Para pemimpin, pemerintah dan pentadbir pula diuji dalam bentuk yang paling berat dan rumit. Justeru setiap tindak tanduk kepemimpinan dan pentadbiran yang diterajui, adakah berdasarkan kepada konsep kepemimpinan yang digariskan oleh Allah dan Rasul atau hanya batu loncatan untuk berkuasa dan memperkayakan diri?

Kesemua ujian ini adalah untuk mengukur keimanan mereka kepada Allah dan perkara ini kurang disedari oleh umat Islam. Allah sentiasa memperingati manusia sepertimana firman-Nya dalam Surah 29 (al-Ankabut) ayat 2-3 yang bermaksud:“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: ‘Kami telah beriman’, sedangkan mereka tidak diuji lagi. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang dusta.”

Umat Islam sering terbabas daripada landasan kehidupan berteraskan kepada wahyu Ilahi kerana konsep dan objektif kehidupan mereka lebih menjurus kepada kepentingan kehidupan di dunia sehingga terlupa bahawa mereka sentiasa diuji oleh Allah dengan pelbagai ujian. Corak pemikiran begini boleh menyebabkan mereka tidak memperoleh ketenangan jiwa atau kerohanian.

Umat Islam yang berada dalam kategori ini sanggup melakukan perkara yang bertentangan de­ngan nilai kemanusiaan dan hukum hakam Allah demi memenuhi kehendak hawa nafsu mereka. Perasaan segan dan silu sudah tidak wujud dalam minda dan sanubari mereka lantaran terlalu mencintai kemewahan dalam kehidupan.

Keghairahan untuk memiliki kekayaan dan kuasa menjadikan mereka insan yang tidak pernah merasai kepuasan dalam kehidupan dengan nikmat yang dianugerahkan oleh Allah kepada mereka. Sikap dan mentaliti yang sentiasa mengejar kekayaan dan kemewahan boleh menyebabkan mereka terlupa bahawa semakin hari mereka kian hampir ditimbusi oleh tanah perkuburan.

Umat Islam disarankan supaya mengimbangi kehidupan di dunia dan di akhirat. Mereka digalakkan supaya bekerja dan berusaha untuk mendapat rezeki halal dan memberi sumbangan kepada orang yang memerlukan bantuan jika dianugerahkan oleh Allah dengan kekayaan dan kemewahan. Konsep dan matlamat kehidupan di dunia sebagai tempat persinggahan untuk membuat persediaan di hari akhirat sepatutnya dijadikan prinsip kehidupan umat Islam.

Asas keperluan kehidupan sepatutnya didasarkan kepada prinsip dan konsep kehidupan di dunia ini sepertimana disebut oleh Rasulul­lah SAW dengan sabdanya:“Hamba Allah selalu mengatakan, hartaku, harta ku’, sedangkan hanya dalam tiga perkara sahaja yang menjadi miliknya iaitu apa yang dimakan sampai habis, apa yang dipakai hingga rosak, dan apa yang diberikan kepada orang sebagai kebajikan. Selain itu harus dianggap kekayaan hilang yang ditinggalkan untuk kepentingan orang lain”.- Riwayat Muslim.

Kecintaan terhadap harta dan kemewahan yang keterlaluan adalah faktor utama yang boleh me­nimbulkan fitnah dan kerosakan kepada umat Islam. Umat Islam bermusuhan sesama sendiri akibat perebutan kuasa dan kekayaan.

Nilai mata wang dan ringgit menentukan kekayaan individu dan negara. Ini satu perkara yang sering dipertahankan dalam kehidupan manusia. Ia juga punca peperangan dan permusuhan sesama mereka. Jika umat Islam sering berselisih sesama sendiri berkaitan pemilikan wang dan kekayaan maka permusuhan dan perpecahan sesama umat akan menjadi fenomena khususnya dalam negara Islam.

Perselisihan sesama umat Islam terutama berkaitan politik juga sukar untuk dikendalikan jika matlamat perjuangan lebih menjurus kepada pertarungan untuk mendapat kuasa dan kekayaan. Ini adalah fenomena dalam dunia Islam masa kini. Kuasa dan kekayaan menyebabkan umat Islam hilang pedoman hidup sehingga mudah dipengaruhi oleh hawa nafsu ketamakan.

Mereka tidak sedar bahawa setiap pergerakan dalam mengendalikan amanah rakyat dan negara adalah dalam perhatian Allah. Apabila seseorang individu dilantik menjadi pemimpin maka beliau adalah hak rakyat dan perlu menumpukan perhatian kepada kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan diri dan ahli keluarga.

Ini kerana beliau telah mendapat mandat daripada rakyat untuk menguruskan hal ehwal negara sebaik mungkin. Oleh itu jika seseorang memikul tanggungjawab negara beliau perlu mengimbangi tuntutan ahli keluarga dan rakyat.

Dalam pada itu kekuatan dan kekebalan parti politik adalah bergantung kepada bagaimana pemimpin dan pentadbir me­ngendalikan urusan negara. Jika corak pemerintahan dan pentadbiran negara bertepatan dengan konsep khalifah seperti dituntut oleh Allah dan Rasul maka kuasa dan kekuatannya bertahan beratus tahun lamanya. Sekiranya korupsi dan penyalahgunaan kuasa menguasai sistem pemerintahan negara maka jangka masa memerintah akan menjadi lebih singkat.

Berdasarkan kepada penjelasan tersebut maka setiap ahli politik sama ada berjaya atau gagal dalam pertarungan politik perlu bermuhasabah supaya kuasa umat Islam terus dapat dipertahankan dalam jangka lebih panjang, seperti mana ditonjolkan oleh pemimpin dan pentadbir Islam masa silam apabila mereka mampu membina tamadun Islam gemilang dalam tempoh yang cukup lama.

PROF. MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN dari Jabatan Usuludin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).