KESATUAN MANUSIA DENGAN ALAM SEKITAR

Dalam dialog antara Arnold Toynbee (1889-1975), seorang sejarahwan Inggeris dengan seorang pemimpin agama Buddha dari Jepun, Daiseku Ikeda (Lahir 1928, Presiden Soka Gakkai, sebuah pertubuhan keagamaan) yang berlangsung pada tahun 1971 hingga 1974, mereka merumuskan bahawa hubungan timbal balik antara manusia dan alam sekitarlah akan membentuk suasana hidup yang harmoni. Keharmonian kehidupan akan membolehkan manusia memperkembangkan kehidupannya dengan kreatif.

Bagi Arnold Toynbee, sejak nenek moyang kita menjadi manusia, mereka terus menerus membuat perubahan untuk menyesuaikan dengan keperluan manusia. Perubahan juga turut dilakukan oleh spesies bukan manusia, sungguhpun berbeza dengan manusia, hidup-hidupanini tidak bertindak terhadap persekitarannya secara sedar dan sengaja. Baik manusia ataupun spesies hidupan yang lain, mereka tidaklah menghapuskan sekitaran semula jadi dengan meletakkan sekitaran buatan di atasnya.

Ini mungkin satu jawapan sesuai pada era 1970-an, tetapi tidak lagi berlaku pada akhir tahun 1980-an hinggalah ke dekad kedua abad ke-21. Permulaan Abad Ke-21 telah menyaksikan banyak kemusnahan dan malapetaka berlaku disebabkan oleh sikap manusia untuk menggantikan alam sekitar semula jadi dengan persekitaran baru melalui perkembangan sains dan teknologi.(Toynbee dan Daisaku Ikeda, Memilih Kehidupan: Satu Dialog, P.Jaya: Fajar Bakti, 1988, terjemahan Asmah Haji Omar)

Bagi membolehkan manusia tinggal selesa, manusia mencipta ruang tempat tinggal yang lebih kukuh dan nyaman. Atas dasar kepintaran akal manusia membina rumah-rumah dengan menggunakan sumber dari longgokan habuk sebagai batu-bata dan simen. Longgokan batu dan simen itu kemudiannya menghasilkan iklim dalam bangunan yang panas, maka manusia menggunakan pula alat penghawa dingin. Bagi memudahkan aktiviti rumah tangga berjalan dengan baik, manusia mencipta pula pelbagai peralatan rumah menggunakan tenaga elektrik, sehingga memberikan tekanan kepada keharmonian alam sekitar.

Menurut Daisaku Ikeda, dalam percubaan manusia menakluk alam semula jadi, bangsa manusia telah memporak-perandakan irama yang tetap dan asas pada alam semula jadi itu. Setelah menderita dan dituntun ke pinggir kemusnahan oleh tindakan manusia, alam semula jadi kini memberontak terhadap kehidupan manusia.

Daisaku melihat fenomena ini berlaku atas dua sebab. Pertama ialah, manusia moden tidak menganggap alam semula jadi itu hidup seperti hidupnya manusia sendiri; ini bermakna, dia memikirkan alam semula jadi sebagai sesuatu yang pada asasnya berbeza dengan bangsa manusia.

Kedua, dengan kepercayaan bahawa di antara semua makhluk yang ada, dirinya itulah yang paling dekat dengan Tuhan, maka manusia menganggap bahawa sudah sewajarnyalah dia menguasai semua makhluk lain dan meletakkan mereka di bawah kehendaknya.

Atas alasan memenuhi kehidupan moden, manusia menaklum alam semula jadi untuk dibangunkan sebagai kawasan industry dengan memusnahkan fauna dan flora. Dengan desakan menguasai kehidupan manusia telah mengubah sesebuah kawasan semula jadi menjadi sebuah taman batu ataupun persekitaran lembangan syurga rekreasi dan gelanggang sukan golf, litar lumba, loji simpanan barang, pelabuhan dan pengkalan marin.

Kawasan pinggir pantai atau laut telah bertukar menjadi kawasan pelancongan yang memukau bukan kerana keindahan semula jadinya, tetapi ditambahkan dengan pelbagai rekreasi air dan bangunan mewah. Persekitaran pinggir pantai telah dimusnahkan, di mana tumbuh-tumbuhan yang menjadi pengimbang hempasan ombak laut semakin luput.

Keadaan ini dapat disaksikan apabila sebahagian besar kawasan persekitaran Lautan Pasifik mengalami ombak Tsunami pada penghujung tahun 2004. Ketika itu, mereka yang berkelah di Pantai Miami, Pulau Pinang ikut sama terjebak dengan ombak ganas sehingga mengorbankan ratusan orang. Hempasan ombak ganas turut menjadikan sector pelancongan Pulau Phuket menjadi lembangan mayat dan hampir menghancurkan sebahagian destinasi pelancongan terkenal itu. Lebih menyedihkan apabila lebih 200,000 orang terkorban di Aceh sehingga menyebabkan beberapa buah kampong musnah. Turut dilanda serentak kesedihan dan kehilangan nyawa ialah Sri Lanka, Madagascar dan kepulauan Maldives.

Hempasan ombak dikatakan boleh disekat secara semula jadi kerana tanah dicengkam dengan kuat oleh akar-akar pokok bakau dan api-api. Berbanding dengan kemusnahan di kawasan yang tidak mempunyai tumbuhan penampan –bakau dan api-api—jelas membuktikan bahawa kewujudan pokok tersebut sebenarnya menjadi pengimbang kepada kelestarian alam semula jadi. Tetapi, manusia menjadi semakin pintar dengan sikap tamak meraih keuntungan memusnahkan pokok-pokok bakau untuk dijadikan arang dan bahan binaan. Paling besar kemusnahan yang berlaku di Aceh, kerana penduduk Aceh sebenarnya telah lama mengeksport arang dari kayu bakau dan kayu bakau ke Malaysia dan Singapura.

Menurut Ahmad Badri Mohamad (Ahmad Badri Mohamad (penyunting), Perspektif Persekitaran, P.Jaya: Fajar Bakti, 1987) masalah alam sekitar telah lama wujud, iaitu sejak tamadun manusia bermula. Bezanya antara sekarang dan dahulu ialah dari segi keluasan dan tahap kerosakan alam sekitar. Pencemaran alam sekitar boleh berlaku apabila manusia berusaha memenuhi tuntutan hidupnya tanpa mengambil kira kerosakan yang dimungkinkan oleh pemenuhan tuntutan tersebut. Manusia tidak memahami dengan jelas mengenai proses-proses yang berlaku di buminya sendiri. Tanpa mengambil kira perbezaan iklim, maka manusia melakukan penebangan hutan, bagi membina pebandaran atau perancangan perumahan. Kawasan tadahan air turut menerima ancaman sehingga mewujudkan krisis kekurangan air, yang menjadi sumber kehidupan. Sikap tidak pedulikan alam sekitar menyebabkan manusia mengambil sikap mudah melupuskan sampah melalui sungai, dan ini menambahkan lagi beban kepada tekanan kepada alam semula jadi.

Berdasarkan anggaran, setiap penduduk Malaysia membuang sampah dengan rakus sehingga jika dikumpulkan semuanya dalam masa yang singkat mampu menimbus tiga buah negeri, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Penggunaan bahan kimia, sama ada sebagai bahan buangan sisa industri ataupun racun kegunaan pertanian telah menyebabkan kematian kepada kehidupan lain. Penggunaan bahan kimia bukan sahaja meningkatkan kadar hakisan tanah, malah membantu mempercepatkan proses jangkitan penyakit di mana kadar racun yang tinggi telah dikenal pasti sebagai punca penyakit kanser merebak.

Penyakit kanser menjadi pembunuh yang semakin besar. Kanser boleh berlaku dalam banyak jenis dari peringkat luaran seperti kanser kulit hinggalah kepada kerosakan organ dalaman manusia sendiri seperti hati, jantung, limpa, paru-paru, usus, tulang dan darah. Agen racun atau bahan kimia menjadi katalis dan juga penyebab apabila ia digunakan secara tidak berhemah, tanpa kawalan atas desakan tamak dan ingin dilihat cantik.

Kini, kanser telah menular ke dalam bahan makanan yang diawet kerana pihak pengeluar hanya memikirkan keuntungan semata-mata. Ragam ekonomi kapitalis yang meletakkan prinsip keuntungan peribadi sebagai falsafah ekonomi menyebabkan bahan makan diawet menggunakan bahan kimia terlarang melebihi had. Ada juga pihak penjual menggunakan sejenis bahan kimia yag digunakan untuk mengawet mayat bagi menjaga kesegaran makanan laut. Ada pihak pengusaha kosmetik menggunakan bahan kimia terlarang bagi melariskan produk kecantikan. Ada pegusaha ubat-ubatan mengcampurkan dadah tertentu bagi memberikan kesan kepada bahan diet (khususnya untuk mendapatkan bentuk badan yang langsing). Agen pemutih dimasukkan dalam gel pembersih muka kerana lebih ramai orang kepingin menjadi putih dan bertukar warna kulit walaupun terpaksa mengalami situasi kulit menggelupas.

George Monbiot yang menulis buku mengenai alam sekitar dalam salah sebuah bukunya, Heat: How to Stop The Planet Burning (London: Penguin Books, 2006) memberikan amaran bahawa manusia seharusnya menghentikan tindakan mengkhianati alam sekitar jika ingin terus hidup dalam keadaan selesa. Beliau mencadangkan agar semua pihak mampu mengurangkan sehingga 90 peratus pelepasan karbon dioksida dalam udara. Amaran ini dibuat kerana persekitaran yang manusia diami sekarang sedang mengalami suasana yang tenat menghampiri ke paras kritikal.

Menurut George Manbiot, jika pada tahun 2030 karbon dioksida masih lagi tinggi terampai di dalam atmosfera sebagaimana sekarang, akan menyebabkan peningkatan suhu kepada 2 darjah Celsius. Peningkatan sebanyak itu akan menyebabkan sebahagian besar sistem ekologi akan musnah. Sistem ekologi yang sepatutnya berpenanan meresap karbon dioksida, kini sudah tidak mampu lagi menyerapnya sebaliknya telah mula memuntahkannya kembali. Perubahan iklim sebenarnya berada di luar kawalan kita, tetapi akan terus menyeruak jika kita membantunya mengurangkan beban penyerapan karbon dioksida.

Negara-negara maju perlu mengurangkan pelepasan karbon dioksida pada tahap 90 peratus pada tahun 2030. Pelepasan karbon dioksida bagi setiap orang penduduk di China telah meningkat 2 peratus setahun. Walaupun ia masih lagi rendah jika dibandingkan dengan purata setiap penduduk di negara-negara maju, purata setiap orang menghasilkan karbon dioksida di China ialah 2.7 ton setahun. Setiap penduduk di United Kingdom menghasilkan purata 9.5 manakala di Amerika Syarikat ialah 20.0 ton setiap orang setahun. Walaupun purata pengeluaran karbon dioksida penduduk China semakin bertambah setelah negara itu mengalami proses perbandaran dan industri yang semakin besar pada masa kini. Pertumbuhan ekonomi yang tinggi menyebabkan lebih banyak bahan fosil digunakan bagi menggerakkan jentera dan mesin, termasuk meningkatkan permintan ke atas sector pengangkutan. Kini, China menjadi pengimport minyak yang terbesar bagi menampung keperluan industri.

Pelepasan karbon dioksida telah meningkat begitu ketara. Karbon dioksida dihasilkan melalui pembakaran bahan fosil (minyak), penggunaan arang batu , gas dan penebangan hutan di mana metana telah dibebaskan dari lahan-lahan tersebut. Pelepasan karbon telah meningkat dari 280 bahagian bagi setiap sejuta bahagian udara (ppm) kepada 380 pada masa sekarang. Ia hanya mengambil masa yang begitu singkat, yakni kurang dari 50 tahun. Ini mengakibatkan suhu global meningkat sebanyak 0.6 darjah celcius dan berdasarkan anggaran Pertubuhan Kajicuaca Sedunia, peningkatan suhu pada abad kedua puluh adalah sesuatu yang amat ketara dalam mana-mana abad sebelumnya dalam tempoh 1000 tahun.

Kesan pemanasan global mengakibatkan kenaikan paras laut apabila salji menjadi mudah cair. Pada tahun 2002, para saintis mendapati di Antartika mendapati bahawa satu kawasan yang dikenali sebagai Larsen B telah tenggelam. Paras laut telah meningkat sebanyak 2 milimiter setahun disebabkan kecairan salji, malah di kawasan tundra di Alaska dan Siberia yang berkeadaan beku sejak zaman Ais didapati mula menunjukkan tanda akan cair. Sebahagian hutan Amazon teleh bertukar menjadi kering kontang seperti “savanna” di mana suhu telah melampaui tahap di mana pokok-pokok boleh hidup. Terumbu karang di Lautan Hindi dan Pasifik Selatan semakin sukar untuk hidup dan menurut anggaran WHO, seramai 150,000 orang berhadapan dengan kemungkinan mati setiap tahun akibat perubahan iklim. Keadaan ini berlaku dalam persekitaran perubahan iklim sebanyak 0.6 darjah celcius.

Pada tahun 2001, Panel Antarakerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) mengeluarkan ringkasan bahawa suhu global dijangka meningkat sebanyak 1.4 hingga 5.8 darjah celcius dalam abad ini. Manaka pada tahun 2005, satu kajian telah dilakukan dengan membuat ketetapan bahawa peningkatan suhu yang boleh diterima ialah pada tahap 11.5 darjah tetapi bagi Profesor Martin Parry dari Jabatan Kajicuaca United Kingdom menjangkakan dengan peningkatan sebanyak 2.1 darjah akan menyebabkan antara 2.3 hingga 3 bilion orang berhadapan dengan masalah kekurangan air. Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB meramalkan sesetengah dari 40 buah negara miskin, negara-negara membangun dan jika disatukan jumlah penduduknya berjumlah 2 bilion akan menghadapi masalah kekurangan zat makanan, berada dalam kemiskinan dan ketidakselamatan makanan. Institut Penyelidikan Beras Antarabangsa meramalkan dengan setiap peningkatan suhu sebanyak satu darjah akan menyebabkan pengeluaran beras jatuh sebanyak 15 peratus.

Pada musim panas tahun 2003, negara-negara Eropah berhadapan dengan kepanasan melampau dalam tempoh 1500 tahun. Beribu-ribu orang di Eropah dan India telah mati kepanasan. Pada tahun 2005, saintis dari seluruh dunia membuat tinjauan mengenai sistem ekologi yang merupakan 20 peratus daripada permukaan bumi membuat rumusan dengan peningkatan 1 darjah, 15 hingga 37 peratus hidupan akan musnah menjelang tahun 2050. Dengan peningkatan 1.4 darjah, batu karang di Lautan Hindi akan musnah. Peningkatan sebanyak 2 darjah, hampir 97 peratus terumbu karang akan hancur dan hampir kesemua salji di Artik akan menjadi cair, membunuh kehidupan beruang kutub dan membahayakan sistem ekologi.

Perubahan iklim turut menyumbang kepada malapetaka yang lebih besar. Pada tahun 2010 banjir terburuk berlaku di Pakistan menyebabkan lebih 1,000 orang terbunuh manakala 20 peratus keluasan tanah negara itu ditenggelami air. Pada pertengahan bulan Februari 2011, Australia mengalami banjir besar sehingga menyebabkan kawasan-kawasan terbabit terputus hubungan lebih seminggu. Fenomena al-Nina dan El-Nino turut dipersalahkan apabila dunia berhadapan dengan krisis makanan pada tahun 2008.

Menurut Naomi Klenn, The Shock Doctrine:The Rise of Disaster Capitalism (London:Penguin Book, 2007) peperangan dan bencana telah menyediakan peluang kepada sector khusus dalam ekonomi. Kuasa-kuasa besar termasuk negara maju akan terus meningkatkan keupayaan mereka dalam kekalutan, mengeksploitasi kemurungan dan penderitaan secara brutal. Ketika dunia berhadapan dengan krisis bijirin, Amerika Syarikat mensyaratkan 30 peratus pengeluaran bijirinnya untuk dijadikan biofuel dan menyebabkan berlakunya peningkatan mendadak harga beras dan gandum. Amerika Syarikat membeli beras dengan banyaknya sehingga menyebabkan negara-negara miskin terpaksa menagih simpati sedangkan tempoh pengeluaran mengambil masa yang lama. Malaysia turut terperangkap dengan situasi tersebut sehingga menyebabkan harga beras turut dinaikkan dan menambahkan stok penimbal ke tahap enam bulan daripada tiga bulan.

Ketika itu negara Filipina berhadapan dengan rusuhan penduduk manakala jumlah mereka yang terpaksa mencari sumber makanan di tempat longgokan sampah di Bangladesh meningkat kepada lebih 3 juta orang. Negara-negara Afrika turut berdepan dengan kebuluran. Para pengamal kapitalis terus mengambil kesempatan mengaut keuntungan dalam persekitaran kelam-kabut penduduk yang menghadapi masalah kekurangan makanan sehingga menggoncangkan kestabilan negara.

Keserasian manusia dengan alam sekitar tidak akan dapat dinikmati selagi manusia mementingkan keuntungan peribadi. Kejadian banjir yang melampau telah menyebabkan kematian, dan tragedi yang menimpa perkampungan Orang Asli pada tahun 1990-an di Simpang Pulai memberikan gambaran bahawa kerakusan membalak menyebabkan ada pihak yang terkorban. Atas nama pembangunan dan kesejahteraan ekonomi, sejumlah 16 kampong telah tenggelam dalam Tragedi Banjir Lumpur di Sodiarjo, Surabaya pada tahun 2006. Banjir Lumpur yang juga turut dikenali sebagai Korban Lapindo itu meranapkan puluhan ribu rumah penduduk dan mengambil masa selama empat tahun untuk kering. Lumpur gunung berapi terhambur keluar apabila pihak penggerudi minyak melaksanakan kerja-kerja mencari gali minyak di atas pelantar tektonik gunung berapi.

Atas nama menyediakan kemudahan yang lebih baik, semakin banyak bukit telah digondolkan sehingga menyebabkan banjir menjadi semakin tidak terkawal. Peristiwa banjir yang berlaku pada awal tahun ini di Kedah dan Perlis turut memberikan indikasi bahawa pembangunan tanpa mengambilkira kelestarian alam semulajadi mengundang tragedi. Tun Dr Mahathir ketika masih menjadi Perdana Menteri pernah melahirkan kerisauannya apabila melihat lebih banyak bukit telah dibotakkan apabila beliau melihatnya dari udara sekitar Subang. Tragedi mambangunkan rumah-rumah di kawasan bukit telah mengundang kematian apabila rentak irama alam semulajadi terganggu. Peristiwa Highland Tower, keruntuhan banglo di Bukit Antarabangsa dan banyak lagi tempat masih belum memberikan pengajaran mutlak kepada manusia. Selepas peristiwa itu berlaku buat beberapa ketika, pembangunan lereng bukit, penambakkan kawasan paya dan tanah gambut terus dilakukan. Sebenarnya manusia telah banyak melakukan kemusnahan alam sekitar, dan manusia sekarang sedang berhadapan balasan Tuhan sebagaimana disifatkan oleh mereka yang percayakan kepada agama.

Seruan Toynbee hampir empat puluh tahun lalu masih ada kebenarannya: “Jika bangsa manusia tidak mahu membinasakan dirinya, dia mestilah membersihkan pencemaran yang dihasilkannya itu dan mestilah juga dia menyekat dirinya dari menghasilkan pencemaran itu lagi…pencemaran adalah hasil ancaman terhadap keterusan hidup bangsa manusia dan bahawa ia tidak dapat dihapuskan tanpa sekatan terhadap sikap tamak….malapetaka yang disebabkan oleh manusia, bukan oleh alam semula jadi, mengancam untuk menamatkan wujudnya kehidupan manusia.”

Maka, ingatlah kepada petunjuk yang difirmankan oleh Allah SWT melalui wahyu yang diterima oleh Nabi Muhammad s.a.w. bahawa: Telah Nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)”, Surah al-Rum (30):41.

Oleh Monosin Sobri

Tags:

1 Comment
  1. Reply badwap.desi July 20, 2017 at 9:37 am

    A Pengertian lingkungan hidup bisa dikatakan sebagai segala sesuatu yang ada di sekitar manusia atau makhluk hidup yang memiliki hubungan timbal balik dan kompleks serta saling mempengaruhi antara satu komponen dengan komponen lainnya.

Leave a reply