Kezaliman yang Tidak Dibiarkan oleh Allah

Allamah Sayyid Abdullah bin Alawi Al-Haddad dalam kitabnya berjudul Sabîlul Iddikâr wal I’tibâr bimâ Yamurru bil Insân wa Yanqadli Lahu minal A’mâr (Dar Al-Hawi, Cet. II, 1998, hal.100), menjelaskan bahawa di antara perkara berat dan amat diperhitungkan oleh Allah pada hari kiamat adalah perbuatan zalim manusia terhadap manusia lainnya sebagaimana petikan berikut ini:

 

واعلم أن مِنْ أشد الأشياء وأشقها في موقف القيامة: ظلم العباد، فإنه الظلم الذي لا يتركه الله

 

Ertinya: “Ketahuilah bahawa di antara perkara-perkara berat dan sangat diperhitungkan pada hari kiamat adalah perbuatan zalim terhadap sesama manusia sebab hal ini merupakan kezaliman yang tidak akan dibiarkan oleh Allah.”

 

Apa yang diungkapkan Sayyid Abdullah Al-Haddad di atas berdasarkan pada sebuah hadis marfu’ yang diriwayatkan dari Anas bin Malik radliyallahu ‘anh bahawa ada tiga macam kezaliman manusia. Salah satunya adalah kezaliman terhadap sesama manusia. Allah tidak akan membiarkan kezaliman itu berlalu begitu saja tanpa penyelesaian. Kezaliman semacam ini akan terus diperhatikan oleh Allah sebagaimana penggalan hadis berikut ini:

 

وَأَمَّا الظُّلْمُ الَّذِي لا يَتْرُكُهُ الله فَظُلْمُ الْعِبَادِ بَعْضِهِمْ بَعْضًا حَتَّى يُدَبِّرُ لِبَعْضِهِمْ مِنْ بَعْضٍ

 

Ertinya: “Adapun kezaliman yang tidak akan dibiarkan oleh Allah adalah kezaliman manusia atas manusia lainnya hingga mereka menyelesaikan urusannya.”

 

Kezaliman manusia terhadap manusia lainnya pada dasarnya merupakan urusan manusia kerana termasuk dalam perkara muamalah. Namun demikian, Allah tidak membiarkannya hingga pihak yang melakukan kezaliman menyelesaikan masalahnya, misalnya dengan ganti rugi tertentu dan/atau meminta maaf kepada pihak yang dizalimi. Apabila hal ini tidak dilakukan hingga masing-masing meninggal dunia, maka Allah akan memperhitungkannya di akhirat.

 

Contoh-contoh perbuatan zalim kepada sesama manusia adalah sebagaimana disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah RA (lihat hadis di bawah), yakni antara lain mencaci maki orang lain  (شَتَمَ),  menuduh/memfitnah orang lain (قَذَفَ), memakan harta orang lain (أَكَلَ مَالَ), menumpahkan darah orang lain (سَفَكَ دَمَ), dan memukul orang lain (ضَرَبَ).

 

Sebagaimana dijelaskan dalam hadis berkenaan, Allah akan memperhitungkan dengan mengatur ganti rugi di mana pahala dan amal-amal baik orang yang menzalimi seperti solat, puasa dan zakat diberikan kepada orang yang dizalimi sehingga tuntas. Besarnya pahala yang diberikan sesuai dengan besarnya dosa yang dilakukannya.

 

Apabila besarnya dosa tidak sebanding dengan amal baiknya kerana ramai orang yang dizalimi, maka dosa-dosa dari orang-orang yang dizalimi akan diberikan kepada orang yang menzalimi sehingga baki amalan baiknya habis. Apabila tidak mencukupi, maka Allah SWT akan melemparkan orang yang menzalimi itu ke neraka. Orang seperti ini kemudian disebut orang bangkrap sebagaimana dimaksudkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadits yang diriwayatkan dari Abu Hurairah RA berikut ini:

 

أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ “أَتَدْرُوْنَ مَا الْمُفْلِسُ؟” قَالُوْا: اَلْمُفْلِسُ فِيْنَا مَنْ لاَ دِرْهَمَ لَهُ وَلاَ مَتَاعَ. فَقَالَ “إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي، يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصَلاَةٍ وَصِيَامٍ وَزَكَاةٍ، وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ هٰذَا، وَقَذَفَ هٰذَا، وَأَكَلَ مَالَ هٰذَا، وَسَفَكَ دَمَ هٰذَا، وَضَرَبَ هٰذَا. فَيُعْطِى هٰذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ وَهٰذَا مِنٰ حَسَنَاتِهِ. فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ، قَبْلَ أَنْ يَقْضَى مَا عَلَيْهِ، أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ. ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ”

 

Ertinya: “Sesungguhnya Rasulullah shallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tahukah kalian siapakah yang dinamakan muflis atau orang bangkrap? Orang-orang menjawab: Orang muflis menurut pendapat kami ialah mereka yang tiada mempunyai wang dan tiada pula mempunyai harta benda. Nabi menjawab: Sesungguhnya orang muflis dari umatku ialah mereka yang datang pada hari kiamat dengan membawa amal kebaikan dari solat, puasa, dan zakat. Tetapi mereka dahulu pernah mencaci maki orang lain, menuduh orang lain, memakan harta orang lain, menumpahkan darah orang lain dan memukul orang lain. Maka kepada orang yang mereka salahi itu diberikan pahala amal baik mereka; dan kepada orang yang lain lagi diberikan pula amal baik mereka. Apabila amal baik mereka telah habis sebelum hutangnya lunas, maka diambillah kesalahan orang yang disalahi itu dan diberikan kepada mereka; Sesudah itu, mereka akan dilemparkan ke dalam neraka.”

 

Jadi melakukan kezaliman kepada sesama manusia bukanlah persoalan ringan kerana dapat meleret hingga ke akhirat. Allah akan terus memperhatikan dan memperhitungkan kezaliman seperti ini. Oleh itu, siapa pun hendaknya bersikap hati-hati kepada orang lain dengan menjaga lisan, tangan dan perbuatan lainnya agar terhindar dari perbuatan-perbuatan sebagaimana disebutkan dalam contoh-contoh diatas, yakni mencaci maki, memfitnah atau menuduh tanpa bukti, memakan harta orang lain seperti mencuri atau korupsi, membunuh secara tidak sah, melukai atau menyakiti orang lain baik secara fisikal mahupun bukan fisikal, dan sebagainya.

www.nu.or.id

 

No Comments

    Leave a reply