KRISIS TELOK, KEMENANGAN BERGANDA BUAT ISRAEL?

Krisis Telok yang bermula dengan terputusnya hubungan diplomatik dengan Qatar pada 5 Jun 2017 sedikit sebanyak memberikan kemenangan berganda buat Israel. Negara-negara Arab secara langsungnya mengetepikan sokongan mereka kepada perjuangan rakyat Palestin apabila menuduh Qatar melindungi dan membantu HAMAS yang tidak pernah diiktiraf oleh Israel sejak kemenangannya di Semenanjung Gaza dalam pilihanraya 2006.

Penolakan negara-negara Arab ke atas Qatar juga memperlihatkan ada pengaruh besar Amerika Syarikat dalam keputusan untuk memecahbelahkan negara-negara Teluk bagi meletakkan semula kedudukan Israel sebagai kuasa pengimbang yang berpengaruh berbandung negara-negara Arab dan Afrika Utara sendiri.

Keputusan menghentikan hubungan diplomatik, termasuk perhubungan udara, darat dan laut ke atas Qatar menjadikan Israel semakin angkuh kerana Donald Trump yang mewakili Parti Republikan kembali mencorakkan hubungan yang lebih baik berbanding Barrack Obama, dan kerana itulah pembelian senjata oleh Arab Saudi berjumlah USD$110 juta tidak mendapat sanggahan Benjamin Neetanyahu.

Neetanyahu sedar, keperluan senjata oleh Arab Saudi adalah untuk mengekang pengaruh Iran di mana permusuhan antara kedua negara itu semakin menjadi rumit selepas ramai rakyat Iran terbabit dalam kemalangan di Mekah dan menyebabkan pada suatu ketika, jemaah haji Iran tidak dibenarkan mengerjakan haji. Berlaku tuduh menuduh antara kedua negara tersebut sehinggalah berbangkit persoalan mengenai Syiah dan Wahabi.

Ketika Obama mempunyai baki pentadbiran dua tahun sebelum menyerahkan pentadbiran Rumah Putih kepada presiden baharu, Israel melihat kedudukannya adalah terpisah manakala usaha Pihak Berkuasa Palestin untuk melobi agar diterima menjadi ahli dalam Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang dimulakan oleh Mesir dan kemudiannya diambil peranan oleh Malaysia menyebabkan kumpulan pelobi zionisme tidak mudah mengalah, sehinggalah Donald Trump muncul sebagai wira mereka untuk memberikan suntikan dengan berjanji akan mengkaji semula keahlian USA dalam pertubuhan yang diasaskan untuk menjaga keamanan antarabangsa.

aljazeera

Obama juga dilihat begitu memberikan perhatian terhadap Iran apabila negara itu bersedia untuk membenarkan reaktor nuklearnya diperiksa bagi memastikan tidak berusaha membina senjata nuklear dan menyekat perkembangan teknologi nuklear Rusia dan situasi ini menyebabkan Arab Saudi merasai hubungannya dengan Amerika Syarikat ‘tidak mesra’. Akhirnya, apabila bertukar pucuk pimpian dan parti yang memerintah, Arab Saudi bertindak cepat untuk menarik perhatian Rumah Putih dengan menyokong dasar Donald Trump untuk menggalakkan pertumbuhan industri senjata, dengan bersetuju perjuangan Amerika Syarikat ‘menghapus keganasan’ dengan membeli senjata termoden dan jumlahnya dilihat terbesar pernah dilakukannya.

Dalam alasan memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar—Arab Saudi, Mesir, Libya, UAE, Tunisia dan Bahrain—bersepakat untuk memberikan alasan bahawa ‘menghapus ekstremisme’ adalah focus utama, tetapi tidak berusaha untuk mendefinasikan makna ekstremisme itu dalam konteks yang boleh diterima oleh umat Islam, sebaliknya menerima takrifan tersebut berdasarkan konsep barat yang dipengaruhi oleh kepentingan Israel dan zionis. Sebab itulah Qatar terus menjadi mangsa kerana dasar pragmatiknya menjalin hubungan dan kerjasama dengan Iran dicirikan sebagai satu bentuk ekstremisme, memberikan perlindungan dan bekerjasama dengan Ikhwanul Muslimin dan membantu pejuang Palestin yang tertindas dilihat sebagai ‘membantu pengganas’.

Benarkan Ikhwanul Muslimin merupakan sebuah pertubuhan yang menganjurkan kepada keganasan? Benarkan pejuang HAMAS yang memperjuangkan kedaulatan mereka di Semenanjung Gaza adalah ‘ektremis’ manakala negara-negara Arab yang mengharamkan Ikhwanul Muslimin sebagai ‘mempertahankan Islam’? Ia merupakan isu yang besar dan sedang menjadi perbincangan umum apabila negara-negara yang memutuskan hubungan diplomatik telah mengeluarkan 59 entiti yang diharamkan termasuk tokoh-tokoh ulama, pertubuhan dan badan-badan kebajikan yang selama ini memang disahkan ‘ganas’ oleh pelampau zionis.

trump in middle east

Tokoh ilmuan Islam yang terbabit dengan Ikhwanul Muslimin yang bermastautin dan diberikan kerakyatan Qatar, Dr Yusuf Qardawi turut disenaraikan sebagai individu yang mendokong keganasan kerana pernah mengeluarkan pandangan bahawa tunjuk perasaan yang berlaku ketika Arab Spring adalah satu yang dibolehkan bagi menentang kediktatoran Hosni Mubarak. Selepas Hosni digulingkan, Ikhwanul Muslimin mendapat kemenangan besar dalam pilihan raya demokratik pertama buat Mesir, tetapi kemenangan itu tidak dapat dipertahankan apabila Jeneral Fatah al-Sisi melakukan rampasan kuasa.

Jeneral Fatah adalah salah seorang menteri dalam kabinet Dr Mohamad Morsi, tetapi atas nilai dan budaya tentera yang dilatih dengan nilai dan budaya Amerika, Mesir yang berhadapan dengan kemelut saki baki pengaruh Hosni Mubarak dalam pentadbiran awam dan penguncupan ekonomi, akhirnya menjadi presiden yang dipilih secara demokratik menjadi mangsa, ditangkap dan didakwa atas kesalahan jenayah. Jeneral Abdul Fatah akhirnya berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai Presiden Mesir seterusnya mengharamkan Ikhwanul Muslimin dan melabelkan pertubuhan yang pernah dinafikan hak politik serta perundangan itu sebagai pertubuhan pengganas.

Arab Saudi yang mengharamkan pertubuhan-pertubuhan politik untuk kekal sebagai negara monarki mutlak turut melihat Ikhwanul Muslimin bakal menimbulkan kekacauan politik dalam negara dan akhirnya, mendakwa Ikhwanul Muslimin termasuk dalam kategori ‘pelampau’ dengan mencari pelbagai alasan.

Qatar yang pernah bergantung hidup kepada industri aquaculture, terutama industri mutiara kini muncul sebagai sebuah negara Islam paling pragmatik dan paling sejahtera dalam kalangan negara-negara Arab dan negara Islam keseluruhannya. Keluaran Dalam Negara Kasar Perkapita, Qatar merupakan yang tertinggi dalam kalangan negara Islam bahkan berjaya mengatasi Arab Saudi dan UAE hasil penjualan minyak dan gas.

Kekayaan minyak Qatar dikatakan mampu bertahan sehingga lebih 40 tahun lagi manakala simpanan gasnya mencecah lebih 140 tahun menyebabkan negara itu berjaya menjadikan keseluruhan rakyatnya hidup selesa—tidak mempunyai masalah pengangguran, dijamin memiliki rumah, pendidikan percuma dan dibiayai oleh kerajaan jika belajar di luar negara, pembiayaan kesihatan oleh kerajaan sepenuhnya—dan berdasarkan beberapa kajian, sokongan rakyat kepada pemerintah adalah maksimum berbanding dengan beberapa negara Arab yang lain, termasuk Arab Saudi.

Arab Survey 2017

Sistem ekonomi Qatar yang lebih baik dan kedudukannya yang strategik menarik minat Amerika Syarikat untuk mendirikan pengkalan tenteranya yang terbesar di Timur Tengah. Kedudukan ini sebenarnya pernah menimbulkan iri hati Israel dan itulah sebabnya Israel menjadi begitu selesa apabila negara-negara Islam bersepakat menekan Qatar setelah terputusnya hubungan diplomatik.

Dalam situasi demikian, Turki telah melihat kecenderungan itu sebagai sesuatu yang perlu dibantu kerana Qatar mempunyai kerjasama ekonomi yang besar. Dana pelaburan Qatar dianggarkan berjumlah USD$ 20 bilion di Turki manakala pelaburan Turki di Qatar sekitar USD$15 bilion. Dengan menyekatkan hubungan diplomatik, Turki segera membuat keputusan akan membantu Qatar daripada terus terkepung dalam krisis tersebut manakala Iran bersedia mengekalkan hubungan.

Situasi ini bakal menyebabkan negara-negara Arab yang bersepakat ‘mengisolasikan Qatar’ semakin tidak memperjuangkan hak dan kepentingan Islam, sebaliknya, lebih berusaha menjadi lebih mesra dengan Israel menerusi dasar luar negara Rumah Putih. Parti Republikan sentiasa menunjukkan sokongan terbuka kepada Israel sebagaimana dilakukan oleh George Walker Bush dengan mendakwa ‘Iran dan Irak paksi kejahatan’ manakala serangan ke atas Afghanistan bagi ‘memerangi keganasan’ adalah dasar licik zionisme untuk menghancurkan Islam.

Kali ini, Israel semakin berjaya untuk memecahbelahkan negara-negara Arab dengan menjadikan Qatar sebagai sasaran. Israel bimbang dengan perkembangan ekonomi Qatar dan pengaruh agensi media kepunyaan kerajaan Qatar, al-Jazeera mampu menyaingi gergasi media yang dipunyai oleh kapitalis Yahudi –FoxNews, CNN, ABC, BBC, CNBC dan sebagainya— semakin kehilangan penonton terutama di Timur Tengah, maka itulah usaha menjatuhkan Qatar dilakukan secara halus dengan mendakwa al-Jazeera mempunyai kaitannya dengan rakaman perbualan pemimpin tertinggi negara itu yang dilihat sebagai punca krisis.

Passengers walk at a terminal upon their arrival at the new Hamad International Airport (HIA) on April 30, 2014 in Doha. The first commercial flight chartered by Qatar airways landed at HIA, greeted by water cannons .   AFP PHOTO / AL-WATAN DOHA / KARIM JAAFAR == QATAR OUT == / AFP PHOTO / AL-WATAN / KARIM JAAFAR

Al-Jazeera mempunyai jumlah pekerja di seluruh dunia berjumlah 100,000 orang dan di Amerika Syarikat mempunyai edisi berbahasa Inggerisnya. Al-Jazeera ditubuhkan oleh pemerintah Qatar pada tahun 1996 berjaya mengembangkan sayapnya ke beberapa buah negara, termasuk Amerika Syarikat, Eropah dan Asia. Dalam kempen pilihan raya presiden Amerika Syarikat pada tahun 2016, al-Jazeera lebih berpihak kepada Parti Demokrat dan enggan bekerjasama dengan calon-calon Parti Republikan.

Maklumat yang disimpan oleh al-Jazeera dikatakan berjaya digodam dan maklumat itu kemudiannya disebarkan menyebabkan negara-negara Arab menjadi berang, yang akhirnya berusaha memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar. Apakah ini merupakan muslihat zionisme yang menyebarkan fitnah tersebut hasil maklumat yang digodam untuk membolehkan Amerika Syarikat kembali berpengaruh di Timur Tengah, yang tentunya akan menyebabkan ego Israel makin besar?

Krisis Telok wajar diselesaikan segera, tetapi negara manakah yang bersedia menjadi ‘orang tengah’ yang berkesan kali ini, kerana situasinya adalah lebih rumit berbanding krisis yang berlaku sebelumnya. Mungkinkah kali ini ia akan menyebabkan Qatar terpaksa bersendirian menentukan haluan masa depannya, atau membentuk kerjasama ekonomi yang lebih besar dengan Turki dan Iran, ia terus menjadi teka-teki. Qatar boleh melakukannya kerana kumpulan perbankannya merupakan yang termaju manakala nilai pelaburannya di seluruh dunia adalah lebih besar daripada apa yang dilakukan oleh Arab Saudi.

Arab Saudi hanya berusaha meningkatkan jumlah pelaburan di luar negaranya setelah tersedar bahawa pergantungannya kepada eksport minyak dan gas tidak lagi melegakan. Qatar sudah lama memahami konsep kepelbagaian sumber ekonomi telah menggunakan hasil pendapatannya daripada minyak dan gas untuk meneroka bidang-bidang pelaburan yang lebih besar di luar negara, maka sebab itulah Donald Trump tersedar dari lamunannya, krisis Telok perlu diselesaikan segera, kerana bimbang dengan kedudukan pengkalan tenteranya di situ.

Walaupun hubungan udara telah disekat, Qatar Airlines terus muncul sebagai sebuah penerbangan yang paling dinamik dan masih boleh terbang di ruang udara Bahrain ekoran perjanjian penerangan antaranya yang sukar untuk diputuskan. Tentunya, kebimbangan baharu akan muncul di Timur Tengah ialah sejauhmanakah negara-negara Arab menjadi pro-Israel akibat ‘membelasah Qatar’ yang memberikan perlindungan kepada HAMAS, Ikhwanul Muslimin, bekerjasama dengan Iran dan Turki, dan dalam masa yang sama membendung pengaruh media barat dalam pelaporan berita antarabangsa.

Qatar akan terus berjuang untuk menangkis sebarang bentuk hegemoni politik dan ekonomi yang diketuai oleh Arab Saudi dan pada masa sekarang, Qatar telah berjaya melakukannya. Barangkali dengan ‘memutuskan hubungan diplomatik’ ini mampu memperlahankan peranan Qatar kalaupun tidak mampu melumpuhkannya. Arab Saudi terasa gerun dengan kepesatan ekonomi Qatar, maka itulah antara yang mungkin menjadi alasan terbesar tetapi disembunyikan di sebalik ‘bekerjasama dan melindungi pengganas’, untuk mengisolasikan negara kecil yang hanya berkeluasan 11,000 kilometer persegi dan berpenduduk 2.7 juta orang.

Kamarun KH

No Comments

    Leave a reply