Kerajaan rancang kemuka RUU Akta Kebencian Agama dan Kaum

KUALA LUMPUR, 11 Zulkaedah 1439H, Selasa – Kerajaan merancang mengemukakan rang undang-undang (RUU) Akta Kebencian Agama dan Kaum bagi membendung kes penghinaan agama di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa hari ini berkata, akta itu bertujuan melindungi agama, meliputi Islam serta agama lain.

“Rang undang-undang ini bertujuan melindungi bukan sahaja Islam dihina tetapi agama lain juga yang dihina boleh diambil tindakan.

“Ini bagi menjamin kuasa yang ada dalam negara ini yang pelbagai kaum dan agama, perlu diberi perlindungan agar mana-mana agama sekali pun dilarang dicaci dan dimaki,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ismail mempersoalkan langkah yang akan diambil kerajaan bagi membendung kes penghinaan agama di media sosial, dengan merujuk kes seorang lelaki memuat naik status menyentuh sensitiviti agama di Facebook, sebelum ini.

Mujahid bagaimanapun berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima laporan rasmi daripada pihak polis mengenai kes yang disebutkan itu

Sumber : ismaweb.net

No Comments

    Leave a reply