KISAH OLIMPIK GOH LIU YING

Goh Liu Ying dan Chang Peng Soon mencipta sejarah semalam apabila memenangi pingat pertama dalam kategori beregu campuran dalam sejarah Sukan Olimpik badminton negara.

Pingat perak yang dimenangi mereka di Sukan Olimpik Rio adalah yang kedua selepas Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong juga cemerlang dalam acara terjun 10m platform seirama wanita manakala Azizulhasni Awang mengutip gangsa dalam acara berbasikal keirin lelaki.

Secara kolektif, mereka sudah menjadikan prestasi Malaysia di sukan Olimpik sebagai yang terbaik, meskipun lebih banyak pingat dijangka akan dikutip di Rio de Janeiro.

Goh malam tadi berkongsi pandangan ikhlasnya tentang perjalanan luar biasanya ke Sukan Olimpik Rio di Facebook.

Posting itu dalam bahasa Mandarin dan Malaysiakini menterjemahkan tulisannya itu.

Berikut tulisannya itu.

Pingat Olimpik, bagi saya, adalah satu impian yang jauh. Untuk dapat berdiri di atas podium Olimpik adalah satu fantasi.

Saya adalah kumpulan pertama pasukan beregu campuran Malaysia. Sebelum ini, pasukan beregu campuran Malaysia dibentuk tanpa persediaan dan perancangan yang sebenar.

Ketika itu, tumpuan negara hanya pada perseorangan lelaki dan pasukan beregu lelaki. Rakyat juga hanya berminat dengan pemain badminton lelaki.

Dua tahun lalu, semata-mata untuk beraksi di Sukan Olimpik, saya menjalani pembedahan untuk merawat kecederaan di kedua-dua lutut.

Titisan air mata

Pada awalnya, matlamat kami hanya untuk mempamerkan persembahan yang membanggakan di peringkat kumpulan. Kemudian, apabila kami berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir, saya fikir kami ada peluang untuk mendapatkan pingat gangsa.

Apabila kami menang dalam perlawanan separuh akhir, saya rasakan seperti dalam mimpi.

Adakah saya benar-benar menang? Adakah ini bukan mimpi? Saya banyak kali bermimpi bagaimana betapa hebatnya jika dapat berdiri di atas podium.

Pada perlawanan akhir, kami berdepan dengan pasukan Indonesia yang begitu mantap, dan kami kami tidak bermain seperti yang dijangkakan.

Ramai yang mengharapkan kami boleh mendapatkan pingat emas Sukan Olimpik pertama untuk Malaysia tetapi malangnya, kami gagal mempamerkan perlawanan yang baik.

Berdiri di atas podium dan ketika bendera negara kita dinaikkan, titisan air mata saya mula berguguran.

Sebelum ini saya hanya boleh impikan saat berkenaan dan langsung tidak terlintas di fikiran saya ini akan menjadi kenyataan.

Ranking kami di Sukan Olimpik adalah di tempat kelapan dan ada begitu banyak pesaing yang lebih baik.

Saya hanya Goh Liu Ying. Saya tidak mempunyai pencapaian luar biasa seperti seperti pasukan China, saya tidak mempunyai prestasi mantap pasukan Korea, saya tidak mempunyai strategi taktikal pasukan Eropah dan saya juga tidak mempunyai pengalaman seperti pasukan Indonesia.

Saya hanya Goh Liu Ying.

Saya tidak dilahirkan dengan susuk tubuh seorang olahragawan. Ketika orang lain menamatkan latihan yang ditetapkan oleh jurulatih kami, saya hanya mampu melengkapkan separuh latihan sahaja.

Saya tidak dapat membina otot seperti atlet lain. Dengan otot yang lebih kecil, perlindungan menjadi kurang dan saya terdedah kepada kecederaan.

Oleh kerana baru menjalani pembedahan, saya juga tidak dapat berlatih terlalu keras. Kedua-dua kaki saya tidak sekuat mana berbanding pemain lain.

Saya Goh Liu Ying. Saya adalah pemenang pingat perak beregu campuran badminton Sukan Olimpik Rio. Ini adalah kebanggaan seumur hidup saya.

#TANWIR – Usaha, cekal tangga kejayaan.

Petikan Malaysiakini online pada 19 Ogos 2016

Artikel berkaitan: Ego Pengarang Menjerut Emosi Marah Rakyat Malaysia

No Comments

    Leave a reply