‘Kerajaan semasa majikan kami’

Negara sekali lagi melalui peralihan kuasa dengan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilantik sebagai Perdana Menteri untuk menerajui pentadbiran kerajaan baharu.

Ia proses demokrasi yang termaktub dalam perlembagaan. Pada CUEPACS peralihan kuasa ini berjalan baik dan dalam suasana negara yang aman damai.

CUEPACS mengambil pendirian sentiasa berdiri teguh dan menyokong sepenuhnya langkah diambil Perdana Menteri untuk membentuk kerajaan yang kukuh demi memastikan kesejahteraan serta keharmonian rakyat dan negara.

CUEPACS dan penjawat awam sentiasa bersama-sama kerajaan untuk terus memacu negara ini ke arah yang lebih cemerlang, seterusnya memberi perkhidmatan yang sangat berkesan dan berkualiti kepada rakyat dan negara.

Begitulah pendirian CUEPACS ketika ini, ‘Tingkatkan Produktiviti, Kukuhkan Integriti’.

Kerajaan adalah majikan kepada kakitangan awam. Bagi CUEPACS, siapa sahaja kerajaan hari ini, itulah majikan kami.

Walaupun kerajaan datang dan pergi bersilih ganti, perkhidmatan awam tetap kekal setia dalam neutraliti meneruskan khidmat menjaga kesejahteraan negara secara menyeluruh di bawah payung institusi Raja.

Perkhidmatan awam tonggak pentadbiran kerajaan dan perlu bertindak secara profesional.

Penjawat awam perlu bijak mendepani segala cabaran. Perkhidmatan diberikan perlu dilaksanakan dengan prinsip penyampaian terbaik selaras slogan ‘Saya Yang Menjalankan Amanah’.

Walau apa pun berlaku perkhidmatan kerajaan akan sentiasa dipastikan berada dalam keadaan yang terbaik untuk rakyat. Jika ada terkurang, sama-sama perbaiki, bukan diberi cacian dan memperlekeh peranan penjawat awam.

Justeru, CUEPACS mengharapkan hubungan antara kerajaan dan penjawat awam dipertingkatkan dari semasa ke semasa, demi kesejahteraan dan kemakmuran negara tercinta ini.

Tidak dinafikan timbul masalah apabila orang politik yang berada dalam kerajaan melihat penjawat awam masih menjalankan dasar kerajaan terdahulu. Di sini, persepsi istilah deep state atau daulah tersembunyi timbul.

Bagi penjawat awam tidak timbul istilah dasar kerajaan terdahulu atau kerajaan sekarang kerana bagi kami, hanya menjalankan dasar kerajaan yang termaktub dan didokumenkan.

Perasaan curiga pegawai lantikan politik wujud kerana dasar ini belum berubah.

Justeru, jika kerajaan semasa tidak selesa dengan dasar berkenaan, mereka boleh mengubahnya sebagaimana kehendak dan hala tuju kerajaan yang memerintah.

Risiko yang akan berlaku jika wujudnya deep state dalam kalangan penjawat awam ialah ketidaktenteraman dan proses pentadbiran dari semasa ke semasa tidak berjalan lancar.

Untuk pengetahuan semua, sehingga ke hari ini tiada gerakan deep state dalam kalangan penjawat awam.

Bagi CUEPACS kami menzahirkan keyakinan dan sokongan tanpa berbelah bahagi kepada Perdana Menteri. Oleh itu, CUEPACS yakin pentadbiran kerajaan baharu ini akan terus menjaga kebajikan anggota perkhidmatan awam kini dan selamanya.

Atas dasar itu, CUEPACS berharap segala rundingan dan tuntutan berkenaan kebajikan penjawat awam dari semasa ke semasa diambil cakna serta dipandang serius kerajaan.

Antaranya melihat dan menyemak semula Skim Saraan Malaysia dari segi gaji, elaun serta kemudahan lain untuk penjawat awam.

Pada masa sama CUEPACS berharap kerajaan dapat melihat dan meneliti semula pengumuman dibuat kerajaan sebelum ini serta isu yang belum selesai dalam pengumuman berkenaan.

Antara insentif untuk penjawat awam dan pesara yang belum dilaksanakan oleh pihak kerajaan ialah kenaikan gaji bersamaan satu kenaikan gaji tahunan (KGT) secara khas kepada semua penjawat awam, di samping KGT biasa setiap tahun, pemendekan kenaikan pangkat time based kali kedua dikurangkan daripada 13 tahun kepada 10 tahun, kenaikan pencen 1 peratus daripada kadar pencen secara one-off dan kuota haji khas kepada pesara.

Apa yang dapat saya simpulkan hubungan antara penjawat awam dan kerajaan mesti sentiasa kukuh dan utuh.

Dengan hubungan ini, ia dapat meningkatkan mutu kerja dan produktiviti dari semasa ke semasa.

Oleh Adnan Mat Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS)

Sumber : Berita Harian

No Comments

    Leave a reply