Krisis akhlak makin meruncing

PADA hari ini, fenomena penampilan akhlak yang buruk sudah begitu meruncing dan boleh dianggap sebagai suatu krisis. Kenapa krisis? Ini kerana penampilan akhlak yang buruk sudah merentasi semua peringkat individu sama ada mereka berilmu, memahami agama, berpangkat serta berkedudukan. Tambahan pula dengan adanya teknologi media baharu, kepincangan akhlak semakin terserlah.

Boleh dikatakan setiap hari, kita boleh menilai teruknya akhlak yang ditonjolkan oleh seseorang menerusi pelbagai medium media. Sikap tidak amanah, menipu, menceroboh, mengambil harta orang, mencerca dan memaki sudah menjadi tabiat di alam sedar.

Jika perilaku ini dilakukan oleh budak-budak, agak senang untuk kita menegur. Namun begitu, jika orang berilmu, pandai agama, berkedudukan tinggi serta disanjung oleh orang ramai pun menonjolkan akhlak yang buruk, kepada siapa lagi yang boleh diharapkan.

Sebetulnya, telah berpuluh-puluh tahun Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah dirangka agar pendidikan di Malaysia secara berterusan memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Pun begitu, masih ramai yang tidak berakhlak mulia. Secara jujurnya, falsafah pendidikan ini tiada cacat celanya, namun kegagalan setiap individu berusaha memperbaiki akhlak mereka secara berterusan menyebabkan jurang mereka yang berakhlak baik dan buruk semakin melebar.

Sebetulnya, perkataan akhlak ini datangnya daripada bahasa Arab iaitu khuluq yang bermaksud keadaan jiwa yang kukuh. Menurut Al-Ghazali, akhlak yang baik adalah merangkumi nilai-nilai seperti ikhlas, benar, amanah, bertanggungjawab dan kesempurnaan iman.

Malah Rasulullah SAW pernah bersabda, “Sesungguhnya orang yang paling hampir dengan tempatku dalam kalangan kamu ialah yang paling cantik akhlaknya, mereka menghormati orang lain dan mereka senang bermesra dan dimesrai. Orang mukmin itu ialah yang mudah mesra dan dimesrai. Dan sebaik-baik manusia ialah yang banyak memberi manfaat kepada manusia.” (Hadis Riwayat Hakim dan Baihaqi).

Berkaitan hal ini ALLAH berfirman, “Dan hamba-hamba (ALLAH) Ar-Rahman (yang diredhainya, ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan-santun dan apabila orang-orang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat daripada perkara yang tidak diingini.” (Al-Furqan 25:63). Ini bermakna, kegagalan kita membentuk akhlak yang baik akan memberi kesan langsung kepada pembentukan peribadi kita.

Berkaitan dengan pembentukan peribadi ini, saya cukup tertarik dengan kata-kata Prof Hamka iaitu, “Bagi membentuk peribadi yang hebat, ikhlaslah yang menjadi nyawanya. Peribadi yang tidak memiliki keikhlasan adalah peribadi yang mati. Meskipun dia masih bernyawa, hidupnya sudah tiada erti.”

Katanya lagi, “Orang yang ikhlas tidak akan kekurangan tempat. Masyarakat akan tahu di mana dia diletakkan. Si pembohong dan si pengkhianat tidak akan sampai di hujung perjalanan. Malah, selama dia menduduki tempat yang bukan tempatnya, selama itu pula orang akan menontonnya seperti seorang badut.”

Pada hemat saya, gejala akhlak yang buruk tidak akan dapat diatasi selagi kita gagal menguruskan Qalbu. Hakikatnya, Qalbu merupakan salah satu kurniaan ALLAH yang sangat luar biasa kepada manusia. Sehingga kini, Qalbu ini dikaitkan dengan hati. Sukarnya menjaga hati bagaikan perumpamaan Melayu, “Laut yang dalam masih boleh diduga, namun dalamnya hati tidak siapa yang tahu.”

Secara prinsipnya, Qalbu ini menjalankan tiga fungsi utama iaitu; tempat tumbuhnya iman, menguruskan emosi serta membantu akal membuat keputusan yang bijaksana. Justeru, setiap individu perlu berusaha untuk menjaga dan membersihkan hatinya agar dapat menterjemahkan peribadi yang unggul dan produktif. Pun begitu, jika diri kita masih tebal dengan sifat angkuh dan sombong, akhlak buruk tetap tidak berubah.

Oleh PROF MADYA DR HUZILI HUSSIN

Sumber : Sinar Harian Online

Tags: , , ,

No Comments

    Leave a reply