KOMUNIS BUKAN PEJUANG KEMERDEKAAN TANAH MELAYU

Lima tahun lalu, filem The New Village telah membuka perdebatan umum mengenai peranan komunis dalam perjuangan kemerdekaan negara. Beberapa hari lalu, usaha untuk mengangkat dan memartabatkan perjuangan komunis dibangkitkan semula apabila ada sekumpulan anak muda melihat sejarah perjuangan politik kiri tidak wajar dikembirikan dalam buku teks sejarah yang digunakan di sekolah-sekolah.

Sebelum filem The New Village ditayangkan kepada umum, sudah terdapat usaha pihak-pihak tertentu untuk menerbitkan beberapa buku mengenai perjuangan tkoh-tokoh komunis Melayu yang menganggotai Parti Komunis Malaya. Antara buku-buku yang diterbitkan ialah biografi Samsiah Fakeh ( SIRD, 2009), Rashid Maidin (SIRD, 2005), Abdullah CD (SIRD, 2005), Suriani Abdullah (SIRD, 2006), Siti Nurkiah Mahmud (Salleh Lamry, SIRD, 2011), Alias Chin Peng: My Side of History (2003) dan beberapa lagi buku yang ditulis untuk mengangkat perjuangan tokoh kiri di Tanah Melayu.

Sebagai tokoh sejarah, Dr Mohamad Salleh Lamry pernah menulis buku Gerakan Kiri Melayu Dalam Perjuangan Kemerdekaan (UKM, 2006) membahagikan perjuangan menuntut kemerdekaan kepada dua kumpulan, iaitu golongan kiri dan golongan kanan.  Aliran kiri dipelopori oleh Kesatuan Melayu Muda (KMM), diteruskan oleh Parti Kebangsaan Melayu Muda (PKMM) dan badan gabungannya seperti Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Barisan Tani Se-Tanah Air (BATAS).

Aliran kanan pula dipelopori oleh persatuan Melayu negeri-negeri dan diteruskan oleh United Malays National Organisation (UMNO) dan berjaya mencapai kemerdekaan.

Perjuangan nasionalisme aliran kiri memang tidak berjaya mencapai matlamatnya. Gerakan nasionalis kiri terpinggir dan terkeluar dari arus perdana kerana tekanan penjajah dan hanya mendapat sokongan daripada golongan minoriti Melayu.

Mohamad Sabu pernah berusaha untuk memartabatkan Mat Indera dan 200 orang ahli PKM yang menyerang Balai Polis, Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 sebagai wira negara atas alasan perjuangan tersebut adalah melawan British sebagaimana Tok Janggut di Kelantan.

Ucapan kontroversi yang disiarkan menerusi youtube itu antara lain menjelaskan: “…Bukit Kepong, polis itu polis British, hak serang Bukit Kepong tulah pegawai kerajaan, ketuanya Mat Indra, Melayu, tetapi semua sejarah itu ditutup, Jins Samsuddin buat filem, Jins Samsuddin tu (orang) UMNO, cerita bukit Kepong, hak serang balai polis tu penjahat, polis tu polis British, sebelum merdeka negara kita diperintah oleh British, tapi dia buat filem yang hero hak pertahan balai polis, hak serang tu pengganas, pada hal Mat Indra ketua penyerang balai polis tu dan akhirnya dia dihukum gantung di Jering Taiping, begitulah juga Tok Janggut, Tok Janggut ni lawan British, tapi sebelum British nak..nak bunuh dia, dia menghasut Sultan Kelantan untuk mengishtiharkan Tok Janggut sebagai penderhaka, bila ishtihar Tok Janggut sebagai penderhaka, barulah tok Janggut dihukum gantung di Pasir Puteh Kelantan. Semua sejarah negara kita bohong…” Ia berasal dari ucapan pada 21Ogos 2011 di Padang Menora, Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Ketika kemunculan semula cadangan meminda sejarah Malaysia, Mat Sabu tidak lagi lantang bercakap mengenai “perjuangan komunis” kerana beliau mungkin sedikit gerun dengan pendirian anggota tentera walaupun beliau baru tiga bulan dilantik sebagai Menteri Pertahanan.

Sebagai seorang pernah berusaha mengangkat tokoh perjuang kiri atau komunis, Mat Sabu mungkin ‘terkucil’ dalam keadaan dikerumuni oleh anggota tentera dalam tugasannya. Bagaimanapun, Mat Sabu yang lebih gembira dengan percubaan memahami pesawat tentera dan armada laut, terkucil kerana menjaga sensitiviti. Anggota tentera akan tetap menyuarakan kemarahannya terhadap perjuangan bersenjata PKM kerana ‘luka sejarah itu tetap membekas dan masih terasa pedih’.

Semasa Pilihan Raya Umum ke-14, salah seorang calon yang mewakili PH, Jamaliah Jamaludin, cucu Samsiah Fakeh di DUN Bandar Utama. Beberapa orang tokoh politik DAP menyeru agar tidak mengaitkan Jamaliah dengan perjuangan komunis yang diwarisi oleh neneknya. Jamaliah menang dengan majoriti 34,769 mengalahkan calon BN dan Bebas.

Kemenangan tersebut menjadikan “stigma kebencian kepada komunis” tidak lagi menjadi persoalan besar dalam pola pengundian di Malaysia, kerana sebahagian besar pengundi tidak melihatnya sebagai ‘beban yang terpaksa ditanggung oleh generasi sekarang”.

Itu mungkin menjadi petunjuk bahawa sebahagian besar generasi muda Malaysia boleh melupakan kesedihan silam dan tragedi lampau, kerana kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan ialah ditentukan oleh keputusan mereka sendiri. Generasi sebelumnya tidak wajar mewariskan ‘emosi seram’ kepada mereka. Masa untuk melihat sejarah yang dilakarkan dalam perspektif golongan perjuangan kanan sudah berlalu, dan kerana itulah mereka mendesak agar pembinaan kurikulum pendidikan sejarah perlu dimasukkan sumbangan puak kiri.

Gerakan Komunis di Tanah Melayu dimulakan oleh sekumpulan orang Cina yang tidak berpuashati dengan Inggeris. Mereka menubuhkan Parti Komunis Malaya pada tahun 1930. Pada awalnya, keanggotaan PKM adalah dalam kalangan guru-guru sekolah Cina dan buruh kasar, yang dibawa masuk oleh Inggeris bagi mengeksploitasi sumber ekonomi di Tanah Melayu. Penentangan itu dikatakan berpunca daripada sikap Inggeris yang lebih mengutamakan kaum Cina berpendidikan Inggeris berbanding mereka yang berpendidikan Cina.

Objektif penubuhan PKM ialah menjatuhkan penjajah Inggeris dan matlamat akhirnya ialah menubuhkan sebuah kerajaan komunis berkiblatkan China. Sehingga tahun 1933, PKM mendapat arahan langsung daripada Parti Komunis China. Pada tahun 1943, PKM mendapat arahan daripada Biro Komunis Timur Jauh.

Persoalannya, selepas pengunduran tentera Jepun pada tahun 1945, sebuah organ PKM yang dikenali Tentera Rakyat Malaya Anti Jepun (MPAJA) memerintah Tanah Melayu selama 14 hari. Ia berlaku disebabkan Inggeris tidak segera kembali ke Tanah Melayu sebaik sahaja tentera Jepun berundur apabila Nagasaki dan Hiroshima dibom oleh sekutu British, iaitu tentera udara Amerika Syarikat. Tentera Jepun mengaku kalah kepada Tentera Bersekutu pada 16 Ogos 1945.

Semasa di bawah pentadbiran Jepun, PKM bekerjasama dengan British untuk menggulingkan pemerintahan tentera Jepun. PKM tetap bermusuhan dengan tentera Jepun akibat aliran sejarah China yang dijajah oleh Jepun dan kesukaran hidup orang-orang Cina di Tanah Melayu ketika itu. Orang Melayu pula dikatakan tidak begitu tertekan dengan pemerintahan Jepun berbanding kaum Cina.

Ketika diperintah oleh Bintang Tiga, persekitaran kehidupan masyarakat Tanah Melayu adalah begitu tragik malah lebih sukar berbanding tragedy 13 Mei 1969. Untuk tempoh selama 14 hari itu, Bintang Tiga membalas dendam ke atas orang Melayu yang dikatakan bekerja dengan tentera Jepun. Ia adalah satu bentuk propaganda PKM bagi mewajarkan tindakan zalim mereka untuk memeras penduduk dan rakyat biasa.

Berdasarkan rekod sejarah yang tersimpan di Arkib Negara, “Perang Dunia Kedua dan pendudukan Jepun di Tanah Melayu mulai 8 Disember 1941 telah memberi peluang kepada Parti Komunis Malaya untuk memperkuatkan organisasinya. Parti Komunis Malaya yang ditubuhkan pada 20 April 1930 telah bekerjasama dengan pihak British untuk menentang Jepun melalui Tentera Anti Jepun Rakyat Tanah Melayu (MPAJA) berdasarkan perjanjian yang dibuat pada 8 Disember 1940”. MPAJA memperoleh pelbagai bentuk bantuan daripada British termasuk senjata, latihan ketenteraan, kewangan, bekalan lojistik dan perubatan.

Dalam tempoh tiga tahun, kekuatan anggota MPAJA dianggarkan berjumlah 7,000 orang. Selepas Jepun menyerah kalah, MPAJA mengambil kesempatan untuk berkuasa dengan melancarkan gerakan gerila dan beberapa pertempuran antara kaum dilaporkan berlaku terutamanya di bahagian selatan Tanah Melayu. Akibatnya, orang Melayu mula melancarkan tindak balas terhadap Bintang Tiga, misalnya kumpulan yang diketuai oleh Panglima Salleh Salempang Merah.

Apabila British kembali dan memperkenalkan pentadbiran tentera (British Military Administration atau BMA), Bintang Tiga tidak berjaya melebarkan pengaruh dan kegagalan itu menyebabkan melancarkan gerakan bersenjata untuk merampas Tanah Melayu. Kegagalan tersebut akhirnya dimuktamadkan dalam satu perjanjian untuk membubarkan MPAJA dan peletakan senjata manakala gerila-gerila terbabit dibayar sagu hati oleh pihak British.

Bagaimanapun, bagi meraih simpati kumpulan itu mula mengindoktrinasikan ideologi komunis dengan merekrutkan lebih ramai pemuda Melayu untuk menyertai Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang diasaskan oleh Ahmad Boestaman dan Mokhtaruddin Lasso (MPAJA) pada 17 Oktober 1945. PKM akhirnya berjaya menguasai PKMM menerusi Mokhtaruddin Lasso (Presiden), Arshad Shaari (Bendahari), Rashid Maidin dan Abdullah CD manakala PKMM lebih berminat untuk menyertai Indonesia bagi mendapatkan kemerdekaan.

Akibat serangan bersenjata PKM, pada tahun 1948, British mengisytiharkan darurat dan melancarkan serangan ke atas kawasan perkhemahan dan kubu komunis menyebabkan semakin lama semakin jauh berada di kawasan pedalaman. Darurat terus berlangsung sehingga tahun 1960.

Dakwaan bahawa PKM melancarkan gerakan bersenjata bagi menuntut kemerdekaan Tanah Melayu tidak boleh diterima sepenuhnya disebabkan sikap mereka menentang beberapa usaha berunding dengan kerajaan selepas tahun 1957. Menurut rekod, darurat yang diakibatkan oleh PKM telah mengorbankan lebih 11,000 orang termasuk 2,500 orang awam. Kerajaan juga dikatakan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM 136.2 juta untuk pertahanan dan RM 721.9 juta untuk kelengkapan peralatan keselamatan. Ia merupakan satu bentuk beban kewangan dan menyukarkan proses pembinaan semula ekonomi Tanah Melayu.

Namun, kesan psikologi PKM masih terasa hingga sekarang bahkan ketika cadangan untuk membenarkan Chin Peng ‘menghabiskan usia tua’nya di Malaysia, ia mendapat tentang hebat daripada sebahagian besar masyarakat termasuklah veteran tentera dan ahli keluarga mereka yang masih trauma dengan kekejamannya. Chin Peng akhirnya meninggal pada 16 September 2013 di Bangkok, Thailand akibat kanser. Usaha membawa pulang abu mayatnya untuk disimpan di Ipoh, Perak terus menerima tentangan hebat.

Selepas PH memenangi PRU ke-14, wacana mengiktiraf sumbangan golongan kiri sebagai pejuang kemerdekaan bergema semula sehingga menyebabkan sebahagian besar rakyat Malaysia melihat ia sesuatu yang menyerlahkan nilai-nilai agitasi dalam politik Malaysia Baharu. Definisi baharu politik Malaysia menampakkan kecenderungan untuk menyamaratakan antara nasionalisma dan komunisma sebagai hala tuju perjalanan sejarah negara untuk tempoh seterusnya.

Sebelumnya, di bawah pentadbiran Perikatan dan Barisan Nasional selama 61 tahun, wacana untuk mengiktiraf sumbangan politik kiri tidak diberikan ruang dan peluang, maka pada kali ini, segelintir anak muda Melayu mula melancarkan provokasi untuk meminda kurikulum sejarah di sekolah-sekolah agar memasukkan watak antagonis.

Pindaan itu tentunya ada isu yang mahu ditonjolkan, tetapi, sejarah tetap tercatat bahawa PKM adalah sebuah perjuangan yang berselindung di sebalik momokan kemerdekaan negara. PKM sebenarnya ingin membentuk Tanah Melayu sebagai sebuah negara yang berideologikan komunis, walaupun mereka sedar, komunisme secara zahirnya sudah berakhir apabila runtuhnya Tembok Berlin pada 9 November 1989 dan seterusnya berlangsung Reunifikasi Jerman pada 3 Oktober 1990.

China, walaupun terus dikuasai oleh sistem politik komunisme, proses pembinaan semula negara itu sudah berubah kepada kapitalisme di mana orang perseorangan dibenarkan memiliki kekayaan dan dasar ekonominya lebih terbuka. Komunisme hanya sebagai acuan kerangka pentadbiran. Ekonominya bergantung kepada perdagangan dan pelaburan asing. Proses itu telah mula berubah selepas kematian Mao Tze Tung (1976) di mana penggantinya, Deng Xiapeng memulakan pembaharuan ekonomi pasaran sosialis.

Dasar pembaharuan ekonomi Deng Xiapeng itulah akhirnya berjaya membawa China sebagai sebuah kuasa ekonomi yang semakin digeruni oleh Amerika Syarikat ketika ini. Dalam tempoh 20 puluh tahun akan datang, China dijangka berjaya mengambilalih kedudukan Amerika Syarikat sebagai hegemoni ekonomi dunia.

Apakah wacana untuk mengiktiraf PKM sebagai pejuang kemerdekaan akan membawa minat baharu kepada segelintir masyarakat Malaysia? Atau dengan mengiktiraf sumbangan komunis sebagai pejuang kemerdekaan akan menghapuskan dosa-dosa yang dilakukan oleh PKM? Apakah dengan membawa masuk golongan kiri dalam sejarah nasionalisma Tanah Melayu akan membuka ruang terhapusnya ‘beban sejarah kejam dan tragik’ komunisma yang masih diwarisi oleh jurai keturunan mereka yang bersifat kasar dan gasar ke atas sebahagian besar rakyat Malaysia?

Sekiranya rakyat Malaysia bersetuju dengan wacana tersebut, ia bererti betapa mudahnya rakyat Malaysia menghapuskan ‘luka sejarah’ sedangkan di Indonesia, ketika Pramoedya Ananta Toer diberikan Hadiah Magsaysay oleh kerajaan Filipina, Mochtar Lubis bangkit membantah dan bersedia memulangkan hadiah yang sama pernah diberikan kepadanya. Ertinya, dalam sejarah Indonesia, Parti Komunis Indonesia telah menyebabkan trauma yang besar dan sangat mendalam, hingga kini, sejarah mereka tidak boleh menerimanya. PKI tetap dilihat sebagai antagonis yang mual, penuh tragedi dan tidak boleh diterima sebagai pejuang kemerdekaan.

Komunis bukanlah pejuang kemerdekaan, maka tidak ada sebab sejarah perjuangannya untuk diketengah dan dibanggakan.

Monosin Sobri

 

 

No Comments

    Leave a reply