KUASA MENGUNDANG MALAPETAKA

Ibnu Khaldun, ilmuwan dan pelopor dalam bidang sosiologi dan sejarah pada abad ke-15 berpendapat, kekuasaan berkait rapat dengan godaan, kemegahan, harta (wang) dan wanita. Makin tinggi pencapaian atau posisi seseorang, baik sebagai pemimpin jabatan mahupun pemimpin masyarakat, bertambah banyak godaan. Justeru, sejarah banyak merakam jatuh bangun pelbagai bangsa seiring dengan kemampuan dan ketidakmampuan menghadapi godaan. Mereka tergoda dengan kekuasaan.

Realitinya, apa yang diluahkan oleh Ibnu Khaldun ternyata berlaku dalam masyarakat hari ini. Ibnu Khaldun menyarankan kepada sesiapa yang berkuasa agar berhati-hati ketika menjalankan tugas. Hal demikian, berdasarkan pengertian beliau tentang zaman dahulu dan zaman-zaman sebelumnya, kekuasaan itu secara automatik mengandungi godaan.

Oleh yang demikian, Ibnu Khaldun meletakkan peranan agama pada nilai yang tinggi dalam membentuk sesuatu peradaban. Baginya, agama adalah dasar terpenting bagi peradaban yang luas dan hebat. Justeru agama pada pandangannya merupakan landasan moral yang dapat meneguhkan suatu peradaban.

Tiga dosa sejarah iaitu kesombongan, kemewahan dan kerakusan muncul kerana manusia telah menjauhi syariat. Apabila agama tidak dijadikan dasar, maka peradaban akan mengalami kehancuran. Dengan demikian, agama bagi Ibnu Khaldun merupakan suatu kekuatan yang dapat menentukan perjalanan sejarah manusia.

Berhubung perkara ini, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memberi syafaat (menolong) saudaranya dengan sesuatu syafaat (pertolongan), dan saudaranya itu memberikan kepadanya ganjaran atau hadiah dan ia menerimanya, maka ia telah membuka satu pintu daripada pintu-pintu riba.”

(Riwayat Ahmad dan Abu Daud).

Daripada maksud hadis ini syafaat atau pertolongan merupakan salah satu daripada perkara yang dituntut dalam Islam, khususnya memberi pertolongan sesama Islam sama ada berbentuk material, tenaga, masa atau buah fikiran.

Dalam konteks hadis tersebut, Nabi s.a.w menumpukan kepada perbuatan memberi syafaat atau pertolongan namun ianya dibalas dengan pemberian hadiah di atas pertolongan tersebut serta diterimanya, maka Nabi s.a.w membuat perbandingan seolah-olah apa yang diterimanya itu seperti membuka ruang yang luas daripada bentuk-bentuk riba. Iaitu untuk menggambarkan perbuatan keji yang besar dan haram di sisi agama sebagaimana amalan riba.

Hal ini dalam konteks yang lebih khusus dapat ditumpukan kepada seseorang yang mempunyai pengaruh atau jawatan yang tinggi atau kekuasaan atau mana-mana pegawai yang didatangi oleh orang lain atau masyarakat untuk meminta pertolongan daripadanya, sedangkan pertolongan tersebut merupakan tugas atau tanggungjawab yang sememangnya dia mesti tunaikan.

Contohnya: Pegawai-pegawai kerajaan, wakil rakyat, polis, atau kastam dan sebagainya. Antara lain ia dilantik secara khusus dan telah menerima gaji atau habuan yang telah ditetapkan. Namun begitu dalam hal tersebut, orang yang meminta pertolongan masih menghulurkan hadiah kepadanya atas dasar peribadi di atas pertolongan itu dan ia pula menerimanya, maka hukumnya adalah haram dan seolah-olah ia menerima riba.

Oleh itu amat diperlukan batasan-batasan dalam rangka menjaga kekuasaan tersebut. Batasan itu bergantung juga pada budaya bangsa. Bagaimanapun kalau kita beranjak daripada Islam, tentu saja kita menekankan lebih kepada soal iman, soal Islam dan soal ihsan.

Fikiran dan perbuatan haruslah disandarkan pada ajaran ini. Orang yang berkuasa itu boleh saja mempunyai ilmu apa lagi pada zaman serba canggih ini. Dalam Islam dituntut bahawa ilmu itu juga disandarkan pada iman. Kita memang mempunyai akal, tetapi dalam Islam hendaknya kita menyedari bahawa akal pun harus ditundukkan pada Allah. Kepercayaan seperti ini mengajak kita menjaga kekuasaan.

Setiap manusia perlu sedar akan setiap tanggungjawab atau amanah, yang ditunjangi oleh iman, Islam dan ihsan; mempunyai akhlak yang baik. Tentunya pula disandarkan pada niat yang sentiasa baik untuk mencari keredhaan Allah s.w.t.

Manusia itu adalah seorang yang ihsan, yang bukan sekadar berbuat baik, tetapi juga menyedari bahawa semua sikap, fikiran dan perbuatannya sentiasa diketahui atau diawasi Allah s.w.t. Manusia itu hendaknya jangan membuat kerosakan di muka bumi ataupun bersifat munafik iaitu berkata yang baik-baik namun dari segi praktiknya, perbuatannya tidak baik.

Manusia yang mempunya kuasa juga jangan berlebihan dalam memiliki harta, dalam berkata-kata, ataupun mengeluarkan perintah yang tidak boleh dipatuhi oleh orang lain. Kerana Allah s.w.t. tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan. Dengan kata lain penguasa tu memegang amanah dan bukan mengkhianatinya. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu.”

Surah an-Nisa: 135

Catatan: Ibnu Farabi

No Comments

    Leave a reply