Ku Li ke pentas politik kerana Tun M

KUALA LUMPUR – Calon presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menjelaskan langkah Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri pada usia emas mendorong beliau untuk kembali semula ke arena politik.

Memetik laporan Malaysiakini, veteran Umno yang berumur 81 tahun itu berkata, faktor umur kini tidak lagi menjadi faktor penghalang dengan kemunculan semula Dr Mahathir pada usia 93 tahun.

“Umur tidak menjadi kebimbangan sekarang, dengan perdana menteri kami melakukan ‘comeback’ pada usia 93 tahun,” kata bekas menteri kewangan itu dalam temubual bersama Channel News Asia.

Pada tahun 1987, Tengku Razaleigh atau Ku Li gagal menewaskan Dr Mahathir bagi jawatan presiden Umno dalam pemilihan parti itu.

Beliau tewas dalam insiden pengiraan undi yang dianggap sebagai perbuatan khianat pihak tertentu yang menipu undi.

Dr Mahathir diumumkan menang dengan kelebihan 43 undi dan kumpulan 11 yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu mendakwa bahawa ada ahli dari cawangan Umno yang tidak sah turut sama menjadi perwakilan dan mengundi.

Apabila Umno diharamkan, Dr Mahathir menubuhkan Umno baru manakala Ku Li membentuk sebuah parti baru yang didaftarkan dengan nama Parti Semangat 46, mengambil semangat Umno lama yang ditubuhkan pada 1946.

Kuli kemudiannya kembali menyertai semula Umno pada 1998.

Sementara itu, Ku Li juga menyatakan Umno mesti melalui proses perubahan untuk membina semula semangat parti itu berikutan kekalahannya pada pilihan raya umum lalu.

“Umno memerlukan pemimpin yang boleh dipercayai bagi melakar masa depannya, untuk memulihkan kepercayaan dan maruah.

“Empat puluh peratus daripada penduduk adalah belia, kita perlu memasukkan lebih ramai profesional muda, intelektual dan membina semangat parti,” katanya.

Pada pemilihan parti itu, Tengku Razaleigh akan dicabar timbalan presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin serta dua individu lain.

Seramai 165,000 perwakilan dari 191 bahagian Umno di seluruh negara akan memilih pemimpin mereka untuk jawatan tertinggi parti itu.

Sumber : Sinar Harian

No Comments

    Leave a reply