KESARJANAAN SEORANG RAJA

BERITA antarabangsa yang disiarkan pada 11 Oktober lalu adalah merupakan satu sejarah gemilang bagi kita yang mendaulatkan institusi Raja Melayu dan membangunkan bidang pengajian akademik bertaraf tinggi sebagai legasi negara kita dan Asia Tenggara umumnya.

Berita tersebut ialah tentang pelantikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, sebagai Penaung bagi sebuah pusat akademik yang baru ditubuhkan oleh universiti ternama Eropah, iaitu Universiti Oxford, yang diberi nama Pusat Pengajian Asia Tenggara.

Menurut berita yang disiarkan itu, Naib Canselor Universiti Oxford, Profesor Louise Richardson, dan Ketua Bahagian Sains Sosial, Profesor Sarah Whatmore, telah mengalu-alukan keberangkatan Sultan Perak ke Sheldonian Theatre yang bersejarah itu untuk majlis pelancaran pusat berkenaan.

Baginda yang sememangnya seorang raja yang bijaksana, terutamanya ketika menzahirkan titah ucapan berbentuk pemikiran dan akademik di hadapan golongan intelektual dan pemimpin ternama dunia, telah menzahirkan titah yang amat memberangsangkan di dalam majlis tersebut.

“Penjelmaan cita-cita yang amat cemerlang dan pelancaran bidang kesepaduan akademik yang amat mencabar ini tentunya akan mampu memanfaatkan hati nurani negara-negara Asia Tenggara dan penghuni dunia lainnya juga,” titah baginda dalam satu kenyataannya sebagai menandakan pembukaan pusat tersebut.

Meneliti kenyataan yang ringkas ini mengingatkan penulis kepada titah ucapan Sultan Perak ketika merasmikan Konvensyen Memperkukuhkan Pasak Negara pada 5 Ogos 2017 di Putrajaya, apabila baginda menzahirkan ungkapan yang bernas, cantik, dan falsafah yang penuh dengan hikmah serta ilmu, menembusi dan merentasi minda dan roh rakyat keseluruhannya.

Terutamanya ketika baginda menyatakan ungkapan yang berikut: “Ketika orang Melayu masih belum memiliki institusi politik yang tersusun, 
Raja-raja Melayu secara kolektif berperanan sebagai juru bicara, menzahirkan suara, membela nasib dan melindungi kepentingan bangsa”.

Titah ucapan tersebut menjelaskan dengan berterus terang bahawa sungguh pun Raja-raja bukanlah pejuang politik dalam pengertian moden sekarang, namun baginda semua telah pun menjalankan pengurusan kerajaan dan rakyat dengan baik dan teratur sekali.

Demikian juga dengan kenyataan baginda ketika melancarkan Pusat Pengajian Asia Tenggara ini, yang mengandungi makna yang amat luas tentang para lepasannya, terutama dalam bidang kepemimpinan para intelektual dan sarjana dunia melalui pusat ini, kerana pusat pengajian yang dilancarkan ini adalah sebahagian daripada kajian global dan tempatan yang akan menghasilkan kajian dan peluang pembelajaran yang terbuka luas untuk dikongsi dengan kepelbagaian jabatannya.

Amat menarik sekali bahawa bidang pengajian dan kajian di jabatan-jabatan yang tersebut mencakupi bidang geografi, antropologi, politik, perhubungan antarabangsa, dan disiplin ilmu lain lagi.

Penulis percaya pembukaan dan pelancaran pusat akademik yang penting ini, kemudiannya akan menarik institusi pengajian tinggi negara kita untuk bekerjasama dan bersatu tenaga dalam menghasilkan kajian dan penyelidikan yang amat bermanfaat dalam negara kita sendiri, terutamanya dalam bidang sosiologi dan antropologi, alam sekitar, sains politik dan sebagainya.

Sultan Perak amat terkenal dengan tahap kesarjanaan baginda sebagai seorang alumni Universiti Oxford sendiri yang cemerlang dalam bidang ekonomi, politik dan falsafah, malah adalah seorang graduan dari Universiti Harvard dengan Ijazah Sarjana dalam bidang pentadbiran awam, dan ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Political Economy and Government.

Inilah sebenarnya simbol pemerintah beraja negara ini, dan kita amat berharap bahawa sebagai ketua agama Islam di negara ini, maka langkah Universiti Oxford menerima baginda dengan penuh pengiktirafan tersebut, mungkin bidang pengajian agama Islam serta perbandingan agama lain akan dapat dipertingkatkan di dalam negara kita, dan seterusnya diperkenalkan di universiti-universiti ternama di Eropah dan Amerika Syarikat supaya usaha tersebut akan dapat membuka minda dunia tentang kedinamikan agama Islam di Malaysia yang telah pun menjadi sebagai negara Islam contoh ini.

Maka cita-cita dan harapan yang tinggi inilah yang diharapkan akan dibawa ke persada antarabangsa dalam memperkasakan legasi Melayu Beraja dari negara ini. Sembah tahniah yang tinggi untuk Tuanku Sultan Perak.

DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM ialah Ahli Lembaga Pengarah 
Institut Integriti Malaysia (Integriti).

No Comments

    Leave a reply