KIMANIS; MANISNYA JANJI

PRK Kimanis menjadi rebutan antara dua tokoh politik yang sebelumnya adalah dari UMNO. Datuk Karim Bujang yang mewakili Parti Warisan adalah calon yang kalah dalam PRU ke-14 dengan 156 undi dan menyebabkan beliau berhempas pulas untuk menang kali ini.

Bagi sesetengah pengundi, cara Datuk Karim Bujang berkempen dilihat begitu terdesak meskipun beliau menang ketika mencabar keputusan PRU ke-14 di mahkamah. Kemenangan moral itu masih belum menjamin beliau akan menang dalam PRK kali ini.

Karim dibantu oleh banyak pihak, termasuklah Ketua Menteri Sabah yang turun padang bagi memastikan calon Parti Warisan menang meskipun pengundi di Kimanis lebih menghormati kesetiaan calon BN, Datuk Mohamad Alamin, yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Kimanis.

Akibat ‘benci’nya Karim kepada bekas Perdana Menteri, beliau sanggup bercakap seolah-olah dirinya lebih mulia. Kehadiran Najib disambut dengan teriakan ‘bosskur’ dianggap salah satu penyakit gila, kemudian menyindir dengan cemohan ‘saya makan rumput biasa’ sedangkan Najib makan ‘rumput Mongolia’ dan terbaharu menasihatkan Najib agar ‘bermain dengan cucu’ kerana usianya dah tua.

Peluang Karim sedikit goyah apabila Najib semakin mendapat ‘perhatian rakyat Malaysia’ walaupun Kerajaan PH yang diterajui oleh Dr Mahathir Mohamad bersusah payah untuk ‘memenjarakan’nya dengan pelbagai dakwaan dan tuduhan. Sejak mula mengambil alih pentadbiran, Dr Mahathir mengerahkan apa sahaja keringat dan kepintaran pemikirannya untuk mencari salah Najib.

Setelah perbicaraan melangkaui ke episod seterusnya, Dr Mahathir belum berjaya kerana setakat ini Najib belum didapati bersalah. Sebagaimana peruntukan undang-undang, yang turut dipercayai oleh Dr Mahathir, seseorang itu belum lagi bersalah selagi ia tidak dibuktikan bersalah di mahkamah.

Dr Mahathir tidak tumpul akal untuk menjatuhkan Najib dengan apa cara sekali pun. Ketika Najib muncul di Membakut, tersebar pula pita audio rakaman percakapan telefon ‘rahsia’ dengan isterinya, Rosmah Mansur. Pendedahan perbualan tersebut menyebabkan Dr Mahathir semakin dibenci disebabkan bertentangan dengan undang-undang dan privasi.

Berdasarkan peraturan, apa pun percakapan telefon atau perbincangan adalah bersifat peribadi. Ia boleh digunakan sebagai bukti apabila ada keperluannya di dalam masa perbicaraan, tetapi tidak boleh didedahkan kecuali dengan izin mahkamah.

Pita audio itu turut menjadi kontroversi apabila Ketua Pesuruhjaya SPRM membuat pendedahan sebelum diserahkan kepada pihak polis dan dibuktikan tulen. Ia mungkin berbeza dengan apa yang berlaku mengenai video semburit yang dikaitkan dengan dua lelaki daripada parti yang sama, iaitu PKR.

Video itu ditular oleh orang perseorangan dan bukannya oleh SPRM atau pihak polis. Dari perspektif undang-undang, mereka yang menyebarkan video ‘lucah’ itu boleh didakwa. Hal yang sama dikehendaki oleh rakyat Malaysia, Latheefa Koya perlu didakwa kerana pita audio berkenaan boleh mengakibatkan ‘subjudice’.

Kesan daripada itu, Latheefa Koya mendapat perhatian lebih 150,000 netizen yang mahukan beliau meletakkan jawatan atas ‘salah laku’ dan tindakan tersebut dilihat berunsurkan politik.

kempen BN

Sebagai calon yang dilihat terdesak, Karim memulakan gendang kebencian dengan membandingkan dirinya dengan Najib dalam memilih ‘makanan’. Dari satu perspektif, Karim juga dilihat bertindak seperti watak utama Justice Bao, satu siri purbawara televisyen dari negara China. Seorang pemimpin yang sanggup melakukan apa sahaja demi mengekalkan kuasa atau mendapat kuasa.

Justice Bao menggubal undang-undang. Dia juga adalah pengamal undang-undang dan membuat keputusan berdasarkan undang-undang, dan ini adalah bertentangan dengan prinsip pemisahan kuasa. Jika beginilah pemimpin dipilih oleh rakyat, rakyat tidak akan mendapat perhatian yang adil dan saksama. Rakyat tidak mendapat pembelaan yang saksama, tetapi rakyat adalah ‘batu loncatan’ untuk dirinya mencapai kedudukan yang lebih berprestij, dengan cara ‘memaksa’.

Calon Parti Warisan mempunyai ‘track record’nya yang tersendiri dan kesemuanya itu banyak juga tidak disukai oleh masyarakat Kimanis. Orang kenal beliau kerana pernah dilantik sebagai Setiausaha Agung BN Sabah. PRU ke-12, beliau menang kerusi Bongawan tetapi tewas di Kimanis dalam PRU ke-14. Karim dianggap sebagai calon ‘kitar semula’ oleh Parti Warisan.

Bila Karim menganjurkan Najib agar menghabiskan masa bersama cucu-cucunya, pengundi Kimanis turut mengharapkan agar beliau berbuat sama. Karim bukanlah seusia dengan calon BN, sudah berumur 67 tahun dan sudah bercucu. Karim sudah cukup ‘tua’ untuk bertanding lagi.

Menghina Najib atas faktor usia, bererti Karim turut menghina Tun Dr Mahathir Mohamad. Najib dan Karim adalah sebaya. Maknanya, Karim juga perlu menjaga dan membelai cucu-cucunya. Tidak perlu aktif berpolitik lagi.

Berbeza dengan calon BN, Datuk Mohamad Alamin baru berusia 48 tahun. Alamin masih bertenaga dan mampu ke sana ke mari untuk membantu pengundi sekiranya beliau diberikan peluang kali ini. Biarpun BN bukanlah parti pemerintah, Alamin boleh memainkan peranannya dengan lebih baik untuk membawa masalah penduduk Kimanis di Dewan Rakyat dalam perspektif berbeza dengan Karim, yang sedikit sebanyak akan menyembunyikan kekurangan di pihak kerajaan.

Karim akan menjaga perasaan Ketua Menteri Sabah. Ketua Menteri Sabah sudah berjanji akan melaksanakan pelbagai projek dan kemudahan untuk penduduk Kimanis. Tetapi, penduduk Kimanis mula mempersoalkan, kenapa baru sekarang? Shafei adalah seorang menteri yang gagal kerana selama enam tahun (2009-2015) sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Kemajuan Wilayah begitu sukar untuk berbincang dan menyalurkan peruntukan bagi Kimanis. Beliau juga gagal sepanjang 20 bulan sebagai Ketua Menteri Sabah untuk memajukan Kimanis.

Penghinaan Karim seolah-olah merendahkan martabat manusia, manusia tidak makan ‘rumput’. Mungkin Karim terasa apa yang pernah digelar oleh Dr Mahathir sebagai ‘dedak’ itu memberikan kejayaan kepada PH, ia sudah tidak mahu didengar lagi oleh rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia sedar, kerana ‘dedak’ itu kehidupan mereka lebih baik daripada apa yang mereka alami sekarang.

Biarpun isu persekutuan kurang menyentuh masyarakat Kimanis, penduduk di situ tetap merasakan bahawa kerosakan turut menjejaskan kehidupan mereka. Mereka menolak andaian bahawa kehidupan di bawah Kerajaan PH semakin baik. Perkara yang amat menyedihkan ialah sara hidup yang kian mencekik manakala pendapatan rakyat semakin mengecil akibat kedudukan ringgit yang lemah, harga kelapa sawit yang rendah dan pertumbuhan ekonomi yang menguncup.

Negara kehilangan banyak aset manakala hutang semakin bertambah. Janji yang dibangkitkan sebelum menang belum tertunai dan yang menyakitkan ialah menyalahkan parti yang memerintah sebelumnya. Rakyat sudah mula berfikir, orang yang suka menuding jari adalah pemimpin yang tidak efisyen dan amat mementingkan diri sendiri.

Cara kerajaan Sabah menjawab isu Permit Sementara Sabah (PSS) turut menjadi faktor besar ‘kekalahan’ Parti Warisan nanti. Setakat ini, walaupun Kimanis tidak berhadapan dengan masalah besar, pengundi mula berfikir. Ketetapan untuk melaksanakan pada bulan Jun nanti akan membolehkan sebahagian mereka yang tidak memiliki taraf warganegara itu akan memasuki Kimanis juga. Mereka menjadi lebih bebas kerana tidak lagi berhadapan dengan masalah ditangkap seperti PATI.

Bahkan Sabah pernah berhadapan dengan masalah salah guna ‘perkahwinan’ dengan masyarakat tempatan oleh PATI atau warga asing. PATI atau warga asing berkahwin dengan penduduk tempatan hanya untuk membolehkan mereka berniaga. Rakyat tempatan dijadikan peluang untuk memohon lesen perniagaan. Akhirnya, setelah lama berniaga, mereka mula mendesak untuk diberikan taraf warganegara kerana beranak pihak di Sabah.

Menariknya kali ini ialah buat pertama kalinya SPR memasang kamera video di semua saluran PRK Kimanis. Bagaimanapun pembaharuan itu dianggap satu percubaan untuk menakut-nakutkan pengundi terutama dalam kalangan mereka yang bakal mengundi calon BN, iaitu pembangkang.

Pengundian awal telah pun bermula pada hari ini (14 Januari 2020) manakala pengundi biasa akan melaksanakan tanggungjawabnya pada hari Sabtu nanti. Sejak kempen PRK Kimanis bermula, sebanyak 11 laporan polis telah diterima mengenai pelbagai kesalahan pilihan raya. Hanya tujuh aduan dibuka kertas siasatan, tetapi yang lebih mendukacitakan ialah seorang yang membuat laporan telah dirampas telefon bimbit dan disiasat.

PRK Kimanis membabitkan seramai 29,664 pengundi, termasuk sembilan undi awal. Setelah masa pengundian awal ditutup jam 12 tengahari, seorang tidak hadir kerana berada di luar negara.

Apa pun, dalam tempoh empat hari masih berbaki, pelbagai janji akan ditaburkan dan masing-masing parti akan mempergiatkan kempen bagi memenangi kerusi tersebut. Peluang untuk BN mengekalkan kerusi berkenaan semakin cerah dan calon Parti Warisan semakin tertekan.

Monosin Sobri.

No Comments

    Leave a reply