Kerajaan sedia kaji semula SOP ambil anak angkat

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedia mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) proses mengambil anak angkat bagi membendung isu jual beli bayi dalam pasaran gelap.

Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh, berkata ini kerana pihaknya melihat wujud kelemahan dalam proses sedia ada sehingga menyebabkan ramai ibu-bapa sanggup membeli anak angkat daripada pasaran gelap.

Justeru katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung perkara berkaitan proses pengambilan anak angkat yang dilihat tidak mudah bagi sesetengah masyarakat hingga mendorong mereka menggunakan cara lain bagi mendapatkan anak angkat.

“Kita akan mengkaji semula SOP bersama KDN untuk memastikan keluarga yang mahu menjaga (anak angkat) mempunyai akses kepada kanak-kanak yang memerlukan kasih sayang keluarga.

“Garis panduan mengenai proses itu sudah ada tetapi kita kena tahu kenapa orang pergi ke pasaran gelap…jadi mesti ada kelemahan dalam sistem sedia ada, ” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penutup pada Forum Kos Pengurusan Kesihatan Mental, di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan BERNAMA hari ini mengenai penjualan bayi untuk dijadikan anak angkat menerusi laman sosial dengan kos mencecah sehingga RM15,000.

Pada masa sama, Hannah berkata, pihaknya meminta supaya ibu bapa yang ingin mendapatkan anak angkat supaya tidak menyokong aktiviti pembelian bayi di pasaran gelap sebaliknya menghubungi JKM untuk proses pengambilannya.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan itu kita minta mereka supaya membuat laporan kepada KDN.

“Kepada ibu bapa yang mahukan anak angkat, tolong jangan beli atau sokong pasaran gelap, sebaliknya mendaftar dengan JKM atau NGO (badan bukan kerajaan) Yayasan Orphancare kerana mereka juga mempunyai sistem untuk itu,” katanya.

Sementara itu, Hannah berkata, kerajaan tidak mempunyai infrastruktur dan memerlukan lebih banyak data berhubung kes berkaitan mental untuk memudahkan kaedah rawatan dan sokongan dilaksanakan buat golongan yang menghadapi masalah berkenaan.

Beliau berkata, Pusat Daftar Bunuh Diri Kebangsaan yang sedang diusahakan untuk diperkenalkan semula oleh Kementerian Kesihatan amat penting sebagai langkah pertama untuk kerajaan memperoleh data lengkap berhubung kes berkaitan masalah mental bagi memudahkan cara menanganinya dilaksanakan.

“Seperti di kementerian sendiri, kita hanya mempunyai data melalui Talian Kasih di mana kita merekodkan 6,107 panggilan berkaitan dengan JKM, termasuk 1,453 daripadanya atau 24 peratus untuk bantuan kaunseling dan psikologi.

“Kementerian juga sudah menubuhkan 11 Pusat Perkhidmatan Psikologi dan Kaunseling (PCC) khususnya di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebagai sistem sokongan terhadap masyarakat untuk mendapatkan bantuan berkaitan perkara itu, ” katanya.

Sumber : bharian.com.my

Tags:

No Comments

    Leave a reply