Kesan Domino Bila PPBM keluar PH.

Berita peletakan jawatan Dr Mahathir bukan sahaja menyebabkan menteri-menteri Malaysia Baharu ‘menangis tidak berlagu’ bahkan ada ketua menteri dan menteri besar tidurnya terganggu diserang nyamuk hibrid yang kalis vaksin.

Ketua Menteri Melaka, Menteri Besar Johor, Perak dan Kedah berada dalam keadaan seram-sejuk apabila gabungan PH tidak lagi mempunyai majoriti.

Menteri-menteri daripada PH juga bukan sahaja sedang mengemas bilik bahkan nampak seperti wanita meroyan melakukan politik rayuan secara berjemaah untuk menyokong kepimpinan Perdana Menteri Interim.

Perdana Menteri Interim (berapa lama) boleh meneruskan pentadbirannya sebagaimana kuasa Perdana Menteri sebenar.

Mengikut pandangan pengamal undang-undang, Perdana Menteri Interim boleh melantik barisan jemaah menteri bagi membolehkan pentadbiran berjalan dengan berkesan sehingga calon Perdana Menteri sebenar dapat dicari.

Bagaimana sekiranya calon Perdana Menteri sebenar ialah Perdana Menteri Interim? Ia boleh berlaku kerana Perdana Menteri disyaratkan mendapat kepercayaan majoriti. Mungkin tempoh seminggu ini masing-masing bekas menteri menunjukkan kepercayaan kepada Perdana Menteri Interim semoga dilantik menduduki semula kerusi menteri interim. Menurut peraturan, lantikan politik memperoleh bayaran persaraan sekiranya genap tempoh minimum tiga tahun.

Usia jawatan menteri kerajaan Malaysia Baharu rata-ratanya belum cukup dua tahun, kabinet penuh hanya dibentuk dalam bulan Jun 2018.

Ada juga bekas menteri meroyan, merengek-rengek berjanji akan bekerja untuk keharmonian rakyat jika PPBM kembali dalam PH yang menunggu masa untuk ditalqinkan setelah doktor membenarkan ethunasia dilaksanakan.

Organ PH hampir tidak berfungsi, maka keputusan PPBM menarik diri daripada PH menyebabkan gabungan itu hanya mengharapkan sokongan mesin hayat. Mesin sokongan hayat pun tidak mampu lagi digunakan kerana tarikh luput komponennya semakin hampir.

Kali ini, mereka mula mencari kambing hitam dengan menyalahkan wakil rakyat PH yang membawa diri sebagai pakatan bebas. Mereka berhak berbuat demikian kerana sepanjang hampir dua tahun kaki dan tangan seperti diikat hanya kerana kepentingan perjuangan seorang individu yang dijolokkan sebagai Perdana Menteri Menanti.

Menariknya, dalam lanskap politik Malaysia ada Perdana Menteri Menanti (umpama politik dinasti) dan sehari dua ini ada pula Perdana Menteri Interim yang berbeza dengan konsep caretaker government.

Sukatan mata pelajaran sains politik di Malaysia perlu memasukkan tiga konsep itu kerana ia adalah realpolitik Malaysia Baharu yang bakal menjadi sejarah dan usang. Tokoh-tokoh akademik yang mahir dengan realpolitik Malaysia hendaklah merangka semula kurikulumnya, kalau tidak kajian sains politik akan menemui pengakhirannya sebagaimana galaunya teori kajian pendapat umum (seperti Gallup Poll) yang tidak lagi relevan dalam persekitaran post-truth. Merdeka Centre misalnya mengakui ralat bila mengatakan Warisan akan menang di Kimanis dan yakin PH menang dengan Tg Piai. Lebih besar ‘malu’ ialah apabila calon PH peroleh undi separuh daripada undi majoriti yang dimenangi BN (Tg Piai).

Akibat kekalahan hampir berturut-turut PH selepas PRK Port Dickson, kewibawaan Dr Mahathir mula dipersoalkan. Laporan-laporan post-mortem memberikan indikasi bahawa parti-parti dalam PH tidak cukup kuat untuk memperbetulkan kesilapan sendiri, sebaliknya lebih mudah menuding jari. Hasilnya, political bashing menjadi-jadi dan antara menteri saling bertelagah.

Ugut mengugut mula kedengaran, DAP akan keluar PH sekiranya matlamat Malaysia Baharui tidak dilaksanakan. Lim Kit Siang sudah tekad untuk bersara, maka ketika ini beliau didesak untuk mengotakan janjinya kerana PH sudah nazak dan menunggu secara rasmi ditalqinkan.

Lim Guan Eng tak perlulah menunjukkan ‘muka tak sudah’ dengan mengatakan Dr Mahathir tidak boleh bekerjasama dengan UMNO walhal semua orang tahu jiwa Dr Mahthir masih ada lagi ‘nafas UMNO’ walaupun situasinya umpama lagu ‘benci tapi rindu’.

Cuba suku-sakat DAP kaji dengan teliti, apa yang terkandung dalam Perlembagaan PPBM dan bandingkan dengan Perlembagaan UMNO. Berapa banyakkah perbezaan dan apa pula yang memiliki persamaannya?

Benar kata Tan Sri Anuar Musa, UMNO tidak akan bekerjasama dalam mana pakatan sekiranya membabitkan DAP. Maksudnya, orang Melayu tidak boleh menerima DAP dan mungkin selepas ini lebih ramai simpati DAP akan meninggalkan parti itu kerana dalam tempoh dua tahun bersama PH telah banyak menimbulkan kecelaruan budaya politik.

Orang Melayu juga akan melupakan Parti Amanah Nasional, yang bukan sahaja ‘mengenggehkan’ apa sahaja yang DAP perkatakan, bahkan akan memberi pukulan kilas paling mematikan akibat prestasinya banyak menghina dan paradoks dengan nilai-nilai Melayu-Islam Malaysia.

PKR juga semakin hilang keluasan perjuangan politiknya apabila momokan keadilan itu hanya untuk kepentingan Anwar Ibrahim. Pemecatan Azmin dan Zuraida Kamarudin menjadi bukti bahawa perbezaan pandangan dan pendekatan tidak lagi direstui. Jika Anwar diberikan kuasa sebagai Perdana Menteri, maka setiap ahli PKR mesti setia tanpa berbelah bahagi kepadanya, biarpun ada kesukaran untuk mematuhinya.

Gambaran sekilas pandangan itu mungkin pahit bagi mereka yang mengharapkan ‘keajaiban’ politik akan berlaku. Rasanya, Dr Mahathir tidak akan menarik semula tindakannya meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Bersatu dan Tan Sri Muhyiddin dengan keputusan PPBM keluar daripada PH.

Muhyiddin dan Mahathir pernah mengecam DAP ketika kededuanya dalam UMNO, maka sehingga kita belum mendengar mereka menarik balik kecaman itu dan memohon maaf. Jiwa dan roh mereka masih belum serasi dengan DAP walaupun ‘tidur sebantal’ hampir dua tahun. Harmoni hubungan tidak pernah muncul, tetapi, demi mencari titik pertemuan mereka terpaksa ‘menelan sementara’ tapi belum dapat sampai ke tahap “hadam sepenuhnya”.

Dengan runtuhnya PH, proses penghadaman terhenti dan mungkin dimuntahkan kembali apabila Perdana Menteri Interim melantik barisan kabinet interimnya.

Tiada siapa mampu membaca dengan tepat apa yang akan dilakukan Dr Mahathir sepanjang tempoh menjawat jawatan Perdana Menteri Interim. Dr Mahathir adalah seorang pemerhati yang cekap, dan sepanjang tempoh Perdana Menteri ke-7 beliau merasai sendiri makna politikus oportunis yang tidak sepatutnya didekati untuk meneruskan agenda yang belum selesai. Kali ini, tanpa kayu ukur kepartiaan, Dr Mahathir lebih bebas untuk mencari bakat-bakat terbaik bagi meneruskan agenda besarnya, sekurang-kurangnya kembali menjadi Harimau Asia, bukan dengan lenggok Tarian Singa.

 

MONOSIN SOBRI

No Comments

    Leave a reply