KIBARAN BENDERA SANG SAKA MALAYA

Apakah  akan  berlaku lagi tindakan individu-individu rakyat kita yang akan mengibarkan bendera “Sang Saka Malaya” ketika negara meraikan kemerdekaan. Ingat sesungguhnya perbuatan ini sebagai zalim kepada negara kerana dengan perbuatan itu, dia telah menggugat Perlembagaan negara yang menjadi teras kepada keagungan dan kewibawaan negara. Tindakan melampau itu juga boleh diiktiraf sebagai mencabul undang-undang negara yang sudah menetapkan Jalur Gemilang sebagai bendera rasmi negara yang mesti dihormati dan dijunjung tinggi.

Bendera adalah lambang kepada kedaulatan dan maruah sesebuah negara. Mereka sepatutnya merenung dan bertafakur secara mendalam terhadap makna di sebalik kehebatan sebuah bendera. Demi sang bendera, para pejuang dan pahlawan kita dahulu mempertaruhkan dan menggadaikan nyawa mereka menentang penjajahan.

Demi kehormatan bendera, para pejuang kemerdekaan kita mengerahkan fikiran (ijtihad), hati (mujahadah) dan kekuatan fizikal (jihad) demi membebaskan negara daripada cengkaman penjajahan yang menjadikan hidup rakyat sengsara.

Dalam al-Quran, Allah SWT telah memberi amaran keras kepada manusia untuk meninggalkan perbuatan zalim dan sikap yang melampau. Allah berfirman “Sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya seksa yang tidak terperi sakitnya” (Al Baqarah: 278).

Pada pandangan Islam, sesuatu perbuatan yang dikatakan zalim itu ialah tindakan yang melampaui batasan agama Islam sendiri. Misalnya, jika tindakan seseorang itu melampaui batasan agama dan peraturan kehidupan yang ditetapkan, maka tindakan itu dianggap zalim.

Berkaitan perkara zalim, kita teringat pesan Rasullullah SAW dalam sebuah hadisnya ketika baginda diminta nasihat oleh salah seorang sahabat. Sahabat itu berkata, “wahai Rasulullah, berilah aku nasihat.” Nabi bertanya, “apakah engkau akan mengamalkan jika aku memberimu nasihat? Sahabat itu menjawab, “ya, ya Rasulullah.” Nabi kembali bertanya, “apakah engkau akan mengamalkan jika aku memberimu nasihat? Ia menjawab, “ya, ya Rasulullah.” Tetapi Nabi bertanya lagi, “apakah engkau akan mengamalkan jika aku memberimu nasihat? Sahabat itu kembali menjawab, “ya, ya Rasulullah.”

Begitulah, setelah tenang sejenak dan merasa yakin bahawa sahabat itu akan mengamalkan nasihatnya, Nabi bersabda, “jika engkau menginginkan sesuatu, renungkanlah terlebih dahulu dengan baik. Bila ia baik, lakukanlah, dan bila tidak baik tinggalkanlah.”

Hadis di atas mengingatkan kita bahawa tidak semua keinginan yang terasa di dalam hati harus diperturutkan dengan segera, tetapi renunglah, dan kawallah ia dengan cermat. Bila dalam perenungan itu ditemukan kebaikan dari apa yang diinginkan itu, lakukanlah, tetapi bila dirasakan akan keburukannya, tinggalkanlah, jangan dilakukan. Lalu, apa ukuran baik atau tidak baik yang dikatakan oleh Nabi?

Kelompok yang menolak asas kenegaraan dan peraturan yang diterima umum sebagai faktor pemersatu dalam masyarakat itu sebenarnya merupakan kumpulan manusia yang sudah rosak akhlak. Mereka lupa bahawa Islam meletakkan kehidupan bermasyarakat itu sebagai tonggak penting, kerana kekuatan Islam adalah kerana setiap individu berusaha mengelakkan daripada melakukan kesilapan, termasuk memperolok-olokkan orang lain secara aib.

Kejadian memperolok-olokkan Jalur Gemilang dan mempersendakan ulang tahun kemerdekaan yang berlaku sebelum ini sebagai “tarikh malapetaka” serta menafsirkan makna “merdeka” sama dengan “merderhaka” menggambarkan kekusutan jiwa yang besar dan tindakan yang aib. Ini kerana kemerdekaan itu adalah sesuatu yang suci, kerana ia adalah sebuah hakikat kemenangan dalam suatu perjuangan menerusi jerih payah dan pengorbanan bagi menentukan hala tuju negara

Meskipun perjuangan menuntut kemerdekaan negara tidak ditegakkan menerusi peperangan dan “tumpah darah”, ia tetap menjadi suatu tindakan yang mulia di sisi Allah SWT. Berdasarkan sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW, sebahagian besar kemenangan Islam adalah kerana kehebatan diplomasi baginda sendiri, sentiasa memaafkan musuh-musuh Islam yang menunjukkan toleransi dan bersedia menyelesaikan kekusutan menerusi rundingan.

Sikap gelojoh dan hanya mengiktiraf “kemenangan perjuangan” hanya melalui peperangan sebenarnya suatu tindakan yang dirasuk perangai iblis. Iblis tidak akan berpuas hati selagi tidak melihat ada orang yang mati bersengketa, kerana tindakan sedemikian membawa kepada nilai kemuncak kehancuran. Iblis akan kecewa besar jika dua orang yang bersengketa menghulurkan tangan perdamaian.

Banyak contoh daripada sejarah, perjuangan kemerdekaan secara revolusineer memerlukan masa yang panjang untuk mengubatinya. Bagi negara yang merdeka menerusi relovusi, sikap rakyatnya lebih kuat memberontak berbanding negara yang mencapai kemerdekaan menerusi rundingan.

Sikap berontak yang keterlaluan itu akhirnya menjerumus negara kepada situasi yang tidak stabil dan akhirnya memberi ruang kepada kuasa asing untuk masuk campur, membentuk kerajaan boneka dan dalam sudut politik, ia tidak bebas daripada cengkaman penjajahan semula, dalam bentuk penjajahan ekonomi dan budaya.

Islam telah mengakui bahawa tidak menjadi suatu kesalahan jika mana-mana sistem pentadbiran cuba menyekat beberapa kehendak manusia yang bukan bersifat asasi, tetapi ia lebih merupakan kehendak nafsu. Islam menuntut manusia mengawal nafsu kerana tindakan yang dipengaruhi oleh nafsu itu adalah suatu perbuatan yang didorong oleh syaitan. Syaitan merupakan musuh besar yang membawa manusia kepada kemusnahan peradaban dan kehancuran hidup bermasyarakat kerana tidak mengambil kira peraturan dan etika, rasa hormat dan kerjasama, sebaliknya lebih mengutamakan kehendak nafsu yang tidak pernah memahami erti syukur dan berterima kasih.

Catatan: Abu Fattah

No Comments

    Leave a reply