KETUANAN KULIT PUTIH DAN KEGAGALAN NARATIF DEMOKRASI LIBERAL

Tragedi pembunuhan “secara langsung” tanpa peri kemanusiaan mengorbankan 50 nyawa umat Islam di dalam dua buah masjid oleh sekumpulan pengganas kulit putih di New Zealand baru-baru ini memerlukan penelitian lebih lanjut tentang hubungannya dengan kebangkitan golongan pelampau kanan dan kiri memperjuangkan politik identiti akibat dari kegagalan idea dan idealisme politik demokrasi liberal itu sendiri. Tiada apa yang sakral yang menghalang kita dari mengkritik dan menilai semula faham dan amalan politik demokrasi liberal ini memandangkan gagasan Pencerahan Abad ke 18 yang mencetuskan Era Moden itu sendiri yang kemudiannya menerbitkan politik demokrasi liberal telah lama dipertikaikan oleh masyarakat ilmuan Barat khususnya dengan kemunculan Pascamoden. Justeru amat malang jika kita di Malaysia ini dengan latarbelakang sejarah, budaya dan agama yang berbeda dari Eropah masih taksub untuk menegakkan dan memperjuangkan faham dan amalan politik demokrasi liberal yang semakin hari semakin parah ini. Trump, Brexit, Ketuanan Kulit Putih, Neo-Nazi, Neo-Fasis, Anti-Imigran, Islamofobia dan pelbagai kumpulan pelampau nasionalis negara-negara Eropah semuanya lahir dari darah-daging dan batang-tubuh politik demokrasi liberal!

Bermula dari kata keramat Sapere Aude Kant! Beranilah berfikir sendiri! menjelaskan maksud Aufklarung Zaman Pencerahan dengan bekalan semboyan Revolusi Perancis Egalite, Liberte dan Fraternite iaitu Persamaan, Kebebasan dan Persaudaraan, politik demokrasi liberal pada akhirnya menjadikan mimpi manis keadilan, kemajuan dan kemakmuran menjadi igauan buruk bagi umat manusia. Tumbuh dan berkembang pesatnya fenomena Trump, Brexit, Ketuanan Kulit Putih, Neo-Nazi, Neo-Fasis, Anti-Imigran, Islamofobia dan pelbagai kumpulan pelampau nasionalis negara-negara Eropah ketika ini mustahil untuk dihuraikan tanpa dirujuk sebagai simptom-simptom patologi atau penyakit yang terbina dari kegagalan politik demokrasi liberal merealisasikan janji-janji manis Era Pencerahan seperti yang diinspirasikan dari Sapere Aude Kant dan Egalite, Liberte dan Fraternite. Ketuanan Kulit Putih misalnya tidak lain dari kebangkitan semula faham-faham rasisme Kulit Putih Nazi, Fasis dan Klu Klux Klan!

Bila kita mengkritik Naratif Politik Demokrasi Liberal tidaklah bermakna kita menginginkan ia digantikan dengan Sistem Politik Negara Teokrasi Negara Hudud, pembinaan semula Empayar Khilafah Islam, Politik Komunis, Marxis ataupun Sosialis. Mengkritik Naratif Politik Demokrasi Liberal tidaklah sama sekali kita bermaksud ingin melancarkan Revolusi atau mencetuskan Anarki dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Tetapi tidak bolehkah kita berfikir atau memikir alternatif Naratif politik yang lebih sesuai dengan zaman dan lingkungan ketika ini melihat kepada kebejatan dan kebobrokan hasil-hasil demokrasi liberal yang bukan sahaja telah melahirkan Trump, Brexit, Ketuanan Kulit Putih, Neo-Nazi, Neo-Fasis, Anti-Imigran, Islamofobia dan pelbagai kumpulan pelampau nasionalis negara-negara Eropah tetapi berterusan mencetuskan peperangan, kebuluran, kemiskinan, perhambaan serta penindasan di atas mukabumi ini atas perlbagai nama, bentuk dan helah!

Malah di Barat sendiri telah dikemukakan pelbagai saranan bentuk baru Naratif politik yang lebih bersifat kesalingan, pemuafakatan dan kesefahaman pada peringkat akar-umbi berbanding dengan pendekatan politik demokrasi liberal yang masih konvensyenal melalui parti politik, peti-undi dan pilihanraya umum. Malah semua orang mengetahui pendekatan konvensyenal demokrasi liberal melalui parti politik, peti-undi dan pilihanraya umum ini penuh dengan penipuan dan kepalsuan lebih-lebih lagi dalam Era Pasca-Kebenaran Pascamoden. Malah pihak yang menang kadang-kadang adalah pihak yang kalah pada persepsi rakyat tetapi atas manipulasi dan strategi kempen politik berupaya mempengaruhi emosi dan sentimen orang ramai. Misalnya pendekatan yang disebut Deliberative Democracy ataupun Participatory Democracy telah disebut-sebut sebagai lebih berkesan dari Direct Democracy yang diamalkan oleh demokrasi liberal hari ini. Begitu juga pendekatan Musyawarah dan Muafakat mungkin lebih berkesan dalam konteks negara Malaysia berbanding dengan demokrasi liberal yang kita sedang anuti sekarang ini.

Bagi penganut tegar demokrasi liberal mereka sepatutnya membuka mata membaca dan melihat apa yang sedang berlaku dalam demokrasi liberal Barat. Telah ramai penganalisis dan pengkaji membicarakan tentang berakhirnya demokrasi liberal, runtuhnya demokrasi liberal, permasalahan demokrasi liberal dan seumpamanya. Apakah kita orang bukan Barat, orang Asia, orang Nusantara, orang Melayu, orang Cina, orang India, orang Islam dan orang Malaysia tidak boleh berfikir dan memikirkan tentang idea, idealisme, wacana dan gagasan Naratif politik kita sendiri setelah 61 tahun Merdeka? Selagi kita masih taksub dan terperangkap dalam Naratif politik demokrasi liberal cetusan Era Pencerahan Eropah Abad ke 18 idea Sapere Aude Kant dan Egalite, Liberte dan Fraternite Revolusi Perancis, selagi itulah faham dan amalan politik kita bercelaru dan saling bercanggah dengan cita-rasa bangsa, budaya dan agama kita! Adakah kita orang bukan Barat, orang Asia, orang Nusantara, orang Melayu, orang Cina, orang India, orang Islam dan orang Malaysia tidak ada kepakaran, kemahiran dan kepandaian mengolah faham dan amalan politik kita sehingga terpaksa terus bergantung kepada Naratif politik ciptaan orang lain.

Inilah masa yang terbaik untuk rakyat Malaysia tidak kira kaum dan agama untuk memikir dan mengolah Naratif politik mereka sendiri. Jika kita benar-benar ingin menjadikan perubahan politik Malaysia Baru ini benar-benar bermakna maka Naratif politik kita perlu juga berubah. Jika tidak kita sekadar mengulangi apa yang sekarang ini sering dikatakan keburukan 61 tahun yang lalu. Jika Naratif politik kita tidak berubah kita pun tidaklah berbeza dengan keburukan 61 tahun yang siang-malam kita canangkan. Politik Musyawarah, Muafakat dan inklusif masih kelihatan tidak menjadi amalan Malaysia Baru. Pendekatan partisan dan sebelah pihak masih menjadi kelaziman. Idea-dea Deliberative Democracy, Participatory Democracy dan Dialog masih asing bagi kita. Ini adalah sebahagian dari elemen-elemen penting bagi membina Naratif Politik Nasional yang baru bagi Malaysia.

Tragedi yang menyayat hati bagi semua umat Islam di New Zealand mengajarkan kepada kita demokrasi liberal tidak akan menjamin keselamatan umat manusia. Malah umat Islam di Amerika Syarikat dan Eropah kini berada dalam kebimbangan akan meningkatnya gejala-gejala Trump, Brexit, Ketuanan Kulit Putih, Neo-Nazi, Neo-Fasis, Anti-Imigran, Islamofobia dan pelbagai kumpulan pelampau nasionalis. Jika di Barat telah timbul keinginan bermuhasabah dan berintrospeksi tentang permasalahan demokrasi liberal mengapa tidak kita di Malaysia turut sama bermuhasabah dan berintrospeksi tentang baik-buruk Naratif politik demokrasi liberal yang sedang mengalami penyakit barah kronik ketika ini!

Dr Amran Muhammad
Ketua Eksekutif ISSI

No Comments

    Leave a reply