi amaran bahawa kepimpinan atau yang disebutnya sebagai al-wilayah akan menemui bahayanya apabila pemimpin tidak amanah dan tidak berupaya dalam menciptakan kemaslahatan untuk orang ramai.

Bila seseorang pemimpin menjadi musuh Allah, ia akan menimbulkan bahaya besar kepada rakyat dan negara sebagaimana peringatan Rasullullah SAW iaitu seseorang pemimpin perlu memberikan perhatian kepada tiga perkara: Apabila rakyat memerlukan belas kasihan, maka para pemimpin wajib memberikan perhatian yang sewajranya;  apabila menjatuhkan sesuatu hukuman, hukumlah mereka secara adil; dan melaksanakan apa yang telah dijanjikan (tidak mungkir janji).

Hakikatnya, perlu disedari bahawa pemimpin itu merupakan cerminan dari masyarakat yang menghasilkan pemimpin tersebut. Dari masyarakat yang bertamadun, berbudi bahasa dan demokratik maka akan muncul seorang pemimpin yang baik dan demokratik. Sebaliknya, apabila sesebuah masyarakat itu ‘sakit’ dan terbelakang maka akan muncul pemimpin yang authoritarian dan tidak demokratik. Di pihak lain, patut diakui pemimpin juga pencetus dan pembentuk corak budaya masyarakatnya. Apabila pemimpinnya adil, amanah, berintegriti dan bijaksana maka rakyat yang dipimpinnya akan menjadi masyarakat yang adil dan patuh kepada undang-undang.

Pemimpin adalah teladan dan contoh bagi rakyatnya. Apabila seorang pemimpin itu bersikap munafik, tidak jujur, berbohong dan korup, maka rakyat yang dipimpinnya akan meniru perkara yang sama. Jadi antara pemimpin dan rakyat merupakan entiti yang saling mempengaruhi. Pemimpin yang kufur dan tidak amanah akan menghasilkan rakyat yang sama.

Oleh  Dr. Alies Anor Abdul

No Comments

    Leave a reply