KEPUTERAAN RASULULLAH SAW DAN 40 TAHUN SEBELUM KENABIAN

Nabi Muhammad SAW dilahirkan di penempatan Bani Hisham di Makkah pada pagi hari Isnin, 9 Rabiulawal tahun pertama peristiwa serangan Kaabah oleh Tentera Bergajah, dan 40 tahun setelah berlalunya pemerintahan Kisra Anosyarwan. Tarikh ini adalah bersamaan dengan 20 atau 22 April 571M berdasarkan analisis yang dibuat oleh seorang alim besar, Muhammad Sulaiman al-Mansurfuri dan seorang lagi penganalisis ahli falak iaitu Mahmud Basya.

Ibn Saad meriwayatkan bahawa ibu Rasulullah SAW pernah berkata, “Setelah aku melahirkannya, keluarlah cahaya yang menerangi istana-istana di Syam.” Ahmad meriwayatkan sebuah hadis yang hampir sama maksudnya dari al-Irbad bin Sariyah.

Diriwayatkan bahawa perkara-perkara luar biasa (irhas) sebagai tanda perutusan Rasulullah SAW telah berlaku ketika Baginda SAW dilahirkan. Semasa Rasulullah SAW dilahirkan, empat belas lengkungan gerbang istana Kisra telah tumbang, api yang disembah oleh orang Majusi terpadam dan gereja-gereja di sekitar Bahirah Sawah telah runtuh setelah mendap ke dalam bumi. Berita ini diriwayatkan oleh al-Bayhaqi. Namun begitu, Muhammad al-Ghazali tidak memperakui berita ini.

Apabila Rasulullah SAW dilahirkan, ibu Baginda SAW telah menghantar utusan kepada Abd al-Muttalib. Abd al-Muttalib dengan penuh girang masuk ke dalam Kaabah, berdoa dan bersyukur kepada Allah Taala. Beliau memilih untuk cucunya itu nama Muhammad; nama ini tidak pernah dikenali dalam kalangan orang Arab ketika itu. Rasulullah SAW dikhatankan pada hari ketujuh sebagaimana kebiasaan yang dilakukan oleh orang Arab.

Orang pertama yang menyusukan Rasulullah SAW selepas ibunya ialah Thuwaybah, hamba Abu Lahab, yang ketika itu juga sedang menyusukan bayinya sendiri yang bernama Masruh. Sebelum itu, Thuwaybah juga telah menyusui Hamzah bin Abd al-Muttalib, dan selepasnya, dia menyusui Abu Salamah bin Abdul Asad al-Makhzumiy.

Keluarga Bani Saad

Menurut adat dalam masyarakat Arab setempat, mereka akan mencari perempuan-perempuan untuk menyusui anak-anak mereka. Tujuannya adalah untuk menghindari anak-anak mereka dari dijangkiti penyakit-penyakit masyarakat setempat. Ini juga akan dapat menguatkan fizikal anak-anak tersebut serta mengukuhkan urat sarafnya. Di samping itu, ia juga bertujuan memahirkan anak-anak ini dengan bahasa Arab jati dari peringkat awal usia lagi. Kerana itu, Abd al-Muttalib telah mencari perempuan yang dapat menyusui Rasulullah SAW.

Beliau pernah meminta seorang perempuan Bani Asad untuk menyusukan Rasulullah SAW; wanita itu ialah Halimah binti Abu Dhuayb, isteri kepada al-Harith bin Abdul Uzza yang dikenali dengan gelaran Abu Kabsyah dari kabilah yang sama.

Rasulullah SAW mempunyai adik-beradik sesusuan di sana, iaitu Abdullah bin al-Harith, Anisah binti al-Harith, Hudhafah atau Judhamah binti al-Harith (lebih dikenali dengan gelaran ‘Shayma’). Halimah menyusui Rasulullah SAW bersama-sama Sufiyan bin al-Harith bin Abd al-Muttalib, iaitu bapa saudara Rasulullah SAW sendiri.

Bapa saudara Rasulullah SAW iaitu Hamzah bin Abd al-Muttalib juga disusui oleh ibu susuan daripada keluarga Bani Saad bin Bakr. Beliau juga pernah menyusu dengan ibu susuan Rasulullah SAW iaitu Halimah. Ini menjadikan Hamzah sebagai saudara susuan Rasulullah SAW dari dua ibu susuan, iaitu Thuwaybah dan Halimah al-Sadiyyah.

Semasa menyusui Rasulullah SAW, Halimah melihat keberkatan Baginda SAW yang menimbulkan kekagumannya. Halimah menceritakan secara terperinci pengalamannya semasa menyusui Rasulullah SAW:

Berkata Ibn Ishaq bahawa Halimah menceritakan: Bahawa dia dan suaminya keluar dari kampung halamannya dengan membawa bayi yang sedang disusui. Bersama-sama mereka dalam rombongan itu ialah beberapa orang wanita dari Bani Saad bin Bakr. Wanita-wanita itu keluar dengan tujuan mencari bayi-bayi yang hendak disusui. Kata Halimah, “Pada masa itu adalah musim kemarau dan kami tidak mempunyai bekalan sedikit pun. Lalu, aku keluar menunggang keldaiku yang bernama Qamra. Kami membawa bersama-sama kami seekor unta yang telah tua; demi Allah, unta itu tidak mempunyai setitik susu pun. Pada waktu malam, kami tidak dapat tidur lelap disebabkan bayi kami menangis kerana kelaparan, sedangkan susu badan aku tidak mencukupi untuk keperluannya.

“Unta kami pula tidak mempunyai susu untuk dijadikan makanan. Namun, kami tetap berharap agar mendapat bantuan dan penyelesaian kepada masalah yang kami hadapi. Lantaran itu, aku pun keluar menunggang keldai. Aku terus menunggang tanpa henti sehingga menyusahkan rombonganku disebabkan mereka tidak terdaya. Apabila kami sampai ke Makkah, kami pun mencari kalau-kalau ada bayi yang hendak disusukan. Setiap wanita dalam kalangan kami ditawarkan untuk menyusui Rasulullah SAW tetapi mereka enggan menerimanya apabila mengetahui bahawa Rasulullah SAW adalah seorang anak yatim. Ini kerana kami mengharap akan mendapat suatu kebaikan daripada bapa si bayi itu. Kami berkata, ‘Ah, anak yatim! Apalah yang dapat dibuat oleh datuk dan ibunya?’ Itulah sebabnya kami tidak mahu menerima anak yatim.

“Akhirnya, semua wanita yang datang bersama-samaku mendapat bayi dari orang lain. Setelah kami berkumpul untuk berlepas pulang, aku berkata kepada suamiku, ‘Demi Allah, aku tidak suka pulang bersama-sama teman-temanku tanpa mengambil seorang bayi. Demi Allah, aku akan pergi kepada si yatim itu dan mengambilnya. Suamiku berkata, ‘Tidak ada salahnya kamu mahu buat begitu, mudah-mudahan Allah akan menjadikan untuk kita keberkatan pada bayi itu.’ Lalu, aku pun pergi mengambil bayi itu.

“Tidak ada yang mendorong aku untuk mengambilnya melainkan kerana tidak mendapati bayi lain. Setelah mengambilnya, aku pun kembali ke kenderaanku. Setelah aku meletakkan bayi itu di dalam bilik, aku meletakkan bayi itu pada dadaku supaya dia dapat menyusu sebanyak mana yang dia mahu. Lalu diminumnya sehingga puas, dan saudaranya juga menyusu sehingga puas. Kemudian, kedua-dua bayi itu pun tidur. Sebelum itu, kami tidak pernah dapat tidur kerana bayi kami yang asyik menangis. Suamiku bangun dan pergi kepada unta tua kami; tiba-tiba dia mendapati unta itu mempunyai susu! Lalu, diperahnya susu unta itu sekadar untuk minumannya; aku juga turut minun sehingga betul-betul rasa puas dan kenyang.

“Pada malam itu, kami dapat tidur lena. Apabila tiba pagi, suamiku berkata kepadaku, ‘Demi Allah, ketahuilah wahai Halimah, sesungguhnya engkau telah mengambil seorang manusia yang diberkati.’ Aku menjawab, ‘Demi Allah, aku pun mengharapkan demikian. Kemudian kami keluar dan aku menunggang keldaiku dengan membawa Rasulullah SAW bersama-samaku. Demi Allah, keldai itu bergerak dengan pantas sekali sehingga tidak mampu dikejar oleh keldai-keldai mereka yang lain, sehinggakan teman-temanku berkata, ‘Hai, puteri Abu Dhuayb! Perlahanlah sedikit! Bukankah keldai itu yang kamu tunggang semasa keluar bersama-sama kami?’ Aku menjawab, ‘Bahkan demi Allah, keldai inilah yang aku tunggang dahulu.’

“Lalu, wanita-wanita itu berkata, ‘Demi Allah, pada keldai itu ada sesuatu urusan.’ Kemudian, kami pun sampai ke rumah-rumah kami di perkampungan Bani Saad. Setakat yang aku tahu, kampung kami adalah tempat yang paling buruk dilanda kemarau. Tatkala kami pulang membawa Rasulullah SAW, kambing-kambingku pulang dari meragut dalam keadaan kenyang dan mempunyai susu. Lalu, kami perah dan minum susu kambing itu sedangkan orang lain tidak mendapat setitik susu pun pada lambung susu kambing mereka. Sehinggakan kaum kami yang melihatkan hal tersebut berkata kepada para penggembalanya, ‘Mengapa kamu tidak membawa kambing-kambing itu ke tempat yang dibawa oleh penggembala puteri Abu Dhuayb?’ Kambing mereka pulang dalam keadaan lapar sedangkan kambingku pulang dalam keadaan kenyang serta mempunyai susu.

“Kami terus mendapat tambahan dan keberkatan dari Allah sehinggalah usia Rasulullah SAW berlalu dua tahun dan berhenti menyusu. Rasulullah SAW membesar dengan cepat, tidak seperti kanak-kanak yang lain. Tidak sampai dua tahun, Rasulullah SAW telah menjadi seorang kanak-kanak yang berhenti menyusu. Setelah itu, kami pun membawanya kepada ibunya sedangkan kami sangat ingin agar Baginda SAW terus menetap bersama-sama kami disebabkan kami melihat sendiri keberkatannya. Lalu kami sampaikan hasrat kami kepada ibunya. Aku berkata, ‘Tinggalkanlah anak ini di sisiku sehingga dia besar kerana aku bimbang nanti dia ditimpa wabak penyakit di Makkah.’ Kami terus memujuk ibunya sehingga akhirnya beliau mengembalikan anak itu kepada kami.”

Begitulah bagaimana Rasulullah SAW terus berada dalam peliharaan Bani Saad. Apabila berlalu empat atau lima tahun dari kelahiran Baginda SAW, berlakulah peristiwa pembelahan dada Baginda SAW. Muslim meriwayatkan daripada Anas bahawa Rasulullah SAW pernah didatangi oleh Jibrail ketika Baginda SAW masih kanak-kanak dan sedang bermain dengan kanak-kanak lain. Jibrail telah menangkap Rasulullah SAW lalu membelah dada Rasulullah SAW dan mengeluarkan hatinya. Dari hati tersebut, dikeluarkan sebuku darah, dan Jibrail berkata, “Inilah bahagian syaitan padamu.” Kemudian, dibasuhnya hati itu dengan air Zamzam di dalam bekas daripada emas. Selepas itu, dikembalikan semula hati itu ke tempat asalnya dan dicantumkan semula dada Baginda SAW. Kanak-kanak yang menyaksikan kejadian tersebut berlari-lari mendapatkan ibu susuan Rasulullah SAW dan berkata, “Muhammad telah dibunuh!” Kemudian, mereka pergi semula kepada Rasulullah SAW, dan mendapati air muka Rasulullah SAW telah berubah.

Kembali ke Pangkuan Ibu yang Pengasih

Selepas peristiwa itu, timbul kebimbangan Halimah mengenai keselamatan Muhammad SAW, lalu beliau pun mengembalikan anak itu kepada ibunya. Maka, tinggallah Muhammad SAW bersama-sama ibunya sehingga umur Baginda SAW mencecah enam tahun.

Terkenangkan kepada suaminya yang telah meninggal dunia, Aminah bercadang untuk menziarah kubur suaminya di Yathrib. Lalu, Aminah keluar dari Makkah dengan membawa bersama-samanya anak yatimnya, Muhammad SAW, dan pelayan wanitanya, Ummu Ayman. Rombongan mereka diketuai oleh Abd al-Muttalib. Di Madinah, mereka menetap selama sebulan. Setelah itu mereka beredar pulang. Dalam perjalanan pulang, Aminah jatuh sakit; keadaannya adalah tenat sejak awal perjalanan tersebut lagi. Akhirnya beliau meninggal dunia di Abwa iaitu suatu tempat di antara Makkah dan Madinah.

Ke Pengkuan Datuk Penyayang

Abd al-Muttalib membawa Muhammad SAW pulang ke Makkah. Perasaan sayu terhadap cucunda beliau yang yatim dan baru ditimpa bencana itu menimbulkan kesayuan yang tidak pernah dirasainya terhadap anak-anak yang lain. Abd al-Muttalib tidak membiarkan Muhammad SAW bersendirian dalam menghadapi sebarang tanggungjawab, malah beliau utamakan anak yatim itu berbanding anak-anaknya yang lain.

Berkata Ibn Hisham, “Abd al-Muttalib mempunyai sehelai hamparan yang diletakkan di bawah teduhan Kaabah. Anak-pinaknya duduk di sekeliling hamparan menanti beliau keluar ke situ. Tidak seorang pun anak-anaknya yang berani duduk di atas hamparan itu kerana menghormati Abd al-Muttalib. Suatu ketika, datanglah Rasulullah SAW yang waktu itu masih kanak-kanak, lalu Baginda SAW duduk di atas hamparan tersebut. Melihatkan itu, bapa-bapa saudaranya cuba menghalang Rasulullah SAW. Abd al-Muttalib yang melihat tindakan mereka berkata, ‘Biarkan anakku ini. Demi Allah, dia seorang yang mempunyai sesuatu urusan.” Kemudian beliau duduk bersama-sama Rasulullah SAW di atas hamparannya sambil membelai belakang Baginda SAW. Rasulullah SAW merasa senang melihat kepada datuknya dan apa yang dilakukannya.

Semasa umur Rasulullah SAW lapan tahun dua bulan sepuluh hari, datuk Baginda SAW, Abd al-Muttalib, meninggal dunia di Makkah. Sebelum kematiannya, beliau sempat berwasiat supaya tanggungjawab menjaga Rasulullah SAW diserahkan kepada bapa saudara Baginda SAW, Abu Talib, iaitu saudara kandung bapa Rasulullah SAW.

Ke Pangkuan Bapa Saudara

Abu Talib menjalankan peranannya ke atas anak saudaranya sesempurna mungkin. Beliau mengasuh Rasulullah SAW seperti anak-anaknya tetapi mengutamakan Baginda SAW berbanding mereka secara khusus dari segi penghormatan. Muhammad SAW tinggal bersama-sama bapa saudaranya sehingga melebihi usia 40 tahun. Abu Talib selalu melindungi Rasulullah SAW. Beliau sanggup berkawan dan bermusuh demi Baginda SAW. Hal ini akan dibincangkan pada bahagian lain dalam buku ini.

Memohon Hujan dengan Peribadi Rasulullah SAW

Ibn Asakir menyebut satu riwayat daripada Jalhamah bin Arfatah dengan mengatakan, “Aku pernah pergi ke Makkah pada saat penduduknya sedang menghadapi kemarau. Lalu, berkatalah orang Quraisy, ‘Hai, Abu Talib, lembah ini telah gersang, dan anak-pinak kita kekurangan makanan. Marilah kita berdoa meminta hujan.’ Kemudian, Abu Talib keluar membawa bersama-samanya seorang budak. Budak itu bagaikan mentari yang dikelilingi awan-awan, lalu kelihatan jelas dari awan-awan itu awan mendung yang membawa kebaikan yang banyak. Di keliling budak itu, terdapat ramai kanak-kanak. Lalu, Abu Talib mengangkat budak itu dan menyandarkan belakangnya ke Kaabah serta mendekapkan jari jemarinya ke tubuh itu. Ketika langit kosong dan tiada sebarang awan kecil, tiba-tiba datang awan mendung, dan hujan mula menitis dan mencurah-curah. Lembah Makkah pun mula menerbitkan air dan suburlah buminya di merata tempat. Peristiwa inilah yang disebutkan oleh Abu Talib dalam syairnya:

Si putih yang diminta hujan dengan berkat wajahnya

Ketua anak-anak yatim dan pelindung balu-balu.

Rahib Bahira

Apabila usia Rasulullah SAW mencapai 12 tahun (dikatakan 12 tahun sepuluh hari), Abu Talib membawa Baginda SAW berdagang ke Syam. Mereka sampai ke Basra – yang dianggap sudah termasuk dalam kawasan Syam dan ibu negeri Hawran – yang pada masa itu ialah ibu negeri bagi negara-negara Arab yang tunduk kepada pemerintahan Rom. Di negeri itu, ada seorang rahib bernama Jarjis yang dikenali dengan nama Bahira. Apabila rombongan Abu Talib singgah di sana, Bahira keluar menyambut rombongan tersebut sebagai tetamu yang dimuliakan. Bahira mengenali sifat Rasulullah SAW. Sambil memegang tangan Rasulullah SAW, Bahira berkata, “Inilah ketua seluruh alam, budak ini diutuskan oleh Allah sebagai rahmat untuk sekalian alam.”

Lalu Abu Talib berkata, “Bagaimana kamu tahu?” Jawab Bahira, “Ketika kamu bertolak dari Aqabah, tidak ada sebutir batu mahupun sepohon pokok melainkan semuanya tunduk sujud, dan semua itu tidak akan tunduk melainkan kepada seorang nabi. Sesungguhnya aku mengenali dia dengan cap kenabian di bawah tulang belikatnya yang seperti buah epal. Kami dapatinya ada disebutkan di dalam kitab-kitab kami.” Bahira meminta Abu Talib supaya membawa Rasulullah SAW pulang dan tidak dibawa pergi ke Syam kerana bimbang nanti orang Yahudi akan melakukan sesuatu yang buruk terhadap Baginda SAW. Maka, Abu Talib pun menghantar Rasulullah SAW bersama-sama sebahagian pembantunya pulang semula ke Makkah.

Perang Fijar

Semasa umur Rasulullah SAW 15 tahun, telah berlaku peperangan Fijar antara orang Quraisy dan sekutu-sekutu mereka dari Bani Kinanah dengan Qays bin Aylan. Dalam peperangan itu, tugas memimpin Quraisy dan Kinanah diserahkan kepada Harb bin Umayyah disebabkan dia mempunyai kedudukan sebagai seorang tua dan terhormat di sisi kabilah-kabilah tersebut. Pada waktu siang, kemenangan berpihak kepada Qays tetapi menjelang tengah hari, Kinanah telah dapat menewaskan Qays. Peperangan itu dinamakan Perang Fijar (jahat) kerana ia menceroboh kehormatan Tanah Haram dan bulan-bulan Haram. Rasulullah SAW telah turut serta dalam peperangan ini dengan berperanan membekalkan anak panah kepada bapa-bapa saudaranya, iaitu menyiapkan anak-anak panah untuk mereka.

Perjanjian Al-Fudul

Akibat Perang Fijar, maka termeterailah Perjanjain al-Fudul pada bulan Haram Zulkaedah. Perjanjian ini melibatkan kabilah-kabilah Quraisy dari kalangan Bani Hashim, Bani al-Muttalib, Asad bin Abd al-Uzza, Zuhrah bin Kilab dan Tayyim bin Murrah. Mereka berkumpul di rumah Abdullah bin Jadan al-Tayyimi kerana dia disegani sebagai orang yang tua dan mulia. Dalam pertemuan itu, mereka berpakat dan berjanji untuk tidak membiarkan seorang pun dizalimi, sama ada orang itu orang Makkah atau orang lain, melainkan mereka akan bersama-sama dengan orang yang dizalimi itu.

Mereka akan menuntut pertanggungjawaban daripada orang yang menzalimi itu sehinggalah dia mengembalikan apa yang dizaliminya. Perjanjian ini disaksikan oleh Rasulullah SAW. Rasulullah SAW pernah bersabda (selepas Baginda SAW diangkat menjadi Rasul) yang bermaksud, “Aku menyaksikan satu perjanjian di rumah Abdullah bin Jadan. Perjanjian itu sangat aku sukai lebih daripada memiliki unta yang merah. Kalaulah diajak mengadakan perjanjian itu semasa Islam, nescaya aku sahutinya.”

Semangat perjanjian ini menolak sama sekali sifat jahiliah yang ditunjangi oleh sikap perkauman. Dikatakan bahawa sebab berlakunya perjanjian ini ialah, seorang lelaki dari Zubayd datang ke Makkah dengan membawa barang-barangnya. Barangan itu dibeli oleh al-As bin Wail al-Sahmiy tetapi al-As telah menahan pembayaran kepada lelaki tersebut. Maka, lelaki itu meminta bantuan daripada sekutu-sekutu Quraisy iaitu Abd al-Dar, Makhzum, Jumah dan Sahm. Malangnya, mereka tidak mahu terlibat dalam urusan lelaki ini. Lalu, lelaki itu naik ke atas bukit Abu Qubays sambil melaungkan syair yang menceritakan perihal penganiayaan yang berlaku ke atas dirinya dengan suara yang lantang. Lalu al-Zubayr bin Abd al-Muttalib berkata, “Mengapakah orang ini diabaikan?” Akhirnya berkumpullah mereka yang telah disebutkan nama-namanya dalam Perjanjian al-Fudul. Mereka bertindak terhadap al-As bin Wail dengan merampas hak lelaki Zubayd itu setelah mereka sepakat untuk berpegang dengan perjanjian itu.

Kehidupan yang Mencabar

Pada zaman awal belianya, Rasulullah SAW tidak mempunyai pekerjaan yang tertentu. Akan tetapi, banyak riwayat yang menyebut bahawa Rasulullah SAW adalah seorang penggembala kambing. Rasulullah SAW menggembala kambing di kawasan perkampungan Bani Saad dan kambing penduduk Makkah dengan bayaran beberapa qirat. Semasa berumur 25 tahun, Rasulullah SAW keluar berniaga ke Syam dengan membawa harta perniagaan Khadijah binti Khuwalid r.ha. Ibn Ishaq berkata, “Khadijah binti Khuwalid ialah seorang wanita pedagang yang mempunyai kedudukan terhormat dan harta yang banyak. Beliau mengupah beberapa orang lelaki untuk menguruskan perniagaan hartanya. Beliau membuat pelaburan dengan mereka dan membayar sesuatu untuk mereka.”

Orang Quraisy ialah kaum pedagang. Apabila Khadijah r.ha mendengar mengenai Rasulullah SAW, iaitu mengenai kebenaran bicaranya, sifat amanah dan kemuliaan akhlak Baginda SAW, beliau pun menghantar utusan kepada Rasulullah SAW dan menawarkan Baginda SAW untuk membawa harta perdagangannya untuk diniagakan di Syam. Beliau menawarkan kepada Rasulullah SAW bayaran yang lebih baik daripada yang pernah dibayar kepada pedagang-pedagang lain. Di samping itu, beliau menyerahkan seorang hambanya yang bernama Maisarah kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW menerima tawaran itu, dan membawa harta Khadijah r.a untuk diniagakan di Syam. Maisarah ikut keluar bersama-sama Rasulullah SAW ke Syam.

Perkahwinan dengan Khadijah r.ha

Apabila Rasulullah SAW pulang ke Makkah, Khadijah r.ha mendapati keuntungan hartanya hasil daripada sifat amanah dan keberkatan yang tidak pernah dirasainya sebelum itu. Hambanya, Maisarah memberitahu beliau apa yang dilihatnya pada diri Rasulullah SAW, iaitu peribadi yang menarik, akhlak yang mulia, fikiran yang tajam, tutur kata yang benar serta perilaku yang amanah. Khadijah r.ha merasakan bahawa apa yang dicarinya selama ini sudah ditemui – sebelum itu, orang kenamaan dan para pemimpin telah berusaha melamarnya tetapi beliau menolak.

Khadijah r.ha menyampaikan hasratnya melalui seorang temannya, iaitu Nafisah binti Muniyyah. Lantas, Nafisah pun pergi kepada Rasulullah SAW dan memberitahu mengenai hasrat Khadijah r.ha hendak mempersuamikan Rasulullah SAW. Rasulullah SAW menerima hasrat tersebut lalu memberitahu bapa-bapa saudara Baginda SAW. Kemudian, bapa-bapa saudara Rasulullah SAW pergi kepada bapa saudara Khadijah r.ha untuk melamarnya. Ekoran dari itu, berlangsunglah perkahwinan antara Rasulullah SAW dengan Khadijah r.ha. Majlis perkahwinan itu dihadiri oleh Bani Hashim serta pemimpin-pemimpin Bani Mudar.

Perkahwinan ini berlangsung selepas dua bulan Rasulullah SAW kembali dari Syam. Rasulullah SAW telah menghantar 20 ekor unta muda sebagai mas kahwin. Rasulullah SAW mengahwini Khadijah r.ha ketika umur Khadijah 40 tahun. Khadijah r.ha merupakan wanita paling terhormat dalam kalangan kaumnya dari segi keturunan, kekayaan serta kepintaran. Beliaulah wanita pertama yang dikahwini oleh Rasulullah SAW; Rasulullah SAW tidak berkahwin lagi dengan wanita lain sehinggalah Khadijah r.ha meninggal dunia.

Semua anak Rasulullah SAW adalah hasil perkahwinan Baginda SAW dengan Khadijah r.ha, kecuali Ibrahim. Anak-anak Rasulullah SAW bersama Khadijah r.ha ialah al-Qasim (sempena nama anak sulungnya ini, Rasulullah SAW telah digelar Abu al-Qasim); kemudian, Zaynab, Ruqayyah, Ummu Kalthum, Fatimah dan Abdullah. Abdullah diberi gelaran al-Tayyib dan al-Tahir. Kesemua anak lelaki Rasulullah SAW meninggal dunia ketika mereka masih kecil. Anak-anak perempuan Rasulullah SAW kesemuanya sempat memeluk Islam dan berhijrah; mereka semua meninggal dunia ketika Rasulullah SAW masih hidup kecuali Fatimah r.ha, yang meninggal dunia enam bulan selepas kewafatan Rasulullah SAW.

Pembinaan Kaabah dan Isu Tahkim

Semasa Rasulullah SAW berusia 35 tahun, orang Quraisy membina semula Kaabah. Kaabah sebelum itu – semenjak dari zaman Nabi Ismail a.s – merupakan lapisan batu-bata besar yang tingginya sembilan hasta dan tidak mempunyai bumbung. Sekumpulan pencuri telah masuk dan mencuri harta benda yang terdapat di dalamnya. Di samping itu, Kaabah juga terdedah kepada bencana alam yang telah menyebabkan binaannya goyah dan dinding-dindingnya retak.

Dua puluh lima tahun sebelum kelahiran Rasulullah SAW, banjir besar Arim telah melanda Makkah dan meresapi Baitullah al-Haram. Banjir besar itu telah menyebabkan Kaabah hampir-hampir runtuh. Lantaran itu, orang Quraisy terpaksa membina semula Kaabah demi menyelamatkannya daripada musnah. Mereka bersetuju agar sumber yang membiayai pembinaan Kaabah mestilah dari sumber yang baik. Mereka tidak boleh memasukkan sumber-sumber seperti hasil pelacuran, perniagaan riba dan sebarang harta yang diperolehi secara aniaya.

Pada mulanya mereka merasa takut untuk meruntuhkan binaan Kaabah yang asal. Orang yang mula-mula meruntuhkan binaan itu ialah al-Walid bin al-Mughirah al-Makhzumi. Dia kemudian diikuti oleh orang ramai setelah mereka melihat tidak ada apa-apa bahaya yang menimpa al-Walid. Lalu, berterusanlah mereka melakukan kerja-kerja merobohkan Kaabah sehingga sampai ke tapak asas yang dibina oleh Nabi Ibrahim a.s.

Setelah itu, mereka pun memulakan kerja-kerja membina bangunan Kaabah yang baharu. Mereka membahagi-bahagikan bahagian Kaabah kepada setiap kabilah untuk dibina. Kerja-kerja pembinaan diketuai oleh seorang tukang bina berbangsa Rom yang bernama Baqum. Apabila tahap pembinaan sampai ke bahagian Hajar al-Aswad, mereka mulai berselisih pendapat mengenai siapakah yang patut diberi penghormatan untuk meletakkan batu itu di situ. Perbalahan itu berlanjutan selama empat atau lima malam. Ia semakin meruncing sehingga hampir-hampir menimbulkan peperangan di Tanah Haram.

Lalu, Abu Umamah bin al-Mughirah al-Makhzumi mencadangkan supaya mereka melantik seorang hakim untuk menyelesaikan perbalahan tersebut. Hakim yang dicadangkan ialah orang yang pertama sekali masuk dari pintu masjid menuju kepada mereka. Mereka pun bersetuju dengan cadangan tersebut. Allah mentakdirkan bahawa orang yang ditunggu itu ialah Rasulullah SAW. Apabila mereka melihat Rasulullah SAW, mereka pun menjerit, “Inilah si jujur, kami setuju dengannya!” Orang yang dimaksudkan ialah Muhammad SAW. Sesampainya Nabi Muhammad SAW kepada mereka, Baginda SAW pun diberitahu mengenai cadangan tersebut.

Rasulullah SAW meminta sehelai kain lalu diletakkan batu itu di tengah-tengah kain tersebut. Kemudian Rasulullah SAW meminta semua ketua kabilah yang berbalah itu memegang bucu kain tersebut dan menyuruh mereka mengangkat kain itu sehingga sampai ke tempatnya. Setelah sampai ke tempat sepatutnya, Rasulullah SAW mengambil batu itu dengan tangannya dan meletakkannya sendiri di penjuru Hajar al-Aswad. Itulah penyelesaian bijak yang dipersetujui oleh semua pihak.

Orang Quraisy menghadapi kekurangan peruntukan dari sumber yang baik untuk meneruskan pembinaan Kaabah. Oleh sebab itu, mereka mengeluarkan kira-kira enam hasta binaan di sebelah utara yang dikenali sebagai Hijir Ismail dan al-Hatim. Mereka meninggikan pintu Kaabah atas dari permukaan tanah supaya tidak dimasuki oleh sesiapa kecuali mereka yang dibenarkan. Apabila pembinaan telah mencapai 15 hasta, mereka memasang bumbungnya yang dilapik di atas enam batang tiang.

Dengan itu, jadilah ukuran Kaabah yang telah selesai itu berbentuk empat segi. Ketinggiannya kira-kira 15 meter. Panjang bahagian tepinya yang terletak Hajar al-Aswad serta bahagian bertentangannya ialah 10 meter. Hajar al-Aswad diletakkan di paras 1.5 meter dari permukaan bumi tempat bertawaf. Bahagian tepi, iaitu kedudukan pintunya serta bahagian yang bertentangan dengannya, berukuran 12 meter. Pintu Kaabah berada pada ketinggian dua meter dari  bumi. Bahagian luar Kaabah dilingkungi satu kawasan binaan di bahagian bawahnya yang ketinggiannya agak sederhana, iaitu 0.25 meter. Jarak lebarnya juga sederhana, iaitu 0.3 meter. Tempat ini dikenali dengan nama al-Syadhrawan. Ia adalah tempat asal Kaabah tetapi orang Quraisy meninggalkan pembinaannya.

Sirah Ringkas Sebelum Kenabian

Semasa peringkat membesar, Nabi Muhammad SAW telah memiliki keistimewaan-keistimewaan yang tiada tolok bandingnya. Rasulullah SAW adalah contoh terbaik seorang yang memiliki fikiran yang bernas dan pandangan yang tepat. Rasulullah SAW dikurniakan sifat-sifat seperti pintar, berpandangan tajam, tindakan dan matlamat yang tepat. Sikap pendiam Rasulullah SAW dijadikan laluan untuk banyak berfikir dan mencari kebenaran. Dengan akhlaknya yang baik serta fitrahnya yang bersih, Baginda SAW menyingkap lembaran-lembaran kehidupan manusia, urusan-urusan mereka dan hal ehwal berbagai-bagai lapisan manusia. Rasulullah SAW merasa tidak senang dengan kepercayaan-kepercayaan khurafat dan menjauhkan dirinya dari perkara-perkara tersebut.

Rasulullah SAW bergaul dengan manusia mengikut pertimbangan fikiran untuk memahami mereka dan keadaan mereka. Apa yang didapatinya baik, Baginda SAW  akan bersama-sama mereka. Jika tidak, maka Baginda SAW akan kembali bersendirian. Rasulullah SAW tidak pernah minum arak dan tidak makan sembelihan-sembelihan yang dikhaskan untuk berhala. Rasulullah SAW tidak pernah menghadiri atau menyertai perayaan dan keramaian di tempat-tempat berhala. Malah, sejak kecil lagi Rasulullah SAW merasa jengkel dengan sembahan-sembahan yang palsu ini, sehinggakan tidak ada sesuatu yang paling dibenci oleh Baginda SAW selain berhala-berhala itu. Rasulullah SAW tidak tahan mendengar orang bersumpah dengan menyebut-nyebut nama al-Lata dan al-Uzza.

Tidak syak lagi, takdir Allah menetapkan bahawa Rasulullah SAW sentiasa terpelihara. Apabila timbul rasa kehendak nafsu untuk bersama-sama mengecapi keseronokan dunia dan keinginan untuk mengikuti adat resam yang tidak baik, maka sepantas itu juga datang pemeliharaan ketuhanan yang menghalang Rasulullah SAW dari terjebak dengan perkara-perkara tersebut. Ibn al-Athir meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Aku tidak pernah berkeinginan kepada sesuatu yang dilakukan oleh orang jahiliah kecuali dua kali. Semua itu dihalang oleh Allah antaraku dengan keinginan itu. Setelah itu, aku tidak lagi berkeinginan padanya sehinggalah Allah memuliakan aku dengan melantikku sebagai rasul-Nya.

“Pada suatu malam, aku berkata kepada seorang budak yang sama-sama menggembala denganku di tempat tinggi di Makkah, ‘Bolehkah kamu tolong tengok-tengokkan kambingku supaya dapat aku pergi ke Makkah dan berhibur di situ sebagaimana anak-anak muda lain? Budak itu menjawab, ‘Baiklah, aku akan lakukan.’ Lalu, aku pun keluar sehingga apabila sampai ke rumah pertama di Makkah, aku mendengar bunyi-bunyian. Aku pun bertanya, ‘Apakah ini?’ Mereka menjawab, ‘Inilah perkahwinan si polan dengan si polanah.’ Lalu, aku pun duduk tumpang mendengar. Tiba-tiba Allah menutup pendengaranku sehingga membuat aku tertidur. Aku hanya terjaga apabila dikejutkan oleh panas matahari. Lalu, aku kembali kepada sahabatku. Dia pun bertanya kepadaku dan aku memberitahu apa yang terjadi. Pada malam yang lain pula, aku berkata seumpama itu juga kepada sahabatku itu. Lalu, aku pun masuk ke Makkah dan berlakulah kepadaku seperti yang berlaku pada malam sebelumnya. Setelah itu, aku tidak langsung berkeinginan kepada perkara yang buruk.”

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah, katanya, “Apabila Kaabah dibina, Nabi SAW dan al-Abbas pergi dan turut sama mengangkut batu-batu. Abbas berkata kepada Rasulullah SAW, ‘Sangkutkan kain sarungmu di leher agar tidak tercemar oleh batu-batu itu. Setelah berbuat demikian, tiba-tiba Rasulullah SAW rebah ke bumi sambil matanya tertumpu ke langit. Setelah itu Rasulullah SAW sedar seraya berkata, ‘Kain sarungku! Kain sarungku!’ Lalu, diikatlah kain sarung Baginda SAW. Dalam riwayat lain menyebutkan, “Setelah itu, tidak pernah orang melihat aurat Baginda SAW.”

Nabi Muhammad SAW mempunyai keistimewaan yang amat ketara dalam kalangan kaumnya iaitu sifat yang baik, akhlak yang mulia dan sikap yang pemurah. Rasulullah SAW merupakan orang terhormat dalam kalangan kaumnya, paling baik akhlaknya dan pendamping mereka yang penyabar. Rasulullah SAW juga orang yang paling benar tutur katanya, paling lemah-lembut, paling pemaaf dan dermawan, paling baik amalan, paling menunaikan janji dan paling amanah, sehinggakan kaumnya menggelar Baginda SAW dengan gelaran al-amin (yang amanah/jujur). Ini disebabkan pada diri Rasulullah SAW terkumpul segala keadaan yang baik dan ciri-ciri yang disenangi. Rasulullah SAW ialah sebagaimana yang diungkapkan oleh Ummul Mukminin Khadijah r.ha sebagai seorang yang menanggung bebanan orang yang lemah, membantu orang yang ketiadaan, memuliakan tetamu dan membantu sebarang perkara yang melibatkan kebenaran.

No Comments

    Leave a reply