KERAJAAN PH HADAPI KRISIS KEYAKINAN

Rakyat semakin tidak yakin dengan Kerajaan PH dan punca utamanya ialah tindakan Kerajaan PH sendiri yang sentiasa bercanggah. Itu adalah rumusan daripada satu tinjauan yang dibuat oleh sebuah agensi perhubungan awam, Citrine One Sdn Bhd sebagaimana tersiar dalamKrisis keyakinan pada kerajaan akibat salah PH sendiri’, Malaysiakini, 26.2.2019.

Rumusan ini sekurang-kurangnya saperti membenarkan apa yang sedang berlaku dan ditimbulkan oleh warganet setelah kemenangan PH pada 8 Mei 2018 dianggap saperti euphoria, dan setelah memerintah hampir sepuluh bulan, keadaannya berubah menjadi bahan lelucon serta letusan kemarahan.

Sebelum ini, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) menimbulkan rasa kesal kerana PH masih belum menunjukkan prestasi membanggakan, sehingga perlu menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi dan Jawatankuasa Mengkaji Manifesto Pilihan Raya. Bagi Daim, tempoh belajar selama enam dianggap mencukupi, dan selepas itu perlu melaksanakan tanggungjawab untuk memenuhi keperluan rakyat.

Selepas sembilan tanpa melakukan apa-apa perkara, kecuali u-turn Kerajaan PH belum menunjukkan hasil yang memberansangkan. Situasi ini menyebabkan rakyat semakin muak dan meluat, maka tidak hairanlah, hasil tinjauan pendapat telah menunjukkan orang ramai semakin hilang kepercayaan kepada Kerajaan PH.

Dalam perkembangan lain, ada suara-suara menentang dan menempelak anggota kabinet Kerajaan PH sehingga menjenamakan PH sebagai Pakatan Hancing. Pakatan Hancing merujuk kepada istilah ‘kencing’, iaitu keadaan di mana rakyat yang memberi harapan pada 9 Mei 2018 rasa tertipu, geram dan marah.

Banyak sebab rakyat marahkan Kerajaan PH. Rakyat marah dengan andaian salah bahawa GST menyebabkan kos sara hidup meningkat. Bila GST ditiadakan selama tiga bulan, kos sara hidup tidak juga turun. Bila digantikan dengan SST, kos bukan sahaja tidak turun bahkan terus meningkat sehingga ada penduduk menyifatkan kehidupan mereka sekarang saperti orang bercinta.

Suri rumah merasakan mereka tidak lagi mampu membeli barang-barang keperluan harian. Ketidakmampuan itu berlaku disebabkan pendapatan mereka bukan sahaja tidak meningkat, juga semakin menurun terutama dalam kalangan pekebun dan peneroka FELDA. Harga kelapa sawit jatuh teruk sehingga ada yang membandingkannya dengan harga belacan.

Setelah harga kelapa sawit dan getah yang rendah, pendapatan nelayan yang tidak seberapa, menteri memberikan beberapa cadangan, termasuklah menukarkan jenis tanaman kepada tanaman yang lebih menguntungkan saperti musang king dan sebagainya. Nelayan juga disyorkan menanam buah-buah di sekitar rumah.

Ia sesuatu yang menampakkan realiti sebenar pemikiran seorang menteri. Bukan mudah peneroka boleh menukarkan jenis tanaman, kerana ia melibatkan kos dan hasilnya memakan masa bertahun. Musang king, walaupun harganya menarik, ia bukanlah boleh mendatangkan hasil setiap bulan. Setahun sekali, dan pokok mungkin mula berbuah setelah lima atau enam tahun ditanam.

Nelayan juga turut mengeluh dengan cadangan menteri, sebab nelayan bukanlah mempunyai tanah. Mungkin menteri terlupa, kehidupan mereka memang tidak boleh dipisahkan dengan laut dan rumah-rumah mereka adalah sekitar pantai. Apakah jenis tanaman yang sesuai ditanam di tanah berpasir? Secara lojiknya, pokok gajus, ubi keledek, tembikai dan mungkin jambu batu. Adakah pasaran untuk buah gajus yang berbuah setahun sekali mampu menampung perbelanjaan setahun?

Kemuncak rasa meluat orang awam kepada Kerajaan PH ialah selepas 100 hari mengambil alih pentadbiran kerajaan. 100 yang ‘diharapkan’ itu menjadi petanda nasib malang kerana Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan, manifesto bukan ‘kitab suci’ dan bagi menutupi kelemahan dalam melaksanakan janji, turut memberikan ingatan bahawa ‘malaikat pun berbuat silap’. Apabila ‘malaikat’ sedar berlaku kesilapan, ‘malaikat’ patah balik. Ia adalah kenyatan untuk mewajarkan u-turn yang berlaku.

Apa-apa bantuan yang diberikan bagi membantu rakyat, yang pernah dikecam sebagai ‘dedak’ dan pemberian hasil yang dicuri, akhirnya menjerumuskan Kerajaan PH ke kemelut yang besar. Orang awam mula mempersoalkan, sebelumnya haram kenapa kali ini dibolehkan? Bukan sahaja paradok, ia juga sesuatu yang amat bercanggah.

Terbaharu, Kerajaan PH membuat u-turn lagi apabila mengumumkan individu akan dibayar Bantuan Sara Hidup pertama sebanyak RM 100 bulan Mac nanti. Sebelumnya, tidak disebut bantuan berkenaan dan tidak dimasukkan dalam Bajet 2019. Ia dikaitkan dengan keputusan terpaksa menjelang PRK DUN Semenyih, PPBM akan gunakan apa sahaja peluang untuk mempertahankan kerusi tersebut.

Tinjauan firma perhubungan itu turut memberikan indikasi, Kerajaan PH tidak cekap kerana tidak mengeluarkan dasar yang lebih menyeluruh, sebaliknya diumumkan secara terpisah dan sebagai eceran. Di situ sudah jelas, kebolehan merancang menteri-menteri Kerajaan PH begitu lemah. Lebih melemahkan bila pengumuman di buat tanpa mendapat persetujuan kabinet terlebih dahulu. Contohnya, isu ratifikasi ICERD. Dalam keadaan tergesa-gesa, Perdana Menteri terpaksa mengeluarkan kenyataan penangguhan.

Penangguhan itu tetap tidak dapat diterima oleh orang awam. Kehendak sebahagian besar rakyat Malaysia tidak melakukannya, bukan menangguh. Bagi mereka, menangguh tidak bererti tidak akan diratifikasikan pada masa hadapan. Menariknya lagi, ada menteri mengeluarkan kenyataan, sebuah jawatankuasa untuk membincangkan perkara itu sebenarnya sudah ada ketika BN berkuasa.

Apakah tujuan hujah itu dikeluarkan? Memang betul sudah ada perbincangan tertutup mengenai perkara tersebut, ia hanyalah untuk melihat kemungkinan-kemungkinannya. Orang awam akhirnya menempelak Kerajaan PH, jawatankuasa itu hanya berbincang, tetapi tidak ada keputusan.

Hal sedemikian ada biasa dalam pentadbiran kerajaan. Ia dimulakan dengan perbincangan, jika mempunyai kebaikan yang jelas, akan dikembangkan perbincangan di peringkat Jemaah Menteri. Dalam Kerajaan PH, hanya menteri yang membuat keputusan secara solo, Jemaah Menteri terasa kesipuannya. Apatah lagi bila isu itu mendapat tentangan orang awam, proses penjelasan dan penerangan tidak dapat dilakukan. Akhirnya dilihat, masing-masing menteri diselubungi agenda peribadi dan saperti resam enau di dalam belukar.

Tinjauan selama sebulan melibatkan 321 responden mendapati ‘rasuah’ bukan lagi isu utama membelenggu pemikiran masyarakat. Mungkin ia sebagai petunjuk bahawa kemenangan Kerajaan PH dalam PRU ke-14 disumbangkan sebahagian besar oleh tindakan menuduh BN rasuah dan pemimpinnya adalah kleptokrat.

Rakyat juga muak dengan permainan politik Kerajaan PH yang awal-awal lagi menjadi ‘penyiasat’ dan ‘tukang dedah’; akhirnya saperti nasib manifesto PH sendiri. Penyiasatan mengambil masa yang panjang manakala proses pendakwaan masih belum berjalan dengan sempurna disebabkan bukti ‘belum cukup’.

Kini, rakyat mula menilai tindakan menggantikan Peguam Negara juga menimbulkan masalah, dan kini terpalit dengan isu yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat. Salah lantik dan salah tadbir, termasuklah majlis yang melibatkan Peguam Negara menari di suatu malam di Kota Kinabalu. Orang awam mempersoalkan apakah ‘hubungan baik’ Peguam Negara dengan lain-lain peguam itu sesuatu yang beretika menurut profesion keguaman atau boleh menimbulkan lebih banyak keraguan.

Sebelumnya, orang awam memahami bahawa peguam tidak bebas bergaul, dan kehidupan sehariannya tidak banyak berinteraksi walaupun sesama peguam, kecualilah dalam hal-hal bersifat professional. Majlis tersebut bukanlah majlis professional, ia adalah majlis keraian atau sambutan. Peguam Negara boleh hadir, tetapi ruangan yang ada perlu dijarakkan.

Senario tersebut membawa kepada penggelongsoran isu rasuah. Orang awam mula bertindak secara rasional apabila mengutamakan hal ehwal pendidikan, keselamatan awam dan kos sara hidup. Mungkin dalam tempoh tinjauan, isu kepemilikan ijazah menteri dan timbalan hangat diperkatakan, maka itulah menyebabkan pendidikan menjadi perkara utama.

Masyarakat semakin rasional, walaupun kadangkala menteri Kerajaan PH memperlihatkan sedikit tindakan tidak rasional. Masyarakat mula mempersoalkan integrity pemimpin-pemimpin Kerajaan PH, misalnya apabila Menteri Wilayah Persekutuan menyatakan seorang dari Timur Tengah berhasrat melabur RM 400 bilion dalam projek kereta nasional ketiga. Menteri Pembangunan Usahawan menafikan kenyataan tersebut, akhirnya Menteri Wilayah Persekutuan saperti kesipuan.

Khalid Samad mula dikecam oleh warga maya dengan perubahan pendiriannya mengenai pesta arak. Sebelum menyertai PAN, iaitu ketika bersama PAS, Khalid bertegas untuk menutup kilang arak. Bila menyertai PAN dan dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, memberikan sokongan mengenai Oktoberfest, dengan syarat ia tidak membabitkan orang Islam dan dibuat dalam persekitaran terkawal dan tertutup. Masyarakat mula melenting, menayang semula infografik dan akhirnya beliau dicap kehilangan prinsip perjuangan.

Khalid juga semakin dikecam apabila gagal menyediakan kemudahan lebih baik kepada penjaja dan peniaga kecil di bandar raya Kuala Lumpur. Lorong Tuanku Abdul Rahman tidak lagi menjadi medan beli-belah sepanjang bulan Ramadhan, dan tindakan untuk menutup jalan Tuanku Abdul Rahman bagi dijadikan pedestrian mall tidak disenangi. Mujurlah Khalid cepat bangkit, membatalkan cadangan penutupan jalan TAR.

Jika jalan TAR ditutup kepada kenderaan persendirian, hanya membenarkan bas, bererti Khalid sengaja tidak ingin melihat kemeriahannya menjelang musim-musim perayaan. Jalan TAR dijangka akan begitu lengang, dan keadaan masa kini juga sudah menampakkan kesunyiannya pada waktu malam. Jalan TAR tidak lagi semeriah tahun-tahun 1980-an dan 1990-an, kerana itulah banyak bangunan kedainya ditutup, kecualilah di sekitar antara Sogo dan Colesium. Kemegahan Globe Silk Store, Mun Long, Chotirmall, P Lal Store tidak dapat dikembalikan. Hanya sedikit bernafas lega ialah Sogo, tetapi, perlu bijak memasang perangkap Jualan Murah.

Menurut firma perhubungan awam itu: Mungkin sudah tiba masanya, kerajaan PH berusaha menangani masalah isu semasa berbanding asyik menggali kes-kes lama. Walaupun sampelnya kecil, indikasi itu amat penting untuk Kerajaan PH mengatur langkah, termasuklah memberikan penerangan yang memadai mengenai dasar pendidikan yang dianggap oleh 41.1 peratus ‘masih belum jelas’, 58.6 peratus jadual bayaran balik PTPTN perlu diperhalusi, dan 41.3 peratus ‘kerajaan tidak proaktif menanangi isu gangguan seksual di tempat kerja.

Mungkin tidak termasuk dalam permasalahan tinjauan tersebut ialah ‘kemarahan orang awam terhadap’ pelecehan agama Islam dan Nabi Muhammad SAW oleh bukan Islam, yang bukan sahaja semakin galak dilakukan oleh bukan Islam. Rakyat amat mengharapkan ‘tindakan tegas’ perlu dibuat sesegera yang mungkin, dan hukumannya perlu dilaksanakan sebagai satu bentuk pengajaran yang berkesan. Seboleh-bolehnya perlu dikenakan hukuman denda dan penjara mandatori tidak kurang setahun.

Jika perkara ini dapat disekat dalam masa yang singkat, Kerajaan PH dijangka boleh meraih semula simpati orang Melayu walaupun tidak sepenuhnya. Kini, Kerajaan PH semakin cuba dielakkan oleh orang Melayu, dan mungkin keputusan PRK DUN Semenyih boleh memberikan sedikit petunjuk, sejauhmanakah orang Melayu boleh percayakan Kerajaan PH.

Mahanor Saleha

No Comments

    Leave a reply