Ketakwaan, keredhaan Allah prasyarat jihad bebaskan Baitulmaqdis

BAITULMAQDIS mungkin sinonim dengan perjuangan umat Islam Palestin membebaskan kota suci itu daripada cengkaman rejim Zionis Israel.

Bagaimanapun perjuangan jihad suci itu tidak akan sempurna dan mencapai syarat kemenangan yang dikehendaki Allah SWT sekiranya ia tiada usaha menundukkan nafsu seperti yang diisyaratkan dalam agama.

Kitab al-Fawa’id al-Muntakhah himpunan Imam Abu Hafs Umar Jaafar al-Basri membawa hadis yang diriwayatkan Jabir RA: “Suatu kaum mendatangi Rasulullah SAW, maka Baginda bersabda: “Kamu semua datang daripada tempat sebaik-baiknya. Kamu datang daripada jihad kecil menuju jihad lebih besar.” Baginda ditanya: “Apakah jihad lebih besar itu?” Baginda menjawab: “Seseorang hamba bermujahadah melawan hawa nafsunya.”

Justeru, dalam membaca kisah perjuangan umat Islam khususnya Palestin membebaskan Baitulmaqdis, kita juga perlu mengambil pengajaran daripada sejarah ahli sufi yang lahir di kota suci ketiga terbabit.

Ambil pengajaran ketakwaan ahli sufi wanita kelahiran Baitulmaqdis, Lubabah al-Muta’abidah sebagai persediaan jihad lebih besar. Gambar hiasan. – Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Ahli sufi wanita, Lubabah al-Muta’abidah antara ahli ibadat terkenal yang lahir dari rahim Baitulmaqdis, sekali gus meninggalkan pesanan berguna kepada umat Islam.

Lubabah seperti diriwayatkan dalam kitab Zikru an-Niswah al-Muta’abbidat as-Sufiyat (Biografi Ahli Ibadat dan Sufi Wanita) karangan Abu Abdul Rahman as-Sulami, berkata beliau malu kepada Allah SWT Yang Maha Melihat dirinya sibuk dengan urusan selain-Nya.

“Aku melakukan ibadatku dengan sungguh-sungguh hingga aku berasa tenteram dengannya.

“Sekiranya aku berasa penat dengan pertemuan sesama makhluk, maka muncul perasaan damai mengingati-Nya.

“Apabila aku terdorong untuk berbicara dengan makhluk, timbul dorongan untuk beribadat kepada Allah SWT dan melaksanakan khidmat kepada-Nya,” ujarnya.

As-Sulami turut mengungkapkan kisah Lubabah yang pernah ditanya oleh seseorang yang mahu mengerjakan haji mengenai doa yang patut diungkapkan apabila masuk musim haji.

Lubabah meminta lelaki itu meminta dua perkara daripada Allah SWT, iaitu supaya Tuhan redha kepadanya hingga menempatkannya pada kedudukan golongan yang diredhai dan menjadikannya masyhur dalam kalangan kekasih-Nya atau auliya.

Bertepatan dengan musim haji ini, selain memanjatkan doa kebaikan kepada diri, ibu bapa dan keluarga serta memberikan kejayaan kepada umat Islam khususnya yang dicuba dengan ujian besar, kita boleh memohon doa seperti disarankan Lubabah.

Apatah lagi, kemenangan ummah menentang musuh Islam termasuk Zionis Israel perlu terlebih dahulu dimulakan dengan persiapan hakiki umat Islam mencapai keredaan Allah SWT.

Sumber : Berita Harian Online

Tags: , , ,

No Comments

    Leave a reply