Kesaksamaan gender tanggungjawab semua

Setiap tahun pada 8 Mac, saya terbabit dalam sambutan Hari Wanita Sedunia (HWS). Di sini, saya dan rakan berkongsi gembira serta kecewa atas pencapaian golongan wanita.

Ada bertanya ‘kenapa perlu ada Hari Wanita Sedunia?’ atau ‘apa lagi yang wanita mahu?’. Semua persoalan ini mengundang rasa tersinggung dalam diri saya. Tersinggung kerana masih ramai meremehkan isu kesaksamaan gender dalam masyarakat. Jadi di sini saya beri jawapannya.

Hari Wanita Sedunia kali pertama disambut pada 28 Februari 1909 di New York, namun hanya pada 1977, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menetapkan 8 Mac hari rasmi untuk hak wanita dan kedamaian dunia.

Tahun ini HWS lebih bermakna kerana bersempena 25 tahun selepas Deklarasi Beijing dan Landasan Untuk Tindakan, yang menggariskan langkah jelas mencapai kesaksamaan gender. Namun, hari ini ia masih jauh daripada cita-cita saya dan ramai wanita Malaysia.

Untuk menjawab persoalan, kita perlu menganalisis indikator pencapaian wanita berbanding lelaki di Malaysia dalam bidang utama seperti guna tenaga, pendidikan, ekonomi, sosial, kesihatan dan politik.

Di Malaysia, secara de jure negara tidak membezakan hak serta kewajipan wanita dan lelaki. Namun, de facto, latar belakang sosiobudaya, institusi kerajaan, keluarga dan masyarakat masih bias gender.

Secara umum, kita boleh tentukan pencapaian wanita melalui dua petunjuk – Indeks Jurang Gender Global (IJGG) dan Indeks Jurang Gender Malaysia (IJGM).

Pada 2020, skor IJGG bagi Malaysia adalah 0.68 (skor 1 bermaksud saksama mutlak dan 0 ketaksamaan mutlak). Skor ini meletakkan Malaysia sebagai negara yang mempunyai jurang gender luas dalam kalangan negara Asia Tenggara.

Data sama pada 2018 menunjukkan skor 0.711. Ia merujuk jurang antara wanita dan lelaki dari segi penyertaan ekonomi dan peluang, pendidikan, kesihatan serta penyertaan politik.

Dalam konteks penyertaan tenaga, data 2019 menunjukkan kadar penyertaan buruh wanita adalah 55.2 peratus berbanding 80.4 peratus bagi lelaki.

Dari segi pendapatan, statistik 2018 menunjukkan pendapatan median dan purata wanita lebih rendah berbanding lelaki. Gaji median wanita Malaysia RM2,227 berbanding lelaki (RM2,342), manakala dan gaji purata wanita (RM2,959) dan lelaki (RM3,174). Jabatan Statistik juga menganggarkan setiap RM100 diterima lelaki, wanita hanya menerima RM93.20.

Peringkat pembuat keputusan pula IJGM 2019 melaporkan penyertaan wanita dalam penggubal undang-undang, pengurusan dan pegawai tertinggi hanya 24.7 peratus. Ia masih rendah walaupun kerajaan meletakkan sasaran 30 peratus peringkat membuat keputusan adalah wanita. Pekerja wanita profesional dan teknikal juga rendah (44.3 peratus) berbanding lelaki (55.7 peratus).

Pendidikan boleh dibanggakan. Kadar enrolmen wanita untuk semua peringkat pendidikan lebih tinggi berbanding lelaki. Dari segi kadar literasi wanita (15 hingga 64 tahun) adalah tinggi (96.3 peratus), namun masih rendah berbanding lelaki (97.0 peratus).

Kesihatan pula, dari segi jangka hayat, wanita hidup lebih lama iaitu 77.1 tahun berbanding lelaki 72.2 tahun.

Untuk pemerkasaan politik, Jabatan Statistik melaporkan hanya 14.4 peratus wanita dilantik Ahli Parlimen, manakala jawatan menteri, hanya 17.9 peratus adalah wanita.

Kita juga membaca berita isu sosial seperti keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak, keganasan rumah tangga dan kehamilan remaja kian meningkat.

Wanita juga mengalami penderaan sosial apabila mereka sering didorong bergantung kepada pasangan masing-masing dan diasingkan daripada mendapat sokongan luar. Penderaan kewangan berlaku apabila wanita dihalang mencari pekerjaan, tidak dibenarkan membuka akaun bank atau menyimpan wang pendapatannya sendiri.

Semua ini menyebabkan wanita bergantung sepenuhnya kepada orang lain untuk mendapatkan keperluan asas.

Daripada semua data ini boleh dirumuskan Malaysia menunjukkan penambahbaikan dari segi penyertaan wanita. Bagaimanapun jurang antara wanita serta lelaki masih ketara dan usaha perlu dilakukan untuk merapatkannya.

Tahun ini, tema diangkat untuk HWS ialah Each for Equal. Ia menitikberatkan komitmen kesetaraan wanita seluruh dunia untuk menarik perhatian kepada usaha yang boleh dilakukan setiap individu untuk membawa perubahan dan menguatkan perspektif kesetaraan wanita di Malaysia dalam segala bidang.

Pendapat saya, empat perkara boleh dilakukan iaitu merai dan mengangkat pencapaian wanita, mempertingkatkan pengetahuan dan kesedaran terhadap ketaksamaan gender, menghargai pengorbanan wanita serta mengambil tindakan untuk memperkukuh kesaksamaan gender.

Menjadi tanggungjawab semua untuk memperkasa wanita dan kanak-kanak perempuan bagi mendedah dan menggilap potensi mereka sebagai individu dan penyumbang kepada pembangunan ekonomi, sosial, keluarga, masyarakat dan negara.

Oleh Prof Madya Madeline Berma Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM)

No Comments

    Leave a reply