Kisah harumanis dan anak ayam dibakar bagi atasi harga merudum yang meloyakan

Tiga halaman Kosmo (12/6/2017) yang menyiarkan tindakan para penanam harumanis di Perlis membakar hasil yang tidak laku dijual menimbulkan reaksi marah masyarakat kerana sebelumnya ada usaha untuk menyekat buah kebanggaan negeri tersebut ditanam oleh pekebun-pekebun di negeri lain.

Tindakan membakar bertan-tan harumanis yang tidak laku dijual adalah sebagai langkah untuk mengstabilkan harga pasaran dan mengelakkan pebagai kesan buruk terhadap sisa buah yang semakin membusuk, termasuk boleh menyebabkan penyakit kepada manusia.

Sebelum ramadhan, harga sekilo harumanis dilaporkan mencecah RM 50 bagi gred A manakala gred B ialah RM 40 dan gred-gred lain sekitar RM25 hingga RM 35. Harga yang mahal itu menyebabkan ramai netizen menyuarakan kemarahan dan tidak kurang daripada penggemar harumanis bertekad untuk tidak membelinya.

harumanis

Dalam masa yang sama, harga mempelam yang dibawa masuk dari beberapa buah negara –Thailand dan India—jauh lebih murah berbanding sekilo harumanis. Ini bermakna, dari segi harga harumanis boleh dianggap sebagai paling mahal walaupun penjualannya tidak membabitkan cukai import dan kawalan keselamatan makanan yang ketat.

Lebih menarik lagi ialah ada paparan menerusi media sosial mempersoalkan ketulenan harumanis yang pernah mereka beli sebelumnya. Pengalaman tersebut menjelaskan ada keadaan di mana mereka yang menjual harumanis secara eceran di tepi-tepi jalan raya sebenarnya tidak berlaku jujur, termasuk mencampurkan mempelam jenis yang lain tetapi bayaran yang dikenakan ialah sama dengan harga harumanis.

Kebiasaannya, mempelam harumanis dikotakkan dalam kiraan empat atau loma kilo yang hanya mungkin mengandungi kurang dari sepuluh biji. Atas tuntutan mendapat untung lebih, hampir separuh buah mempelam harumanis dicampurkan dengan sejenis lagi mempelam yang juga banyak ditanam di Kedah dan Perlis, iaitu mempelam sala, yang teksturnya adalah lebih kasar dan rasanya tidaklah semanis harumanis.

Sewaktu harumanis mula menjadi sebutan penggemar buah-buahan tempatan harganya tidaklah melebihi RM 20 sekilo. Akibat sambutan yang menggalakkan, jumlah kawasan yang terbabit diperluaskan dengan sokongan pekebun-pekebun kecil di atas tanah sawah yang sebelum ini terbiar.

Beberapa bulan lalu, misalnya ketika harumanis sedang galak berbunga, netizen dihidangkan dengan gambar-gambar menarik mengenai proses penjagaan dan perhatian para pekebun bagi menentukan hasil yang lumayan.

Ketika harumanis mula menunjukkan permulaan musimnya telah tiba, para penanam mengambil perhatian serius apabila ada beberapa percubaan mencuri buah-buah yang hampir matang sepenuhnya. Hal yang sama pernah berlaku ke atas susu getah ketika harganya pernah mencapai RM 12 sekilo manakala penorehnya sanggup turun ke kebun menorah hingga ke malam.

Seperti juga bayangan setiap penoreh getah, bila ternampak sahaja pokoknya terbayang kepingan wang akan masuk ke poket masing-masing. Begitulah juga dengan impian penaman harumanis dan atas tindakan mahu memonopolikannya, maka terbitlah cadangan untuk melarang petani-petani dari negeri lain menanamnya, seolah-olah harumanis itu menjadi hak mutlak Perlis.

pokok mempelam

Belum pun sampai sebulan ‘cadangan sekatan’ disuarakan (19 Mei 2017), pendedahan Kosmo hari ini memberikan suatu pengajaran besar bahawa mereka yang tidak sanggup berkongsi rezeki dengan orang lain, bayangan rezeki besar pada kali ini dilanda ujian.

Musim harumanis yang tiba dalam bulan ramadhan menyebabkan lebih ramai masyarakat tidak berusaha membelinya dan situasi tersebut, penanam harumanis terpaksa mengalami kerugian besar. Pada mulanya, terdapat bayangan dengan hasil jualan harumanis pada tahun ini, sekurang-kurangnya mampu menampung perbelanjaan menyambut Aidilfitri yang bakal disambut dalam masa dua minggu lagi.

Agak terkejut juga dengan tindakan penanam harumanis terpaksa membakarnya kerana tidak laku dijual dan keadaan buah-buah tersebut tidak lagi boleh dimakan. Tindakan yang sama pernah berlaku dalam kalangan penternak ayam daging pada tahun 1980-an apabila sanggup membakar hidup-hidup ratusan ribu anak ayam bagi menstabilkan harga.

Harga ayam merudum sebagaimana didakwa oleh kumpulan penernak ialah kerajaan membenarkan kemasukan ayam-ayam import (dari China dan Thailand). Harga ayam import adalah lebih murah manakala kos makanan untuk ternakan ayam di Malaysia adalah di luar kawalan penternak, sebahagian bahan asasnya adalah diimport.

Pada tahun 2002, krisis harga ayam berlaku lagi di mana Persekutuan Pesrsatuan Penternak Malaysia (FLFAM) mengancam akan membakar sembilan juta anak ayam sekiranya kerajaan tidak membekukan import daging ayam. Kehebohan tersebut menyebabkan banyak pihak mula memperkatakan mengenai sikap ahli-ahli FLFAM, yang bukan sahaja tidak munasabah bahkan tamak kerana memikirkan keuntungan semata-mata.

Pelbagai cadangan kemudiannya muncul, termasuklah mengambil anak-anak ayam tersebut yang kemudiannya dibahagi-bahagikan kepada orang perseorangan yang berminat, termasuk penjawat awam.

Apa yang berlaku di Perlis walaupun sedikit berlainan, iaitu tidak memotong pokok-pokok mempelam bagi mengurangkan bekalan, tetapi membakar buah-buah yang tidak boleh dijual. Ini menunjukkan bahawa tindakan yang diambil itu adalah seperti ‘tidak mensyukuri’ dan tidak mahu berkongsi rezeki dengan menyedekahkan kepada orang lain sedangkan bulan Ramadhan dianggap bulan sedekah dan penuh dengan kebajikan.

Hal yang lain dapat kita hubungkan dengan kebanjiran harumanis ialah kegagalan agensi-agensi pemasaran yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk membantu pekebun kecil sebagaimana pernah berlaku ke atas hasil buah-buah lain sebelumnya, termasuk dokong dan durian beberapa tahun lalu sehingga menyebabkan penanamnya di Hulu Kelantan (Gua Musang, Jeli dan Kuala Krai) mengeluh.

Mereka tidak pula mengambil tindakan membakar buah-buah tersebut, sebaliknya membiarkan buah-buah berkenaan membusuk di kebun. Kos memungut atau mengambil buah-buah itu adalah lebih mahal daripada harga yang boleh dijual. Menariknya juga ketika itu, penanam-penaman dokong bersedia menyedekahkan buah-buah tersebut kepada sesiapa sahaja yang bersedia mengambilnya di kebun. Hal ini tidak berlaku di Perlis dan berdasarkan laporan, tindakan membakar adalah lebih baik daripada menjadikannya sebagai sedekah.

kosmo

Agensi pemasaran sepatutnya boleh merangka perancangan pemasaran yang lebih baik sekiranya berhasrat membantu pekebun-pekebun, termasuklah menghantar hasil tuaian itu ke rangkaian hypermarket di seluruh negara. Disebabkan telah dijangka tuaian yang banyak harumanis akan berlaku di bulan Ramadhan, maka agensi pemasaran itu sepatutnya sudah membentuk kerjasama strategik dengan rangkaian pemasar untuk membantu memasarkannya.

Tetapi disebabkan terselit ego sebahagian penanam yang mahu mengawal harga, maka sedikit sebanyak telah membantut pengedarannya ke rangkaian hypermarket. Sebab itulah hypermarket banyak menjual pelbagai mempelam import, yang harganya adalah lebih murah berbanding harumanis. Di sini tidak berlaku perundingan terhadap harga, kerana setiap penanam mempunyai keinginannya sendiri dan sukar menjual dengan harga yang murah kerana jangkaannya, permintaan penggemar buah-buah bersedia membayar harga mahal.

Dilema ini dijangka akan berterusan, yang dalam keadaan tertentu lebih merugikan para penanamnya, dan tidak keterlaluan, besar kemungkinan buah kebanggaan Perlis itu akan menjadi ingatan sejarah pada masa hadapan. Ia mungkin senasib dengan apa yang pernah menjadi kebanggaan Melaka pada suatu ketika dengan mempelam yang dipanggil Malacca Delight, hari ini ia sudah tidak lagi ditanam secara komersial.

Sepatutnya, agensi pemasaran yang telah lama mempelajari kaedah pemasaran hasil pertanian Thailand boleh mengambil langkah untuk meningkatkan eksport, tidak hanya tertumpu untuk pasaran domestik. Kalau hasil pertanian Thailand boleh menembusi banyak negara, maka tidak ada sebab agensi berkenaan gagal memasarkanya ke beberapa negara yang mempunyai hubungan perdagangan.

Inilah yang tidak dilakukan secara agresif oleh agensi pemasaran pertanian di Malaysia bahkan apabila Singapura mengharamkan kemasukan durian pada suatu ketika, tidak ada rintisan lain untuk membolehkan ianya dieksport. Kelemahan ini sudah lama berlaku, antaranya kekerdilan tindakan mereka yang diamanahkan oleh membantu mencari pasaran yang lebih luas, tetapi, dalam masa yang sama banyak memberikan ‘harapan palsu’ peringkat permulaan penanamannya.

Hanya sesekali kita mendengar, beberapa tan manggis, mempelam dieskport tetapi ia tidak dilakukan secara berterusan. Seolah-olah ‘sekali diketuk, kali itulah usaha dilakukan’ selepasnya, ia kembali seperti kisah ‘bangau oh bangau’. Sampai bila pun industri buah-buahan di Malaysia tidak akan berkembang dan tanah-tanah terbiar akan terus ditumbuhi lalang dan menerung. Masalah terbesar ialah kebolehpasarannya, bukan penanamannya.

 

Monosin Sobri

 

No Comments

    Leave a reply