Kerana Si Kitol dan Mendeliar Muslim berhari-hari kena soal tapi menteri bebas hina Islam

IBADAT umrah hanya sunat. Dermakan wang itu untuk orang lain yang tidak pernah menjejaki kaki menuju Kaabah atau dermakan kepada umat Islam Palestin bagi meringan penderitaan mereka yang sedang dilanyak oleh Yahudi Zionis laknatullah.

Yakinlah, pahalanya lebih besar menanti anda meskipun tidak dapat menunaikan umrah. Ingat! menunaikan umrah (berkali-kali) adalah sunat, sedangkan ada di luar sana yang lebih memerlukan daripada kita menunaikan umrah atau mungkin mengerjakan haji berkali-kali.

Ibadat umrah bersifat individu, sedangkan membantu mereka (ramai) yang antara hidup dan mati, adalah wajib. Justeru, dermakan wang umrah itu kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Menunaikan umrah berkali-kali belum tentu masuk syurga kerana Islam ada awlawiyyatnya (keutamaannya). Menjaga akidah, memelihara agama dan menyampaikannya, itulah antara asasnya.

Sekiranya jaminan masuk syurga itu dengan menunaikan umrah, jawapannya sudah tentu yang memenuhi syurga nanti adalah orang Arab, sebab mereka tinggal berdekatan Kaabah, Makkah.

Mereka berjiran dengan Kaabah. Setiap hari mereka boleh menunaikan umrah berbanding kita yang mungkin setahun sekali. Tetapi mereka yang tinggal berdekatan Kaabah pun tidak melakukannya setiap hari. Mungkin tidak juga melakukannya setiap tahun.

Saya tumpang sedih nasib yang menimpa bekas Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi dan pendakwah, saudara Zambri Vinod. Zahid Hamidi dinafikan hak untuk menunaikan umrah, pasportnya ditahan sementara menunggu perbicaraan.

Manakala, Zambri Vinod ditahan, disoal siasat selama empat hari kerana ceramahnya yang sedikit menyentuh agama Hindu, dengan mengatakan agama Hindu mempunyai berjuta-juta tuhan. Saya tidak pasti saudara Zambri Vinod dapat daripada fakta itu.

Tetapi, jika itu kebenarannya, pertahankan. Tidak perlu takut. Dalam carian internet, jelas mengatakan ada 33 juta. Tetapi sepanjang pengajian saya, asal usul agama Hindu hanya menyembah satu tuhan. Tetapi itulah fakta yang ditemui dalam internet.

Apa yang boleh saya katakan Zahid dan Zambri, inilah semua dugaan dunia, lalui dengan tabah, pasti ada hikmah di sebalik, jangan bersedih. Bacalah buku jangan bersedih, la tahzan karangan Dr Aidh Abdullah Al-Qarni, bagi menghiburkan hati.

Sedihnya, kadang kala sang penguasa tidak berlaku adil kepada orang Islam. Kenapa tindakan tidak diambil terhadap mereka yang bertaraf menteri yang menghina agama Islam.

Kenapa apabila hanya ada seorang Islam yang dikatakan ‘menghina’ agama lain, maka disiasat berhari-hari. Sedangkan menteri bukan Islam hanya disiasat beberapa jam. Jika diteliti dari segi kandungannya, ternyata kenyataan menteri-menteri ultra kiasu itu jauh lebih menyakitkan hati kita. Tetapi mereka masih bebas. Saya fikir, ini tidak adil.

Sebab itu, bila dikatakan, Islam tidak terancam, saya tidak percaya. Kita gagal mempertahankan agama Islam yang suci ini. Raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam, turut dihina sedemikian rupa, pun kita gagal mempertahankan mereka.

Justeru, di manakah fakta mengatakan Islam tidak terancam malah berkembang subur. Apakah ini yang dikatakan rahmatan lil alamin. Orang bukan Islam menghina kita boleh. Kita mungkin ‘menghina’ mereka sedikit tidak boleh.

Berkali-kali saya menulis sebelum ini, apakah bukan Islam tidak pernah menghina agama Islam secara terang. Apakah mereka tidak pernah menghina agama kita ketika memberi ‘khutbah’ digereja. Pergilah siasat.

Masalahnya dalam kita sesama Islam, ada Si Kitol dan Mendeliar. Mereka sengaja viralkan ucapan atau ceramah seseorang yang tidak disukainya di dalam masjid. Mereka mahukan jadikan individu yang tidak disukainya itu sebagai sasaran. Si Kitol dan Mendeliar ini suka melihat saudara seagamanya berada dalam kesusahan.

Lihat bagiamana strategiknya orang bukan Islam, mereka juga tidak kurang mengutuk orang Islam, tetapi sesama mereka tidak viralkan ceramah ketua agama mereka. Pendek kata, mereka pandai makan, pandai simpan.

Sifat kita tidak begitu. Kita suka menganiaya sesama saudara seagama. Kita suka saudara seagama ditimpa musibah. Kita menganggap dengan tindakan sedemikian, kitalah yang menjadi hero. Walhal, sebenarnya tidak. Kita sebenarnya adalah pengkhianat kepada agama.

Saya teramat sedih ketika menyertai satu persidangan baru-baru ini apabila ada seorang profesor tersohor, Jomo KS mengatakan bahaya ethno-populism di Malaysia. Beliau merujuk kepada orang atau gerakan yang menggunakan bangsa dan agama sebagai alat untuk meraih simpati atau mendapatkan pengaruh.

Walaupun tidak merujuk kepada parti tertentu, sudah tentu kepada yang memahami, ianya merujuk kepada gerakan dalam kalangan orang Melayu Islam hari ini yang merasakan Islam terancam dan mereka keluar serta lantang mempertahankannya.

Terus terang, saya tidak bersetuju dengan pandangan beliau. Kenapa apabila kita mempertahankan hak bangsa dan agama, maka dikatakan ethno-populism, bersifat rasis dan amat bahaya. Sedangkan ada bangsa yang lebih rasis, langsung tidak menghormati Perlembagaan Negara dan agenda nasional, tidak pula dikatakan ethno-populism.

Pendek kata, apabila kita mempertahankan hak agama dan bangsa maka kita dilabelkan rasis. Sebaliknya, apabila bangsa lain atau agama lain mempertahankan hak mereka, jauh lebih ekstrem kadang kala, maka itu dikatakan hak dan itulah keadilan.

Pada hemat saya, Melayu Islam ada hak di bumi mereka sendiri dan wajib dipertahankan. Kemanakah Melayu Islam ini hendaklah pergi apabila mereka sudah tidak ada haknya lagi. Melayu Islam tidak ada tanah lain, melainkan tanah ini, tanah digelar Tanah Melayu.

Berbanding dengan bangsa lain. Jika mereka tidak mempunyai tanah di sini, pasti mereka masih mempunyai nama tanah berasaskan nama bangsa mereka. Jika tidak, mana mungkin wujud nama-nama seperti Tanah Besar China (India). Melayu dan Bumiputera hanya ada Tanah Melayu, tidak mungkin mereka boleh lari ke Tanah Besar China seperti Jow Lo.

Tetapi, apa yang perlu dirisaukan oleh bukan Melayu? Tanah yang mereka punyai jauh lebih banyak daripada Tanah Melayu itu sendiri. Inilah malangnya nasib Melayu di bumi Melayu.

Tanah rezab Melayu, semakin hari, semakin kecil. Semakin hari semakin ramai yang meninggalkan pulau di Pulau Pinang. Sama seperti yang berlaku di Singapura, suatu ketika dahulu. Melayu yang dahulunya majoriti menjadi minoriti. Hari ini, ada apa dengan Melayu di Singapura? Tidak mustahil Pulau Pinang akan menjadi Singapura.

Selagi ada Si Kitol dan Mendeliar, tidak mustahil apa yang berlaku di Singapura, akan berlaku di sini. Melayu sanggup jual tanah, untuk menjadi kaya buat sementara. Tanah Melayu yang dibeli oleh bangsa lain dalam skala yang besar, menjadi mereka kaya seumurkan hidup sehingga bergenerasi makan tak habis.

Lihatlah tanah Melayu yang telah tergadai seperti di Genting Highlands dan banyak lagi tanah-tanah lain yang tergadai. Jangan sampai kita menjadi Palestin.

Sebab itulah, daripada awal saya katakan, tidak perlu bersedih kerana tidak dapat menunaikan umrah atau sekadar disoal siasat selama empat hari. Banyak tugas kita yang lebih besar dan lebih awla (utama) sedang menanti. Pahala mempertahankannya jauh lebih besar daripada mengerjakan umrah itu sendiri.

Ingatlah, dalam Islam, individu dan amal ibadat yang dikerjakan, hanya untuk diri dia sendiri. Sedangkan, individu yang menggunakan segala tenaga dan hartanya untuk pembangunan syiar Islam dan umatnya, pahalanya jauh lebih besar daripada ibadat seorang individu. Jika tidak, mana mungkin solat sendiri dan solat berjamaah, jauh bezanya dari segi pahalanya.

Oleh Prof Ridhuan Tee

Sumber : Ismaweb.net

No Comments

    Leave a reply