Serangan ganas tersebut disifatkan sendiri oleh Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern sebagai ‘serangan pengganas’ yang mempunyai ‘pandangan ekstrem.’ Kekejaman yang dilakukan Brenton Harrison Tarrant, 28 ditegaskan oleh oleh Perdana Menteri Australia, Scott Morrison sebagai perbuatan extremist right-wing, violent terrorist.

Hakikatnya, ini bukanlah pertama kali orang Islam dianiaya kerana terdapat banyak peristiwa hitam lain yang semakin meningkat kadarnya seperti Alexandre Bissonnette yang menembak mati seramai enam orang jemaah di sebuah masjid di Quebec City pada Januari 2017 yang dinyatakan sendiri oleh Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau sebagai ‘serangan terroris terhadap masyarakat Islam.’

Apakah yang menariknya tentang pelaku-pelaku ekstrem ini dari aspek kefahaman dan ideologi sehingga membutakan pemikiran rasional mereka dan membuatkan mereka hilang pertimbangan yang waras lalu bertindak secara Barbarian? Brenton dan Alexandre mempunyai persamaan daripada sudut sentimen ‘Ketuanan Kulit Putih’ yang menebal dan prejudis terhadap golongan imigran terutamanya Muslim yang dianggap menggugat penguasaan orang berkulit putih dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan budaya.

Dari aspek terminologi, White supremacy atau White Supremacism bermaksud kefahaman rasis yang percaya bahawa orang berkulit putih lebih unggul daripada orang yang mempunyai kulit berwarna dan oleh itu mereka harus didominasi dan ‘berada di bawah.’ Dalam perbahasan akademik juga ia seringkali digunakan untuk terma penguasaan dan kelebihan atau keistimewaan ‘kulit putih’ dalam politik, sosio-ekonomi dan strata sosial. Berakar umbi sejak kurun ke-17 Masihi lagi, kefahaman ini cuba menjustifikasikan secara pseudoscience bahawa biologi atau keturunan berkulit putih adalah genetik yang utama dan terbaik.

Oleh itu, muncullah gerakan atau pertubuhan ekstrem yang bertaburan di dunia yang mana orang kulit putih berada seperti European Social Movement (ESM), National Front, Aryan Nations, Ku Klux Klan, Blood & Honour, United Patriots Front, Right Wing Resistance dan lain-lain. Ini termasuklah fahaman dan kumpulan ekstrem yang pernah disebut atau dinyatakan oleh Brenton dan Alexandre dalam manifesto, tulisan dalam Facebook mereka seperti Etno-Nationalis, Neo-Nazi, Eco-Fascist, Kebab Removalist, Alt-Right, Far-Right, White Nationalist dan Génération Nationale.

Kedua-dua mereka merasakan golongan imigran Muslim adalah kumpulan yang mengancam dan menjarah tanah air mereka, maka perlu disingkirkan. Lebih jauh daripada itu, tersemat kental di dalam jiwa Brenton unsur anti agama Islam apabila beliau mengungkap semula kata-kata Pope II pada 1095M yang menyeru Tentera Salib menentang orang Islam dan Brenton juga mengajak masyarakat Kristian menakluki semula Constantinople (Istanbul).

Laporan akhbar memetik bahawa ketika Brenton dihadapkan di mahkamah, dia tampak angkuh, langsung tidak menunjukkan riak kekesalan, malah tersenyum serta membuat isyarat ‘OK’ dan akan mewakili dirinya sendiri tanpa peguam.

Berbeza dengan apa yang dikatakan sebagai ‘Ketuanan Islam’, asas dan prinsipnya telah termaktub dengan termeterainya Piagam Madinah beberapa tahun selepas Hijrah pada 622M. Ia memberi hak kepada semua bangsa tanpa mengira agama, pangkat dan darjat. Malah, terdahulu daripada itu lagi iaitu sebelum Islam, Nabi Muhammad SAW mengiktiraf satu triti (perjanjian) yang berlaku pada zaman pra Islam lagi atas pertimbangan keadilan. Triti itu bernama Hifl al-Fudul di Mekah bagi mewujudkan perdagangan yang adil dan mengelakkan penindasan kepada kumpulan yang lemah.

Selanjutnya, pidato terakhir Rasulullah SAW ketika Haji Wida’ (yang juga dikenali sebagai Deklarasi Arafah) merupakan dokumen tertulis pertama yang berkaitan hak-hak kemanusiaan. Antaranya, Rasulullah SAW menyatakan sebagaimana yang tercatat di dalam Sahih Bukhari dan Sahih Muslim: “Sesungguhnya darah kamu, harta kamu dan maruah diri kamu adalah terhormat dan dilindungi.” Dalam hal ini, Islam juga memberi hak kepada golongan yang lemah seperti golongan miskin, minoriti, dan cacat tanpa mengira usia, jantina, warna kulit, keturunan dan agama.

Kebebasan bersuara untuk menyatakan kebenaran bukan sahaja hak tetapi tanggungjawab yang menjadi kewajipan setiap manusia. Dalam peradaban Islam, setiap orang mesti menjaga kehormatan darah, nyawa, maruah, nama baik, harta dan rumah tangga sendiri serta anggota masyarakat.

Di sepanjang sejarah gemilang umat Islam, khususnya pada zaman para Khulafa al-Rashidin dan kepimpinan Islam selepasnya, para pemimpin kerajaan Islam amat menghormati hak-hak manusia, termasuk hak-hak yang dinikmati oleh ahli Zimmah iaitu larangan memerangi mereka sekiranya mereka condong untuk berdamai dan sanggup membayar Jizyah, perlindungan ke atas harta benda, nyawa dan kehormatan mereka, kebebasan untuk beribadat di pusat-pusat ibadat mereka dan menguruskan hal ehwal berkait dengan urusan peribadi mereka.

Ini termasuklah kebeba­san bekerja, hak memegang jawatan dalam pentadbiran, pemberian hak yang sama sebagaimana yang diberikan kepada orang Islam, perlindungan mereka daripada dicerobohi nyawa dan harta mereka serta dizalimi. Sebenarnya, asas dan prinsip yang dilegasikan oleh Baginda inilah yang menjadi tunjang dalam pembentukan Universal Declaration of Human Rights (UDHR 1948) dan Cairo Declaration on Human Rights in Islam (CDHRI 1990).

Dalam menyingkapi isu dan konflik Christchurch, ia sebenarnya banyak berkait dengan kefahaman dan pelaksanaan betul terhadap hak-hak kemanusiaan yang boleh diterima oleh semua pihak tanpa mengira agama dan bangsa. Kefahaman yang betul tentang Islam adalah perlu bagi mengelakkan munculnya sikap prejudis, marah dan dendam terhadap Islam, begitu juga sebaliknya untuk mewujudkan dunia yang lebih damai dan harmoni.

Hakikatnya, mencari titik persamaan untuk memulakan dialog dan wacana berkaitan hak-hak kemanusiaan adalah tersangat penting terutamanya pada masa kini yang suasananya kian mencabar yang mana pelbagai pihak rakus menuntut dan mempertahankan hak asasi masing-masing tanpa memahami konsep dan matlamat hak asasi manusia yang sebenar. Titik persamaan ini adalah perlu kerana ia memungkinkan hak asasi dilihat sebagai kepentingan bersama, dan bukannya ancaman musuh.

Oleh Profesor Dr. Wan Kamal Mujani