KUASA RAKYAT?

Rakyat mempunyai kuasa dan rakyatlah akan menentukan kelangsungan sesebuah kerajaan. Apabila rakyat keluar mendesak dan menunjukkan kemarahannya kepada pemimpin, maka gerakan tersebut dikenali sebagai ‘gelombang kebangkitan rakyat’ ataupun ‘revolusi rakyat’.

Revolusi rakyat telah memungkinkan sesebuah kerajaan itu kekal ataupun sebaliknya. Rentetan peristiwa yang berlaku di Tunisia, Yemen, Syria, Libya dan Bahrain membuktikan bahawa kuasa rakyat sedang bertembung dengan keinginan pemimpin untuk terus mengekalkan kuasanya.

Konsep penyelesaian sengketa tanpa menggunakan kekerasan dalam istilah politik dipanggil pasifisme. Peristiwa yang berlaku sebelum ini di Mesir dan Tunisia mempunyai unsur-unsur pasifisme, yang mana kedua pihak yang berkonflik hanya menggunakan ‘kuasa rakyat’ untuk mendesak pemimpin berundur. Desakan yang pada mulanya cuba dipertahankan itu tidak terbendung lagi, semakin ramai rakyat keluar menyatakan kemarahan, tetapi pihak tentera tetap mengambil langkah ‘tunggu dan lihat.’

Profesor Tamu di International Peace and Conflict Resolution Programme, Universiti Amerika, Mohammed Abu Nimer telah menghasilkan sebuah kajian menarik mengenai konsep pasifisme menurut pandangan Islam. Buku beliau bertajuk, Nonviolence and Peacebuilding in Islamic: Theory and Practice dan diterbitkan oleh Universiti Florida, Amerika Syarikat memberikan gambaran bahawa Islam juga mempunyai kaedah penyelesaian konflik.

Mohammed yang mempunyai pengalaman luas dalam kajian proses perdamaian di beberapa negara (Filipina, Timur Tengah dan masalah Palestin) menjelaskan bahawa prinsip-prinsip Islam sentiasa mengajak pihak yang berkonflik supaya tetap memikirkan kaedah memupuk budaya damai dan anti-kekerasan. Terdapat pesan-pesan al-Qur’an dan Hadis mengenai perkara tersebut, misalnya unsur-unsur pasifisme dalam surah Al-Maidah ayat 64, surah An-Nahl ayat 90 dan surah al-An‘am ayat 151.

Peringkat awal dakwah Nabi Muhammad SAW selama 13 tahun di Mekah turut menggambarkan bagaimana strategi pasifisme dimulakan. Dalam keadaan desakan dan serangan masyarakat Quraisy, baginda berpindah ke Madinah. Perpindahan itu membuktikan atas nama kedamaian, Nabi Muhammad SAW sanggup ‘beralah’ dengan harapan ia akan memberikan kemenangan moral dalam jangka panjang.

Setelah berdakwah selama 23 tahun di Madinah, Nabi Muhammad SAW bukan sahaja mampu membentuk sebuah masyarakat yang damai, harmoni, menghormati resam kehidupan antara agama, malah membantu merubah struktur masyarakat Mekah. Madinah menjadi modul struktur masyarakat Islam yang unggul, meskipun tidak berlaku proses mengislamkan semua penduduknya ke dalam satu agama. Konteks ini turut memberikan prinsip utama Islam, bahawa memaksa orang lain memeluk Islam adalah sesuatu yang dilarang, sebaliknya proses perpindahan agama adalah berdasarkan pilihan dan sukarela.

Proses perpindahan keyakinan itu berlaku dalam kalangan masyarakat Yahudi. Masyarakat Yahudi dan pagan telah menerima Islam sebagai pegangan baru, bukannya berasaskan ‘agama pedang’ sebagaimana dilontarkan oleh para orientalis dan sejarahwan barat yang oportunis.

Meskipun Nabi Muhammad SAW dihina, disiksa, dicaci dan ditawarkan dengan pelbagai tawaran dan ancaman, baginda tetap menunjukkan teladan yang baik, tidak membalas musuhnya dengan tindakan kekerasan. Penegakkan prinsip keesaan Allah SWT berjalan dalam suasana yang dapat diterima secara mudah, dan inilah strategi pasifisme yang dilaksanakan dengan menggunakan pendekatan mempertingkatkan kehidupan beribadat.

Islam mempunyai prinsip dan nilai tersendiri bagi menegakkan keadilan dan kesejahteraan sosial, iaitu melalui tingkah laku yang baik, nilai-nilai kesejagatan dan kemuliaan setiap insan. Nilai-nilai kesetaraan antara sesama manusia hanya ditentukan oleh tahap ketakwaan dan bukannya ukuran materialisme.

Melalui asas dan prinsip ketakwaan inilah masyarakat Islam berada dalam suasana harmoni dan menjunjung tinggi ilmu dan akal, mendorong kreativiti dan pembaharuan. Setiap orang Islam tetap mempercayai bahawa dirinya adalah sebagai ‘hamba’ dan bertanggungjawab atas apa yang dilakukan. Dari situasi inilah akhirnya membentuk nilai-nilai kemuafakatan antara pemimpin dan pengikut. Konsep pemimpin dalam Islam dinamakan sebagai imam manakala pengikut ialah makmum, sehingga dalam setiap upacara ritual perlu menghormati mereka yang memimpin. Pengikut berhak menegur pemimpin sekiranya pemimpin itu melakukan hal-hal yang melanggar akidah Islam.

Keindahan itulah yang cuba digambarkan oleh Mohammed. Keindahan itulah yang juga memberi ilham kepada Mahatma Ghandi untuk memperluaskan prinsip pasifisme dalam siri perjuangan menuntut kemerdekaan dari British di India. Hal yang sama turut memberikan ilham kepada Marthin Luther King untuk menuntut keadilan sosial bagi masyarakat kulit berwarna di Amerika Syarikat.

Prinsip kesejagatan Islam meletakkan tanggungjawab kepada setiap manusia, kerana itulah pada hakikatnya setiap apa yang dilakukan akan diadili bagi menentukan balasan selepas kematian. Apa yang dilakukan sepanjang menempuh hidup di dunia akan diberikan ganjaran di akhirat, dan pada hari perhitungan itulah seseorang itu akan ditentukan sama ada dirumahkan di syurga atau neraka.

Setiap manusia mempunyai tanggungjawab dan tanggungjawab yang diberikan itu pula tidak seharusnya digunakan untuk melanggar atau mencerobohi hak orang lain. Di sinilah letaknya keunggulan prinsip kesejagatan Islam di mana setiap orang akan bertanggungjawab ke atas apa yang dilakukannya, sama ada memudaratkan diri, orang lain dan di sebaliknya. Kewajipan yang paling besar ialah menjaga hati dan perasaan orang lain dalam konteks memahami dan menghormati prinsip orang lain selagi ia tidak bercanggah dengan aturan membina keimanan dan ketaqwaan.

Walaupun tidak semua tindakan menyelesaikan konflik berakhir dengan kemenangan ‘kuasa rakyat’, Mohammed tetap yakin ada jalan penyelesaian terbaik. Kedamaian akan wujud sekiranya setiap pihak menghormati hak orang lain, dan setiap pemerintah tidak hanya tahu menggunakan ‘kuasa rakyat’ untuk memperoleh kuasa, tetapi juga memenuhi tanggungjawab menjaga ‘hati dan perasaan rakyat’.

Inilah yang seharusnya menjadi pedoman kepada pemimpin-pemimpin Islam yang berada dalam tampuk kuasa. Memahami keperluan rakyat dan menyelami sukarnya rakyat hidup, dan bukan hanya sekadar membentuk slogan dan falsafah perjuangan yang tidak difahami rakyat. Ini kerana ‘kuasa rakyat’ ada hadnya.

Catatan: Abu Fattah

No Comments

    Leave a reply