Kerangka politik baharu cabaran kepada bangsa Melayu

Lebih tiga bulan lalu, rakyat Malaysia secara aman menggunakan kuasa di peti undi untuk mengalih tampuk pemerintahan yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) tumbang kepada Pakatan Harapan (PH).

Peralihan kuasa itu dilakukan secara bijak dan matang tanpa pertumpahan darah atau sebarang keganasan.

Syabas kepada semua pihak termasuk bekas Perdana Menteri dan bekas Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak yang menerima keputusan rakyat dengan penuh terbuka dan berlapang dada.

Bermulalah satu episod baharu dalam sejarah Malaysia. Kerajaan PH memulakan langkah mengemudi harapan rakyat dari pelbagai kaum dan agama yang mula menerima hakikat dan menunggu perubahan.

Masyarakat Melayu yang selama ini penyokong tradisi UMNO, parti tunjang BN dan menguasai pemerintahan negara, ikut serta dalam perubahan berkenaan dan sudah tentu sedikit sebanyak berasa janggal dengan pentadbiran kerajaan baharu.

Hala tuju UMNO, BN

UMNO dan BN bukan lagi di tampuk kuasa, sekali gus orang Melayu perlu menyesuaikan diri dengan kerangka baharu politik hari ini.

Perlembagaan Persekutuan kekal tanpa sebarang perubahan, manakala fungsi dan kedudukan Raja-Raja Melayu sedikit pun tidak terusik.

Tidak dapat dinafikan ada segelintir kelompok Melayu masih bernostalgia dengan UMNO, terus meratapi kekalahan parti berkenaan serta ada yang menimbulkan isu sensitif untuk membangkitkan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan PH.

Kini yang menjadi tanda tanya, adakah pucuk pimpinan tertinggi UMNO diterajui Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi selaku presiden mampu mengembalikan kuasa parti berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Namun, keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos lalu menyerlahkan kelemahan UMNO yang masih belum bangkit.

Bagi mengembalikan UMNO ke puncak kuasa, satu formula perlu ada menerusi penjenamaan semula BN selepas kebanyakan parti komponen keluar daripada gabungan itu, meninggalkan hanya tiga parti teras, iaitu UMNO, MCA dan MIC.

Penjenamaan semula BN perlu sebagaimana kepemimpinan terdahulu melakukan perubahan daripada Perikatan kepada BN.

Politik Melayu

Masyarakat Melayu juga perlu membuat keputusan bijak, sama ada bergabung dalam parti dikuasai Melayu seperti Parti Amanah Negara (AMANAH), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PKR atau terus meratapi kejatuhan UMNO.

Situasi ini membuatkan orang Melayu perlu memposisikan kedudukan mereka dalam kerangka politik baharu tanpa perlu terlalu berharap untuk melihat UMNO kembali menunjangi satu pakatan bersama parti lain di bawah BN.

Memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu bukanlah satu kesalahan, ia perlu berdasarkan prinsip sejagat yang menekankan keadilan dan kemanusiaan.

Hak istimewa orang Melayu juga bukan senjata untuk menghalalkan segala tuntutan yang berbaur perkauman, tetapi untuk membina kerukunan hidup dalam sebuah negara dikongsi masyarakat berbilang bangsa.

Pengiktirafan kewujudan pelbagai agama dalam sebuah negara sejajar semangat Piagam Madinah yang mencakupi hubungan sesama umat Islam, iaitu Muhajirin dan Ansar serta hubungan umat Islam dengan bukan Islam, iaitu Nasrani dan Yahudi.

Umat Islam di Madinah akhirnya mampu membina sebuah negara yang amat dihormati, semua kaum akhirnya menjalin hubungan diplomatik dan ekonomi.

Inilah kebijaksanaan ditunjukkan Rasulullah SAW bersama sahabat yang hidup bersama secara harmoni tanpa mengorbankan prinsip asas Islam yang sepatutnya dicontohi kerajaan sekarang.

Oleh Amidi Abdul Manan

Penulis adalah Timbalan Pengerusi Akademi Pendidikan Demokrasi dan Kewarganegaraan Malaysia

No Comments

    Leave a reply