KL SUMMIT 2019: LANGKAU NAUNGAN ARAB SAUDI

Kuala Lumpur Summit 2019 atau Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 telah melabuhkan tirainya pada hujung minggu lalu. Ia berlangsung selama empat hari (18-21 Disember 2019) yang mungkin dianggap sebagai acara penutup terbesar bagi tahun 2019 untuk negara-negara Islam walaupun ada yang kecewa di atas penyertaan ketua-ketua negara Islam begitu kecil berbanding 56 negara yang diundang oleh Malaysia dibawah kepimpinan Tun Dr Mahathir.

KL Summit 2019 sebenarnya telah dirancang oleh tiga pemimpin yang dianggap berpengaruh dalam kalangan negara-negara Islam, iaitu Turki yang mempunyai kekuatan ekonomi dan persenjataan diketuai oleh Recep Taiyib Erdogan, Pakistan yang sedang berusaha memulihkan keadaan politiknya selepas terkesan dengan apa yang berlaku di Afghanistan yang diketuai oleh Imran Khan (bekas pemain besbol terkenal) dan Malaysia, yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamed, Perdana Menteri ke-7 yang berkuasa untuk kali kedua selepas lima belas tahun (2003-2018) melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-4 (1981-2003) dengan mengekalkan natijah politik lamanya, yang dikenali sebagai Mahathirisme.

Sikap Dr Mahathir terhadap negara-negara Islam tidak banyak berubah dan tegar dengan pendiriannya bahawa umat Islam akan terus dikeronyokkan oleh negara-negara kuasa besar kerana tidak ada penyatuan dan perpaduan. Masing-masing negara Islam, meskipun mempunyai kelebihan ekonomi hasil produksi petrol, tidak mampu membebaskan dirinya daripada cengkaman kuasa-kuasa besar, bahkan setiap tindakan pemimpinnya masih berkiblatkan peraturan politik dan perancangan barat, terutama Amerika Syarikat.

Atas sebab itulah Recep Taiyib Erdogan berani memberikan sebab, ketidakhadiran pemimpin Pakistan, Imran Khan dalam KL Summit 2019 di Kuala Lumpur ditekan oleh Arab Saudi. Arab Saudi yang menolak secara terbuka KL Summit 2019 merupakan pemberi dana terbesar kepada Pakistan, dan sekiranya Imran Khan mengambil bahagian, dana berjumlah berbilion dolar tidak lagi akan disalurkan kepada negara yang sedang berhadapan dengan permusuhan dengan India. Pakistan menuntut sebahagian wilayah yang dibatalkan kuasa autonominya oleh India, iaitu Kashmir.

Recep Taiyib Erdogan turut mempunyai sejarah permusuhan dengan Amerika Syarikat. Amerika Syarikat enggan menghantar pulang seorang ulama Turki yang paling dikehendaki kerana dianggap sebagai punca masalah pergolakan dan percubaan rampasan kuasa pada tahun 2017, iaitu Fethulllah Gulen. Gulen yang mengasaskan gerakan sosial dan pendidikan di Turki turut menguasai ekonomi menerusi pendekatan Pergerakan Gulen, Gulen Movement, yang suatu ketika turut diberikan perhatian oleh beberapa orang pemimpin untuk mencontohinya bagi pemerkasaan ekonomi umat Islam di Malaysia.

Dianggarkan sekitar 10 peratus penduduk Turki menjadi pendokong kepada Pergerakan Gulen. Dalam percubaan rampasan kuasa yang gagal pada bulan Julai 2016, Recep berjaya menyelamatkan konflik tersebut dan kemudiannya melakukan rombakan besar-besaran dalam posisi penjawat awam, ketenteraan dan menyusun semula pentadbirannya. Gulen pernah menjadi gandingan politik kepada Recep untuk menumbangkan pemerintahan sekular yang diasaskan oleh Mustafa Kamal Attartuk (1881-1938) selepas menamatkan pemerintahan Dinasti Uthmaniyyah pada tahun 1918. Erdogan mula menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri Turki pada tahun 2014 dan sebelumnya adalah Datuk Bandar Istanbul (1994-1998).

Disebabkan perjuangan politiknya dilihat pro-Islam, Erdogan pernah dipenjarakan (selama 10 bulan pada tahun 1998) selepas parti yang dipimpinnya, Parti Kebajikan dan Pembangunan (AKP) mencabar puak sekular yang berusaha meneruskan Reformasi Atartuk. Recep dianggap sebagai wira oleh rakyat Turki sekembalinya dari Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos pada tahun 2009 . Recep  menempelak Simon Perez, yang cuba meraih sokongan antarabangsa ekoran serangan ganas Israel ke atas Gaza. Recep kemudiannya meninggalkan forum dan kembali ke Turki. Tindakan Recep itu dilihat ada persamaan dengan apa yang dilakukan oleh Nikita Kruschev yang membaling kasut dalam satu mesyuarat di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1960.

Sebaik sahaja memimpin Turki, Recep berusaha keras untuk melepaskan negara itu daripada belenggu Barat dan berjaya meletakkan Turki sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi. Bagaimanapun, atas sikap prejudis Barat, Turki tidak diterima menganggotai Kesatuan Eropah walaupun kesemua kriteria yang ditetapkan berjaya dilepasinya.  Turki adalah sebuah negara Islam, yang semakin meleburkan asas cengkaman sekularisme dari Barat. Turki mempunyai hubungan kerjasama dengan Israel, tetapi tidak bermakna Turki tidak membantah sikap ganas Israel terhadap Palestin. Pasang surut hubungan diplomatik antara kedua negara terus berlaku, bahkan ada ketikanya, Turki memberikan amaran keras kepada Israel dan bersedia untuk berperang, termasuklah ketika kapal bantuan kemanusiaan Mari Marvara ditawan.

Kehadiran pemimpin tertinggi Iran, Hasan Rouhani dan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad al-Thani turut menyebabkan Arab Saudi melahirkan rasa kecewa ke atas penganjuran KL Summit 2019. Iran merupakan sebuah negara yang bermusuh dengan Arab Saudi manakala Qatar, dengan menggunakan kedudukannya sebagai pemimpin Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC), Arab Saudi melancarkan pemboikotan politik ke atas Qatar. Bagaimanapun, Qatar tidak merasakan ia adalah sesuatu yang boleh menjejaskan hubungannya dengan Amerika Syarikat dan pembangunan ekonominya, bahkan dalam banyak perkara, Qatar sudah berjaya mengatasi Arab Saudi.

Qatar menjadi sebuah negara yang begitu cepat berkembang dan megah dengan corak pembangunannya manakala Arab Saudi, masih terkial-kial untuk menguasai sebanyak mungkin negara-negara Islam. Dalam masa yang sama, Arab Saudi terperangkap dengan permainan politik Barat, termasuklah mengenakan sekatan ekonomi ke atas Iran sebagaimana dikehendaki oleh Amerika Syarikat. Biarpun pada awal krisis diplomatik dengan Arab Saudi berlaku, Qatar dikenakan sekatan ekonomi, negara itu mendapat bantuan dan kerjasama daripada Turki, termasuk memperoleh bekalan makanan.

Qatar juga merupakan tuan rumah temasya Bolasepak Piala Dunia pada tahun 2022 dan hubungan diplomatik yang tegang dengan Arab Saudi tidak akan mematahkan semangat Qatar untuk menganjurkan temasya bolasepak berprestij itu. Tahun 2019, Qatar berjaya menjadi tuan rumah pertandingan akhir juara kelab-kelab bolasepak FIFA, yang menyaksikan Liverpool (England) berjaya menewaskan Flamengo (Brazil) untuk muncul sebagai kelab bolasepak terbaik dunia.

Biarpun KL Summit 2019 telah melabuhkan tirainya, implikasi ke atas penganjuran tersebut sekurang-kurangnya berjaya menghantar mesej yang jelas kepada Arab Saudi, bahawa pembinaan tamadun Islam masa depan bukan lagi perlukan pengaruh Arab, ia akan bermula dalam persekitaran bukan dalam naungan Arab. Iran sudah berupaya membangun dalam banyak perkara kerana berjaya meletakkan asas kekuatan pemikiran dan intelektual walaupun secara luarannya ia dicengkam oleh pelbagai kuasa besar. Iran digeruni kerana berjaya membangunkan teknologi nuklear dengan bantuan kepakaran Rusia.

Akibatnya, Iran tetap dihalang oleh sikap prejudis barat manakala Arab Saudi ikut sama bermusuh dengan Iran hanya kerana takutkan pengaruh Syiah. Konflik mazhab itu sengaja diciptakan oleh Barat bagi memecahbelahkan negara-negara Islam. Apa yang sedang berlaku di Syria, jelas membuktikan bahawa Barat mempunyai peranan  besar untuk menggambarkan kepimpinan Bashar al-Assad adalah kejam dan zalim, apabila membantu pemberontak dan medianya hanya melaporkan serangan pihak tentera. Ia sengaja melupakan bahawa pemberontak itu sepatutnya dipersalahkan kerana tidak menghormati undang-undang dan sistem yang diterima sebagai asas pemerintahan.

Dr Mahathir telah lama mengingatkan OIC supaya tidak selamanya menjadi ‘Oh I See’ kerana ia menyebabkan Islam mudah dikeronyokkan oleh kuasa-kuasa Barat walaupun merupakan pembekal minyak dan gas yang terbesar. Seharusnya kekuatan ekonomi itu digunakan untuk membantu membangunkan keperluan umat Islam. Ia tidak berlaku kerana ‘ekonomi minyak’ telah menyebabkan negara-negara Islam berperang sesama sendiri, dengan mencipta pelbagai resepi permusuhan.

Arab Saudi semakin lemah suaranya bila berhadapan dengan pelanggaran kemanusiaan oleh Israel, kerana Israel dilindungi oleh Amerika Syarikat. Mesir semakin kerdil peranannya dalam dunia Islam kerana negara itu bergantung kepada bantuan Amerika Syarikat. Kali ini, mungkin juga Pakistan akan mengambil sikap yang sama dengan Mesir, sebab terlalu mengharapkan bantuan daripada Arab Saudi.

Biarpun ada yang melihat KL Summit 2019 sebagai satu persembahan yang gagal daripada keinginan Dr Mahathir, ia tetap memberikan suatu petunjuk  pandangan umum bahawa Arab Saudi sebagai paksi Islam sudah lama berubah. Arab Saudi masih melihat bahawa negaranya sebagai paksi umat Islam hanya kerana dua pusat ibadat umat Islam berada di negaranya. Ia sesuatu yang sudah melampaui hakikat ibadah dalam Islam kerana Arab Saudi semakin melihat bahawa kemasukan Jemaah haji dan umrah sebagai punca pendapatann kedua terbesar.

Arab Saudi bersedia melaburkan berbilion dolar untuk meningkatkan kemudahan, dan dalam masa yang sama meningkatkan pula bayaran perkhidmatan untuk mengerjakan ibadat tersebut. Arab Saudi semakin mendekati ekonomi kapitalis setelah banyak mendapat nasihat dan perundingan pakar-pakar ekonomi barat. Atas kedudukan dua buah pusat ibadat itu, Arab Saudi benar-benar berusaha memonopoli urusan haji dan umrah, dengan pelbagai alasan termasuk keselamatan dan pengurusannya.

Dari perspektif politik, Arab Saudi sebenarnya semakin hilang cengkaman pengaruhnya. KL Summit 2019 sudah membuktikan bahawa tanpa kehadiran Arab Saudi, negara-negara Islam boleh bersatu dan menyatakan pendiriannya secara jelas, hanya menerusi kekuatan ekonomilah negara-negara Islam boleh membina tamadun baharu yang lebih baik. Iran dan Turki sudah berjaya melakukannya asalkan tekad dan semangat juang para pemimpinnya adalah tinggi dan gigih berusaha. Sekatan daripada pihak luar, memang sesuatu yang perit tetapi rasa perit itulah yang menjadikan mereka lebih kuat dan kreatif, bukan seperti Arab Saudi yang sentiasa melihat dirinya besar, kuat dan gagah.

Pada suatu masa, besar, kuat dan gagah itu mudah berubah kerana tidak lahir dari dalam, ia didokong oleh negara lain. Kekuatan sementara akan menjadi lemah setelah negara yang membantu mengambil keputusan berundur atau melepaskan cengkamannya.

Ketika dalam keadaan lemah, seperti ‘padang jarak padang terkukur’ negara yang pernah memberikan bantuan itu akan hadir semula untuk mencorakkan sistem pemerintahan bersesuaian dengan kehendak mereka. Mereka akan menentukan segala-galanya. Inilah yang sudah berlaku ke atas Irak. Selepas tamatnya pemerintahan Saddam Hussein, Amerika Syarikat membahagi-bahagikan ekonomi minyak berdasarkan kroninya. Beberapa tahun Irak dilanda perpecahan dan sengketa. Iran belum bebas daripada cengkaman Amerika Syarikat walaupun Barrack Obama menarik balik tenteranya. Dakwaan ke atas Irak yang mempunyai senjata pemusnah massa sampai sekarang tidak berjaya dibuktikan, ia adalah alasan untuk menghancurkan kekuatan Saddam Hussein.

Kemunculan Ahmadinejad telah menukarkan situasi. Tetapi, disebabkan percaturan politik atas ketentuan tertentu, Ahmadinejad tidak dibenarkan untuk memimpin Iran sekali lagi selepas tamat dua penggal. Ahmadinejad dilihat oleh Amerika Syarikat berusaha membina kekuatan Iran untuk menentang Amerika Syarikat pada masa hadapan. Ahmadinejad berani bangkit mengkritik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berada dalam telunjuk Amerika Syarikat.

Ketika pemerintahannya, Ahmadinejad tidak takut kepada sesiapa pun. Beliau bersama Muammar Gadafi (Libya) menentang dominasi Amerika Syarikat. Gadafi bukan sahaja mengkritik Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu, malah mengoyakkannya di hadapan masyarakat dunia sebagai tindakan protes ke atas kencenderungan rencana politik Amerika Syarikat terhadap Timur Tengah.

Seandainya Arab Saudi benar-benar jujur memperjuangkan umat Islam, negara itu boleh melemahkan Amerika Syarikat sebagaimana pernah dilakukan dengan ancaman ‘petrodolar’ oleh Sheikh Zaki Yamani ketika memimpin OPEC. Petrodolar berjaya mengurangkan ego negara-negara barat. Sayangnya, Arab Saudi yang sebahagian telaga minyaknya dikuasai oleh gergasi minyak antarabangsa terpaksa tunduk kepada tuntutan agar melepaskan cengkaman kapitalis.

Iran pernah melakukan perkara yang sama apabila ‘memiliknegarakan semua telaga minyak’ tetapi, Amerika Syarikat mencari jalan untuk memusnahkan negara itu dengan meletakkan Muhamad Muzadegh sebagai ‘tahanan politik’ dan mengembalikan kuasa kepada penerus Dinasti Pahlavi.

Keadaan itu berubah apabila Redza Pahlavi dijatuhkan pada tahun 1979 dalam semangat Revolusi Iran. Akibatnya, Amerika Syarikat tidak akan berdiam diri dengan Iran, akan dihancurkan dengan pelbagai cara. Sekatan ekonomi atas dakwaan membangunkan senjata nuklear yang dikembangkan ketika Ahmadinejad menyebabkan Iran berhadapan dengan masalah. Iran tetap bangkit untuk membina kekuatannya. Iran berjaya melakukannya. Sekarang, Iran dimusuhi oleh Arab Saudi.

Ketidakhadiran Arab Saudi dalam KL Summit 2019 didakwa kerana negara itu tidak bersetuju dengan sikap Dr Mahathir. Arab Saudi dilaporkan pernah menasihatkan agar tidak membelakangkan OIC dalam penganjuran itu.  Dr Mahathir mempunyai pendiriannya, kerana melihat OIC sebuah pertubuhan yang dikuasai oleh Arab Saudi. Oleh itu, beliau bersedia menganjurkan KL Summit di luar daripada OIC, maka Arab Saudi membantah.

Ada juga menyebut, Arab Saudi sebenarnya ‘bengang’ dengan Dr Mahathir. Sebaik sahaja dilantik sebagai Perdana Menteri ke-7, membatalkan penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) yang dipersetujui pada Mac 2017.

Dr Mahathir melihat penubuhan pusat tersebut akan memperkuatkan pengaruh Arab Saudi dalam usahanya untuk mengembangkan Wahabisme di Malaysia dan Asia Tenggara. Dalam literatur barat, Wahabisme telah melahirkan gerakan radikal al-Qaeda dan kemudiannya, DEASH. Namun dalam masa yang sama, pembatalan KCSIP dilihat suatu kemenangan kepada penyokong Syiah dan KL Summit 2019 membawa ‘angin segar’ untuk mereka apabila Ahmad Rouhani hadir, berucap dan mengeluarkan pandangan terhadap penyatuan negara-negara Islam. Salah seorang menteri dalam kabinet Malaysia Baru diangkat sebagai menteri pengiring, yang pernah didakwa ada hubungan dengan mazhab terbesar Iran itu.

KL Summit 2019, bukan sahaja dianggap sebagai ‘game changer’ bahkan boleh menyebabkan Malaysia dikenakan tindakan jangka panjang oleh Arab Saudi. Sebelumnya, Arab Saudi dicadangkan supaya melabur dalam beberapa projek di Pengerang, Johor. Mungkin Arab Saudi akan mengkaji semula kedudukannya. Hubungan dengan Arab Saudi menjadi sedikit bermasalah, termasuk dalam menentukan penambahan kouta haji .

Indonesia sebagai negara terbesar penganut Islam, tidak turut menyertainya. Sebaliknya, Presiden Jokowi berada di Kalimantan untuk mempromosikan pembinaan pusat pemerintahan baharu. Jokowi bimbang, kehadirannya nanti akan melukakan Arab Saudi, maka, adalah lebih baik tidak hadir kerana keperluan pelaburan daripada Arab Saudi amat diharapkan.

Indonesia sedang rancak membangun dan pertumbuhan ekonominya sudah berjaya mengatasi Malaysia. Diunjurkan dalam tempoh sepuluh tahun lagi, ia akan muncul sebagai negara yang mempunyai kekuatan ekonomi ketujuh dunia selepas Amerika Syarikat, China, India.Kesatuan Erropah, Jepun dan Brazil.

Indonesia mungkin berhasil menandingi Kesatuan Eropah kerana mempunyai kekuatan ekonomi domestik. China berjaya kerana ekonomi domestiknya yang besar, begitu juga India. Dalam persekitaran sedemikian, Indonesia tidak mahu dihalangi oleh masalah-masalah sekterian dan ego seseorang untuk menonjolkan diri sebagai pemimpin dunia yang berpengaruh. Pengaruh itu akan muncul dengan sendiri apabila negara mereka berjaya melangkaui pelbagai masalah pembangunan dan mata wangnya kukuh.

Apa yang penting bagi Dr Mahathir ialah tidak terlalu bergantung kepada Barat, maka beliau telah berjaya mencari alternatifnya untuk melihat teknologi yang ada dalam negara Turki dan Iran. Khabarnya, Malaysia akan membangun industri senjata menggunakan teknologi Turki dan Iran, dan ia bakal memberikan reaksi balas daripada pengeluar senjata terbesar dunia, iaitu Amerika Syarikat. Mungkin, selepas ini, Amerika Syarikat akan mengenakan sekatan atau mengurangkan eksport produk Malaysia kerana bekerjasama dengan Iran dan Turki, yang dilihat ‘bermusuh’.

Apa pun, masih belum jelas reaksi balas Amerika Syarikat bila kesepakatan sedang dicari untuk tidak lagi menjadikan dolar sebagai matawang perdagangan dalam kalangan negara Islam. Amerika Syarikat mungkin telah melakukan perkara yang sama bila Kesatuan Eropah mula menggunakan matawang Euro.  EU cuba dipecahkan. Kini, muncul isu Brexit, yang akhirnya kita akan saksikan Britain benar-benar keluar daripada EU akhir Januari 2020.

(Kita mungkin sambut 2020 dengan pelbagai emosi yang berat. Kita terpaksa membayar cukai taksiran yang sedikit meningkat, menanggung kenaikan caj air bersih, cukai digital sebanyak 6 peratus, kenaikan bayaran rawatan di hospital dan klinik swasta, pembelian minyak petrol lebih mahal, dan tentunya, kos sara hidup akan terus meningkat. Berdoalah agar keperitan hidup itu bukan lagi igauan, realiti yang terpaksa kita gagahi dalam Malaysia Baru).

MONOSIN SOBRI

No Comments

    Leave a reply