KESERABUTAN ERTI TERORISME PERLU DILERAI

Di Iraq, dunia ditunjukkan dengan tragedi umat Islam diratah selumat-lumatnya oleh tentera penceroboh Amerika Syarikat (AS). Manakala di Palestin mereka menjadi mangsa bangsa yang selama-lamanya dikutuk oleh Allah s.w.t. iaitu Yahudi Israel. Dan yang lebih dekat, negara jiran kita iaitu di selatan Thailand, umat Islam kini berada di ambang penindasan.

Realiti yang berlaku ini sebenarnya menafikan persepsi dunia khususnya Barat yang menganggap Islam sebagai agama yang menganjurkan keganasan. Tuduhan ini merupakan satu propaganda untuk mengaburi mata dunia tentang hakikat kebaikan dan keamanan yang dianjurkan oleh Islam.

Islam sebenarnya sangat membenci peperangan. Menanamkan rasa permusuhan dan kebencian di tengah-tengah masyarakat, dilihat oleh Islam sebagai pekerjaan syaitan (al-Maidah : 91).

Islam memerintahkan agar manusia mengubah rasa benci dan takut kepada rasa aman dan senang, sehingga orang yang melakukannya dilihat sebagai orang yang beriman dan beramal soleh (surah an-Nur: 55).

Perang di Afghanistan, Bosnia dan Iraq menggambarkan betapa kejam dan biadabnya tentera AS dan sekutunya melakukan penganiayaan ke atas tawanan perang. Berbeza dengan Islam yang menjunjung tinggi moral, meskipun kekejaman tidak dapat dielak dalam sesuatu peperangan.

Justeru, dalam Islam niat yang baik merupakan tuntutan utama dalam peperangan. Islam tidak pernah mengajar bahawa berperang untuk mendapatkan harta atau menunjukkan kekuatan diri atau motif-motif lain. Walaupun terpaksa berperang, namun peperangan dalam Islam itu bersifat defensif, maknanya lebih kepada bertahan, bukan menyerang.

Sebenarnya, perang peradaban telah dimulai oleh Barat sendiri dalam bentuk pembunuhan ke atas orang Red Indian yang disusuli dengan serangan imperialisme dan berakhir dengan istilah globalisasi dalam pengertian hegemoni oleh negara kuasa besar. Oleh itu tidak hairanlah jika timbul tentangan daripada golongan lemah secara diam-diam terhadap golongan yang kuat kerana mereka merasa diperlakukan secara tidak adil.

Pertempuran itulah yang kemudiannya disebut sebagai terorisme. Justeru, tidak tepatlah jika Islam disamakan dengan terorisme walaupun jelas mereka yang bertanggungjawab dalam peristiwa 11 September 2001 itu semuanya beragama Islam.

Lahirnya terorisme mungkin kerana ajaran atau motivasi agama. Terorisme juga muncul kerana teroris menganggap dirinya adalah mangsa korban kezaliman suatu rejim yang tidak pernah mahu memahami keadaan mereka seperti yang dialami oleh gerakan Intifadah Palestin.

Terorisme sebenarnya memiliki `sejuta wajah’. Terorisme juga dapat berselindung di sebalik nama agama, politik atau apa sahaja namanya. Masyarakat Barat/Kristian sering menuduh pihak Islam sebagai teroris, justeru konsep jihad dalam Islam bagi golongan pelampau adalah selari dan menjadi tuntutan perang suci melawan orang kafir.

Kita harus memahami konsep sebenar `jihad’ sebagaimana yang telah diterangkan di dalam al-Quran. Himpunan ayat yang membahaskan tentang hal itu harus dirujuk kepada ayat yang lebih menyeluruh seperti dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Dan perangilah (kerana menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu dan janganlah kamu menceroboh dengan memulakan peperangan kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh. (Surah al-Baqarah ayat: 190)

Jihad yang disyariatkan dalam Islam ialah apa yang dilihat sebagai menolak permusuhan dan kezaliman atau dalam istilah yang lebih popular disebut mempertahankan diri. Oleh demikian, Islam menentukan peperangan hanya akan berlaku apabila berada dalam keadaan tertekan dan hendaklah didahulukan usaha diplomasi sebagai menolak permusuhan.

Ketentuan perang pula adalah di tangan kerajaan yang memerintah sebagaimana yang diterangkan oleh ulama yang diiktiraf. Kuasa tidak dapat ditentukan di tangan individu atau kumpulan tertentu, malah dalam usaha-usaha diplomasi haruslah berteraskan prinsip yang mana sekiranya terdapat ruang perdamaian, haruslah perdamaian itu didahulukan berbanding perang.

Sunah Nabi yang menganjurkan sikap lemah lembut ternyata dalam pengalaman moden apabila dipraktikkan oleh Mahatma Ghandi yang terkenal dengan sikap Ahmisa ketika melawan penjajah Inggeris.

Segala bentuk terorisme seperti yang selama ini dilemparkan oleh Barat bahawa ia sebahagian daripada ajaran Islam adalah tidak benar. Bahkan Barat sendiri yang selama ini melakukan terorisme, baik secara langsung mahupun tidak langsung seperti yang dilakukannya terhadap Iraq dan Palestin.

Umat Islam harus meleraikan kembali `keserabutan’ di sebalik istilah `terorisme’ dan `jihad’. Menerima secara membuta tuli akan segala dakyah adalah sikap yang bakal menghancurkan malah memecahkan umat Islam itu sendiri.

Oleh Mohd Shauki Abd Majid

No Comments

    Leave a reply