KILANG ‘BERITA PALSU’ DAN PARADOKS MEDIA

Hari ini (13 Jun 2019) akhbar Kosmo menyiarkan satu berita kecil di halaman 43 mengenai dapatan  kaji selidik sebuah firma pemasaran dan perundingan jenama antarabangsa, IPSOS berhubung keyakinan masyarakat umum mengenai internet. Kaji selidik itu menemui 25,000 responden di 25 buah negara dalam tempoh tiga minggu (21 Disember 2018 hingga 10 Februari 2019) melalui temu bual langsung dan secara dalam talian.

Menariknya dapatan tersebut ialah 86 peratus pengguna internet tertipu dengan berita palsu dan warganet di Mesir merupakan kumpulan yang paling mudah terpedaya manakala Pakistan menjadi pengguna internet yang kuat daya tahan daripada penerobosan berita palsu. Tiga kuasa besar dunia, Amerika Syarikat, Rusia dan China merupakan negara yang paling banyak ‘mengilang dan menyebarkan berita palsu’ manakala Facebook menjadi laman sosial yang memimpin penularan berita palsu.

Berdasarkan dapatan kajian tersebut, kita tidak terkejut apabila tiga negara kuasa besar menjadi ‘pengilang dan pengedar berita palsu’. Negara-negara tersebut adalah adidaya yang sentiasa melakukan percaturan geopolitik antarabangsa. Ia menjadi lebih rancak apabila Donald Trump melancarkan ‘perang perdagangan’ dengan China dan mengenakan tariff yang tinggi terhadap produk dari negara tersebut yang memasuki pasaran Amerika Syarikat.

Dengan Rusia, Amerika Syarikat menerusi beberapa pertubuhan kemasyarakatan melancarkan ‘perang saraf’ bagi meyakinkan pengundi dan masyarakat dunia bahawa negara yang diketuai oleh Vladamir Putin. Rusia didakwa terbabit  Syarikat untuk memenangkan Donald Trump pada tahun 2017.

trump in middle east

Meskipun Rusia menafikan, musuh-musuh politik Donald Trump tetap percaya dengan pembabitan agensi perisikan yang dikawal oleh Putin dalam memintas perbualan  telefon , mengakses e-mel dan menggodam beberapa pusat kawalan maklumat pihak yang didakwa berseberangan dengan kempen Republikan. Dakwaan tersebut telah menyebabkan beberapa orang ahli politik dan aktivis politik dikaitkan, namun sehingga kini, kesahihannya  belum terbukti.

Perang perdagangan dengan China dimulai pada tahun lalu dengan tertangkapnya anak pemilik syarikat telekomunikasi Huawei di Kanada atas dakwaan memasukkan perisian pengintipan dalam gajet yang dikeluarkan oleh firma terkemuka itu. Huawei merupakan pencabar utama dalam pasaran peralatan telekomunikasi antarabangsa dan pada tahun lalu telah berjaya merampas kedudukan iPhone.

Jenama iPhone semakin mengecil pasarannya manakala pasaran telefon pintar Huawei semakin meningkat dan diramalkan pada suatu masa bakal mengambil alih kedudukan Samsung di pasaran global. Samsung merupakan produk dan jenama Korea Selatan, yang daripada perspektif geopolitik dikawal oleh Amerika Syarikat.

huawei

Huawei tidak dapat dikawal oleh Amerika Syarikat bahkan dalam beberapa perkara, China tidak membenarkan perisian tertentu diakses di negaranya.  Google yang menjadi ‘enjin carian’ utama telah digantikan dengan Baidu, manakala kehebatan WhatsApp disekat melalui aplikasi WeChat. Facebook juga mempunyai akses yang terhad di China manakala platform perniagaan dalam talian Alibaba semakin diterima oleh masyarakat antarabangsa sebagai alternatif kepada Amazon dan sebagainya.

Huawei juga begitu komited dan agresif membangunkan teknologi 5G. Amerika Syarikat melihat kerancakan usaha Huawei itu bakal menyebabkan sektor kemudahan telekomunikasi antarabangsa tidak lagi memihak kepadanya, sedangkan sebahagian keperluan peralatan untuk teknologi berkenaan dipunyai oleh firma-firma milik rakyat mereka.

China bukan sahaja agresif untuk mengembangkan perdagangan produk mereka di seluruh dunia, melabur dengan banyaknya dalam sektor infrastruktur bahkan sanggup memberikan pinjaman besar kepada beberapa buah negara sedangkan Amerika Syarikat masih dengan ‘kegilaan berperang dan mencipta musuh’ sehingga terkejut dengan ramalan bahawa negara tembok besar itu akan menyusul untuk merampas kedudukannya sebagai hegemoni ekonomi dunia.

Kurang dari lima tahun lalu, China sudah pun berjaya merampas kedudukan sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar daripada Jepun, dan diramalkan dalam jangka masa kurang dua puluh tahun, merampas kedudukan Amerika Syarikat. Atas kebimbangan itu, Donald Trump mula berkempen pada tahun 2016 untuk menjadikan Amerika Syarikat ‘Great Agains’, dan sedaya upaya akan mengenakan pelbagai sekatan kepada negara-negara yang dianggap boleh menjadi penghalang.

Donald Trump bertekad untuk mengenakan sekatan kemasukan imigran ke Amerika Syarikat dengan menyenaraikan beberapa buah negara Arab ekoran simpati terhadap Palestin manakala warganegara Amerika Latin, akan dibina tembok di sempadannnya dengan Mexico.

Amerika Syarikat turut melakukan sekatan kepada Rusia sekiranya tidak mematuhi apa yang ditetapkan untuk menjamin ‘kestabilan Timur Tengah’, iaitu menghalang cita-cita besar Israel. Trump dengan beraninya mengisytiharkan bahawa Kedutaan Amerika Syarikat akan dipindahkan ke Baitulmaqdis dari Tel Aviv dan turut menggesa negara sekutunya melakukan perkara yang sama.

Tindakan tersebut dilihat sebagai satu bentuk penerobohan oleh beberapa negara Arab dan Turki. Trump memberi amaran terbaharu kepada Erdogan apabila berhasrat untuk membeli senjata canggih daripada Rusia selepas Amerika Syarikat mengenakan pelbagai syarat dan tekanan untuk memiliki peralatan tentera terbaharu keluaran firma senjata negara tersebut.

Nyatalah, walaupun Amerika Syarikat dianggap sebagai sebuah negara yang mempelopori demokrasi, dalam keadaan tertentu telah melanggar prinsip demokrasi yang diperjuangkan. Demokrasi disinonimkan dengan kebebasan, dan kebebasan itu hanya terpakai apabila negara-negara lain bersedia berada dibawah telunjuknya.

Turki pernah beberapa memohon Amerika Syarikat mengekstradisi Fethullah Gulen, permohonan tersebut tidak dilayan hingga sekarang, kerana Amerika Syarikat sebenarnya turut memainkan peranan dalam tindakan menggulingkan Recep Tayyib Erdogan pada tahun 2016.

covering islam

Amerika Syarikat berusaha untuk melenyapkan kepimpinan Recep Tayyib Erdogan, kerana beliau merupakan satu-satunya pemimpin Islam yang lantang mengkritik dasar luar Amerika Syarikat. Beberapa tahun lalu, negara-negara Arab dan Afrika Utara mempunyai gandingan pemimpin yang berani melawan hegemoni Amerika Syarikat, iaitu Muammar Gadafi (Libya), Ahmedinejad (Iran), Saddam Hussein (Iraq) dan Bashar al-Assad (Syria).

Muammar Gadafi berjaya dibunuh (2011)  selepas berjaya menghapuskan Saddam Hussein (2006). Bashar al-Assad terpaksa berhadapan dengan kekacauan dalam negara yang berpanjangan sejak 2011 di mana kumpulan pemberontak Kurdish mendapat bantuan daripada Amerika Syarikat.

Usaha menjatuhkan Bashar belum berjaya. Ahmedinejad tidak lagi mempunyai kuasa selepas menamatkan dua penggal sebagai presiden (2005-2013), dan dalam pilihan raya terakhir, percubaannya (2017) untuk kembali memimpin Iran telah tersekat.

Akibat sikap itulah Amerika Syarikat menjadi pengilang terbesar berita palsu menerusi platform media sosial bagi mengganggu-gugat kestabilan politik di beberapa buah negara. Kecenderungan tersebut bukanlah perkara baharu, ia sudah bermula sejak Amerika Syarikat memperluaskan wilsonisme, termasuk menyerang China melalui ‘demokrasi’ sehingga berlakunya rusuhan di Tiananmen Square pada tahun 1989.

Amerika Syarikat juga memperkenalkan Teori Domino bagi menghalalkan pembabitannya dalam pelbagai misi perang demi menyelamatkan kapitalisme dan menyemarakkan demokrasi, sistem politik yang bertentangan dengan Komunisme yang menjadi tunjang pemerintahan di China, USSR dan beberapa negara lain.

Selepas berundur daripada Perang Vietnam selama dua puluh tahun (1955-1975), Amerika Syarikat semakin memberikan perhatian untuk menyandera Timur Tengah, iaitu membantu Israel membangunkan sebuah negara berdasarkan mitos ‘Tanah Yang Dijanjikan kepada Yahudi’.

Perang Ideologi kemudiannya dikenali sebagai Perang Dingin, dan dengan kejatuhan komunisme ekoran perpecahan USSR, Amerika Syarikat merasakan ia adalah kemenangan besar kepada kapitalisme-liberal. Sejak dari itulah Amerika Syarikat merasakan kedudukannya tidak lagi tergugat, dan atas alasan itulah konsep dunia satu polar dinamakan. China mencari strategi yang lain, tidak berusaha bermusuh dengan Amerika Syarikat dari segi politik, sebaliknya memperkuatkan kedudukannya dari segi ekonomi.

Dari perspektif itu China dilihat telah berjaya manakala Amerika Syarikat masih dibelenggu dengan kegilaannya untuk berperang. Akibatnya, usahawan dan pelabur daripada China berjaya menguasai kebanyakan firma-firma antarabangsa yang berhadapan dengan masalah, termasuklah membeli sebahagian bon yang dikeluarkan oleh Amerika Syarikat sendiri. Beberapa buah firma teknologi China telah berjaya menghasilkan pelbagai produk inovasi dan mereka semakin mengukuhkan kedudukannya di Silicon Valley.

Perkembangan tersebut telah memaksa Amerika Syarikat ‘mencari kaedah baharu’ untuk melemahkan keyakinan masyarakat dunia mengenai ‘kehebatan teknologi dari China’. Itulah yang sedang dilakukan oleh Donald Trump untuk menyekat Huawei, dengan mengarahkan firma-firma milik rakyat Amerika Syarikat supaya menjauhkan diri.

Perang itulah sebenarnya yang menggerakkan Amerika Syarikat untuk ‘mengilang berita palsu’ sebagaimana mereka berjaya lakukan ke atas Iran dengan dentuman ‘memajukan teknologi nuklear untuk persenjataan’, meluluhlantakkan Iraq dengan semboyan Weapon of mass destruction  atau WMD. Dengan Islam dimunculkan pelbagai panggilan jelek untuk menakut-nakutkan masyarakat dunia terhadap umat Islam.

necesary illusions

Sepanjang masa, Islamofobia diperbaharui, dan dikemundangkan slogan White Supremacy. Kisah pembohongan pemberitaan oleh agensi berita Barat telah dikupas dengan menariknya oleh Edward Said (1935-2003) dalam bukunya, Covering Islam (1981). Walaupun buku itu telah dianggap klasik bersama-sama buku Noam Chomsky, Who Rules The World (2014), Manufactoring Consent (1988) atau Necessary Illusions (1988) dan Nick Davies, Flat Earth News (2009) ia tetap memperlihatkan bagaimana Amerika Syarikat menerusi medianya berjaya ‘mengilang dan mengedar’ berita bohong ke seluruh dunia.

Dalam Necessary Illusions (1988), Chomsky memberikan gambaran bahawa: The media serve the interests of state and corporate power, which are closely interlinked, framing their reporting and analysis in a manner supportive of established privilege and limiting debate and discussion accordingly. Dalam tulisannya yang lain, Powers and Prospects (1996), Chomsky memberikan pandangan bahawa seorang penulis seharusnya bertindak sebagai ‘agen moral’, iaitu “to try to bring the truth about matters of human significance to an audience that can do something about them.”

Jadi apabila IPSOS mengeluarkan dapatan daripada kaji selidik terbaharunya mengenai ‘berita bohong’ yang telah mempedayakan 86 peratus warganet, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Ia adalah suatu bentuk pengesahan yang wajar diberikan perhatian oleh negara-negara di dunia untuk berhati-hati kerana teknologi yang dicipta itu membawa impak yang buruk kepada budaya dan peradaban manusia masa depan.

Kini, masyarakat semakin memandang remeh kepada ‘kebenaran’ tetapi lebih percaya dan sedia bertekad untuk mempertahankan persepsi walaupun ianya adalah suatu jelmaan yang semakin jauh dengan kebenaran. Teknologi umpama kisah mitos Rom, dewa yang menjaga pintu gerbang bernama Janus. Janus mempunyai dua sisi muka, wajah depan dan wajah belakang. Wajah depan melambangkan ‘masa depan’ iaitu memandang keluar manakala wajah belakang, iailah masa silam. Janus memegang kunci pintu gerbang.

Melalui watak Janus, orang Rom memberikan peringatan bahawa perubahan adalah reaksi daripada masa silam. Perubahan tidak akan berlaku sekiranya tidak ada hubungannya dengan masa lalu. Tafsiran lain ialah, wajah Janus dengan dua posisi itu menggambarkan hidup ini adalah paradok, tidak konsisten, untuk masa depan terpaksa mengetepikan masa silam, tetapi masa silam tidak boleh dilenyapkan dengan mudah kerana di dalamnya banyak khazanah berharga.

Dari situlah teknologi berusaha menangani keperluan manusia, juga menghancurkan nilai kehidupan bagi menghancur nostalgia dan menulis semula sejarah berdasarkan semangat zaman.

(Refleksi selesai membaca semula buku Covering Islam karya mendiang Edward Said edisi terbaharu yang dikemaskinikan dan beberapa buku lain berkaitan ‘media sosial’ )

 

Kamarun KH

No Comments

    Leave a reply