KHAWARIJ DINEGARA KITA

Permusuhan selalunya dimulai dengan keinginan manusia atau sekumpulan manusia untuk memenuhi tuntutan nafsu. Dalam kes ini, jika ada halangan untuk memuaskan tuntutan nafsu, sesetengah manusia mengambil jalan mudah dan mengetepikan sifat kemanusiaannya.

Golongan ini sebenar telah dirasuk syaitan dan Allah SWT telah berfirman tentang syaitan maksudnya: “Syaitan itu memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka, pada hal syaitan itu tidak menjanji kepada mereka selain tipuan belaka.” (Surah an-Nisa ayat 120)

Bermula dengan sikap benci, berkembang menjadi perseteruan sementara dan seterusnya tanpa kawalan diri akan memuncak menjadi lebih buruk, termasuk melibatkan pembunuhan dan pelbagai kezaliman.

Rasa benci yang mula berakar menyebabkan manusia sanggup memutuskan perhubungan sebagai rakan atau saudara. Memutuskan ikatan persaudaraan seagama menjadi petanda berlakunya kekeruhan iman.

Perasaan memusuhi apa sahaja yang datangnya daripada pihak lawan meskipun perkara itu perkara baik semakin merebak dalam kalangan masyarakat kita. Orang tidak lagi dapat berfikir dengan jernih dan boleh membezakan mana yang baik dan benar, kerana perasaan terlampau benci mengalahkan segalanya. Inilah sifat tamak manusia dan Allah SWT berfirman yang bermaksud: �an adalah manusia itu bersifat tergesa-gesa.” (Al-Isra ayat 11).

Begitu juga apa yang berlaku dalam konteks apa yang dilakukan kerajaan hari ini. Pihak yang membenci akan sentiasa menyalahkan dan menganggap tidak betul meskipun kerajaan sudah sedaya upaya melakukan proses transformasi menyeluruh bagi membaiki keadaan. Perasaan dendam dan benci yang membuak-buak menjadikan seseorang itu buta mata dan buta hati mengakui kebaikan yang dilakukan orang lain.

Secara terang-terangan mereka menghina semua institusi negara, institusi raja bahkan menghina Islam. Ini semua adalah buah dari ketaksuban dan kefanatikan terhadap pimpinan mereka sehingga etika dan prinsip-prinsip asas dilanggar sendiri. Lebih mendukacitakan, ramai dalam kalangan Melayu yang berbuat sedemikian dan mengikut rentak golongan bukan Islam.

Kita jangan jadi seperti golongan Khawarij yang sangat patuh menjalankan ibadah ritual tetapi sangat kaku dalam hubungan sosial, terutama sesama kaum Muslim.

Sejarah Islam mengajar kita bahawa dalam kalangan mereka ada yang sanggup membunuh saudara seIslam kerana berbeza pendapat dalam masalah agama. Terutama ketika masalah kepimpinan Ali bin Abi Talib.

Malah lebih malang lagi apabila mereka lebih menghormati Nasrani (kerana kaum dzimmi menurut al-Quran harus dilindungi) daripada orang Islam sendiri. Mereka menghukum kafir terhadap sesiapa sahaja yang memutuskan perkara tidak berdasarkan al-Quran.

Mereka membunuh Abdullah bin Habab dan isterinya kerana memuji Ali selepas peristiwa Tahkim. Golongan Khawarij dikatakan sangat taat mengerjakan sembahyang dan tidak menyentuh makanan haram, ternyata sanggup membunuh saudara sesama Islam hanya kerana perbezaan pendapat.

Adakah di antara kita begitu kaku berpegang kepada al-Quran dan hadis hanya dalam kerangka pemikiran kelompok kita dan tidak menghormati pemahaman kelompok yang lain?

Apakah kita lebih menghargai umat lain daripada sesama Islam? Atau kita halalkan segala perkara seperti fitnah, penyalahgunaan kuasa untuk menjatuhkan orang yang tidak sehaluan dengan kita?

Khawarij masih berada di sekitar kita. Mereka menjual dan menjaja kewarakan diri demi kepentingan politik. Kuasa apabila jatuh ke tangan golongan seperti ini akan menghancurkan masyarakat seluruhnya.

Mengabaikan masalah-masalah hukum dan hubungan kemasyarakatan bukan sahaja menimbulkan kerosakan dalam masyarakat itu sendiri, malah akan mengakibatkan tergugatnya sebuah kehidupan yang damai.

Islam yang ditegakkan melalui hubungan damai dan mementingkan perdamaian akan terjejas dengan sendirinya oleh sikap lemah dan jahil penganutnya yang sanggup mengetepikan rasa cinta sesama manusia dan membiarkan tuntutan nafsu menggantikan keimanan. Perselisihan seperti ini harus diatasi dengan dakwah dan amar makruf nahi mungkar.

Dalam hal ini nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Allah tidaklah mengutusku sebagai seorang pemberi beban dan juga seorang yang keras. Sesungguhnya aku ini diutus hanyalah sebagai seorang pengajar dan seorang yang memberikan kemudahan”

Apabila berlakunya sesuatu perselisihan, orang Islam diwajibkan untuk melupakan perbezaan dan kembali kepada dasar keimanan dengan jelas. Sebarang perbezaan pendapat perlu diselesaikan secara berhemah dan beretika.

Sehubungan ini Allah SWT berfirman yang bermaksud: �ahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat mengenai sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya. Jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama dan lebih baik akibatnya. (Surah An-Nisa ayat 59).

Perpecahan sesama umat Islam berlaku di mana-mana sahaja sehingga mereka sanggup berbunuhan sesama sendiri hanya kerana perbezaan pendapat atau aliran. Kononnya perpecahan tidak dapat dielakkan kerana sepanjang sejarah kita selalu berpecah.

Di samping menggunakan hujah dan menunjukkan dalil-dalil al-Quran dan hadis untuk mempertahankan perpecahan yang terjadi, apakah boleh kita katakan bahawa perpecahan yang berlaku sesama umat Islam itu sebagai satu takdir?

Perpecahan bukan harus diterima begitu sahaja tetapi harus diselesaikan dengan melakukan muhasabah perilaku kita sendiri. Ketika Nabi menyebut bahawa di antara umatnya ada yang taat dan ada yang melakukan maksiat. Ini bererti Nabi sedang menunjukkan masih ada jalan penyelesaian terbaik bagi dua kumpulan yang bersengketa.

Terpulanglah kepada sikap kita sendiri sama ada ingin meneruskan sengketa ataupun mencari jalan damai. Jika jalan damai yang kita pilih, hubungan persaudaraan akan bertaut kembali dengan lebih kukuh. Pilihan itu selalu ada dan kita selalu diberikan peluang untuk membuat pilihan. Mungkin kita boleh mengambil sikap membetulkan kesilapan yang pernah kita lakukan.

Catatan: Ibnu Farabi

No Comments

    Leave a reply