KERAJAAN ‘PINTU BELAKANG’?

Hari ini adalah hari minggu yang cukup mendebarkan. Ketika waktu tengah hari, rakyat Malaysia dikhabarkan dengan kejutan baharu bahawa lanskap politik tanah air akan berubah, selewat-lewatnya selepas ketua-ketua parti yang disebutkan bakal bergabung membentuk pakatan baharu selesasi menemui Yang di Pertuan Agong.

UMNO, PPBM, Gabung Parti Sarawak, serpihan PKR, Parti Warisan turun ke Kuala Lumpur untuk memberikan sokongan yang jelas kepada Dr Mahathir manakala Anwar Ibrahim mengadakan majlis Selamat Nuril Anwar dikediamannya. Jangkaan Dr Mahathir membuat pengumuman tidak berlaku sehingga lewat malam.

Ini tidak bermakna spekulasi kerajaan baharu tidak akan terbentuk. Dari ulasan Anwar, sudah menunjukkan bahawa Dr Mahathir sudah melakukan pengkhianatan, kerana pada malam Jumaat lalu keputusan Majlis Pakatan Harapan sudah mencapai keputusan konsensus, menerima penjelasan bahawa proses peralihan kuasa terserah kepadanya untuk ditentukan bilakah tarikh yang sesuai.

Mesyuarat PH dikatakan tegang, berpecah kepada dua kelompok. Kelompok yang menyokong Dr Mahathir mahukan beliau menamatkan jawatan Perdana Menteri sehingga PRU ke-15 diadakan manakala kelompok Anwar mahukan penetapan tarikh yang tepat. Akhirnya, setelah berbincang dan bertegang urat, keputusan dibuat bahawa Dr Mahathir berhak menentukannya masa yang sesuai.

Beberapa kali Dr Mahathir mengakui bahawa akan ‘berpegang kepada janji’. Bagaimanapun perkembangan pada hari minggu (semalam) sudah membuktikan Dr Mahathir tidak bersedia menyerahkan kuasa kepada Anwar dan lebih bersedia untuk membentuk gabungan baharu bersama UMNO, PAS, GPS, Parti Warisan dan Gerakan.

Azmin Ali pernah menafikan tidak akan menubuhkan parti baharu. Tetapi, perkembangan mutakhir memang memungkinkan sebuah parti baharu ditubuhkan dan kemudian akan bekerjasama menyokong Dr Mahathir. Kesan daripada perkembangan tersebut, menurut jangkaan, jumlah wakil rakyat menyokong Dr Mahathir sudah melebihi majoriti mudah. Dijangka sekitar 130 wakil rakyat.

Apa pun, kemungkinan itu menyebabkan keyakinan orang awam kepada politikus semakin kurang sihat kerana ‘kerajaan pintu belakang’ bukanlah kaedah penyelesaian terbaik bagi menyelesaikan kemelut dan membunuh PH yang hanya memerintah dalam tempoh kurang dua tahun.

Kalau esok akan terbentuknya ‘kerajaan baharu” , rakyat akan menyambut sinis ‘kerajaan pintu belakang’ dan boleh mengecap terus politikus memang ‘pandai berbohong’. Ia umpama berbohongnya Jamil (P Ramlee) dalam Madu Tiga (filem tahun 1964). Setelah tiga hari tidak pulang ke rumah setelah ‘penipuan’ diketahui isteri-isteri, Jamil berpakat menipu. Hasilnya, Jamil menipu, dilanggar ‘lori tahi’ dan berada di hospital semala tiga hari. Menipu, ‘untuk hidup’ kata P Ramlee, dan akhirnya isteri-isteri beliau mengemukakan cadangan jadual  giliran. Itulah juga yang akan berlaku, sekiranya ‘kerajaan pintu belakang’ menjadi kenyataan: Pembentukan kabinet berdasarkan parti yang bergabung.

Ketika isu ‘kerajaan pintu belakang’ heboh beberapa hari lalu, Lokman Adam dipecat keahlian UMNO kerana menyebarkan rakaman audio mengenai Zahid Hamidi yang ikut menyokong Dr Mahathir. Zahid dikatakan ketinggalan, sebab PAS sudah berbuat demikian. Bahkan PAS dengan beraninya mahu menggunakan usul undi percaya terhadap Dr Mahathir, kerana PAS memang tidak sukakan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Presiden PAS beberapa kali menegaskan tidak ada kerajaan pintu belakang. PAS lebih bersedia membentuk kerajaan melalui pintu depan. Jika sehari dua ini kerajaan pintu belakang benar-benar berlaku, Zahid dan Haji Hadi akan dikecam bukan untuk menyelamatkan negara tetapi menyelamatkan kedudukan Dr Mahathir.

Dr Mahathir seperti diketahui umum menerima tekanan hebat sebelum boleh membuat kenyataan, akan menentukan keputusan mengenai peralihan kuasa.

Presiden Parti Amanah tidak ada masalah sekiranya PH berkecai dalam masa terdekat kerana sudah lama menjadi pembangkang dan bersedia menjadi pembangkang semula.

Ketika berita mengenai mesyuarat khas parti diadakan, PAN tidak terasa takut jika perubahan itu. Dr Mujahid menggambarkan situasi semasa seumpama awan yang menjadi penghalang kecerahan langit.

Sebenarnya menteri-menteri daripada PAN menjadi orang yang paling resah jika PH hancur. Mat Sabu tidak lagi boleh mengharapkan kemenangannya di Bukit Raja tanpa sokongan PKR. PKR dijangka berpecah apabila Azmin bersama penyokongnya bersedia bersama Dr Mahathir dan meninggalkan Anwar.

Desas-desus sudah lama kedengaran Azmin bakal menubuhkan parti baharu yang kemudiannya bergabung dalam pakatan baharu tanpa DAP, PAN dan PKR.Tetapi, Azmin pernah menafikannya.

Lim Guan Eng turut dilaporkan meninggalkan pejabatnya sekitar jam 7.45 malam. Beliau dikatakan mengemaskan barangan peribadinya sebelum perubahan politik benar-benar terjadi. Bahkan media online turut melaporkan beberapa menteri bersiap sedia untuk mengosongkan pejabat sebaik sahaja ‘kerajaan baharu’ menjadi kenyataan. Mereka tahu, ruang untuknya sudah tidak ada lagi, kerana Dr Mahathir akan melantik mana-mana wakil rakyat yang memberikan perakuan nyata menyokongnya.

Ada banyak sebab kerisauan umum terhadap PH ketika ini, termasuklah gesaan agar Peguam Negara dipecat apabila melepaskan 12 orang tahanan yang dikaitkan dengan LTTE.

Selain membebaskan dakwaan mempromosi LTTE, Tommy Thomas dilaporkan semakin bercanggah dengan pendirian dan kuasa Menteri Dalam Negeri.

Sebelum ini, Peguam Negara membebaskan Lim Guan Eng daripada dakwaan salah guna kuasa. Tiada pendakwaan ke atas anak Mohamad Sabu atas mengambil dadah dan beberapa kes lain yang pada rakyat seumpama ‘rule of the junggle’, bukannya berdasarkan prinsip ‘rule of law’.

Akibat pengguguran itu, rakyat melihat profesionalisme polis mengumpul bukti dipersendakan hanya kerana kepentingan tertentu. Bukan sahaja pegawai penyiasat yang melakukan berhari-hari pengintipan kecewa, rakyat awam juga kecewa keputusan Peguam Negara seumpana ‘bias’.

Kisah penjualan aset juga turut menjadikan PH terus dibenci oleh rakyat termasuklah pendeposit TH kecewa bila 29 aset mereka dipindahmilik kepada Urusharta Jemaah dan lebih 70 peratus tanah ladang milik TH Plantations dijual.

Meskipun Mujahid sudah membuat penjelasan dan video itu tersebar, ia tidak dapat mengawal kerosakan akibat pemindahan aset tersebut.

Aset-aset tersebut dibeli daripada wang pendeposit, maka Menteri tidak berhak menjual atau memindah hak milik tersebut tanpa mendapat persetujuan pendeposit. Walaupun beliau diberikan tanggungjawab menyelia TH, pemindahan atau penjualan aset wajar mendapat persetujuan majoriti pendeposit.

TH alami kerugian, maka TH tidak sepatutnya membayar hibah kepada pendeposit, kata Menteri nilai aset lebih rendah daripada liabiliti, maka Menteri sepatutnya memikirkan kaedah untuk menimbuskan jurang tersebut, bukannya menyalahkan kerajaan terdahulu.

Jika ada salah urus, bukakanlah kertas siasatan secara profesional, bukannya melantik juru audit antarabangsa untuk mencari kesilapan tersebut. Ramai meminta agar ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) bukannya terus menerus menyalahkan pengurusan lama, tetapi kisah TH dipaksa membeli TH Selborn dan TH Perdana juga perlu disiasat semula. Ia lebih buruk daripada kejatuhan nilai aset yang dimiliki TH.

Aset TH merosot kerana kerajaan PH gagal, gagal meningkatkan nilai saham di BSKL. Sejak PH mengambil alih, indeks komposit jatuh merudum, dan ia memberi kesan kepada nilai aset milik TH. PH tidak berusaha merancakkan ekonomi, hanya sepanjang masa berusaha mendefisitkan keyakinan awam dah pelabur sehingga ribuan juta nilai saham ditarik keluar. Itu sebabnya nilai aset lebih rendah.

Seandainya kerajaan baharu tidak menjadi kenyataan, rakyat amat mengharapkan Dewan Rakyat dibubarkan. Pilihan Raya Umum adalah penyelesai terbaik bagi menamatkan kemelut politik dan siapakah sebenarnya yang layak memimpin. Rakyat sudah muak dengan percaturan dua orang politikus, Dr Mahathir dan Anwar sejak 1998 lagi.

Rakyat sudah faham makna petualang dan siapakah sebenarnya oportunis paling gaban dalam politik Malaysia. Kerajaan pintu belakang bukan penyelesaian terbaik. PRU semula adalah sesuatu yang amat dinantikan ketika ini.

 

MONOSIN SOBRI

No Comments

    Leave a reply