Kerajaan pertimbang beri pendidikan percuma kepada pelajar IPT

SHAH ALAM – Kerajaan sedang berusaha mempertimbangkan cadangan memberikan pendidikan percuma sepenuhnya kepada pelajar untuk menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi.

Usaha itu sejajar hasrat mengurangkan bebanan rakyat bagi mendapatkan hak pendidikan di negara ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, cadangan itu lebih tertumpu kepada golongan sasar iaitu kumpulan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan kepada mereka yang memerlukan bantuan seperti orang kurang upaya (OKU), minoriti dan kurang bernasib baik.

“Beberapa model sedang dipertimbangkan dan pengiraan terperinci berkaitan perkara ini perlu dilaksanakan bersama dengan Kementerian Kewangan dan universiti awam untuk menampung kos tambahan ini. Inilah cabaran kementerian yang sentiasa menginginkan terbaik untuk rakyat.

“Namun ianya perlu dilaksanakan bersama-sama dengan pihak lain dengan melihat keperluan universiti awam di samping keutamaan diberikan oleh Kementerian Kewangan terhadap perbelanjaan negara,” katanya ketika sesi soal jawab lisan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata, kerajaan ingin memastikan setiap bantuan memberi impak yang substantif dan mampu melakarkan masa depan baik kepada negara.

Buat masa ini pendidikan disediakan adalah hampir percuma dengan pelajar hanya membayar 10 peratus daripada kos operasi sekali gus bermakna mereka menerima 90 peratus subsidi kerajaan.

Beliau menjawab pertanyaan S Kesavan (PH-Sungai Siput) yang ingin mengetahui kewujudan peruntukan untuk mengecualikan atau memberikan subsidi yuran pendaftaran bagi golongan anak asnaf atau golongan B40 bagi kategori sekolah dan universiti awam.

Maszlee memberitahu, kementerian juga menawarkan program bantuan kewangan kepada pelajar kolej komuniti daripada keluarga berpendapatan RM3,000 sebulan dan pelajar asasi di 12 universiti awam dengan syarat kelayakan keluarga B40 dan pertengahan (M40)

“Ia merangkumi bayaran yuran pengajian, elaun penginapan pelajar asasi dan bantuan wang saku RM300 sebulan. Kementerian turut menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar OKU dan program pendidikan khas di kolej komuniti terpilih.

“Untuk makluman, kementerian telah pun memohon peruntukan tambahan bagi inisiatif Bantuan Pelajar Pendidikan Tinggi (BPPT) yang dahulunya dikenali sebagai Bantuan Baucar Buku yang disalurkan melalui Kad Diskaun Siswa Pelajar,” katanya.

Sementara itu, Maszlee memaklumkan, yuran sekolah di peringkat pendidikan rendah dan menengah sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan diberi percuma di samping menyediakan tiga kategori bantuan persekolahan merangkumi Persekolahan Umum, Persekolahan Khusus dan Persekolahan one-off (sekaligus) dengan secara keseluruhannya terdapat 18 jenis bantuan.

“Bantuan Persekolahan Umum diberikan kepada semua pelajar meliputi Bantuan Geran Per Kapita, Bantuan Geran Per Kapita Prasekolah, Bantuan Bayaran Makanan Prasekolah, Bantuan Bayaran Tambahan Persekolahan dan Bantuan Sukan Sekolah.

“Bantuan-bantuan ini diberikan kepada semua murid tanpa mengira kumpulan pendapatan isi rumah sekali gus mengurangkan beban sedia ada yang ditanggung oleh golongan asnaf atau kumpulan isi rumah 40 peratus terendah ataupun lebih dikenali sebagai B40,” katanya.

Tambahnya, terdapat 12 jenis di bawah Bantuan Persekolahan Khusus bagi membantu kumpulan sasar mengikut kriteria antaranya bantuan pakaian seragam uniform, Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) dan Elaun Murid Berkeperluan Khas serta Projek Khas Sekolah Berasrama Penuh iaitu peruntukan kewangan kepada pelajar miskin bagi membiayai keperluan kewangan sepanjang mereka belajar.

Mengenai Bantuan Awal Persekolahan pula, katanya ia diberikan kepada murid sekolah berkelayakan bagi meringankan beban perbelanjaan persekolahan pada awal tahun dengan secara jumlah keseluruhan peruntukan untuk 2020 meningkat kepada RM3.478 bilion berbanding dengan RM3.021 bilion tahun ini.

Sumber : Sinar Harian

Tags: ,

No Comments

    Leave a reply