Kerajaan boleh berubah, perkhidmatan awam kekal

Tugas merancang pembangunan ekonomi khususnya bagi sesebuah negara, terutama yang baru merdeka biasanya dipertanggungjawab ke atas jentera perkhidmatan awam. Inti pati sejarah Tanah Melayu bertunjangkan hubungan bersifat kesalingan antara institusi raja/kesultanan dengan rakyat.

Ini termasuk kepentingan institusi kepenghuluan dan pembesar daerah sebagai institusi yang membawa misi perkhidmatan daripada raja atau sultan kepada rakyat secara keseluruhan. Ini peranan strategik perkhidmatan awam hingga ke hari ini.

Menyusuri sejarah Malaysia, daripada sebuah jentera khusus menangani soal kutipan cukai dan pengurusan kemudahan asas, perkhidmatan awam kemudiannya ditransformasi menjadi mekanisme pentadbiran penting, terutama dalam menyokong kelancaran dasar pentadbiran negara.

Tumpuan utama perkhidmatan itu adalah kepada pembangunan rakyat tempatan khususnya Melayu/Bumiputera yang dikenal pasti kerajaan sebagai ketinggalan dari sudut sosioekonomi. Ideologi mengenai pembangunan itu dizahirkan melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) khususnya.

Ini sealiran dengan pernyataan falsafah dan sejarah sosio-budaya negara terbangun atas budaya tempatan yang sudah sedia ada di negara ini (sebahagian alam Melayu). Sekali gus, ia berlawanan misalnya dengan Amerika Syarikat (AS), yang menjadi negara baharu (atau disebut Dunia Baharu) yang didirikan atas budaya imigran sepenuhnya (tiada budaya tempatan asal seperti di Tanah Melayu).

Dengan tumpuan utama diberikan terhadap keberkesanan pelaksanaan dasar awam serta rancangan pembangunan negara itu, struktur jentera perkhidmatan awam yang menggerakkan pentadbiran negara ini pada zaman pentadbiran Inggeris dahulu dibentuk.

Pada peringkat awal berdasarkan dua komponen, iaitu Perkhidmatan Tadbir Melayu (Malay Administrative Services) dan Perkhidmatan Awam Tanah Melayu (Malayan Civil Services).

Perkhidmatan Tadbir Melayu menempatkan pegawai tadbir dalam kalangan anak tempatan berlatarbelakangkan pendidikan, sosialisasi dan latihan pendidikan berfahaman serta beraliran Inggeris.

Secara khusus, jentera pentadbiran ini menumpukan pembekalan modal manusia dalam kalangan anak tempatan, khususnya golongan aristokrat – Melayu untuk membantu kerja pentadbiran utama yang dilaksanakan secara menyeluruh oleh pegawai Inggeris yang berada dalam skim perkhidmatan dan pentadbiran berasingan, iaitu Perkhidmatan Awam Tanah Melayu (MCS).

Sebagai satu strategi untuk menjaga dan mengambil hati orang Melayu ketika itu khususnya dalam kalangan Raja-Raja Melayu, British menubuhkan Perkhidmatan Tadbir Melayu (MAS) yang menyediakan ruang kepada anak tempatan untuk berkhidmat dalam pentadbiran kolonial.

Satu daripada alasan langkah ini diambil pihak British adalah berasaskan kepercayaan Inggeris meragui kebolehan dan keupayaan orang Melayu mengendalikan soal perkhidmatan dan pentadbiran yang kompleks.

Senario berbeza ditunjukkan Perkhidmatan Awam Tanah Melayu (MCS). Secara umum, perkhidmatan ini diisi pegawai British dan lebih mengkhusus kepada tugas pentadbiran yang lebih penting dan strategik. Ini termasuk umpamanya berkaitan soal penggubalan dasar utama dalam pentadbiran kerajaan.

Perkhidmatan awam negara ini sentiasa bersekutu dengan rakyat dan ahli politik. Mereka bersama-sama bertanggungjawab dalam membantu membangunkan negara. Secara tersirat, paduan antara perkhidmatan awam dan kepemimpinan politik dibuktikan berkesan memperbaiki kualiti hidup rakyat.

Atas pertimbangan itulah dapat lihat dengan jelas bagaimana perkhidmatan awam – yang diperkukuh dengan etos, kepercayaan dan sentimen mengutamakan kesejahteraan tempatan (bangsa, agama, tanah air) berupaya mengharungi arus perubahan sosiopolitik dengan cermat dan berterusan.

Di satu sisi, ahli politik dimandatkan dengan tanggungjawab membantu rakyat daif di luar, manakala pada suatu sisi lain, perkhidmatan awam merangka dan melaksanakan impian dan tujuan negara ini membangunkan kehidupan rakyat secara holistik sejak mencapai kemerdekaan secara berterusan.

Pilihan raya dilaksanakan berulang-kali, kerajaan datang dan pergi bersilih ganti, namun perkhidmatan awam kekal setia dalam neutraliti politik meneruskan khidmat menjaga kesejahteraan negara secara menyeluruh di bawah payung Institusi Raja.

Oleh Prof Datuk Dr Nasrudin Mohamed Profesor di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA

Sumber : bharian.com.my

No Comments

    Leave a reply