KHAT JAWI: MUALNYA SUATU SANDIWARA

Sejak isu memasukkan khat Jawi dalam kurikulum Bahasa Malaysia SJKC dan SJKT Tahun 4 diperkatakan, latar belakang perdebatan sudah menjangkau ke isu tuduh menuduh antara satu puak dengan puak yang lain. Puak yang bersetuju dengan permulaan kembali khat Jawi itu berfikir atas landasan sejarah, tulisan Jawi telah digunakan sebagai tulisan utama sejak sekian lama dan tulisan itu merupakan bahasa persuratan utama bagi rantau nusantara untuk tempoh yang lama sebelum ia dipadamkan dalam sistem pendidikan negara pada tahun 1966.

Menteri Pelajaran ketika itu, Tan Sri Khir Johari (bapa tiri kepada Zairil Khir Johari, bekas pegawai khas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan kini salah seorang EXCO Kerajaan Pulau Pinang di bawah pentadbiran DAP) berusaha merombak sistem pendidikan Malaysia dengan menukarkan format tulisan Jawi bagi mata pelajaran Bahasa Melayu kepada tulisan Rumi. Alasannya ialah untuk menyeragamkan bentuk tulisan dengan lain-lain mata pelajaran yang menggunakan abjad tulisan Rumi.

Menurut kajian Muhammad Bukhari Lubis, “Tulisan jawi muncul seiring dengan kedatangan Islam ke Indonesia pada abad pertama Hijrah.  Kedatangan Islam mengubah hidup masyarakat dengan meninggalkan amalan-amalan Animisme dan mengambil Islam sebagai cara hidup”.

Atas sebab hubungan itulah Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) mengaitkan memperkenalkan semula khat Jawi dalam kurikulum Bahasa Malaysia sebagai satu bentuk “islamisasi” sedangkan secara realitinya, ia bukanlah tindakan halus untuk mengislamkan pelajar-pelajar bukan Melayu. Ia sekadar menghidupkan semula keindahan khat Jawi dan bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia boleh membaca bahan-bahan sejarah yang pernah dihasilkan dalam tulisan Jawi.

Dalam perhubungan antara penjajah dengan Raja-Raja Melayu pada zaman penjajahan, tulisan Jawi digunakan sebagai bahasa komunikasi yang penting sebelum ia digantikan secara beransur-ansur dengan tulisan Rumi. Ini bermakna, penjajah lebih menghormati tulisan Jawi sebagai bahasa persuratan Melayu yang hebat dan berpengaruh sedangkan sebahagian rakyat Malaysia semakin merasa janggal dengan warisan itu.

Dalam kalangan mereka yang menentang pengenalan semula khat Jawi dalam sistem pendidikan kebangsaan, mula mencari alasan yang tidak munasabah sehingga menimbulkan lebih banyak konflik politik. Seorang wakil rakyat DAP (Kluang, Wong Shu Qi) misalnya menjadikan bahan lawak untuk memberi kefahaman kepada khalayak sasarannya dalam kalangan orang Cina bahawa tulisan Jawi telah digunakan untuk menulis buku atau majalah yang berkaitan seks atau pornografi.

jawi porno

Akibatnya, beliau telah diserang hebat oleh netizen dan akhirnya memberikan penjelasan bahawa ‘bahan lawak’nya itu dikutip di luar konteks. Sayangnya, kemarahan tersebut tidak dapat dipadamkan malah makin membuak-buak apabila ada netizen mula mempamerkan majalah berbahasa Cina yang memangnya dikeluarkan khusus untuk eksploitasi seks, termasuk edisi Playboy berbahasa Mandarin.

Menariknya lagi apabila seorang lagi wakil rakyat dari Selangor (Klang, Charles Santiago) menuduh bahawa Perdana Menteri, Dr Mahathir lebih gemar membuat keputusan sepihak dalam mempertahankan kemasukan semula khat Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia SJKT dan SJKC. Dr Mahathir dalam reaksinya menyatakan bahawa “akan meminta kebenaran Santiago dulu sebelum membuat keputusan kerana “dia setaraf dengan saya (sebagai perdana menteri)”.

Jika semua perkara perlu dibuat keputusan secara konsensus, ia bermakna kuasa Perdana Menteri adalah seperti ‘budak suruhan’ semuanya perlu dirujuk terlebih dahulu. Jika inilah yang dikatakan bukan sepihak, maka urusan pentadbiran negara akan menjadi semakin tidak efisyen terutama apabila melibatkan perkara-perkara yang berkaitan keselamatan dan juga bencana.

hapuskan tulisan jawi

Akibat dakwaan Charles Santiago itu Menteri Pendidikan, Dr Mazlee Malik menyifatkan wakil Klang sebagai ‘pembohong’ kerana tidak semua keputusan yang melibatkan perkara penting negara dilakukan oleh Dr Mahathir secara unilateral. Walaupun Dr Mahathir disindir kerana gagal mematuhi ketetapan PH dalam pelantikan Ketua Polis Negara, Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Pengerusi SUHAKAM, kuasa pelantikan tersebut masih sebahagian daripada prerogative Perdana Menteri. Ini kerana Jawatankuasa Pelantikan Penjawat Awam (PAC) masih belum mempunyai kuasa yang secukupnya untuk membuat pemilihan sebagaimana dipersetujui oleh Majlis Pakatan Harapan. Secara undang-undang, Dr Mahathir mempunyai kuasa bicaranya, dan beliau berhak memutuskannya, termasuklah sokongannya terhadap kemasukan semula khat Jawi dalam sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu.

Kemasukan semula tulisan Jawi sebagai sebahagian kecil kurikulum Bahasa Melayu telah menyebabkan Dong Zong tetap menolaknya dengan alasan yang kurang tepat, mengaitkan dengan Islam walaupun dijelaskan ia hanya sebagai warisan budaya Malaysia. Budaya Malaysia sebagaimana diputuskan dalam Konvensyen Kebudayaan Kebangsaan pada tahun 1980-an, adalah berteraskan budaya Melayu. Ini kerana budaya Melayu adalah budaya yang sudah berakar dan mendominasi kehidupan masyarakat sebelum kedatangan penjajah dan kemasukan orang Cina dan India secara beramai-ramai.

tak pernah sokong melayu

Akibat kemasukan kaum imigran itulah menjadikan masyarakat Tanah Melayu semakin majmuk dan pada awalnya tidak banyak menimbulkan masalah budaya dan politik. Hari ini, disebabkan mereka sudah diterima sebagai warganegara Malaysia menerusi ‘jus soli’ dan ketetapan terhadap empat perkara asas (dikenali kontrak sosial), menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama Persekutuan, Kedudukan Raja-Raja Melayu dan Hak Istimewa Orang-Orang Melayu (termasuk Bumiputera), maka tepatlah apa yang dikatakan oleh Dr Mahathir bahawa Dong Zong adalah rasis.

Dong Zong menafikan pertubuhan mereka sebagai rasis, sebaliknya pertubuhan itu yang tegas mempertahankan pendidikan Cina tidak pernah menolak kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Lim Guan Eng turut memperjelaskan pendirian Dong Zong dengan mengharapkan Dr Mahathir tidak akan ‘mengharamkan’ Dong Zong atas pandangan bahawa ia adalah amalan demokrasi yang turut dijamin oleh Perdana Menteri.

Sebelum itu, Lim Kit Siang menggambarkan bahawa Dr Mahathir telah membuat kesilapan apabila melabelkan Dong Zong sebagai rasis dan Dong Zong juga silap kerana “permulaan Islamisasi”. Nampaknya Lim Kit Siang cuba mencari ‘jalan tengah’ kerana beliau mungkin khuatir, sentiment orang Melayu akan kembali memuncak menyokong Dr Mahathir atas isu ini sedangkan sebahagian besar pendokong Dong Zong adalah penyokong DAP.

Akibat pertelagahan isu ini, DAP menjadi semakin tertekan apabila wakil rakyatnya mula mengeluarkan komen-komen yang boleh mencabar orang Melayu. Cabaran ini akan memungkin perkara lebih bahaya akan terus menjurus kepada tekanan dan menambahkan lagi persepi umum bahawa DAP benar-benar ‘mendominasi PH’.

mujahit

Menurut Lim Guan Eng, “Dong Zong menghormati kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan, manakala bahasa lain boleh diajar dan dipelajari secara bebas.”

Kalau diikutkan naratif Lim Guan Eng, Dong Zong tidak bersalah dan tidak patut dilabelkan sebagai rasis kerana tidak melanggar Perkara 152 (1) (a) dan 152 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan. Ia mungkin suatu kenyataan untuk membela diri, tetapi hakikatnya sejak Dong Zong ditubuhkan pada bulan November 1954, ia telah banyak kali dilihat begitu liat untuk menerima tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam memperkasakan penggunaan bahasa Melayu di sekolah-sekolah, termasuklah melihat pengupayaan penggunaan bahasa Melayu sebagai alat penyatuan kaum bermula di sekolah-sekolah sebagai ‘matlamat terakhir’ untuk membunuh ‘pendidikan Cina’.

Dong Zong pernah melancarkan bantahan terhadap penubuhan Sekolah Wawasan yang sudah dipersetujui oleh Kabinet pada tahun 1995 bagi membolehkan dua buah sekolah atau lebih berkongsi kemudahan asas dan kepakaran guru sedangkan tidak mengusik tatacara pengurusan sekolah-sekolah jenis kebangsaan. Tentangan itu menjadi begitu memuncak pada tahun 1997 sehingga menyebabkan matlamat Sekolah Wawasan tergendala. Ini membuktikan bahawa Dong Zong turut mengkhianati semangat penyatuan kaum menerusi percampuran antara pelajar pelbagai kaum di peringkat akar umbi, dan sanggup membiarkan para pelajar yang keluar daripada sistem pendidikan masing-masing kekal dengan kesedaran perkauman yang tinggi.

semak semula jawi

Begitu juga dengan penolakan Dong Zong terhadap cadangan KPM untuk menambahkan masa belajar mata pelajaran bahasa Melayu di SJKC. KPM menyedari bahawa sebahagian besar mereka yang bersekolah di SJKC dan SJKT berhadapan dengan masalah berbahasa Melayu apabila memasuki sekolah menengah. Akibatnya, pelajar-pelajar berkenaan perlu memasuki kelas-kelas pemulihan selama setahun sebelum mereka boleh memasuki Tingkatan Satu sekolah menengah kebangsaan. Ini merugikan dan kerana itu KPM mencadangkan masa pembelajaran bahasa Melayu ditambah bagi membolehkan para pelajar lepasan SJKC dan SJKT terus memasuki Tingkatan Satu kerana aras kemahiran berbahasa Melayu mereka adalah lebih rendah daripada bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan.

Sebaliknya Dong Zong terus mahukan kerajaan mengiktiraf lulusan sekolah-sekolah Cina swasta yang dikendalikan oleh mereka melalui UEC. UEC tidak diajar dalam bahasa kebangsaan dan kurikulumnya bukanlah berdasarkan kurikulum kebangsaan, ia sebahagiannya diambil daripada kurikulum pendidikan di Taiwan. Keadaan ini menyebabkan DAP terus memperkatakan bahawa lulusan UEC didiskriminasikan maka, perjuangan untuk mendapat pengiktirafan akan dilakukan secara berterusan. Kini, setelah PH berjaya memerintah, pengiktirafan UEC telah dihidupkan semula dan menjadi salah satu manifestonya.

sijil uec

Oleh kerana proses pengiktirafanya masih belum muktamad, DAP sebenarnya berhadapan dengan situasi tidak selesa apabila khat Jawi ingin diperkenalkan semula pada tahun hadapan untuk SJKC dan SJKT bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat. Kemunculan isu ini memberikan peluang semula kepada DAP untuk merapatkan hubungannya dengan pejuang-pejuang pendidikan Cina, dan sebaliknya memaksa orang Melayu kembali melihat semula wajah DAP yang sebenarnya.

Dr Mahathir nampaknya sedikit berjaya memulihak imejnya dengan isu khat Jawi ini dalam kalangan orang Melayu setelah beliau dilihat lebih cenderung kepada matlamat dan perjuangan DAP. Mungkin setelah setahun bersama DAP, Dr Mahathir mula merasakan perjuangannya untuk memperkasakan Orang Melayu sentiasa mendapat reaksi balas yang kurang menyenangkan, maka dengan melabelkan Dong Zong sebagai rasis, ia boleh memulihkan sedikit sebanyak defisit keyakinan orang Melayu.

Seperti diketahui, dalam tempoh polemik khat Jawi, seorang taikun Cina mula mempersoalkan perihal peranan tentera yang tidak pernah berperang atau menembak. Tentera sekarang lebih banyak makan dan tidur, sesekali membuat latihan menembak di lapang sasar. Ia merupakan sesuatu yang merugikan dan sebaliknya boleh digunakan untuk menggantikan pekerja asing di ladang kelapa sawit, buruh pembinaan dan sebagainya. Jika ia dapat dilakukan, ia akan mengurangkan beban pembayar cukai, membayar gaji tentera.

Dalam masa yang sama, didedahkan bahawa beliau turut menyumbang sejumlah RM 100,000 bagi setiap parti komponen PH untuk menghadapi PRU ke-14. Ini menggambarkan taikun berkenaan semakin ‘biadap’ dan sedang menangguk laba hasil ‘derma politik’nya walaupun beliau sebenarnya sudah kaya dan bertaraf billionair. Inilah perangai sebahagian besar taikun Cina apabila sudah kaya mula ‘lupa diri’ dan kadangkala menafikan bahawa kekayaan yang diraihnya adalah secara tidak langsungnya disumbangkan oleh anggota tentera dan pasukan keselamatan yang bertungkus lumus menjaga keselamatan negara.

Beliau sebenarnya terlupa, jika keadaan politik dan keselamatan terjejas, sukar baginya untuk menambahkan kekayaan bahkan hidupnya tidak akan tenteram. Beliau lupa, sebab peperangan yang berlaku di negara leluhur dan bencana yang menimpalah mereka sanggup berhijrah ke Tanah Melayu untuk mencari rezeki, akhirnya, setelah kaya lupa bahawa bumi yang dipijak itulah ‘rumah kebahagiaan’ mereka manakala ‘langit yang dijunjung’ itulah atap yang meneduhkan kehidupan harian.

Ini sebahagian sandiwara yang sedang dipentaskan dalam teater politik Malaysia Baharu berhubung peranan DAP di belakang tabir yang terus mengusik orang Melayu dan budayanya. Bahkan, ada yang berpendapat sekalipun Dong Zong diharamkan, ia tidak akan mematahkan semangat dan perjuangan pendidikan Cina, akan sentiasa ada polemiknya. Hanya ada suatu solusi yang boleh memadamkan ‘api dan semangat itu’ yakni dengan menutup semua sekolah-sekolah vernakular. Setiap pelajar warganegara hanya ada satu jenis sekolah, iaitu Sekolah Kebangsaan. Mereka tidak ada pilihan, dan ia sudah dipraktikkan hampir di semua negara di dunia, kecuali Malaysia.

Tidak ada SJKC di Thailand. Tidak ada SJKT di Sri Lanka. Tidak ada SJKT di Pulau Bali walaupun sebahagian besar penduduknya adalah beragama Hindu. Tidak ada SJKC di Singapura walaupun majoriti penduduknya adalah keturunan Cina. Tidak ada SJKC di Filipina dan tidak ada SJKT di England. Semuanya mengikut satu sistem persekolahan yang sama, jadi itulah sebenarnya asas pendidikan untuk menyemai nilai-nilai keterbukaan dan boleh bergaul dengan menggunakan satu bahasa rasmi bagi sesebuah negara.

Dengan hanya melabelkan Dong Zong sebagai rasis, Dr Mahathir sebenarnya sedang mementaskan sandiwara politiknya untuk menarik sokongan orang Melayu setelah imejnya dalam orang Melayu semakin terjejas akibat bersekutu dengan DAP yang pernah dilabelkan sebagai rasis dan melampau.

Dr Mahathir akan memperoleh sokongan yang kuat sekiranya beliau membuktikan keberanian politiknya dengan menamatkan semua sekolah vernakular di Malaysia sebagaimana Lee Kuan Yew begitu berani menghapuskan pendidikan Cina sebaik sahaja Singapura keluar daripada Malaysia. Kalau Lee Kuan Yew berjaya menjadikan Singapura sebagai sebuah negara maju dari ‘zero kepada hero’ menerusi separa demokratik dan Dr Mahathir berjaya meletakkan Malaysia sebagai salah sebuah ‘harimau Asia’ pada awal pentadbirannya selama 22 tahun dengan kaedah separa autokratik juga tidak ada keberanian ‘menghapuskan sekolah vernakular’ maka polemik khat Jawi dan tindakan melabelkan Dong Zong sebagai rasis akan terus dianggap sebuah sandiwara.

Beliau sengaja  ‘mementaskan khat Jawi’ bagi membaiki kerosakan imejnya yang tercalar apabila bersekutu dengan DAP bagi mendapatkan kuasa, dan kali ini, Dr Mahathir dicabar untuk menunjukkan keberaniannya ‘menutup semua sekolah vernakular’. Jika keberanian itu benar-benar ditunjukkan, orang Melayu akan kembali sebahagian besarnya menyokong beliau dan mengangkatnya sebagai Wira Bangsa.

Jangan hanya sekadar ‘mengacah’ kerana acahan itu menyebabkan sandiwara akan terasa mual dan meloyakan.

Mahanor Saleha

 

 

 

No Comments

    Leave a reply